Ahad, 22 Disember 2024

Martabatkan Hikayat Panglima Nikosa sebagai novel Melayu pertama di dunia

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan 

Kali ini kita bincang tentang sebuah novel Melayu yang dianggap sebagai novel Melayu pertama di dunia. Sdr Haziq Azhar menulis sebuah artikel bertajuk “Martabatkan Hikayat Panglima Nikosa sebagai novel Melayu pertama di dunia” dan disiarkan di laman web Themalaysiapress.com Dan isi kandungannya seperti berikut:-


Hikayat Panglima Nikosa merupakan novel Melayu pertama di dunia yang dikarang oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid.


Menurut Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datuk Dr Sanib Said, novel tersebut mengambil ciri-ciri realiti dalam gambaran untuk menjelaskan perwatakan, latar, peristiwa biasa untuk membina plot, suasana dan masa.

“Walaupun masih ada ciri-ciri pengembaraan dan aksi watak yang ketara seperti cerita hikayat dan penglipur lara, maka Hikayat Panglima Nikosa dapat dijadikan novel Melayu terawal,” jelas Dr Sanib.


Tambah Dr Sanib, novel tersebut merupakan kesusateraan Melayu zaman transisi hikayat dan penglipur lara kepada novel.

“Seperti kita tahu, ketika itu wujudnya novel Melayu terawal seperti Siti Nurbaya: Kasih Tidak Sampai, Bintang Toedjoeh dan Hikayat Faridah Hanom, tetapi Hikayat Panglima Nikosa diterbitkan lebih awal iaitu 30 Jun 1876,” kata beliau lagi.


Beliau berkata demikian ketika memberi syarahan pada Majlis Penangguhan Kolokium Novel Melayu Pertama Di Dunia ke-10 di hotel terkemuka pada Sabtu.


Sementara itu, Pengurus Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu Sarawak Azuan Jemat berkata, Hikayat Panglima Nikosa perlu diangkat sebagai karya agung Melayu dalam bentuk akademik.


“Hikayat Panglima Nikosa memperlihat keagungan karya dan kecenderungan elemen etnosentrik bertepatan idea William Graham Sumner,” jelas Azuan.

Tambah Azuan, novel ini juga memberi pemahaman mendalam mengenai adat dan peraturan masyarakat Melayu tradisional.


“Berbanding hikayat lain, novel ini memberi fokus kepada masyarakat awam berbanding golongan raja dan pembesar,” ujar beliau lagi.


Hikayat Panglima Nikosa mengisahkan pemuda bernama Nikosa di negeri di Timur yang berjaya mengumpul ramai pemuda menyerang musuh negeri mereka.


Atas kepemimpinan Nikosa, musuh berjaya ditewaskan dan membawa keamanan kepada negeri tersebut.


Seterusnya, Nikosa membangunkan negeri dinamakan Jalanan Baharu yang menjadi makmur kerana sering dikunjungi oleh pedagang.

Tiada ulasan: