Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Seperti kita tahu Patani dijoloki sebagai Serambi
Makkah dan juga Patani disebut sebagai Patani Darussalam. Kali ini kita
membicara tentang kemasukan agama islam di Patani. Disini saya ambil sebahagian
dari tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen, pensyarah Pengajian Melayu, Prince of
Songkla University, Kampus Pattani, Thailand berkenaan dengan kemasukan agama
Islam di Patani. Tulisan beliau saya ambil dari Tesis Sarjana beliau denga
Tajuk “Identiti Melayu Patani : Kajian Tetang Peranan Institutsi Pondok Di
Wilayah Pattani”di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sdr Zawawi pakda Ameen Bersama Dr. Suryadi
dari Universiti Leiden, Belanda di Makam Sultan Ismail Syah atau Sultan Muhammad
Syah, Sultan Patani pertama yang memeluki agama Islam.
Tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen adalah seperti
berikut :-
Penyebaran agama Islam di Patani berlaku di
kalangan rakyat terlebih dahulu dan kemudian menyebar di peringkat
pemerintah. Menurut Phra’ya
Rattana’ Phakdi, raja dan
pembesar Patani memeluk agama Islam kira-kira pada awal abad ke-15 iaitu di
sekitar tahun 1457, sedangkan rakyat jelata sudah ada yang beragama Islam sejak
300 tahun sebelumnya. B.J.O. Schrieke (1916) dalam buku Het Boek Van Bonang
menyebut bahawa raja tidak percaya kepada agama Islam tetapi pedagang-pedagang
terdiri daripada orang Islam.
Dalam sejarah Kelantan pula menceritakan
bahawa pada tahun 1150 terdapat seorang Syeikh Arab dari Patani datang
menyebarkan agama Islam di negeri Kelantan (A. Bangnara 1976: 14-15). Oleh itu
boleh dikatakan bahawa terdapat beberapa penduduk di zaman Langkasuka beragama
Islam. Agama Islam dianuti oleh penduduk Patani sebelum didirikan Sukhothai.
Sukhothai didirikan pada sekitar tahun 1237 (Jitmoud, S. 1988 : 62-68).
Di Semenanjung Melayu, Patani dan Pahang
adalah negeri paling awal menerima agama Islam. Bukti ini ditegaskan oleh de
Eredia, seorang pengembara Portugis pada tahun 1613,
“Moreover the faith of Maumeth (Islam) was
accepted in Patane (Patani) and Pam (Pahang) on the eastern coast of Ujontana,
and in certain islands of the Aromatic Archipelago. Later it was accepted and
encouraged by Permicuri Parameswara at Malacca in year 1411.” (Mills, J.V. 1930
: 49)
Agama Islam di Patani tersebar dengan
pesatnya apabila raja memeluk Islam. Dalam Hikayat Patani mengisahkan bahawa raja
Patani yang bernama Phya Tu Nakpa menghidap penyakit kulit. Dukun Istana
mengubatinya, tetapi tidak sembuh. Dalam situasi tersebut terdapat seorang dari
Pasai bernama Syeikh Said sanggup mengubatinya dengan syarat apabila sembuh
nanti, raja mesti memeluk agama Islam.
Makam Sheikh Said Al Basisa atau Tok Pasai
yang mengIslamkan Phya Tu Intira dan digelarkan Sultan Ismail Syah atau Sultan
Muhammad Syah
Penyakit itu sembuh dan berulang lagi kerana
raja tidak menepati janji. Pada kali yang ketiga Syeikh Said datang
mengubatinya pula dan baginda tidak mungkir janji lagi. Baginda pun memeluk
agama Islam dan menukar nama kepada Sultan Ismail Syah Zillullah Fil-Alam
(Teeuw & Wyatt 1970 : 75). Dalam buku “Sejarah Kerajaan Melayu Patani” oleh
Ibrahim Syukri (2002) pula menceritakan bahawa raja Patani pertama yang memeluk
agama Islam adalah putra raja Phaya Tu Nakpa yang bernama Phya Tu Intira dan
digelar Sultan Muhammad Syah.
Agama
Islam bertapak teguh di Patani dan berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di
Nusantara. Nama penuh Patani adalah “Patani Darussalam” dan dianggap sebagai
serambi Mekah kerana merupakan pusat menimba ilmu daripada para ulama yang giat
mengarang kitab dan mengajar agama di institutsi pondok dan masjid. Pada waktu
itu juga institusi pondok berkembang dengan pesat dan berperanan sebagai
institusi utama yang membina benteng untuk mempertahankan identiti Melayu
Patani.
Rujukan:
Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit –
Patchuban. (Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom Saengthian.
Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan
Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jitmoud, Sawvanee (1988). Ethnic Group: Thai
Muslim. Bangkok: Korngthun Snga Rujiraamporn.
Mills, J.V. (1930). “Eredia’s Description of
Malacca”. JAMBRAS Vol.8 (Part 1) halaman
48.
Schrieke, B.J.O. (1916). Het Boek Van Bonang.
Utrecht : P.D. Boer.
Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan