Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini kita bicara tentang sejarah Patani.
Dengan tajuk “Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani” Dan kita bicara
sejarah Patani dengan tajuk “Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani” melalui
tesis sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang
Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Kerajaan Melayu Sebelum
Kerajaan Islam Patani adalah seperti berikut :
Sumber-sumber awal tentang bumi semenanjung
Melayu banyak ditemui, terutamanya dari sumber tradisi Cina. Usaha perdagangan
antara benua India dan Cina selepas abad pertama masihi menyebabkan muncul bandar-bandar
perdagangan kecil dan berkembang menjadi negara kota. Penegasan Paul Wheatley
telah meningkatkan lagi keyakinan kewujudan negeri-negeri Melayu purba di
sekitar utara Semenanjung Melayu yang disebut dengan Tun-Sun, Kolo, P’an-P’an,
Chih-t’u, Tambralingga, Kataha dan Langkasuka (Mohd Zamberi A. Malik, 1993).
Berikut akan disentuh sedikit tentang kerajaan Melayu sebelum kerajaan Islam
yang bertapak di Patani iaitu Langkasuka.
1. Langkasuka
Kebanyakan sarjana berpendapat bahawa kawasan
Pattani sekarang pernah menjadi sebahagian daripada Langkasuka. Langkasuka
adalah kerajaan Melayu purba zaman awal masihi yang terdapat dalam sumber Cina,
India, Arab, Jawa, Melayu dan sumber Barat (Chiwasat, Wasan 1990: 29). Menurut
catatan Cina semasa pemerintahan Dinasti Liang (502-556) menyatakan bahawa
Langkasuka ditubuhkan pada sekitar hujung abad pertama atau di sekitar tahun
80-100.
Dalam Hikayat Merong Maha Wangsa menyatakan
bahawa Langkasuka terbahagi kepada dua bahagian iaitu di negeri Kedah dan di
sebelah timur Kedah. Bagaimanapun tiada bukti yang kuat dapat menyokong bahawa
Langkasuka terletak di negeri Kedah (Seni Madakakul 1974: 23). Penyebutan
tentang Langkasuka yang terdapat dalam Hikayat Merong Maha Wangsa adalah
seperti berikut:
“...lalu bertemulah dengan tanah bumi yang
baik terlalu indah tempatnya dengan tanahnya menjadi tiadalah turun ke
bahteranya kita membuat kota istana dengan balainya yang terlalu amat besarnya
lagi dengan indahnya. Setelah sudah balai itu dinamakan akan dia Langkasuka.”
Sumber yang berjudul Liang Shu pada zaman
Dinasti Liang menyebut bahawa kerajaan Lang-ya-hsiu terletak di laut Cina.
Keluasan Lankasuka adalah 30 hari berjalan kaki dari timur ke barat dan 20 hari
berjalan kaki dari utara ke selatan. Kedudukan Langkasuka berada di jarak
sejauh 24,000 li dari pelabuhan Canton. (Wheatley 1961: 253-254). Dengan ini
dianggarkan jajahan empayarnya meliputi negeri Singgora, Patani, Kelantan,
Terengganu, sebahagian dari utara Kedah dan hulu Perak.
Mengenai agama yang dianuti oleh penduduk
Langkasuka, dipercayai mereka menganuti kepercayaan animisme. Selepas itu
menerima pengaruh daripada agama Hindu-Buddha yang mengubah kepercayaan,
kebudayaan, tamadun dan sosio-politik penduduknya (Mohd Zamberi A. Malek 1993 :
6-7). Berkenaan dengan agama dan pusat pemerintahan kerajaan Langkasuka dapat
dibukti lebih jelas setelah menjumpai kesan kota Langkasuka yang mempunyai
berpuluhan candi di daerah Yarang, wilayah Pattani (Quaritch Wales, H.G. 1974).
Nama Langkasuka dikenali dengan berluasa
setelah kerajaannya mengutuskan duta dan wakil perdagangan ke Cina untuk
membuat perhubungan diplomatik. Kedudukan yang strategik juga menyebabkannya
menjadi pelabuhan terpenting yang dikunjungi ramai pedagang asing (Teeuw and
Wyatt 1970 : 1-2). Langkasuka berperanan sebagai maritime dan enterport
barang-barang dagangan India-Cina.
Perhubungannya dengan Cina begitu meningkat
sekali pada zaman Dinasti T’ang. Pada zaman ini kapal-kapal dagang sering
belayar berulang-alik. Kawasan ini menjadi tumpuan utama ekonomi dan
geo-politik jika dibanding dengan kawasan lain di Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun kerajaan Langkasuka tidak
putus-putus dijajahi oleh kuasa luar. Pada awalnya dilanggar oleh kekuatan
kerajaan Funan di bawah raja Fan Shih Man (220-420M). Langkasuka dapat
memulihkan kedudukannya apabila Funan mengalami keruntuhan pada abad ke-6. Pada
tahun 775 kerajaan Langkasuka serta negara-negara kota di semenanjung terletak
di bawah naungan kerajaan Melayu Sriwijaya. Pada waktu ini bahasa Melayu Sanskrit
yang ditulis dengan huruf India dan agama Buddha-Singhalese mempengaruhi rakyat
Langkasuka.
Dalam tahun 1025, Langkasuka diserang oleh
raja Rajendra Chola I dari India dalam ekspedisinya menyerang Palembang ibu
kota kerajaan Sriwijaya. Menjelang tahun 1275, Majapahit berjaya menguasai
negeri-negeri Melayu Semenanjung dan sekitar tahun 1345, seluruh Semenanjung
hingga ke Temasik dikuasai oleh Siam.
Ada nama yang berlainan mengikut sumber
masing-masiang mengenai Langkasuka. Selain Lang-ya-hsiu, disebut juga dengan
Lang-ya-hsu, Lang chia shu, Lang-hsi-chia, Lang-hsi-ka dan Lang-sai-ka dari
sumber Cina. Dalam sumber India memanggil Ilangasoka, sementara sumber Arab
yang terdapat dalam kitab Al-Minhaj al-fakhir fi’ilm al-bahr al-zakhir
memanggil Langkashuka (Mohd Zamberi A. Malek 1993 : 1-13). Bagaimanapun pada
awal abad ke-15, nama kerajaan Langkasuka hilang dari catatan asing dan
muncullah kerajaan Patani.
Rujukan :
Chiwasat, Wasan (1990). “Langkasuka Kota
Mahligai Patani”, Rusamilae. (Januari-April) hal.28-36.
Quaritch Wales, H.G. (1974). Langkasuka and
Tambralinga : Some Archaeological Notes.
JMBRAS, Vol. 47.
Madakakul, Seni (1974). “Rach Anachak
Langkasuka Yu Thi Nai”. (Di manakah Langkasuka).
dalam Rusembilan. 3 (Mac-April), Prince of Songkhla University, Pattani.
Mohd Zamberi A. Malek (1993). Umat Islam Patani : Sejarah dan Politik. Shah Alam: Hizbi.
Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani.
The Hague : Martinus Nijhoff.
Wheatley, Paul (1961). The Golden Khersonese.
Kuala Lumpur: University Malaya Press.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan