Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu
Patani khusus kepada Identiti Agama. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani :
Identiti Agama” ini kita boleh lihat bagamana identity Melayu Patani khususnya identity
agama melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu
Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA
dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. An sekarang Sdr
Zawawee Pakda Ameen bertugas di di Prince of Songkla University Kampus Pattani.
Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Agama adalah seperti berikut :
Agama adalah identiti terpenting bagi setiap
kelompok etnik. Agama boleh membezakan antara satu sama lain dan agama dapat
menyatupadukan masyarakat, walaupun anggota dalam masyarakat tersebut berlatar
belakang daripada etnik yang berlainan. Agama akan mempengaruhi atau menentukan
identiti-identiti dalam kelompok etnik dan agama juga merupakan unsur yang
penting dalam hubungan antara etnik.
Agama Islam berbeza dengan agama-agama lain.
Peranan agama Islam bukan hanya mempengaruhi identiti-identiti lain dalam
kelompok etnik, tetapi agama Islam telah menentukan setiap tingkah laku dan
kepercayaan manusia. Ajaran agama Islam merangkumi setiap bidang ilmu di dunia
ini, sama ada ilmu sains, sains sosial, kemanusiaan, ekonomi, peradaban dan
lain-lain. Setiap kelakuan dan pemikiran manusia dikawal oleh agama Islam.
Penganut agama Islam mesti mematuhi setiap perintah yang ditetapkan oleh Allah
s.w.t. Oleh itu orang Islam tidak boleh mengamalkan apa saja yang bertentangan
dengan agama Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus... .”
(Surah al-Bayyinah 98 : 5)
Agama telah memberi identiti keagamaan kepada
etnik tertentu. Identiti agama adalah kemuncak yang penganut Islam di seluruh
dunia sanggup mempertahankan sehabis-habisnya, walaupun orang Islam di kawasan
tersebut berstatus sebagai etnik majoriti seperti Malaysia atau etnik minoriti
seperti di Thailand atau Cina. Penganut Islam akan menyesuaikan unsur-unsur
asing dengan kebudayaan asal yang dianggap tidak bercanggah dengan al-Quran dan
sunnah rasulullah s.a.w.
Pengaruh Islam di Patani juga membezakan
antara kelompok etnik dalam setiap segi dengan ketara. Panggilan sesuatu
kelompok juga berbeza dan membawa erti tersendiri bagi setiap kelompok etnik.
Contohnya istilah “Orang Melayu” yang digunakan di dalam masyarakat Melayu di
Thailand adalah bermaksud orang Islam. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan
Melayu (1991) menyatakan bahawa kesan perjalanan sejarah telah menjadikan nama
Melayu sebagai identiti kelompok beragama Islam dan berbeza dengan orang yang
masih lagi beragama tradisi atau animisme.
Oleh itu istilah “masuk Melayu” dalam
masyarakat Melayu Patani adalah memeluk agama Islam. Perkataan “orang Melayu”,
“orang Siam” dan “orang Thai” digunakan dalam situasi yang berbeza dan memberi
makna atau perasaan yang berlainan. Apabila berinteraksi sesama Melayu, mereka
akan memanggil dirinya “orang Nayu” atau “orang Melayu”. Mereka akan merasai
tidak senang hati atau marah apabila dipanggil “Orang Siam” kerana dalam
masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, orang Siam digunakan untuk
kelompok majoriti negara iaitu orang yang beragama Buddha. Sementara “orang
Thai” pula digunakan dalam situasi rasmi kerajaan yang merujuk kepada semua
rakyat Thailand termasuk kelompok etnik Melayu, untuk menunjukkan bahawa secara
rasminya mereka berbangsa Thai dan berwarganegara Thai.
Oleh yang demikian, setiap perlakuan etnik Melayu mesti diselaraskan dengan tuntutan agama Islam. Di Wilayah Sempadan Selatan, setiap identiti Melayu sama ada identiti bahasa, identiti kebudayaan, identiti sejarah atau identiti pondok berasaskan agama Islam. Jika terdapat diantaranya bercanggah dengan agama Islam, maka tidak akan diterima oleh masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan dan dipandang sebagai suatu keganjilan oleh masyarakat.
Rujukan:
Ensiklopedia sejarah dan kebudayaan Melayu.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka , 1991.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan