Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali
ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Bahasa. Dengan
tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” ini kita boleh lihat apakah
dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti Bahasa Melayunya. Kali
ini kita bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti Bahasa. dengan tajuk
“Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” melalui tesis Sdr Zawawee Pakda
Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi
Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya. Sdr Zawawee Pakda Ameen pernah menjabat sebagai Ketua
Jurusan Pengajian Melayu di Prince of Songkla University Kampus Pattani.
Sekarang Jurusan Pengajian Melayu bergabung dengan Jurusan Bahasa Melayu
menjadi Jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu. Isi kandungan Identiti
Melayu Patani : Identiti Bahasa adalah seperti berikut :
Bahasa
Melayu adalah satu lagi identiti yang dapat dilihat dengan jelas dan membezakan
identiti penduduk minoriti dengan identiti penduduk majoriti. Orang yang
bercakap bahasa Melayu dialek Patani dengan baik dihipotesis bahawa mereka
adalah orang Islam. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Patani tidak dapat
diasingkan dengan orang Melayu kerana merupakan harta warisan turun temurun
daripada nenek moyang mereka. Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang mereka
boleh bercakap dan mereka menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar untuk
mempelajari ilmu agama yang merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam.
Sementra ilmu agama boleh dipelajari dari institusi keluarga, sekolah tadika,
masjid, pondok dan madrasah. Oleh itu bahasa Melayu di Patani tidak akan
terhakis sekiranya anak cucunya masih berpendidikan Islam.
Bahasa adalah satu sistem bunyi yang arbitrari yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi (Nor Hisham Osman 2002: 1). Kebudayaan itu hidup atau boleh diamalkan kerana adanya bahasa sebagai alat komunikasi. Sebenarnya bahasa merupakan sebahagian daripada kebudayaan. Selalunya orang yang menggunakan bahasa yang berbeza akan memiliki kepercayaan dan cara hidup berlainan, atau boleh dikatakan bahawa bahasa itu boleh menentukan kelompok etnik. Bahasa lebih istimewa daripada kebudayaan lain kerana pengucapan budaya melalui bahasa. Melalui bahasa kita dapat memahami zaman lampau, zaman sekarang dan akan datang. Bahasa membolehkan kita memahami orang lain dan melalui bahasa juga kita berinteraksi dan menukar fikiran antara satu sama lain (Suthasat, A. 1976: 144-145).
Bahasa
Melayu adalah bahasa yang digunakan oleh majoriti penduduk di Wilayah Sempadan
Selatan dan merupakan bahasa kebangsaan negara
Malaysia, Indonesia dan Brunei. Mengikut Nik Safiah Karim dan
rakan-rakan (1996: 5-7), Bahasa Melayu
adalah satu daripada kira-kira 200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga
bahasa Austronesia. Penutur asalnya ialah mereka yang tinggal di Semenanjung
Tanah Melayu, kepulauan Riau, dan di Sumatera.
Sejarah
telah membuktikan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan (lingua
franca) di Nusantara berzaman-zaman. Bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang
yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk pendatang asing, seperti pedagang-pedagang
dan pengambara-pengembara dari Eropah, Asia Barat, India dan Cina. Dalam
tulisan Cina pada antara tahun 644 dan 645 yang menyebutkan bahawa orang
Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negeri Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil
bumi kepada raja Cina, adalah bukti terawal yang menyatakan bahawa terdapat
kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan.
Sementara bukti konkrit pertama mengenai bentuk dan sifat bahasa Melayu
terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang bentuk
dan susunan tulisannya dapat dikatakan bahasa Melayu.
Mengikut
Prachonpacchanuk, P. (1973: 34-35), pada sekitar tahun 1973, kebanyakan
penduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan kecuali wilayah Setul dan Songkhla,
tidak boleh bercakap bahasa Thai. Mereka yang boleh berbahasa Thai pula lebih
suka menggunakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila berinteraksi sesama
mereka. Suthasat, A. (1982: 20-21)
menghuraikan bahawa bahasa Melayu telah sebati dengan struktur masyarakat dan
pemikiran penduduk Melayu di Patani. Bahasa Melayu dijumpai dalam bentuk
peribahasa, sastera, simbol-simbol, filsafah kehidupan dan semua nama-nama,
adalah berhubung kait dengan bahasa Melayu.
Oleh
itu tidak boleh sama sekali memaksa mereka meninggalkan bahasa Melayu kerana
perbuatan tersebut sama seperti meninggalkan semua identiti. Dengan sebab ini
juga mereka memanggilkan dirinya orang Melayu. Pengakuan seperti ini adalah
cara menunjukkan identiti etnik yang paling selesa. Agak sukar juga bagi
penduduk Melayu yang tidak berpendidikan untuk memahami pengertian bangsa. Cara
yang paling senang untuk menunjukkan bahawa siapa mereka itu adalah bahasa yang
digunakan seharian.
Bahasa
Melayu melalui tulisan Jawi telah menjadi perantara untuk penyebaran agama
Islam di Wilayah Sempadan Selatan. Penduduk Melayu menggunakannya sebagai
bahasa bertutur untuk pendidikan agama Islam sama ada di rumah, masjid, pondok
dan lain-lain majlis pengajian agama. Kebanyakan buku-buku agama juga ditulis
dengan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Fraser Thomas, M. (1960: 16) telah
menghuraikan tentang penggunaan bahasa penduduk Melayu Patani bahawa
“Everything that is written in Malay is in the Standard Malay using Jawi
(modified Arabic) characters”.
Mereka
menggariskan Tulisan Jawi sebagai tulisan kedua yang mesti dihormati, selain
tulisan Arab. Menurut Suthasat, A. (1976: 148), terdapat sesetengah penduduk
Melayu menganggap bahawa bahasa Melayu tulisan Jawi adalah bahasa agama yang
mesti dihormati dan tidak boleh diletak di tempat rendah atau melangkahnya.
Bahasa
Melayu Dialek Patani juga dituturkan oleh peniaga-peniaga Cina dan India yang
berniaga di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat. Mereka dapat bertutur bahasa
Melayu dengan baik, di samping itu terdapat juga yang mengamalkan sesetengah
adat dan kebudayaan Melayu. Pada 29 Disember 2003, pengkaji pergi membeli kain
sarong di sebuah kedai orang Cina di bandar Yala. Di kedai tersebut ada dijual
pakaian, termasuk pakaian Melayu. Pengkaji mendapati bahawa kedua-dua orang
penjual Cina memakai kain sarong.
Mereka
dapat bercakap bahasa Melayu Dialek Patani dengan baik, apa yang menarik ialah
apabila membayar duit, penjual Cina itu memberi kain serta angkat lafaz jual
beli dengan perkataan “jual” yang difahamkan tentang kebudayaan Melayu sebagai
lafaz akad jual beli. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu amat penting bagi
peniaga-peniaga di kawasan ini. Bahasa Melayu dapat menambahkan keuntungan dan
membolehkan perniagaannya berlangsung.
Begitu
juga dengan pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan yang bertugas di wilayah
Pattani, Yala dan Narathiwat yang boleh bercakap bahasa Melayu dapat berkhidmat
dengan baik dan lebih memahami kebudayaan penduduk tempatan. Sekarang tidak
dapat dinafikan bahawa masih terdapat banyak lagi orang Melayu yang tidak boleh
bertutur bahasa Thai, terutama golongan tua yang berumur sekitar 50 tahun ke
atas.
Selalunya
golongan yang tidak tahu bahasa Thai akan menghadapi berbagai masalah apabila
mereka pergi membuat urusan di pejabat-pejabat kerajaan, lebih-lebih lagi
apabila berurusan dengan pegawai yang tidak pandai bahasa Melayu. Kadang-kadang
prosesnya menjadi lambat dan kadang-kadang menyebabkan urusannya gagal dan
mesti mencari pembantu yang boleh berbahasa Thai. Keadaan seperti ini
menyebabkan mereka terasa segan dan mengasingkan diri daripada kerajaan. Hasil
daripadanya juga amat bercanggah dengan dasar kerajaan Thailand yang berusaha
untuk menyatupadukan rakyatnya.
Identiti
amat penting untuk berinteraksi antara ahli dalam etnik dan juga antara
kelompok etnik. Identiti-identiti lain tidak akan bergerak sekiranya tidak ada
bahasa. Melalui bahasa dapat menyatupadukan etnik dan juga sebaliknya. Bahasa
amat perlu bagi setiap kelompok etnik untuk membezakannya dengan kelompok etnik
lain, dan bukan setiap kelainan akan membawa kepada perpecahan. Kelainan dalam
sesuatu negara juga dapat menjadi alat untuk pembangunan dan kestabilan negara.
Rujukan
:
Fraser
Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand.
New York : Cornell University Press.
Nik
Safiah Karim dan rakan-rakan (1996). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Hisham Osman (2002). Sosiolinguistik dan Kepelbagaian Bahasa. Selangor : Al-Hikmah Sdn. Bhd.
Fraser
Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand.
New York : Cornell University Press.
_______________
(1966). Fisherman of South Thailand: The Malay Village in Southern Thailand.
New York : Holt, Rinehart and Winston.
Suthasat,
Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si Changwat Phaktai. (Masalah Pertelingkahan di Empat Wilayah
Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.
_____________
(1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan
Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn
University.
_____________
(1982).“Itiphol Khong Sasna Lae Wattanatham To Panha Si Changwat Phaktai”.
(Pengaruh Agama dan Kebudayaan Terhadap Masalah di Empat Wilayah Selatan).
Warasarn Karn Suksa Haengchat. 16 (Mac) : 20-21.
_____________
(1986). Phanha Karn Muang Suan Phumipark Lae Chon Klumnoy. (Masalah Politik
Tempatan dan Klompak Etnik Minoriti). Bangkok : Sukhothaithammathirach
University.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan