Kali ini kita
bicara tentang “Sejarah Perkembangan Tamadun Melayu”. Tamadun Melayu adalah
tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa Melayu berteraskan bahasa
Melayu di Alam Melayu.
Salah satu
tulisan yang menarik tentang Tamadun Melayu ialah tulisan Sdr Mohd Arof Ishak.
Beliau telah menulis buku “Tamadun Melayu”.
Di sini saya ketengahkan tulisan beliau bertajuk “Sejarah Perkembangan
Melayu” yang di bentang di satu persidangan iaitu di “International Conference On
Malay-Polynesian Ancestral Nations” pada 5 - 6 Julai 2012 di Klana Resorts, Seremban,
Negeri Sembilan, Malaysia.
Tulisan Sdr Mohd Arof Ishak tajuk Sejarah
Perkembangan Tamadun Melayu dalah seperti berikut :-
Sejarah Perkembangan Tamadun Melayu
(Historical development of the
Malayo-Polynesian civilisation)
Kenapa Cerita
Kenapa Cerita
Bercerita tentang tumbuh dan membangun dan
tersebarnya tamadun bangsa Melayu bukanlah satu usaha mencungkil ilmu
pengetahuan semata-mata, tetapi juga satu peluang bagi timbul satu kesedaran
bahawa bukan sahaja bangsa Melayu itu mempunyai satu alamnya, tetapi juga ia
mempunyai satu tamadun - tamadun yang asli dan terus lestari. Penghujahan ini
penting dan tepat pada masanya kerana perdebatan masa kini yang begitu
meningkat yang sering menimbulkan hujah-hujah globalisasi dan hak dan nilai
sejagat (universal rights and universal values), dunia tanpa sempadan,
seolah-olah tidak ada tamadun-tamadun yang lokal atau setempat, yang lain
daripada tamadun Barat yang perlu mendominasi. Hujah-hujah manusia globalisasi
ini yang dibawa oleh arus antarabangsa yang rata-rata didalangi oleh media dan
pendidik Barat, yang mengenepikan nilai-nilai malah menafikan terus bahawa ada
wujud tamadun dan alam yang lain daripada apa yang boleh diterima oleh hujah-hujah
Barat, dan mereka yang sealiran dengan penghujah-panghujah Barat.
Sehingga hari ini sangat sedikit yang
diperkatakan tentang tamadun Melayu yang sebenarnya, satu tamadun yang telah
lama wujud, kerana kecenderungan dalam bukan sahaja bidang ilmu yang
dibangunkan oleh pendidik Barat, tetapi juga kecenderungan fikiran umum, yang
menekankan kepada kebesaran Barat, China dan India sahaja. Alam dan tamadun
lain, termasuk tamadun Melayu di Asia Tenggara dipandang remeh, maka dikatakan
tidak wujud, dan diketepikan begitu sahaja. Dan, tidak kurang pula dalam
kalangan orang Melayu sendiri yang terpengaruh dengan kecenderungan pemikiran
ala Barat ini. Bangsa dan tamadun lain daripada bangsa dan tamadun Barat, China
dan India, dikira kerdil belaka dan harus, malah mesti, menerima apa sahaja
yang dihujahkan oleh media dan pendidik Barat.
Sebenarnya telah banyak dalil-dalil,
fakta-fakta dan ilmu pengetahuan yang telah terkumpul tentang alam dan tamadun
Melayu, yang kebanyakannya sebenarnya adalah usaha pengkaji-pengkaji Barat
juga, semenjak tidak kurang dari 200 tahun yang lalu. Tetapi, ilmu yang
terkumpul ini disisihkan akibat pendirian arus perdana ilmu antarabangsa yang
berpaksikan tesis atau kepercayaan tidak ada tamadun lain daripada tamadun
Barat, Timur Tengah, China dan India.
Hari ini saya bercerita tentang alam dan
tamadun Melayu ini, yang benar- benar wujud, yang ramai orang Melayu sendiri
tidak sedar akan dalam dan luasnya tamadun ini.
Istilah
Dalam bidang ilmu ketamadunan manusia,
tamadun Melayu yang kita kenali di Malaysia dan di Kepulauan Melayu ini
dikenali sebagai tamadun Melayu- Polinesia atau tamadun Austronesia. Dan,
tamadun Melayu-Polinesia atau tamadun Austronesia ini jauh lebih luas
wilayahnya daripada Kepulauan Melayu.
Adakah benar dunia yang sebegitu luas ini
(Austronesia) ini adalah dunia bangsa dan tamadun Melayu ? Memang benar, kerana
perkara ini telah disahkan mulanya daripada kajian bahasa oleh pakar-pakar
bahasa bangsa Barat. Hakikat ini telah pertama sekali diketahui dalam tahun
1769, apabila pengembara-pelayar Inggeris diketuai oleh Kapten James Cook telah
belayar memasuki Lautan Pasifik. Apabila Cook meredah Lautan Pasifik di tahun
itu beliau mendarat di Pulau Tahiti. Seorang pakar bahasa bersama Cook
menyedari bahasa orang Tahiti ada menunjukkan persamaan istilah dengan bahasa
di Hindia Timur (Indonesia) yang diketahuinya. Akibat penemuan ini, James Cook
terus merumuskan (dan rumusannya sah diketahui tepat oleh pakar-pakar) bahawa
orang Polinesia pasti telah berasal daripada Kepulauan Melayu. Walau pun hari
ini kita sedar jarak antara Kepulauan Melayu dengan Pulau Tahiti adalah
sepertiga muka bumi.
Selepas daripada James Cook, pakar-pakar
bahasa juga menemui bukti bahawa bahasa-bahasa di Pulau Madagascar di seberang
Lautan Hindi, dan di Pulau Hawaii dan di Pulau Easter di bahagian paling utara
dan paling timur Lautan Pasifik juga menunjukkan bahasa-bahasa ini juga ada
persamaan dengan bahasa di Kepulauan Melayu. Bahasa penduduk asli di Pulau
Taiwan juga ditemui ada menunjukkan persamaan dengan bahasa dari Kepulauan
Melayu.
Ini bermakna bangsa yang bertutur bahasa
Melayu dan yang telah mencambahkan tamadun di Kepulauan Melayu telah tersebar
jauh mengharungi dua lautan terluas di dunia. Ini bermakna bangsa Melayu
tersebar sejauh dua pertiga muka bumi. Dengan cara mengesan dan mengecam bahasa
maka tersebarnya tamadun Melayu telah dapat dipastikan. Dan, hakikat ini telah
diterima semua pakar antabangsa, tanpa sesiapa pun yang mempertikaikannya.
Peta : Wilayah Tamadun Melayu / Austronesia
(Sumber : Tamadun Alam Melayu, Mohd Arof
Ishak. 2009. Persatuan Sejarah Malaysia)
Kenapa tidak istilah tamadun Melayu sahaja
dipakai ? Sebabnya ialah bangsa yang mencambahkan dan membangunkan tamadun
Melayu ini telah tersebar begitu jauh sekali melepasi Kepulauan Melayu ini,
maka suku-suku kepada bangsa Melayu yang asal itu dengan tersebar terpisahnya
begitu jauh sekali telah mempunyai nama-nama panggilan sendiri untuk kelompok
suku mereka. Tetapi, para pengkaji masih dapat mengenali semua
kelompok-kelompok suku
ini sebagai satu bangsa dengan nama besar
bangsa Melayu-Polinesia atau Austronesia (atau bagi kita di Kepulauan Melayu,
sebagai bangsa Melayu, kerana asal semuanya dari pulau-pulau kita.
Tamadun Melayu, Tamadun Tua
Apakah makna atau signifikan hakikat telah
tersebarnya bahasa, yakni tamadun Melayu, sebegitu jauh sekali. Apakah mungkin
luas dan jauh tersebarnya bahasa dan bangsa dari Kepulauan Melayu ini telah
berlaku dalam jangka masa yang singkat atau pantas seperti 100 - 200 tahun,
umpamanya. Hakikat tersebarnya bahasa yakni tamadun Melayu ini meliputi 2/3
dunia pasti sekali menunjukkan ia satu tamadun yang amat tua, kerana fenomenon
tersebar ini pasti sekali mengambil masa yang amat lama di zaman dahulu, apatah
lagi dengan teknologi tua zaman itu.
Kajian para pakar antarabangsa dalam bidang seperti bahasa, dan arkeologi menunjukkan orang zaman kuno yang bertutur bahasa Melayu dan berbudaya Melayu itu, yakni di Kepulauan Melayu, telah mula bergerak memasuki Lautan Pasifik di zaman kuno, yakni sebelum tahun masihi. Amat menonjol sekali adalah satu anggaran yang telah dibuat bahawa besar kemungkinan sekali orang Melayu telah mula memasuki Lautan Pasifik dari masa 6,000 tahun dahulu lagi, malah kemungkinannya jauh lebih lama daripada itu. Satu penemuan oleh seorang ahli arkeologi Malaysia akan sejenis kaca gunung berapi di pantai timur Sabah telah berhasil menunjukkan bahawa kaca tersebut berasal dari pulau-pulau di timur laut Papua New Guinea, beribu kilometer jauhnya dari Kalimantan. Dan, kaca ini telah ditentukan oleh pakar- pakar antarabangsa sebagai telah berusia 6,000 tahun. Ini bermaksud telah wujud satu kegiatan pelaut berdagang atau berulang-alik antara Pulau Kalimantan di Kepulauan Melayu, dengan pulau-pulau di pinggiran barat Lautan Pasifik pada masa 6,000 tahun dahulu lagi.
Pakar-pakar akademik antarabangsa memang
telah mengiktiraf bahawa ada satu tamadun di Asia Tenggara di zaman kuno yang
bersifat pelaut, dan kalangan pakar ini ada yang menyatakan kebanyakan orang
tamadun ini bertutur bahasa Melayu-Polinesia/Austronesia (atau, bahasa Melayu).
Cuma mereka sahaja yang mempunyai kepandaian belayar di laut luas di zaman
kuno. Oleh kerana pedagang atau pelaut yang berulang-alik di laut ini boleh
dipegang sebagai pasti pelaut-pedagang Melayu, dan tarikh 6,000 tahun dahulu
telah dinyatakan, ini bermaksud tamadun Melayu telah pun wujud ketika itu.
Malah, ini dengan sendirinya menyatakan hakikat bahawa tamadun Melayu pasti
telah berusia lebih daripada 6,000 tahun - satu tamadun yang amat tua. Tamadun
Cina yang dikatakan tamadun tertua di Asia berusia anggaran 4,000 tahun sahaja.
Seterusnya, setelah memasuki Lautan Pasifik
dari sebelah barat, kelompok asal Melayu dari Kepulauan Melayu akhirnya
menakluki seluruh Lautan Pasifik yang seluas separuh daripada muka bumi ini.
Kajian bahasa dan arkeologi oleh pakar-pakar antarabangsa menunjukkan manusia
dari Kepulauan Melayu telah menghuni ke semua pulau-pulau yang boleh dihuni di
Lautan Pasifik, yang berjumlah dalam ribuan itu. Kegiatan penemuan dan
penerokaan ke semua pulau-pulau ini di Lautan Pasifik ini, mengikut tafsiran pakar-pakar,
telah mengambil masa lebih kurang 2,700 tahun, selesai kira-kira 800 tahun
dahulu.
Peta
: Benua Melayu
Sumber : Tamadun Alam Melayu, Mohd Arof
Ishak. 2009.
Persatuan Sejarah Malaysia)
Apakah ada dalil-dalil lain yang boleh
menyatakan bahawa memang benar tamadun bangsa Melayu itu adalah amat tua ? Para
pakar bahasa menyatakan bahawa bahasa-bahasa manusia boleh dikelompokkan ke
dalam beberapa keluarga bahasa. Pakar-pakar ini juga menyatakan lebih tua
sesuatu keluarga bahasa tersebut, maka lebih besar jumlah bahasa-bahasa yang
ada dalamnya. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa yang dikenali
sebagai keluarga bahasa Austronesia yang meliputi Kepulauan Melayu, di semua
pulau- pulau di Lautan Pasifik, dan di Pulau Madagascar, dan di Pulau Taiwan.
Keluarga bahasa Austronesia ini mempunyai sejumlah 1,268 bahasa di dalamnya.
Dengan jumlah ini bahasa Austronesia adalah bahasa yang paling banyak bahasa di
dalamnya, di Asia. Malah, Austronesia merupakan keluarga bahasa yang kedua
terbesar di seluruh dunia. Ini dapat membawa makna bahawa keluarga bahasa
Austronesia (atau, keluarga besar bahasa Melayu) adalah keluarga bahasa yang
tertua di Asia (dan, besar kemungkinannya juga, yang kedua tertua di dunia).
Keluarga Bahasa Utama di Asia
Sekaligus Ini dapat menyatakan bahawa tamadun
Melayu adalah satu tamadun (‘tamadun’ bermaksud mempunyai a body of culture, a
body of values, dan a body of wisdom - satu ketinggian budaya, satu ketinggian
nilai dan satu ketinggian kebijaksanaan) yang amat tua sekali, mungkin boleh
dianggap tertua di Asia.
Kepulauan Melayu, Empulur Tamadun
Melayu-Polinesia
Kapten Inggeris, James Cook, 243 tahun dahulu
yakin penduduk Pulau Tahiti jauh di tengah-tengah Lautan Pasifik yang
ditemuinya, berasal dari Kepulauan Melayu (East Indies) dan Cook menyatakan
mereka mewarisi teras tamadun yang sama seperti yang terdapat di Kepulauan
Melayu. Ini membawa maksud bahawa Kepulauan Melayu adalah satu pusat tamadun
manusia yang maju berkebolehan mengharungi lautan, kerana ketemadunan yang
tinggilah yang
boleh memunculkan kepakaran belayar yang
membawa orang, yang dari Kepulauan Melayu sampai untuk menghuni pulau Tahiti.
Namun, para pengkaji dan ahli akademik Barat
yang mengkaji budaya-budaya di Asia kemudian daripada Cook, sering menumpukan
perhatian mereka ke arah China dan India semata-mata, kerana inilah dua negara
terbesar di Asia. Dan, kajian orang Barat memang ada menunjukkan China dan
India ada mempunyai tamadun yang tua. Maka, tumpuan pengkaji Barat sedemikian
memunculkan satu kecenderungan menginterpretasi segala perkara tentang budaya
dan sosial, tamadun dan sejarah bangsa-bangsa lain di Asia sebagai berpunca
daripada pengaruh budaya dan manusia dari China dan India sahaja.
Maka, dari tahun-tahun 1930-an muncullah
teori-teori yang menyatakan penduduk Asia Tenggara semuanya berasal dari negara
China. Orang Melayu dikatakan berasal dari kawasan Yunan, di selatan negara
China sekarang ini. Inilah ilmu yang diajarkan di sekolah-sekolah termasuk di
Malaysia sendiri. Apabila masuk tahun-tahun 1960-an kajian arkeologi dan bahasa
berkembang di Asia timur. Namun arus perdana ilmu tentang Asia dan juga Asia
Tenggara tetap membuat interpretasi bahawa tamadun di Asia Tenggara, termasuk tamadun
Melayu telah muncul dan maju akibat pengaruh dari China, dan India.
Walaupun kawasan utama tamadun Austronesia
amat nyata di Kepulauan Melayu, pendapat para pengkaji Barat diikuti juga oleh
pengkaji-pengkaji di Asia sendiri, terus menyatakan orang Melayu/Austronesia
berasal dari China juga, tetapi bukan dari Yunan, sebaliknya dari sebelah
pantai negara China pula. Teori-teori tahun 1960-an ini menjadi pegangan kuat
yang baru dalam kalangan para pengkaji hingga ke penghujung abad ke-20, dan ini
menambah
kepada kepercayaan (malah kalangan orang
Melayu sendiri) bahawa orang Melayu memang berasal dari China. Manakala dalam
kalangan masyarakat umum di Malaysia yang sedikit berpendidikan masih ada terus
berpegang bahawa orang Melayu berasal dari Yunan.
Sebarang interpretasi baru berdasarkan
pelbagai dalil-dalil terkini yang diketengahkan oleh beberapa pakar, yang
menunjukkan bahawa bangsa Melayu muncul di Asia Tenggara sendiri dipandang
dengan prasangka atau prejudis oleh para akademik umumnya, termasuk juga di
Asia. Namun, semenjak tahun-tahun 1970-an, hujah-hujah dan bukti-bukti terus
meningkat yang mengutarakan pendapat bahawa bangsa Melayu muncul di Kepulauan
Melayu ini sendiri. Maksudnya, bangsa Melayu adalah penduduk asli Kepulauan
Melayu semenjak sedia kala. Ada para ahli arkeologi terkenal yang telah mengemukakan
dalil seperti penganalisisan penemuan artefak zaman kuno, seperti beliung dsb.
yang menunjukkan tamadun manusia amnya, dan tamadun Melayu khusus sekali, telah
tumbuh di Asia Tenggara sendiri tanpa sebarang pengaruh idea atau ciptaan dari
luar (maksudnya, dari China atau India). Kajian bahasa atau linguistik juga
telah dikemukakan sebagai dalil bahawa bahasa Melayu/Austronesia pasti telah
mula muncul di Kepulauan Melayu, seperti adanya bahasa-bahasa tua Austronesia
di Filipina dan di Indonesia, dan hakikat tidak ada langsung pula sebarang
peninggalan bahasa di sebarang wilayah di China yang menunjukkan ia sisa-sisa
bahasa Melayu/Austronesia.
Interpretasi-interpretasi baru arkeologi dan
bahasa kini telah disokong kuat oleh dali-dalil daripada bidang DNA, dari
penghujung abad ke-20. Kajian-kajian pakar DNA antarabangsa serta juga
kajian-kajian DNA para saintis Malaysia
telah menemukan fakta-fakta yang sama iaitu
DNA Melayu/Austronesia di Kepulauan Melayu, di Malaysia khususnya, adalah
sangat tua berbanding dengan DNA manusia di China, dan kandungan DNA
penduduk-penduduk Asia Tenggara (yang sebahagian besarnya adalah bangsa Melayu/
Austronesia) dibandingkan dengan penduduk-penduduk di China menunjukkan DNA
penduduk di China banyak mengandungi DNA yang berasal dari penduduk di Asia
Tenggara. Ini bermaksud penduduk di negara China sekarang ini berasal dari Asia
Tenggara. Maksudnya juga Asia Tenggara, apatah lagi Kepulauan Melayu, adalah
empulur tamadun manusia di Asia timur umumnya, dan empulur tamadun
Melayu/Austronesia. Di Kepulauan Melayulah bermulanya tamadun yang kini telah
dikenali sebagai tamadun Austronesia. Apa yang dipercayai oleh pengembara
Inggeris Kapten Cook 243 tahun dahulu, ketika kapal beliau singgah di Pulau
Tahiti jauh di tengah-tengah Lautan Pasifik, bahawa orang Tahiti berasal dari
Kepulauan Melayu, memang telah diterima sebagai satu kenyataan hari ini.
Tamadun Melayu, Tamadun Pelaut
Macam mana tamadun Melayu/ Austronesia boleh
tersebar begitu jauh sekali? Kepulauan Melayu sendiri adalah kepulauan yang
terbesar di dunia. Dari penghujung barat ke penghujung timur Kepulauan Melayu,
jaraknya lebih jauh dari penghujung barat ke penghujung timur negara China.
Gugusan pulau- pulau Melayu di Asia Tenggara ini dicantumkan oleh pelbagai
selat dan laut. Pulau-pulau dan laut dan selat ini adalah alam Melayu. Tamadun
Melayu adalah satu tamadun pelaut. Tamadun Melayu adalah tamadun maritim atau
tamadun pelaut yang tunggal dalam sejarah manusia. Tiada tamadun lain yang
seumpama dengannya di dunia. Kepada Melayu pelaut darat dan laut adalah
satu - satu alam, maka lahirlah kefahaman
tentang tanah-air sebagai panggilan bagi alam Melayu itu - satu istilah yang
khusus kepada tamadun Melayu.
Akibat ketemadunan pelaut orang Melayu inilah
maka tamadun Melayu telah tersebar jauh ke separuh muka bumi. Sebagai manusia
tamadun pelaut, orang Melayu menonjolkan satu kejayaan yang paling unggul dalam
pembuatan perahu dan kapal di zaman kuno dan purba, juga kepakaran pelayaran
dengan ilmu laut dan ilmu cakrawala yang membolehkan Melayu zaman kuno dan
purba menemui pulau-pulau yang dituju, walau sekecil mana pun di lautan yang
luas, dengan tepat sekali, berulang kali walau pun dalam cuaca yang paling buruk.
Sebagaimana yang telah disedari oleh ramai pengembara-pelaut Barat yang telah
meneroka Lautan Pasifik, ke semua pulau di Lautan Pasifik telah meninggalkan
tanda-tanda telah dikunjungi, walau pun tidak semuanya dihuni, oleh orang
Melayu-Polinesia pelaut. Kepakaran membelah lautan paling luas di dunia walau
pun menentang angin menjadi satu tambahan ilmu kepada pengembara-pelaut Barat
yang memasuki Lautan Pasifik.
Ketika orang Barat pertama (Sepanyol) sampai
ke sebelah barat Lautan Pasifik di pulau-pulau Mikronesia dalam tahun 1521,
mereka kagum melihat perahu yang penduduk asli Melayu-Mikronesia yang amat
laju, digelarkan oleh mereka ‘perahu terbang’, yang mudah sekali memintas
kapal-kapal orang Sepanyol. Apabila orang Barat pertama (Inggeris) sampai ke
pulau-pulau Polinesia dalam tahun 1769, mereka hairan bagaimana penduduk asli
Polinesia telah boleh sampai menghuni pulau-pulau Polinesia sedangkan mereka
pasti telah berlayar menentang angin di khatulistiwa dari tempat asal mereka di
Kepulauan Melayu. Apabila orang Barat terus mengenali banyak lagi pulau-pulau
di Polinesia mereka mula pula menemui perahu-perahu besar kembar yang
besar. Perahu-perahu besar ini dikenali
kemudian sebagai perahu penjelajah (voyaging canoes) Melayu-Polinesia. Di
Kepulauan Melayu sendiri orang Portugis pula telah menemui jong Melayu, kapal
paling besar yang pernah mereka temui di dunia, kapal yang dinyatakan oleh
mereka menyebabkan kapal Portugis tidak lagi serupa kapal, dengan tinggi kapal
Portugis sekadar menyamai geladak jong Melayu sahaja.
Tamadun Melayu bukan semata-mata tamadun
pelaut yang mengembara dan meneroka lautan luas. Tamadun Melayu adalah juga
tamadun pedagang lautan. Melayu zaman kuno dan purba berdagang dengan orang
asing di seberang laut dan lautan, di China, India, Afrika dan di timur tengah
sekarang ini. Dagangan orang Melayu adalah rempah ratus yang tumbuh asli di
Alam Melayu, khususnya di pulau-pulau Maluku. Rempah ratus di zaman dahulu amat
bernilai sekali lebih berharga daripada emas. Kapal-kapal bangsa Melayu serta
pelaut bangsa Melayu membawa rempah ratus keluar dari Kepulauan Melayu
menyeberangi Laut China Selatan (nama sekarang) dan Lautan Hindi (nama sekarang)
untuk didagangkan kepada orang China, Afrika dan Arab dan seterusnya rempah ini
sampai ke benua Eropah. Kekayaan Alam Melayu ini - iaitu rempah ratus – telah
menjadi sasaran utama untuk ditawan oleh penjelajah Eropah yang mula
mengharungi lautan dari penghujung abad ke-15.
Peta : Laluan Rempah-ratus
Sumber : Tamadun Alam Melayu, Mohd Arof
Ishak. 2009.
Persatuan Sejarah Malaysia)
Rumusan
Apakah yang dapat dirumuskan tentang huraian
tentang tamadun Melayu/Austronesia ini. Pergerakan perpindahan manusia yang
keluar dari benua Afrika, mungkin 65,000 tahun dahulu, mengikut jalan pantai
akhirnya sampai ke Asia Tenggara. Di tengah-tengah Asia Tenggara, iaitu di bumi
luas yang disebut oleh pakar-pakar sebagai Bumi Sunda, yang akhirnya terbentuk
Kepulauan Melayu akibat naiknya paras laut (lebih kurang 12,000 tahun dahulu),
telah muncul bangsa Rumpun Melayu daripada kalangan orang yang keluar dari
benua Afrika dahulu. Bumi Sunda menjadi alam semulajadi orang
bangsa Rumpun Melayu ini. Di alam tempat
lahirnya bangsa Rumpun Melayu ini, orang bangsa Rumpun Melayu membangunkan satu
tamadun pelaut, sesuai dengan tanah-dan-airnya, satu cara hidup yang sangat
berbeza dengan cara hidup asal orang yang keluar dari benua Afrika dahulu.
Tamadun ini meningkat dan berkembang. Dari satu kepulauan, pelaut bangsa Melayu
menjadi pengembara, peneroka dan pedagang melepasi dua lautan.
Cerita tumbuhnya tamadun Melayu pelaut adalah
satu kisah manusia di Asia yang telah melintasi ribuan tahun. Keseluruhan
cerita ini tidak pernah lagi sampai kepada pengetahuan masyarakat umum sama ada
di Asia atau di Malaysia sendiri. Apa yang telah dipelajari di sekolah-sekolah
ialah betapa banyak pengaruh budaya India dan China telah meninggalkan kesan
kepada masyarakat Asia Tenggara dalam 2,000 tahun yang lalu. Tetapi, apakah
yang telah berlaku sebelum 2,000 tahun dahulu ?
Apakah mungkin tamadun tua bangsa Rumpun
Melayu ini tidak mempunyai ketinggian nilai dan kebijaksanaan silam maka ia
harus akur kepada semua yang dikatakan sebagai “nilai-nilai sejagat” yang
sekarang ini diwar-warkan dan dibawa oleh orang Barat (maksudnya orang Eropah
dan Amerika) yang tidak pun mempunyai tamadun setua tamadun kita, dan tidak
juga memahami alam budaya bangsa di dunia di sebelah sini.
Mohd Arof Ishak
Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan