Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali
ini kita bicara tentang sejarah Patani. Dengan tajuk “Negeri Patani di Zaman Raja-raja Perempuan” Dan kita
bicara sejarah Patani dengan tajuk “Negeri
Patani di Zaman Raja-raja Perempuan” melalui tesis sdr Zawawee Pakda
Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok
di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti
Malaya. Isi kandungan Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani adalah
seperti berikut :
Selepas
peristiwa pertumpahan darah dalam istana, Patani berturut-turut diperintah oleh
empat orang raja perempuan. Raja-raja perempuan yang memerintah Patani bermula
dengan Raja Hijau (1584-1616), Raja Biru (1616-1624), Raja Unggu (1624-1635)
dan berakhir dengan Raja Kuning (1635-1686). Zaman pemerintahan ratu-ratu
inilah merupakan zaman keemasan Patani.
Pada
zaman pemerintahan Raja Hijau, orang barat sudah meluaskan perdagangannya ke
dunia timur. Waktu ini Portugis sudah mengalahkan Melaka dan Sepanyol mulai
bertapak di Filipina. Pada zaman ini, Patani banyak membuat perhubungan
perdagangan dengan bangsa asing. Pada tahun 1592 baginda berkenan menerima
mengadap wakil kerajaan Jepun yang memohon untuk melakukan hubungan perdagangan
secara rasmi. Pada tahun 1602 pula, baginda membenarkan orang Belanda
mendirikan loji perdagangan di Patani. Bangsa Sepanyol pula datang berniaga
pada tahun 1605 dan pada tahun 1612, Patani melakukan perjanjian perdagangan
dengan Inggeris (Ahmad Fathy al-Fatani 2001: 19-20).
Setelah beberapa lama Patani menikmati kemakmuran, percubaan penyerangan pertama kali oleh Siam ke atas Patani berlaku pada tahun 1603. Angkatan dari Ayuthia ini diketuai oleh Upya Deca yang menerima perintahan daripada Raja Phra Naresuan untuk menakluk Patani. Walau bagaimanapun serangan pertama ini telah dipatahkan dengan bantuan peniaga-peniaga di Patani termasuk orang-orang Eropah (Ibrahim Syukri 2002 : 44-45)
Apabila
Raja Hijau mangkat pada tahun 1616, Raja Biru yang masa itu berusia 50 tahun
menggantikannya. Pada masa pemerintahan baginda terdapat khabaran bahawa Raja
Siam sedang mengadakan angkatan perang yang besar untuk menyerang Patani. Dalam
keadaan yang amat membimbangkan ini, baginda telah mencadangkan untuk membuat
seberapa banyak meriam besar. Tukang yang membuat meriam ialah “Tok Khiam”
seorang bangsa Cina yang memeluk Islam. Beliau juga dilantik menjadi penjaga
cukai di Kuala Patani. Setelah beberapa banyak tembaga yang dihimpun mencukupi,
pekerjaan membuat bedil meriam dijalankan. Beberapa bulan kemudian, tiga pucuk
meriam dapat disiapkan. Dua pucuk meriam yang besar, baginda menamakan meriam
Seri Negara dan Meriam Seri Patani. Sementara sepucuk lagi dinamakan meriam
Maha Lela . Ketiga-tiga pucuk meriam ini dijadikan alat senjata peperangan
utama dalam angkatan peperangan pada masa itu.
Beberapa
peristiwa mengenai tempat bersejarah yang masih wujud pada masa ini juga
berlaku pada zaman pemerintahan Raja Biru. Saudagar Minangkabau bernama Saudagar
Gombak bersama khadamnya, Abdul Mukmin dibunuh dan dibuang ke laut di Kuala Ra
kerana melanggar perintah baginda dengan menjual tembaga kepada saudagar dari
Melaka. Pada masa itu baginda mengharamkan jualan atau kiriman tembaga keluar
negeri. Mayat kedua itu kemudian dikebumikan di kampung Tanjung Datok. Sekarang
kubur mereka dikenali dengan kubur Tok Panjang. Tempat menuang meriam kini
terletak di tepi lebuh raya tidak jauh dari telaga Hang Tuah dan masjid
Gerisik. Sementara bedil Meriam Seri Patani, kini ditempatkan di hadapan
Kementerian Pertahanan di Bangkok.
Apabila
Raja Biru mangkat, adindanya Raja Unggu yang menjadi isteri Sultan Pahang
menaiki takhta memerintah Patani. Beberapa tahun kemudian utusan daripada
seorang putera raja Johor (Yang Dipertuan Muda Johor) yang memerintah negeri
Terengganu datang untuk minta meminang Rajanya dengan Raja Kuning, putri Raja
Patani. Apabila pinangan itu diterima, Yang Dipertuan Muda Johor bersama
seorang menterinya, Encik Idris dan disertai tiga ribu rakyat datang ke Patani.
Dalam
persiapan untuk majlis perkahwinan tiga bulan, rakyat yang dibawa oleh Yang
Dipertuan Muda Johor sempat membantu Patani menahan serangan Siam dua kali
iaitu pada tahun 1632 dan 1633-1634. Kedua-dua serangan yang diketuai oleh Upya
Deca dapat dipatah oleh Patani kerana pada masa itu senjata-senjata yang
disediakan oleh Raja Biru dahulu termasuk tiga pucuk meriam besar menyebabkan
Patani lebih kuat. Sementara angkatan Belanda yang sanggup membantu Siam
menyerang Patani juga tidak datang pada peperangan kali pertama dan datang
lewat pada peperangan kali kedua.
Dalam
tahun 1635 Raja Unggu mangkat dan anakanda baginda, Raja Kuning dilantik
memerintah Patani. Raja Kuning adalah Raja Patani pertama yang menjalankan
perniagaan sendiri di luar negeri. Baginda telah mengadakan sebuah kapal
perniagaan dan melantik seorang kapten untuk menguruskan perniagaan. Kapten itu
telah dinamakan Saudagar Raja (Ibrahim Syukri 2002 : 56-59).
Pada
tahun 1641, baginda berkunjung ke Ayuthia untuk memperbaharui hubungan
Patani-Siam. Selepas kujungan baginda, Patani aman beberapa waktu sambil
menikmati zaman emasnya. Pada masa itu Patani menjadi sebuah negara yang sangat
berpengaruh antara kerajaan negeri-negeri Melayu (Ahmad Fathy al-Fatani 2001:
24). Raja kuning adalah Raja perempuan terakhir memerintah negeri Patani.
Kemangkatan baginda telah berakhirlah Raja Patani keturunan Raja Seri Wangsa.
Ada sedikit perbezaan mengenai salasilah Raja-raja atau dinasti awal yang membuka negeri Patani. Perbezaan itu dapat dilihat berdasarkan dua sumber utama iaitu sumber Hikayat Patani oleh Teuuw & Wyatt dan sumber Sejarah Kerajaan Melayu Patani oleh Ibrahim Syukri. Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui rajah-rajah seperti berikut:
Rajah
1 : Salasilah Raja-raja Patani Menurut
Sejarah Kerajaan Melayu Patani.
Sumber: Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rajah
2.: Salasilah Raja-raja Patani Menurut Hikayat
Patani.
Sumber:
Diubahsuaikan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2001). Pengantar Sejarah Patani. Kota
Baharu : Pustaka Aman Press.
Ruukan
:
Ahmad
Fathy al-Fatani (2001). Pengantar Sejarah Patani. Kota Bharu : Pustaka Aman
Press Senderian Berhad.
Ibrahim
Syukri (1985). History of The Malay Kingdom of Patani. Athens : Ohio University.
Ibrahim
Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Teeuw,
A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan