Sabtu, 15 April 2023

Identiti Melayu Patani, Thailand.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini saya akan bicara tentang identiti Melayu Patani. Orang Melayu Patani mempuyai identi Melayu seperti Melayu lain di Alam Melayu.


Disini saya saya ambil sebahagian dari tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen, pensyarah Pengajian Melayu, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, Thailand berkenaan dengan Identiti Melayu Patani yang termuat dalam Tesis Sarjana beliau denga Tajuk “Identiti Melayu Patani : Kajian Tetang Peranan Institutsi Pondok Di Wilayah Pattani”di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

                                         Teras Identiti Melayu


Tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen adalah seperti berikut :-


Identiti Melayu Patani berbeza dengan identiti nasional (Siam). Apabila identiti kelompok minoriti bertembung dengan identiti kelompok majoriti, akan menyebabkan masalah (Wirth 1945; Suthasat, A. 1986). Penduduk Melayu terpaksa bertindak pragmatik untuk kelangsungan dan dapat hidup bersama dengan kelompok majoriti. Pihak kerajaan pula memberi kewarganegaraan kepada semua rakyatnya termasuk penduduk Melayu. Oleh itu secara rasminya penduduk Melayu berbangsa dan warganegara Thai. Untuk mengkhususkan lagi, dipanggil “Thai Muslim” bagi rakyatnya yang beragama Islam termasuk juga orang Melayu.


Di sini dapat melihat bahawa disebalik penghormatan yang diberi kepada rakyatnya, kerajaan juga telah menjalankan dasar asimilasi untuk mengintegrasikan rakyatnya. Di samping mengamalkan identiti Melayu, penduduk Melayu juga terpaksa menerima tanggapan kelompok majoriti supaya dapat meneruskan kelangsungan.


Sejarah adalah salah satu identiti Melayu. Bagaimanapun penduduk Melayu tidak boleh berpegang kepada sejarah dengan sepenuhnya kerana tidak sesuai dengan beberapa situasi. Kebanyakan penduduk pula tidak mengetahui tentang sejarah sendiri, mereka lebih mengetahui sejarah Thailand kerana dipelajari sejak sekolah rendah lagi.


Oleh itu penduduk Melayu lebih pragmatik mengamalkan identiti agama. Pondok di wilayah Pattani adalah institusi yang amat berperanan dalam mengajar ilmu agama. Kitab Jawi yang merupakan buku agama karangan ulama Patani dan ulama Nusantara menjadi pelindung identiti Melayu. Selain kitab Jawi, kitab Arab juga dibacakan oleh tuan guru dan dihuraikan dengan bahasa Melayu.


Patani mempunyai banyak peninggalan sejarah seperti masjid Telok Manok, masjid Kresek, masjid Raja Cabang Tiga, masjid Tanjung Datuk, masjid Selindung Bayu, masjid Kampung Aur, masjid Raja Legeh, makam-makam raja, makam para ulama, makam pejuang dan sebagainya. Kesemua tempat-tempat bersejarah ini berkaitan dengan agama. Pengajian agama di institusi pondok telah mengajar mereka tentang nilai tempat-tempat tersebut. Kesedaran terhadap sejarah juga akan wujud apabila mereka melihat atau memikir tentang tempat-tempat itu. Oleh itu secara tidak langsung sejarah diwujud menerusi pondok. Imej sejarah wujud disekitar pondok seperti rajah berikut ini:


       Rajah menunjukkan kewujudan imej sejarah menerusi pondok


Rajah di atas menunjukkan bahawa bahasa, kitab Jawi, makam-makam, masjid-masjid lama, ulama dan adat merupakan imej sejarah yang wujud melalui institusi pondok. Uutuk memperjelaskan lagi, pengkaji akan menghurai seperti berikut:

1. Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar yang digunakan di institusi pondok. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan oleh nenek moyang penduduk Melayu di Patani secara terun temurun. Oleh itu apabila mereka menuntut ilmu di institusi pondok dan dapat belajar dengan bahasa Melayu, mereka juga akan ingat tentang bahasa Melayu pada masa silam. Semua perkara yang ada kaitan dengan bahasa Melayu seperti kitab Jawi, ulama dan sebagainya akan wujud dalam fikiran mereka. Contohnya seorang pelajar dari Bangkok yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, apabila dia belajar di institusi pondok di Pattani dan di samping itu juga dapat belajar bahasa Melayu, tentu akan menimbul soalan tentang diri sendiri bahawa dari manakah berasal dan kenapakah nenek di Bangkok juga boleh bercakap bahasa Melayu.

2. Kitab Jawi dan para ulama. Kitab Jawi merupakan karya ulama masa silam. Pembelajaran di institusi pondok tidak boleh diasingkan dengan kitab Jawi dan ulama. Oleh itu kitab Jawi di institusi pondok telah mengingatkan masa lampau mengenai tempoh yang dihasilkannya oleh ulama. Seterusnya akan merangsangkan untuk mengetahui peranan ulama pengarang kitab tersebut.

3. Makam-makam bersejarah dan masjid-masjid lama merupakan khazanah yang kini dapat dilihat di Patani. Tempat-tempat ini mempunyai hubungkait dengan agama. Seseorang yang belajar agama akan menghargai dan meneliti tempat-tempat bersejarah lebih daripada orang yang belajar di sekolah sekular. Walaupun secara tidak langsung institusi pondok tidak mengajar tentang tempat-tempat bersejarah, namun begitu institusi pondok telah merangsangkan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tempat bersejarah.

4. Adat istiadat juga merupakan upacara yang dilakukan oleh nenek moyang penduduk Melayu Patani. Institusi pondok memainkan peranan penting untuk mengekalkan adat istiadat yang tidak bercanggah dengan syarak. Tuan guru dan pelajarnya mengambil bahagian penting dalam majlis tahlil, maulidur rasul, solat jenazah, perkahwinan dan sebagainya. Oleh itu adat telah mengingatkan sejarah dan institutsi pondok berperanan untuk mengekal dan menyebarnya.


Rujukan

Mohd Aris Haji Othman (1983). The Dynamics of Malay Identity. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


Suthasat, A. (1986). Phanha Karn Muang Suan Phumipark Lae Chon Klumnoy. (Masalah Politik Tempatan dan Klompak Etnik Minoriti). Bangkok : Sukhothaithammathirach University.


Wan Abdul Kadir (1993). Perubahan Budaya Melayu. Kota Bharu dan Petaling Jaya : Masfami Enterprise.


Wirth, Louis (1945). “The Problem of Minority Groups” dalam R. Linton (ed.). The Science of Man in the World Crisis. 347-372. New York: Columbia University Press.

Tiada ulasan: