Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani
khusus kepada Identiti Sejarah. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti
Sejarah” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani
khususnya identiti Sejarah Pataninya. Oleh kerana kita akan bicara Identiti
Melayu Patani khususnya Identiti Sejarah. Sekali lagi kita lihat pandang Sdr.
Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani
terhadap Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah. Kita lihat pandangannya melalui
tesisnya yang bertajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan
Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti
Bahasa adalah seperti berikut :
Sejarah adalah zaman lampau bagi setiap masyarakat.
Sejarah tidak akan bererti sekiranya sesuatu masyarakat dapat melupai zaman
lampaunya sendiri, dan tidak ada mana-mana kelompok etnik pun yang dapat
mengubahkan realiti sejarah sendiri, malahan lagi sejarah masyarakat lain.
Masyarakat-masyarakat di dunia ini sama ada masyarakat Cina, Melayu, Negro,
Yahudi, Perancis, masyarakat Amerika yang berketurunan Inggeris dan lain-lain
masyarakat lagi, kesemuanya mempunyai kesedaran terhadap sejarah kelompok etnik
masing-masing. Walaupun mereka mempunyai hubungan dengan sejarah negeri yang
didiami, namun begitu mereka tidak akan melupakan sejarah kelompok etniknya
sendiri (Suthasat, A. 1976: 105-106).
Begitu juga masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan
Selatan, sejarah kerajaan Melayu dicerita secara lisan, lebih-lebih lagi
sejarah zaman kerajaan Melayu Patani. Kerana pada zaman itu terdapat banyak
kesan-kesan lama yang masih dapat dilihat sehingga sekarang, contohnya masjid
Gerisik yang menegak di tepi lebuh raya Pattani-Naratiwat, Masjid Teluk Manok,
Masjid Raja Cabang Tiga, Masjid Tanjung Datok, Tempat menuang Meriam
Besar, makam-makam raja pemerintah
Patani, makam Tok Panjang, makam-makam para ulama dan sebagainya.
Kadang kala
sejarah dicerita dalam bentuk lagenda, seperti cerita lagenda Tok Panjang yang
melanggar perintah Raja yang akhirnya dihukum bunuh dan dibuang ke dalam sungai
Parit. Apabila ditarik untuk mengebumikannya, mayat tersebut menjadi panjang,
lalu makamnya lebih panjang daripada makam-makam biasa. Terdapat banyak lagi
cerita yang terbenam dalam kenangan masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan
Selatan. Cerita-cerita tersebut akan dicerita pula kepada anak cucunya kerana
mereka dapat menghibur di samping mengetahui dan menikmati sejarah kegemilangan
nenek moyangnya.
Golongan yang berpendidikan dapat mengetahui
sejarah kerajaan Melayu daripada beberapa buah buku, sama ada buku sejarah
karya orang Melayu sendiri, kajian sarjana orang Buddha di Thailand dan kajian
orang asing. Beberapa buku yang mencerita tentang sejarah kerajaan Melayu yang
bertapak di Patani seperti, Hikayat Patani (1970) oleh Teeuw, A & Wyatt
(bahasa Inggeris dan Melayu), History of The Malay Kingdom of Patani (1985)
oleh Ibrahim Syukri (versi Inggeri dan Melayu), Patani dahulu dan Sekarang
(1977) oleh A. Bangnara (versi asalnya bahasa Thai), Pattani: Trade and
Politics in The Past (1998) oleh Khrongchai Hatta (bahasa Thai) dan sebagainya.
Buku-buku ini boleh didapati di kedai atau
perpustakaan yang berada di Thailand atau luar negara. Maklumat daripada
bahan-bahan tersebut boleh dibandingkan dengan kesan-kesan sejarah sama ada
kesan sejarah zaman Langkasuka yang berada di daerah Yarang dan zaman kerajaan
Melayu Patani yang boleh dijumpai di merata tempat. Mereka juga dapat
menghubungkaitkannya dengan kesan-kesan di luar Patani, seperti prasasti yang
berada di Segenting Kera, kubu pertahanan yang berada di wilayah Songkhla dan
sebagainya. Buku-buku sejarah kerajaan Melayu dan kesan-kesan lama juga
merangsangkan untuk mengetahui tentang kerajaan Melayu lain seperti kerajaan
Ligor, Senggora, Phatalung dan kerajaan-kerajaan Melayu yang berpengaruh di
Nusantara seperti Sriwijaya, Majapahit, Melaka, Pahang dan Kelantan yang pernah
bergabung dengan Patani.
Buku-buku tersebut tersebut telah membuktikan
bahawa di kawasan wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian daripada
Songkhla sekarang pernah mempunyai kerajaan tersendiri. Kerajaan yang pernah
menjadi pusat perdagangan, pendidikan agama dan kebudayaan. Dalam sejarah
Patani telah menceritakan tentang perjuangan Raja-raja dan rakyatnya pada zaman
lampau untuk mempertahankan tanah kelahirannya daripada musuh yang selalu
mengancam Patani, dan berbagai cerita lagi yang membanggakan penduduk Melayu
Patani terhadap sejarahnya.
Menurut Bunnaq, Piyanat (2003: 29-40), Patani dalam
sejarah Thailand agak berbeza daripada sumber sejarah karya penulis Melayu.
Sebagai contoh, sejarah Thailand menyebutkan bahawa Patani menjadi negeri di
bawah naungan Thailand sejak zaman Sukhothai lagi. Beberapa kali pemimpin dan
rakyat Patani menentang Siam, tetapi dianggap oleh pihak kerajaan sebagai
pemberontakan, sementara pihak Melayu pula menganggap sebagai perjuangan untuk
mendapatkan kebebasan dan kedaulatan. Mengikut beliau, anggapan seperti ini
adalah suatu kebiasaan apabila dilihat dari aspek persepsi negeri jajahan dan
negeri di bawah naungan. Walau bagaimanapun kebanggaan terhadap sejarah Patani
dan kesedaran terhadap kebebasan Patani pada zaman lampau telah menunjukkan
reaksi penduduk tempatan terhadap Bangkok.
Perasaan ini juga berterusan selepas Siam
menukarkan sistem pemerintahan kepada demokrasi. Keadaan seperti ini telah
menyebabkan penduduk Melayu merasai dirinya bukan puak kerajaan. Beliau telah
memberi tanda tanya bahawa, dalam menentukan dasar-dasar terhadap peduduk
Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, adakah kerajaan telah meneliti atau
memahami aspek kekuatan identiti sejarah dengan baik.
Sejarah adalah sauh kepada tradisi kebudayaan
Melayu Patani. Kesan-kesan lama, tokoh-tokoh zaman dahulu yang terkenal dan
buku-buku sejarah berperanan untuk mengenalkan diri mereka. Faktor-faktor ini
telah menyebabkan sejarah masih hidup dalam fikiran mereka. Oleh itu agak sukar
untuk memaksa supaya mereka melupakan sejarah kelompok etnik mereka sendiri
kerana setiap kelompok etnik tidak akan melupakan sejarah masyarakat sendiri.
Usaha untuk mengkaji dan memahami sejarah antara satu sama lain adalah salah
satu pendekatan untuk mengelak daripada perpecahan dalam masyarakat majmuk.
Rujukan :
Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit – Patchuban
(Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom
Saengthearn.
___________ (1977). Patani dahulu dan sekarang.
Patani : Penal Penyelidikan Angkatan al-Patani.
Bunnaq, Piyanat (2003). Nayobai Karn Pokkhrong
Khong Rattabarn Thai To Chao Thai Muslim Nai Changwad Chaidean Phak Tai
(2475-2475). (Dasar Pemerintahan Kerajaan Thailand Terhadap Orang Islam di
Wilayah Sempadan Selatan 1932-1976). Bangkok : Chulalongkorn University.
Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu
Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Suthasat, Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si
Changwat Phaktai. (Masalah Pertelingkahan
di Empat Wilayah Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.
_____________ (1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn University.
Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The
Hague : Martinus Nijhoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan