Selasa, 11 April 2023

Pondok Pendidikan Agama Islam di Patani, Thailand.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Patani telah tershohor semenjak lama tentang pengajian Islam. Dan bumi Patani telah melahirkan ratusan ulama terkenal di Alam Melayu. Seperti Sheikh Daud Abdullah Al-Fatani, Sheikh Ahmad Mohd Zin Al Fatani dll. Patani juga mungkin boleh memberi jolokan sebagai Bumi seribu Pondok pendidikan Agama Islam. Dan juga Bumi seribu Ulama. Dan kita tidak heran lagi jika Patani diberi jolokan sebagai Serambi Makkah seperti juga Negeri Kelantan.

 

Disini saya ambil sebahagian pandangan tentang Pondok pengajian agama Islam di Patani, Thailand yang ditulis oleh Sdr Zawawi Pakda Ameen, pensyarah Pengajian Melayu, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, Thailand. Pandang ini dari Tesis Sarjana beliau denga Tajuk “Identiti Melayu Patani : Kajian Tetang Peranan Institutsi Pondok Di Wilayah Pattani”di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Tulisan Sdr Zawawi Pakda Ameen adalah seperti berikut :-

 

Pondok ialah institusi pendidikan yang mengendalikan pengajian agama Islam, di mana tuan guru diakui kepakarannya oleh penduduk Melayu tempatan (Awang Had Salleh 1977). Pondok adalah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti hotel. Di sini pondok bermaksud institusi pengajian agama Islam. Perkataan pondok digunakan oleh kerana pelajar-pelajar akan membina dangau atau rumah kecil di sekeliling rumah tuan guru. Biasanya rumah tuan guru berhampiran dengan surau, di kawasan depan (pondok luar) adalah pondok pelajar lelaki dan di belakang (pondok dalam) adalah pondok pelajar perempuan. Jumlah pondok tergantung kepada kemajuan pondok tersebut.

 

Beberapa kajian telah dilakukan oleh pengkaji tempatan dan pengkaji barat mengenai masyarakat Melayu di selatan Thailand. Di antara kajian-kajian tersebut ada menyentuhkan tentang identiti Melayu dan institusi pondok. Sebagai contoh, terdapat kajian yang menyentuh mengenai kesedaran orang Islam terhadap identiti etnik, masalah konflik di empat wilayah selatan Thailand yang ada juga berpunca daripada masalah identiti disamping masalah-masalah lain, pondok dan madrasah dan sebagainya. Namun begitu, mereka tidak menumpukan kajian tentang identiti Melayu Patani dan tidak menghuraikan pondok sebagai institusi utama yang mempertahankan identiti Melayu Patani.

 

Thailand merupakan satu negara berbilang bangsa. Kelompok-kelompok etnik selain etnik Thai berpindah masuk ke Thailand setelah negara selesai dibentuk, kecuali golongan Morn, keturunan orang bukit dan Melayu di selatan yang sudah mendiami di kawasan ini. Golongan Melayu dimasukkan ke bawah pemerintahan Thailand mengikut perjanjian The Anglo-Siamese Treaty antara Inggeris dengan Thailand pada tahun 1909. Setelah termaterainya perjanjian ini, kerajaan Thailand menganggap orang Melayu di Thailand berbangsa dan keturunan Thai (Worawit Baru 1999). Kerajaan Thailand berjaya menjalankan dasar asimilasi dan integrasi terhadap kelompok minoriti, namun begitu dasarnya tidak dapat berjalan lancar terhadap orang Melayu kerana mereka mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan yang jauh berbeza daripada penduduk majoriti negara. Oleh itu orang Melayu di Thailand adalah minoriti yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

 

Sehingga sekarang, kerajaan Thailand berusaha dengan berbagai pendekatan untuk mengintegrasi rakyatnya. Dasar-dasar yang dikuatkuasakan menimbulkan kesan kepada identiti orang Melayu. Terdapat dua pilihan bagi masyarakat Melayu untuk meneruskan identitinya. Sama ada dengan penentangan atau bertindak secara pragmatik untuk kelangsungan dan kesinambungan budaya, bahasa dan agama.

 

Diatas adalah pandangan secara ringkas Sdr Zawawi Pakda Ameen. Saya juga berpeluang menjelajah daerah saya dalam satu program. Dari turun lapangan ke Pondok pengajian agama Islam atau pondok tradisional ini dapatlah melihat kelebihan dan kelemahan sistem pendidikan pondok tradisional di daerah saya. Ini juga boleh menggambarkan kelebihan dan kelemahan pondok pendidikan secara umum di Patani, Thailand. Walau bagaimanapun institusi pondok pengajian agama Islam ini kita tak boleh menafikan bahawa adalah salah satu benteng mempertahankan identiti Melayu.

 

Ruukan :

Awang Had Salleh (1977). Institusi Pondok di Malaysia. Dalam Zainal Kling (ed),  Masyarakat Melayu: Antara Tradisi dan Perubahan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

 

Worawit Baru @ Ahmad Idris(1999). Dasar Kerajaan dan Kesannya Terhadap Bahasa Melayu di Negara Thai. Tesis Ph.D. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

 

Foto sebahagian pondok pengajian agama Islam yang penulis telah melawat.


Tiada ulasan: