Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Patani, Selatan Thailand sangat subur dan segar dengan Tulisa Jawi. Baik di peringkat Sekolah TADIKA iaitu sekolah Melayu yang berbeza dengan arti TADIKA di Malaysia dan sebagainya. Kerana sekolah TADIKA atau sekolah Melayu di Patani, Selatan Thailand ialah sekolah yang muridnya terdiri dari murid darjah 1-6 sekolah rendah kerjaan. Pada hari Isnin sampai hari Jumaat murid itu belajar di sekolah rendah kerajaan. Dan pada hari Sabtu-hari Ahad mereka ke sekolah TADIKA atau sekolah Melayu untuk belajar agama dan Bahasa Melayu. Semua subjek Bahasa pengantar ialah Bahasa Melayu. Mata pelajaran agama dan Bahasa Melayu Bahasa pengantar ialah Bahasa Melayu.
Disini akan kemukakan sebuah artikel tentang
perkembangan bahasa Melayu Aksara Jawi di Singapura. Artikel itu tajuknya “Evolusi
Jawi Mengimbas Muka dan Mengimbas Kembali” yang ditulis oleh Radhiah Binti
Ramli. Disiarkan di laman web Malay Heritage Foundation, Singapura. Isi
kandungannya adalah seperti berikut:
Tampak anak-anak didik Madrasah Al-Sagoff,
terjengket-jengket di pagar sekolah. Berbaju kurung berkain kuning langsat,
mereka berhimpun di kawasan tiang bendera dicacak.
Sejurus doa diaminkan, Ustazah Saripah Bte Saripi, 51 tahun, yang tadinya memendap di belakang ruang pejabat menuju ke kelas. “Kalau nak kenali sejarah Melayu, kita harus kaji penulisan jawi,” kata Ustazah.
Gambar 1: Belajar Jawi- Para pelajar beratur
di luar kelas masing-masing selepas waktu rehat. Gambar dipetik oleh Radhiah
Ramli.
Dia menggalas beg di bahu dan iPad di atas
meja dibawa bersama. Sedang dia menyiapkan dirinya sambil menekan-nekan butang
pada iPad-nya, para pelajar berumur tujuh tahun memicit alat teknologi yang
tersedia di atas meja mereka.
Ustazah Saripah, sudah mengajar di sekolah
tersebut sejak 24 tahun yang lalu. Jawi merupakan salah satu subjek
pembelajarannya.
Hanya sanya satu antara enam buah Madrasah
yang mengekalkan pembelajaran jawi dalam kurikulum mereka. Sejak sistem
penulisan jawi dirumikan secara rasmi pada tahun 1960 an, rencam dan
kepelbagaian inisiatif bagi menghidupkan kembali kegemilangan tulisan ini telah
dijalankan.
Bagi menetakkan relevensi Jawi dengan
tuntutan sukatan pembelajaran yang lebih ketat, sekumpulan Asatizah di
Al-Sagoff telah mengadunkan strategi untuk melanjutkan subjek jawi.
Singkatannya:- menggunakan iPad dan I-book yang diciptakan sendiri.
Gambar 2: Inovasi Jawi- Pembelaran Jawi
menggunakan Ipad untuk menjadikan proses pengajian lebih menarik. Gambar
dipetik oleh Radhiah Ramli.
Turut terlibat dalam usaha ini, pengetua
sekolah, Syed Mustafa bin Syed Ja’afar Alsagoff, mengimbas kembali mesyuarat
guru yang membicarakan soal masa hadapan penulisan jawi.
“Tujuan kami mengekalkan bukan hanya kerana tradisi,” kata Ustaz, “supaya generasi akan datang sedar tentang penulisan jawi pada awalnya untuk bangsa Melayu.”
Gambar 3: Generasi Pembaharu – Para pelajar
menyapu-nyapu skrin Ipad tatkala Ustazah Saripah sedang menerangkan di dalam
kelas. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.
Penyambung warisan, peneraju pembangunan
“Ga! pa! nya!” lalu para pelajar meniru
Ustazah Saripah “Ga! Pa! nya!”. Ustazah menyuruh anak-anak itu menyapu skrin
iPad.
Gambar 4: Jawi mudah- Ustazah Saripah Binte
Saripi mengajar anak-anak muridnya enam huruf jawi yang tidak didapati dalam
Bahasa Arab. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.
Ustazah Saripah dan Ustaz Mustafa
bersependapat bahawa kombinasi bahasa Arab dan bahasa Melayu telah memudahkan
proses pembelajaran tulisan Jawi. Dengan menekankan pada huruf-huruf yang tidak
wujud dalam bahasa arab seperti “ݢ “ (ga),” ڤ ”
(pa), “ ڽ ” (nya) pada
peringkat awal, proses mengajar dapat dipermudah, tambahnya.
Air yang berandang tenang tidak bermaksud
tiada pasang surutnya.- Tidak semestinya mengekalkan jawi itu mudah. Buku-buku
teks jawi yang sesuai jarang ditemui. Pelajar mungkin juga tidak berminat
menulis jawi?
Fon jawi yang unik biasanya tidak disokong
oleh aplikasi Apple, Ustaz menambah. Madrasah Al-Sagoff mengambil jalan keluar
dengan menggunakan jpac dan menghasilkan buku mereka yang tersendiri dalam
bentuk I-book. Ustaz menyambung kata-katanya:
“Kita tidak menjadikan cabaran tersebut
sebagai hambatan,
guru-guru kita membangunkan usaha ini dan
terus memperbaiki.”
Ustaz membetulkan songkok hitam yang
dikenakan dengan baju Melayu. Mengimbas kembali memorandum ASAS 50 yang
diadakan pada 27 March 1954. Latin dianggap abjad yang paling praktis untuk
memajukan Bahasa dan kesusateraan Melayu.
Penyambung warisan, Pembangun Wacana
Selain dari manuskrip jawi yang digali dari
zaman berabad, teks-teks kesultanan seperti Sulalatus Salatin seawal tahun abad
ke 15 atau 16, adalah contoh yang klasik. Bustan Arifin dan Majalah Qalam pula
adalah wadah yang disediakan untuk masyarakat Melayu pada tahun 1950an. Rantau
ini juga sarat dengan hasil kitab-kitab keagamaan bertulisan jawi.
Ustaz meluahkan nasib orang Melayu Islam yang
menanggung rugi kerana tidak mempelajari Jawi. “Penulisan ulama-ulama Fatani
yang digelar ‘buku kuning’ masih lagi dalam penulisan jawi, harus ada usaha
untuk mempelajarinya”, kata Ustaz.
Dalam mengakali ikhtiar untuk menghidupkan
jawi, Hirman Mohamed Khamis, 45 tahun, calon pos siswazah di Universiti Putra
Malaysia membuat kajian dalam peringkat Doktor Falsafah tentang pelestarian
penulisan jawi di Singapura.
Gambar 5: Penggerak Wacana- Hirman telah
membuat pembentangan di Pahang pada 30 March 2016 sebagai sebahagian dari
latihannya. Gambar dikongsi oleh Hirman.
Baginya, gerakan minat terhadap warisan
bangsanya serta keterkaitan agama dan identiti telah menjadi ransangan untuk
meneruskan perjuangan. “Mengenal jawi adalah langkah pertama bagi mengetahui
tentang keislaman orang di Dunia Melayu” katanya.
Dunia akademia merupakan pintas yang dipilih
untuk mengembangkan potensi jawi. Baginya, ia adalah satu cabaran yang
memuaskan. Walaupun sudah beristeri dan ber-anak dua, tidak gelabut walaupun
sibuk. Dia khuatir sekiraya trend megabaikan jawi akan berterusan.
Hirman membelek-belek draf tesisnya diiringi
pelbagai koleksi manuskrip dari perpustakaan Nasional. Selain dari dikawani
koleksi novel-novel lama dan manuskrip-manuskrip jawi, Hirman juga meluangkan
banyak masa di sebuah institusi selain madrasah yang telah menyambung warisan
pembelajaran jawi.
Sabar penghilang penat, tekun pembawa deka, –
berbulan-bulan dia menyelidik perkembagan jawi yang diajarkan di institusi
Andalus.
“Walau jawi diajarkan pada peringkat asas
sahaja, sekurang-kurangnya ada,” kata dia.
Dalam menceritakan pengalamannya, Hirman
menunjukkan carta respon yang positif dari kalangan pelajar-pelajar yang
mempelajari jawi di institusi tersebut.
Selayan pandang, ramalan terhadap kemampuan
jawi ini tidak dapat dijangkakan. Dalam dunia pendidikan dan pengkajian, Jawi
masih mempunyai nilai yang tidak boleh ditukar ganti. “Pengajian Jawi boleh
dikembangkan untuk peringkat lebih tinggi bagi mengetahui tentang sejarah
penulisan dan penggunaan jawi di nusantara ini,” kata Ustaz Mustafa.
Sambil memegang erat pensel dan kertas,
anak-anak Alsagoff ini terus memberi perhatian kepada Ustazah. Mereka membuka
tab yang baharu. Kali ini, pelajar harus menulis di permukaan iPad. Murid-murid
menunggu giliran mereka dipanggil.
Gambar 6: Jawi menarik- Para pelajar
menunjukkan kepada Ustazah Saripah jawapan yang ditulis di permukaan skrin Ipad
mereka. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.
Penyambung warisan, Pejuang kesenian
Kecantikan membentuk huruf-huruf jawi tidak
menjadi perhatian utama di Madrasah Al-Sagoff dan Institusi Andalus. Desakan
untuk memikirkan tentang strategi penakatan lebih memainkan peranan.
Biar begitu aksara jawi tidak terpisah
daripada budaya kesenian yang semakin mendapat tempat pada zaman ini.
Suasana kelas menulis khat yang diadakan
setiap hari Jumaat di Jurong East sunyi dan sepi. Pelajar berumur dari 20 tahun
ke atas memegang ‘Qalam’-pena, dengan kuat.
Ustazah Nur Fathiah Binte A’bdussamad, 28
tahun, seorang guru Khat Bahasa Arab membimbing anak didiknya, Nur Afiqah Bte
Agus, pengasas “Projek Khat” pada tahun 2014 di Universiti Kebangsaan Singapura
(NUS).
Afiqah terharu dengan sambutan yang meriah
dari orang ramai sejak ‘projek Khat’ diadakan. Menurutnya, Khat bahasa Arab
mampu menarik perhatian orang ramai. “Saya berdakwah melalui penulisan Khat”,
kata Nur Afiqah. “Apabila ayat-ayat Al-Quran ditulis dengan rapi, pelanggan
akan teringat akan Kata-Kata Allah.”
Gambar 7: Mempertingkat kemahiran khat- Nur
Afiqah Bte Agus, 22 menghadiri kelas Khat seminggu sekali. ‘walaupun saya
Mahasiswi dalam jurusan reka bentuk, mempelajari Khat perlu bimbingan seorang
guru kerana dia akan menguraikan ‘permata-permata’ yang tidak dili
Sama ada berbentuk thuluth , naskhi ataupun
selainnya, Fadzillah binte A. Rahim- berpendapat bahawa Seni khat memaparkan
kebijaksanaan orang Melayu mengadunkan pelbagai gaya khat yang diwarisi dari
tamadun besar dunia Islam. Inilah dia keistimewaan khat Melayu.
Selain dari buku nota dan tanda buku, ‘Projek
Khat’ juga mengambil tempahan untuk hantaran perkahwinan.
“Tempahan untuk tulis dalam Jawi tak ramai
tapi adalah sikit-sikit. Mungkin Khat Arab lebih menarik perhatian ramai,”
Afiqah berkata.
Tarikan visual memang tidak disangkal lebih
mendapat orang dibandingkan sejarah dan perkembangan tulisan khat. Demikian
juga adalah pendirian Ustaz Mustafa yang menganggap bahawa minat terhadap
kesenian khat adalah satu perkembangan yang baik.
Selain Afiqah Agus, Faizal Somadi, pengasas
bagi Faddho- sebuah syarikat yang menyediakan khidmat seni bentuk grafik dan
pengajian kesenian Khat Arab menganggap bahawa kebanyakan orang tidak peduli
tentang perkembangan kesenian Khat.
“Kalau sejarah khat tidak dikaji, kita jatuh
dalam lubang kemunduran,” kata Faizal.
Walaupun Faizal tidak terlibat dalam
pengajian jawi, dia merupakan seorang yang pakar dalam penulisan Khat.
Komitmennya terhadap kesenian ini telah merangsangnya untuk mendalami bidang
Khat Arab dari tahun 2002 hingga kini. Namun Khat bukan hanya penulisan yang
cantik baginya.
Faizal tegas: “Kalau seseorang itu
membangunkan dirinya untuk menjadi seorang jurukhat, maka ilmu dan kemahiran
yang diceburinya tidak sahaja harus tertakluk dalam kepandaian menulis dengan
cantik, tetapi menulis untuk memperhalusi apa yang terkandung dalam mindanya –
writing as an intellectual journalistic development.”
Gambar 8: Intim dalam melatih- Ustazah Nur
Fathiah (kiri) menyemak kertas latihan Nur Afiqah (kanan). Gambar dipetik oleh
Radhiah Ramli
Penulisan menyatukan dua orang yang terlibat.
Seorang guru dan muridnya. Seorang tokoh dan pengikutnya. Begitulah perhubungan
Ustazah Saripah bersama anak didiknya, Afiqah Agus bersama gurunya dan Faizal
bersama syeikhnya. Dia menambah, “Peradaban serta budaya dalam perhubungan
antara seorang murid dan gurunya harus tetap berkekalan”.
Gambar 9: Jawi penyatu kasih- Ustazah Saripah
sedang memerhatikan anak-anak menulis jawi di permukaan skrin Ipad mereka.
Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli
Penyambung warisan, Pembentuk insan
“Kriing!!” Anak-anak bergegas mematikan iPad. Letih lesu, Ustazah Saripah langsung pulang ke pejabatnya. Para pelajar memberi salam lalu bersurai.
Dia akur, mengajar jawi adalah proses yang
mudah. Kesamaan pada vokalnya lebih meransangkan. Tak suang rapuh, minat dan
memori terhadap jawi tetap menjadi rapat baginya.
Sambil ketawa kecil, Ustazah Saripah
melakarkan, “Dulu-dulu, bapa saya kalau tengok rumi tak faham pun. Semua dalam
jawi.”
Dari pelbagai daya usaha mengekalkan jawi
kepada kecenderungan minat terhadap seni, masing-masing mempunyai pengalaman
tersendiri tentang kesan jawi terhadap identiti diri.
Sambil berbual dengan Ustazah Saripah, Ustaz
Mustafa memerhatikan anak-anak didiknya melompat-lompat di hadapan bilik
mesyuarat. Pintu gelangsar dibuka dan Ustaz kembali ke pejabatnya.
“Jawi adalah simbol agama dalam masyarakat melayu, kalau tak ada, kita akan hilang identiti Melayu islam”.
Dan penulis mempunyai harapan bahawa Tulisan Jawi
dan Bahasa Melayu di Patani, Selatan Thailand dapat mempelajari dari pengalaman
Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu dari negara-negara jiran khususnya dari
Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan