Ahad, 8 Disember 2024

Kewartawanan dan Kesusasteraan A Samad Ismail Menggerak Zaman

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali sini saya kemukakan sebuah artikel tulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee, pensyarah NUS Universiti Nasional Singapura. Artikel beliau bertajuk “Kewartawanan dan Kesusasteraan A Samad Ismail Menggerak Zaman”. Isi kandungannya seperti berikut:-


Nama beliau banyak disebut dalam kalangan sasterawan, wartawan dan juga sejarawan.


Dalam kalangan pendiri dan penggiat awal ASAS’50, A Samad Ismail telah diakui sebagai “ideolog” bagi perkumpulan ini. Beliau yang ketika itu sudahpun menjadi wartawan mapan dalam Utusan Melayu di Singapura, menjadi tokoh yang disegani oleh beberapa pemuka yang menjadi ahli dan penggiat ASAS’50.


A Samad Ismail, tokoh kelahiran Singapura, sebenarnya adalah nama besar dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan Melayu, khasnya di Singapura dan Malaysia. Sejarawan seperti Cheah Boon Kheng dan Kwa Chong Guan, telah memberikan perhatian kepada sejarah perjuangan beliau. Bachtiar Djamily juga pernah menulis biografi tentang beliau.

Sebuah kajian peringkat Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu NUS disempurnakan oleh M IIiya Kamsani pada tahun ini, dengan tesis berjudul “From Dissent to Consent: A Study of A Samad Ismail’s Intellectuality and Oeuvre". Pastinya membicarakan tokoh sebesar ini wajar, sekali gus membolehkan kita menilai secara kritis sumbangan pemikiran para inteligensia Melayu dalam sejarah.


Kebetulan tahun ini juga adalah 100 Tahun kelahiran bakti karya A Samad Ismail, bersamaan juga dengan sambutan kenangan 100 Tahun untuk Pendeta Muhammad Ariff, A A Navis dan Sitor Sitormurang. Sebuah forum bagi mengenang jasa bakti dan ilham A Samad Ismail akan diadakan pada Sabtu, 14 Disember 2024 di Gerakbudaya, Petaling Jaya, Malaysia.


Sesungguhnya kita memerlukan wacana budaya yang dapat memperkenalkan pemikir, penulis dan tokoh dalam masyarakat kita, sekali gus menilai pemikiran dan jasa bakti mereka, biar itu suatu kekuatan mahupun kelemahan yang ada. Menghargai tokoh, sekali gus menilai gagasan pemikiran dan tindak-tanduk mereka adalah penting dalam kita menghargai sejarah intelektual dalam masyarakat dan negara.

Ketokohan yang dapat kita kesani dari seorang pemikir, penulis dan pemimpin, pasti boleh dijejaki dari suara moral-etikanya yang berani membicarakan kesenjangan sosial, ketidakadilan, kerancuan fikiran dan kesalahpimpinan, serta wawasan kehidupan majmuk yang menganggap Malaya (termasuk Singapura) sebagai tanah air bagi pelbagai bangsa, keturunan, bahasa dan agama.


Begitulah yang dapat kita kesani dari pemikiran A Samad Ismail yang tertuang di dalam pelbagai karya beliau, yang tersebar dalam bentuk novel, cerpen, esei, pojokan akhbar, memoir dan wawancara. Novel-novel beliau rata-rata sarat dengan pesan kemasyarakatan. Ternyata dunia kewartawanan yang beliau jaguhi mengilhamkan berbagai isu, permasalahan dan tantangan yang dihadapi oleh rakyat kecil. Keprihatinan beliau inilah yang menggerakkan dunia pena untuk mengajak pembaca tercerah dengan idea kemodenan dan pembaharuan, sama sealiran dengan laungan ASAS’50, “Sastera untuk Masyarakat.”

A. Samad Ismail yang lahir pada tahun 1925, mendapat pendidikan aliran Inggeris di Sekolah Victoria. Pada zaman Jepun, beliau pernah bekerja di Berita Malai. Pada 1941, beliau menyertai Utusan Melayu, sebuah akhbar pertama milik Melayu sepenuhnya yang dikepalai oleh Encik Yusof Ishak.


Beliau pernah terjun dalam dunia politik, namun tidak begitu menyerlah. Beliau menjadi antara pendiri awal Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1954 selain pernah menganggotai UMNO cabang Singapura pada tahun 1957. Dalam banyak hal, penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan dan kewartawananlah yang benar-benar membuktikan sumbangan besar beliau, sehingga wajar kita membariskan beliau antara pemikir besar dalam sejarah intelektual Melayu moden.


Dari segi politik, Samad Ismail cenderung dengan aliran kiri. Pernah diperakui beliau sebegini: “Saya mengenali konsep seperti pertentangan kelas, sosialisme sewaktu Perang dari kalangan pendatang Indonesia yang berkumpul di Arab Street, Jalan Sultan…Itulah tempat nadinya politik Melayu, dan para nasionalis Indonesia sangat dominan waktu itu.”


Kewartawanan Membangun Keintelektualan

Ayah A Samad Ismail, yakni Haji Ismail bin Shairazi, ialah pemimpin masyarakat Melayu-Jawa, juga seorang guru yang sering menulis dalam akhbar, selain menjadi antara pengasas awal Kesatuan Guru Melayu Singapura. Ayah beliau sudah dari awal akrab dengan para cerdik pandai Melayu yang berpusat di Singapura.


Itulah yang menggalakkan A Samad Ismail masuk dalam bidang kewartawanan, sehingga nanti menjadi wartawan dan penyunting akhbar yang sangat disegani, baik dari akhbar Melayu dan Inggeris.


A Samad sendiri pernah dibimbing Abdul Rahim Kajai yang terkenal sebagai “Bapa Kewartawanan Melayu". Kajai pastinya banyak mempengaruhi A Samad Ismail dalam keprihatinan melaporkan dalam akhbar sama senada dengan penulisan cerpen yang digerakkan dengan niat mengajar, menegur, mengkritik dan menggagaskan idea yang dianggap perlu diyakinkan dalam masyarakat.


Bagi jasa bakti Kajai, A Samad Ismail, mengimbas jasa tokoh ini:


Kajai adalah unik bagi pengarang zamannya dan penulis seangkatan dengannya dalam hal ini. Dia tidak hanya mengarang artikel, berkhutbah, memberi nasihat dan membuat ulasan. Sebaliknya dia menggabungkan peranan sebagai penasihat bangsa dengan fungsi pemberita, berinteraksi dengan pembaca dan masyarakat secara langsung, setiap hari mendedahkan jiwa keprihatinannya atau kesedarannya dan mindanya, kepada setiap gerak dan laku dalam masyarakatnya.”

A Samad sendiri menyifatkan kewartawanan Melayu sedikit berbeza daripada yang terbangun di Barat, yang umumnya bersifat profesional sebagai sebuah kerjaya. Namun itu bukan bererti wartawan Melayu kurang kemampuannya. Malahan kondisi masyarakat itu sendiri mencorakkan jalan perkembangan kewartawanan. Beliau beranggapan sedemikian:


Surat khabar adalah alat perantaraan dan alat perhubungan yang terpenting sekali dalam masyarakat manusia moden. Wataknya sebaga alat perantaraan dan alat perhubungan sesama manusia lahir dari bahasa tertulis yang dipergunakannya sebagai perantaraannya. Sekiranya manusia tidak pandai menuliskan bahasanya sendiri di atas kertas untuk membuat perhubungan antara satu dengan lain atau untuk menyampaikan khabar atau berita atau untuk mengemukakan pendapat dan fikirannya maka berkuranglah satu alat perhubungan yang maha penting untuk memudahkan dan menambahkan teraturnya penghidupan manusia.”


A Samad yang mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu, telah memberi warna dan roh kepada akhbar ini. Malah ia dianggap sebagai wadah untuk menyuarakan pendapat, keresahan dan cita-cita masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sendiri memandang tinggi kepada institusi akhbar ini, termasuk para penulis yang bersemarak di Singapura kerana akhbar memberikan ruang untuk karya cerpen dan puisi mereka disertakan. Dilukiskan Samad sebegini:


Peranan dan fungsi pengarang seperti ini dimungkinkan oleh peranan dan imej Utusan sendiri sebagai pembela rakyat, oleh kewibawaan dan gengsi Utusan. Dan tahap ekonomi Utusan sendiri sebagai sebuah syarikat yang kecil menolong memperkukuh fungsi itu. Bangunan Utusan sederhana sahaja, malah tidak berbeza daripada sebuah bangunan kedai yang usang dan berusia lanjut. Keistimewaannya ialah bangunan itu menjadi pusat sebuah akhbar kepunyaan bangsa Melayu. Inilah ciri yang dikagumi masyarakatnya – suatu lambang dan satu institusi kebangsaan yang belum ada saingannya pada zaman itu terletak di tengah-tengah kota raya Singapura yang sibuk, maju dan dinamis.”


Selain bidang kewartawanan, A Samad juga penulis cerpen yang berbakat. Cerpen “Ah Kaw Masuk Syurga” mengisahkan cerita tentang Ah Kaw seorang lelaki Cina yang berlindung di rumah Melayu sewaktu zaman Jepun. Ibu dari keluarga Melayu sangat sayang pada Ah Kaw dan beria-ria untuk menjadikan Ah Kaw “masuk Melayu.” Dirawatnya Ah Kaw sewaktu beliau sakit, tetapi akhirnya Ah Kaw tidak sempat memeluk Islam dan meninggal dunia.


Jatuhnya hari kematiannya pada Jumaat. Ibu itu reda, tapi yakin Ah Kaw masuk syurga kerana Jumaat adalah hari yang 'barokah'. Tersirat dalam cerpen ini bahawa menerima seseorang itu sebagai sebahagian daripada keluarga dan bangsa kita bertolak dari sikap kemanusiaan yang tidak bisa dipilah-pilah atas dasar bangsa, agama dan keturunan.


Dalam sebuah keratan akhbar The Singapore Standard bertarikh 6 Mei 1953, beliau menulis tentang bahasa Melayu, “The Future of Malay Language” – yang tercantum di dalamnya sikap “Malayan” yang inklusif, terbuka namun tidak tercabut dari persekitaran kebudayaan aslinya.


Beliau yakin Bahasa Melayu akan berkembang menjadi perantara utama dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. Pada negara Malaya yang akan dibangunkan, ramai yang beranggapan perlu berdiri satu bahasa yang tunggal.


Ditegaskan bahawa itu adalah andaian yang kurang tepat kerana banyak negara yang terbina atas kerencaman bahasa yang dimiliki penduduknya. Contohnya India, Switzerland, Kanada dan Rusia.


Lain perkataan, dalam soal bahasa, A Samad Ismail berseberangan dari kelompok pendidikan Inggeris yang hanya yakin Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama untuk Malaysia. Sedangkan dalam kalangan pejuang nasionalis Melayu, hanya Bahasa Melayu yang wajar didaulatkan sebagai bahasa utama. Inilah penegasan yang berani kerana beliau sendiri yakin penguasaan lebih dari satu bahasa akan menguntungkan individu, masyarakat dan negara.


A Samad Ismail adalah pemerhati politik dan sosial yang tajam. Dari memoirnya berjudul Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) terkandung banyak singgungan peribadi yang jelas membuktikan kesaksian zaman yang beliau tempuhi.


Sehingga akhir hayat beliau, dunia kewartawanan dan kesusasteraan dekat di hati beliau. Banyak buku panduan menulis sebagai wartawan dihasilkannya dan beliau menjadi penasihat dan penyunting di The Star dan New Straits Times di Malaysia. Dalam dunia sastera pula, beliau pernah aktif dalam PENA dan mendapat Anugerah 'Hadiah Pejuang Sastera' pada tahun 1976.


Baik penulis atau wartawan, peranan sebagai pencerah kemanusiaan dan pembicara nurani harus sedia tampil, kerana menurut A Samad Ismail; mereka “jelas memikul tanggungjawab terhadap masyarakat, menolongnya menyesuaikan diri dengan perubahan dan membimbingnya ke arah kebaikan.”


Beliau dikagumi oleh deretan tokoh kesusasteraan Melayu seperti Usman Awang, Adibah Amin, selain barisan wartawan Melayu baik di Singapura dan Malaysia. Semoga kenangan 100 Tahun hayat bakti pada tahun 2024 ini dapat mengingatkan kita akan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam dunia kesusasteraan kita, membawa kesegaran ilmu dalam kewartawanan Melayu, selain memberi warna kepada kehidupan dan pengalaman politik kita dalam mengharungi zaman pasca kolonial yang mencabar.


Ternyata sosok kecendiakawanan yang terkandung dalam gerak kerja A Samad Ismail, meletakkan suatu standard tinggi yang sayugia dibangunkan dan diperluaskan terus. Masyarakat yang membangun pastinya memerlukan saluran akhbar atau media massa yang bebas, progresif dan terbuka. Itulah harapan A Samad Ismail kerana bagi beliau:


Surat khabar dapat menimbulkan kesedaran kebangsaan pada pembaca-pembaca dari golongannya sendiri... dapat mendidik pembaca masing-masing untuk menanam sikap dan pandangan yang melampaui batas kaum dan golongan masing-masing…”


Semoga bakti, tekad dan hasrat A Samad Ismail terus tumbuh mekar, khasnya dalam dunia di mana gempuran media massa semakin menggempur dan bersaing. Dunia kewartawanan memerlukan “bangsawan berfikir” dalam istilah Tirto Adhi Soerjo, ataupun “inteligensia berfungsi” yang dikonsepsikan oleh Syed Hussein Alatas.


Semoga juga forum peringatan 100 Tahun A Samad Ismail anjuran Mastera Singapura, Nusantara Bergerak, yang sama digerakkan oleh beberapa anak muda dalam Sahabat Sastera (Majlis Bahasa Melayu Singapura) dan Jurnal Sang Pemula (Malaysia) akan merintis dan menggilap minat anak-anak muda untuk terus terilham oleh para tokoh pemikir terdahulu.


Itulah juga teladan yang telah ditunjukkan oleh A Samad Ismail. Tabik kagum kepada beliau. Kita sudahi dengan barisan kalimat dari puisi beliau berjudul “Bicara Dengan Teman Lama".


Cita-cita kau dan kita semua

Wahai sahabatku,

Tingginya tujuh petala langit,

Dalamnya tujuh petala bumi,

Dunia terbentang begitu luas

Untuk kita berkelana,

Inilah cabaran kita

Wahai sahabatku.

Tanpa mengira generasi

Tanpa mengira keturunan

Tanpa mengira bangsa


Kau dan aku harus bahu membahu

Tanpa bosan dan lesu

Tanpa was-was dan ragu,

Merangsang dan mengilham bangsa

Menerima perubahan

Dalam peralihan menuju era gemilang.”


Tiada ulasan: