Sabtu, 28 Disember 2024

Nasionalisme di Negara Brunei Darussalam: Tinjauan Dari Persfektif Sejarah

 Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini saya kemukakan sebuah kertas kerja tentang Brunei. Kertas kerja bertajuk “Nasionalisme di Negara Brunei Darussalam: Tinjauan Dari Persfektif Sejarah” tulisan Prof D. Awang Asbol Mail, pensyarah di  Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam. Kertas kerja ini dibentang di sebuah Webinar di The International Conference on History Education (ICHE), Historical Education and Nationalism in the Era of Globalization, Anjuran Department of History Education, Graduate School of Indonesia University of Education Bandung, pada 19 Ogos 2020. Isi kandungan kertas kerja adalah seperti berikut:-


Kertas kerja ini cuba menyoroti nasionalisme di Negara Brunei Darussalam dari segi perkembangan dan perubahan sejak kemunculannya pada tahun 1930an hingga 1960an. Pada kebiasaannya dalam meneliti perkembangan nasionalisme bagi sesebuah negara sering dikaitkan dengan peranan rakyat dalam langkah mencapai kemerdekaan dari penjajahan. Bagaimanapun dalam kertas kerja ini cuba melihat bahawa di Negara Brunei Darussalam raja juga berperanan dalam hal ini yang mempunyai hubungan dengan kuasa pemerintahan yang baginda pegang.  Menurut Louis Snyder, nasionallisme itu bererti keadaan akal, perasaan sekumpulan manusia yang hidup di suatu kawasan tertentu, menggunakan suatu bahasa umum, mempunyai kesusasteraan yang berjaya mengarah pemikiran mereka kepada aspirasi-aspirasi negara bangsa terhadap keperluan tradisi-tradisi bersama dan beragama yang sama (Sabihah Osman, 1999, 67)


Bagaimanapun fahaman terhadap makna nasionalisme yang difahami masa kini akan mengalami perubahan bergantung kepada perubahan yang berlaku dalam suatu kelompok masyarakat, bangsa dan negara, di samping pengaruh luar. Mungkin makna nasionalisme tidak lagi terikat dengan makna untuk membebaskan diri dari penjajahan semata-mata.  Ia lebih tertumpu kepada keinginan  mengwujudkan identiti dan berkeperibadian bersama dengan berlandaskan keadilan serta kekayaan negara ingin sama-sama dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.  Oleh yang demikian gerakan nasionalisme boleh wujud setelah sesebuah negara itu merdeka. Kemunculannya berlaku kerana rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintah yang ada. Penentangan ini rakyat kepada pemerintahan anak tempatan kelihatannya lebih sukar berbanding dengan perjuangan mengusir penjajah.


Nasionalisme yang mula berkembang di Eropah pada abad ke-18 hingga abad ke-20 telah akhirnya juga mempengaruhi negara-negara di Asia Tenggara pada abad ke-20, apabila penduduk rantau ini berjuang untuk mengusir penjajah dari tanah air mereka (Sabihah Osman, 1999, 67).  Perjuangan ini dilakukan dengan matlamat utama untuk membentuk sebuah negara beridentitikan dan berwarisan tempatan. Namun perkara ini nampaknya agak sukar dicapai apabila sesebuah negara itu sudah mempunyai penduduk berbilang kaum.


Bagaimanapun sehingga tahun 1930an semangat nasionalisme seperti yang difahami sekarang belum wujud di Brunei. Kebangkitan nasionalisme Brunei terutama sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua (1939-1945) banyak dipengaruhi oleh kemunculan pendidikan formal yang didasari oleh Sekolah Melayu (Sabihah Osman, 1999, 67, 70; Haji Awg Asbol Haji Mail, 2010, 21, 51-53). Meskipun British dalam dasar pendidikannya di Brunei dengan penubuhan Sekolah Melayu pada tahun 1914 hanya memberikan setakat pendidikan rendah, namun kebangkitan semangat nasionalisme ini tidak dapat dibendung oleh  British di Brunei. Ia semakin berkembang apabila adanya pelajar-pelajar Brunei yang melanjutkan pelajaran ke negara jiran seperti di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia. Mereka telah terpengaruh dengan gerakan nasionalisme yang sedang berkembang di negara-negara ini (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 5-6, 11-12: Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri,[1] 1992, 3, 42; Hussainmiya, 2000, 30).


Pendidikan formal ini telah mendedahkan pelajar Brunei kepada kesedaran rasa kekitaan, kebanggaan terhadap kebudayaan, bahasa dan sastera yang diwarisi sekian lama. Biarpun pada ketika ini belum muncul dalam pemikiran untuk membentuk sebuah negara bangsa, namun elemen-elemen inilah nanti melahirkan bibit-bibit semangat nasionalisme. Peringkat awal kesedaran nasionalisme masyarakat Brunei diluahkan menerusi persatuan sosial khususnya Persatuan Sahabat Pena Malaya (PSPM), Persatuan Melayu Brunei (PMB) dan Persatuan Belia Belait (PBB) yang wujud sebelum Perang Dunia Kedua (Sabihah Osman, 1999, 68, 76; Muhammad Hadi Abdullah, 1992, 143).


Kemunculan cawangan PSPM di Brunei telah menyumbang kesedaran kepada ahli-ahlinya tentang kepincangan masyarakat Melayu. Isu-isu inilah pada awalnya mencetuskan semangat patriotisme apabila melihat nasib bangsa yang ketinggalan dalam berbagai bidang berbanding dengan bangsa lain telah berkembang kepada semangat nasionalisme.  Ia telah disuarakan melalui akhbar Saudara di Semenanjung Tanah Melayu. PSPM ditubuhkan untuk meningkatkan kadar celak huruf di kalangan orang-orang Melayu di samping membuka ruang untuk bertukar-tukar fikiran yang dilakukan melalui surat menyurat (Sabihah Osman, 1999, 68-69). Kepandaian membaca dan menulis amat diperlukan dalam meningkatkan sosial dan ekonomi masyarakat Melayu ketika itu. Dengan itu masyarakat Brunei dapat mengikut perkembangan sosial, ekonomi dan politik di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia pada ketika itu.

Cawangan Brunei dipimpin oleh Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Pemanca Sahibul Rae Wal Mashuarah Pg Anak Haji Muhammad Yassin dan Setiausahanya Encik Mohd Zain. Ahli Jawatankuasanya terdiri daripada Yang Teramat Mulia Seri Paduka Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Haji Muhammad Salleh (Kadi Besar), Awg Haji Hasbollah Haji Mohd. Daud dan Basir Taha (Sabihah Osman, 1999, 69).


Manakala itu PMB dan PBB bermatlamat untuk memperbaiki ekonomi dan pendidikan masyarakat Melayu. Menurut Roff, wakil PMB pernah menghadiri Kongres Persatuan-Persatuan Melayu pada bulan Disember 1940 di Singapura. Kehadiran wakil-wakil ini serba sedikit telah mendedahkan kepada mereka tentang keperluan berpersatuan sebagai wadah penyatuan bangsa dalam berhadapan dengan berbagai cabaran di samping melihat lebih dekat tentang kebangkitan nasionalisme di rantau ini. Pengalaman mereka ini telah disebarkan di Brunei kepada golongan berpendidikan terutama dalam kalangan kaum guru (Sabihah Osman, 1999, 76-77; Roff, 1980, 246).

Bibit-bibit nasionalisme Brunei pada peringkat ini melihatkan tentang keluhan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan ekonomi dan pendidikan masyarakat Melayu. Begitu juga dalam hal kuasa pentadbiran yang telah dikuasai oleh British hinggakan anak-anak tempatan merasa terpinggir dalam hal ini. Sedangkan negara ini tanah air mereka. Begitu juga masyarakat China yang kelihatannya naik kepala selepas Perang Dunia Kedua tamat apabila mereka menunjukkan belangnya dengan berani menaikan bendera negeri China di Bandar Brunei. Begitu juga semasa kemangkatan bonda baginda Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin pada 7 Mac 1947. Kedai-kedai China di bandar di arahkan untuk ditutup sebagai penghormatan atas kemangkatan ini, tetapi mereka enggan. Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu kerana tidak menghormati saat-saat kedukaan kerabat diraja hingga mencetuskan pergaduhan. Bagaimanapun ia berjaya dikawal oleh tentera British (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 6; Sabihah Osman, 1999, 78; Muhammad Hadi Abdullah, 1992, 150-151)


Secara keseluruhannya selepas pendudukan Jepun berakhir, ia telah meninggalkan kesan mendalam terhadap perkembangan nasionalisme Brunei yang sebelum ini kelihatannya berkembang agak perlahan. Pendudukan Jepun telah meningkatkan kesedaran dan perasaan anti kolonial di kalangan rakyat membawa kepada gerakan nasionalisme. Gerakan ini bertujuan untuk membawa kepada kemerdekaan kepada Brunei. (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 6). Hal ini boleh dilihat dengan tertubuhnya Barisan Pemuda Brunei (BARIP) yang ditubuhkan oleh bekas ahli PSPM dan PMB seperti Marsal Maun, Basir Mohd Taha, Haji Muhammad Manggol, P.M Yusuf, Jamil Umar dan H.M. Salleh (Haji Zaini Haji Ahmad 2004, 5-7; Muhammad Hadi Abdullah, 1992, 146-148; Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 6-7).

BARIP Brunei adalah organisasi bumiputera Brunei yang pertama kali muncul pada 12 April 1946 bagi menyatukan tenaga para cendekiawan nasionalis untuk membela nusa dan bangsa. Ia juga sebagai platform politik bagi menyuarakan idea-idea kemerdekaan. Pengasas utamanya ialah P.M Yusuf dan Yang Dipertua Pertamanya Abdullah Jahfar. Jawatan ini kemudiannya diambil alih oleh H.M Salleh yang menjadikan BARIP bergerak lebih aktif hingga terkenal di Sabah. Penubuhan BARIP mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dikatakan ia mempunyai anggota dan pengikut seramai hampir 15 000 orang (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 6). Bagaimanapun gerakan BARIP ini mendapat gangguan dari pihak British dengan menukar tempat bertugas kepada pucuk pemimpinan penting BARIP kerana mereka adalah kaki tangan kerajaan. Akibatnya pergerakan BARIP sedikit demi sedikit menjadi lumpuh (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 6-7; Muhammad Hadi Abdullah, 1992, 152; Sabihah Osman, 1999, 89).


Selepas kehilangan BARIP tidak lagi wujud persatuan berunsurkan politik di Brunei hinggalah tertubuhnya Partai Rakyat Brunei (PRB) yang diasaskan oleh A.M Azahari pada tahun 1956. Semasa beliau belajar di Indonesia, beliau telah terpengaruh dengan gerakan nasionalisme di sana. Sekembalinya dari Indonesia, beliau telah mengadakan ceramah politik untuk menghidupkan kembali semangat nasionalisme. Dalam ceramah itu beliau mengongsikan bahawa beliau pernah ikut serta berjuang menentang Belanda di Indonesia dan membayangkan tentang pahit maung riwayat hidupnya ketika itu. Syarahan-syarahan beliau ini mendapat sambutan masyarakat Brunei memandangkan beliau adalah seorang yang fasih dalam berbicara serta mahir berpidato (Hussainmiya, 2000, 30; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 12).

Namun, pada ketika itu kedudukan Brunei masih diperintah British dan suasana politik semasa tidak memberi kesempatan kepada rakyat bergiat dalam politik. Dalam langkah ke arah penubuhkan sebuah partai politik, A.M. Azahari telah membentuk Brunei Film Production Company (BRUFICO) pada 28 Oktober 1952. Ia adalah sebuah syarikat perniagaan perfileman yang sebenarnya sebagai helah untuk menutup tujuan sebenar sebagai tapak penubuhan sebuah parti politik. Hal ini telah dapat dihidu oleh Residen British, lantas ia enggan meluluskan pendaftarkan BRUFICO. Akibatnya ia telah menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong BRUFICO dan memberikan peluang bagi A.M. Azahari untuk menganjurkan satu demontrasi menentang keputusan Residen ini (Hussainmiya, 2000, 30; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 13-17).


Pada 23 Januari 1953, A.M. Azahari dan pengikut-pengikutnya lebih kurang 400 orang telah berarak menuju ke Pejabat Residen untuk bertemu Residen, J.C.H. Barcroft tetapi beliau enggan menemui mereka. Sebahagian daripada mereka bertindak liar sehingga tidak dapat dikawal, maka Residen telah mengarahkan pihak polis untuk menyuraikan demontrasi ini dan menangkap pemimpin-pemimpinnya kerana mengadakan perhimpunan haram. Dengan yang demikian A.M. Azahari dan tujuh yang lain telah ditangkap dan disabitkan kesalahan (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 17-18; Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 45-46; Singh, 1984, 131). Perasaan tidak puas hati yang timbul daripada halangan British untuk meluluskan penubuhan BRUFICO dan sekatan demonstrasi Oktober 1953 adalah detik-detik kesinambungan nasionalisme di Brunei. Ia dijadikan asas oleh A.M. Azahari sebagai langkah ke arah penubuhan PRB bagi membolehkan beliau bergerak dalam politik secara sah.


PARTAI RAKYAT BRUNEI

Kemunculan PRB, sebuah parti politik pertama yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam adalah kesinambungan perkembangan nasionalisme Brunei sebelumnya. Bagaimanapun dengan kewujudan partai ini menyebabkan momentem nasionalisme Brunei semakin aktif dan berkembang secara drastik apabila ia mendapat sambutan rakyat. Dasar PRB ialah menentang segala bentuk rupa penjajahan dalam politik, ekonomi dan sosial serta memperjuangkan kemerdekaan bagi seluruh kepulauan Melayu yang berdaulat secara perlembagaan (Sabihah Osman, 1999, 91-92; Singh, 1984, 132). Selain itu dasar PRB juga ingin mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei dengan segala keturunan-keturunannya menduduki takhta kerajaan Brunei dengan berlandaskan perlembagaan. Partai ini juga mahu mewujudkan negara Melayu yang berdaulat dalam dan luar, demokratik dan menjamin keselamatan serta kemakmuran rakyat seluruhnya (Singh, 1984, 132; Sabihah Osman, 1999, 92). Pada awalnya PRB tidak dibenarkan oleh kerajaan untuk didaftarkan sebagai partai politik yang sah kerana ia adalah cabang kepada Parti Rakyat Malaya (PRM) pimpinan Ahmad Boestamam. Bagaimanapun pendaftarannya kemudiannya telah diluluskan setelah gabungannya dengan PRM diputuskan (Sabihah Osman, 1999, 92: Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 26-29).


Kepetahan A.M. Azahari berpidato dan berhujah telah berjaya menarik ramai sokongan sehingga dalam masa setahun ditubuhkan ahli-ahlinya meningkat kepada 16 ribu orang iaitu kira-kira 75 peratus orang dewasa lelaki Brunei. Ia bukan sahaja menarik minat masyarakat Melayu bahkan kepada semua kaum. Ia tidak terbatas di Brunei bahkan juga di Sabah dan Sarawak (Singh, 1984, 133; Sabihah Osman, 1999, 92). Apabila merasakan sokongan terhadap PRB semakin kuat, A.M. Azahari dengan lantang berani memprotes pembaharuan berperingkat-peringkat yang dilakukan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang ingin mengwujudkan Perlembagaan Negeri Brunei yang baharu bermula pada tahun 1953. Tujuan perlembagaan ini dicadangkan kerana baginda sebenarnya berjuang secara halus untuk mengembalikan kuasa raja dan rakyat Brunei secara berperingkat-peringkat dari kuasa Residen British (Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah dan Sabullah Haji Hakip, 2001, 12; Sabihah Osman, 1999, 92; Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2020, 206). Dengan demikian, ini menunjukkan baginda juga sebenarnya mempunyai semangat nasionalisme yang disalurkan menerusi perundingan dengan kerajaan British.


Bagaimanapun PRB dengan tegas menuntut agar demokrasi penuh diwujudkan dan bukannya secara berperingkat-peringkat kerana dianggap tidak lagi sesuai bagi Brunei. Bagi PRB, Perlembagaan Negeri Brunei yang diusahakan oleh Sultan tidak membantu ke arah sistem pemerintahan demokrasi (Sabihah Osman, 1999, 92; Singh, 1984, 133-134). Namun sultan sedar akan implikasi pergerakan PRB terhadap kedudukan baginda sebagai kuasa tertinggi pemerintahahan Brunei. Kelulusan pendaftaran PRB, tidak bermakna ia boleh sewenang-wenangnya bergerak dan berkempen hanya semata-mata menonjolkan kelemahan dan keburukan kerajaan. Sikap ini boleh mencetuskan huruhara di kalangan rakyat. Hal ini telah menjadi kenyataan apabila rakyat Brunei telah berpecah belah sesama sendiri kerana satu pihak menyokong partai dan satu pihak menyokong sultan. Pada ketika itu memang banyak kebaikan yang telah dilakukan kerajaan kerana Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien sendiri sentiasa berusaha untuk membangun dan memajukan Brunei agar rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.  Oleh itu langkah-langkah tertentu telah diambil bagi menghadkan pergerakan PRB dengan memberi amaran kepada rakyat supaya jangan terlibat dalam kegiatan parti politik. Namun PRB tetap mengapi-apikan rakyat dengan menonjolkan dirinya sebagai partai perjuangan rakyat yang akan bertanggungjawab memperbaiki taraf politik dan sosioekonomi mereka. Dengan melihat keahlian PRB dari pelbagai kaum melangkaui Sabah dan Sarawak, baginda sedar perjuangan A.M. Azahari bukan sahaja berlandaskan nasionalisme kebangsaan ke Bruneian malah nasionalisme keBorneoan.


Dalam pada itu, dari awal lagi PRB sibuk dengan kegiatan politiknya apabila ia seringkali menunjukkan sikap tidak mahu bekerjasama terhadap pihak kerajaan, terutama ke atas rancangan pembentukan perlembagaan baharu Negeri Brunei. Mereka menuntut kewujudan demokrasi penuh dalam pemerintahan Brunei dengan meminta 2/3 suara atau kerusi dalam Majlis Mesyuarat Negeri dipilih oleh rakyat secara bebas bukan dilantik oleh sultan.


Dalam kongres pertama PRB pada 30 Mac 1957 dan keduanya 1958, partai ini telah menjemput Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam untuk memberi syarahan bagi menaikkan semangat nasionalisme rakyat dalam usaha menuju ke arah kemerdekaan. A.M. Azahari mengkritik kerajaan kerana telah cuba menghalang kemasukan kedua-dua tokoh politik Malaya ini. Beliau juga menuduh British mahu kekal menjajah Brunei. Bagaimanapun lantang sikap PRB ini, kerajaan tetap tegas menolak permintaan mereka (Hussainmiya, 2000, 38-39). Salah satu sebabnya ialah kerana tidak ramai ahli PRB yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. Ia adalah penting dalam melicinkan jentera pentadbiran sesebuah negara. Inilah juga salah satu sebab mengapa Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien menolak untuk mendapatkan kemerdekaan lebih awal bagi Brunei sungguhpun pihak British ada menawarkannya. Tawaran tersebut ditolak kerana Brunei belum mempunyai ramai tenaga manusia yang berkemahiran.


Apabila mengetahui kerajaan Brunei dengan diketuai oleh Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien akan menghantar satu rombongan ke London untuk merundingkan perlembagaan baharu Brunei, maka pihak PRB dengan tergesa-gesa telah menghantar delegasinya ke London untuk berjumpa dengan Setiausaha Tanah Jajahan pada 5 September 1957. Mereka berada di sini sehingga 1 Oktober 1957 untuk membincangkan mengenai isu perlembagaan dan juga cadangan mereka untuk mengwujudkan pemerintahan demokrasi di Brunei. Bagaimanapun mereka balik ke Brunei dengan tangan kosong (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 44-46; Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 72-75).


Bagi pihak British, segala tuntutan hendaklah dirundingkan dan dihadapkan terlebih dahulu melalui sultan sebagai kuasa tertinggi Brunei. Apabila ahli PRB bertanyakan hasil perundingan tersebut, wakil rombongan yang telah kembali ke Brunei telah menyalahkan pihak British kerana tidak melayan tuntutan mereka. Ini menunjukkan kerajaan British tidak mengiktiraf PRB sebagai wakil kepada kerajaan Brunei kerana ia hanyalah sebuah partai politik. Rombongan ini bukan sahaja gagal dalam rundingan bahkan kewangan partai telah merosot kerana penghantaran rombongan ini memakan biaya yang besar. Wang ini diperolehi daripada hasil pengorbanan dan derma ahli-ahli partai. Kegagalan ini telah menyebabkan hilangnya kepercayaan sesetengah rakyat Brunei terhadap kepimpinan PRB. Mereka telah melihat bahawa pemimpin PRB cakap tidak serupa bikin (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 75; Hussainmiya, 2000, 39-40).


Pengaruh PRB merundum pada tahun 1958 selepas kegagalan rundingan di London. Tidak ada perhimpunan atau seruan-seruan politik yang hangat kerana rundingan mengenai perlembagaan baharu antara Brunei dan United Kingdom semakin menampakkan kejayaannya. A.M. Azahari dikatakan telah meletak jawatan atas alasan gagal mengemukakan butir-butir kewangan PRB. Manakala setiausaha PRB, Haji Zaini Haji Ahmad melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 76).


PERLEMBAGAAN NEGERI BRUNEI 1959

Hasil daripada beberapa pusingan rundingan antara Brunei dengan British antara tahun 1953 hingga 1959, maka akhirnya pada 29 September 1959, Perlembagaan Negeri Brunei telah ditandatangani dan diisytiharkan. Kerajaan Brunei diwakili oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sendiri sementara Kerajaan British diwakili oleh Pesuruhjaya Agung British bagi Asia Tenggara, Sir Robert Scott (Yura Halim, 2002, 96-99; Pengiran Haji Mohammad Pengiran Haji Abd. Rahman, 2007, 336; Singh, 1984, 237; Hussainmiya, 2000, 64).

Dengan pengisytiharkan Perlembagaan Negeri Brunei itu bermakna Perjanjian 1906 telah dimansuhkan dan jawatan British Residen telah digantikan dengan jawatan Pesuruhjaya Tinggi British. Dengan itu, pihak British hanya bertanggungjawab dalam bidang pertahanan dan hubungan antarabangsa sementara itu dalam negeri dikuasai sepenuhnya oleh sultan. Namun bagi PRB, perlembagaan tersebut hanya membantu Brunei untuk meraih pentadbiran sendiri atau self-administration dan bukan berkerajaan sendiri atau self-government (Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2020, 209; Hussainmiya, 2000, 56; Singh, 1984, 138).


Dengan kemunculan perlembagaan ini, Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah dapat mengekalkan kedudukan baginda serta sistem monarki Brunei sekaligus kemenangan gerakan nasionalisme di bawah kepimpinan seorang raja. Perlembagaan ini adalah sebagai satu langkah awal Negara Brunei Darussalam menuju kemerdekaan sebagai sebuah negara berdaulat. Langkah ini juga boleh dikatakan mempunyai semangat nasionalisme yang dimainkan oleh baginda dalam menuju kemerdekaan Brunei. Kalau PRB melalui partai politik tetapi baginda melalui kuasa baginda sebagai sultan di Brunei. Oleh itu perkembangan nasionalisme Brunei telah digerakkan oleh dua golongan iaitu raja dan rakyat.

REVOLUSI TENTERA NASIONAL KALIMANTAN UTARA

Gerakan nasionalisme yang merundum pada akhir tahun 1950an dalam politik Brunei telah kembali bangkit pada awal tahun 1960an apabila idea Malaysia Raya saranan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dibukakan kepada Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ia dicadangkan berdasarkan persamaan keturunan, budaya dan sistem politik dengan Semenanjung Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman yakin gabungan ini akan melahirkan keuntungan politik, ekonomi dan ketahanan nasional, bahkan berupaya membendung kemaraan gerakan Komunis di rantau ini (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 55; Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2020, 210; Singh, 1984, 154-155). Namun, cadangan seumpama ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelumnya, British dan beberapa orang pemimpin tempatan pro kuasa Barat ini juga pernah mengemukakan idea yang serupa seperti Greater Indonesia atau Greater Malaysia (Andaya & Andaya, 1982, 270).


Perkembangan nasionalisme Brunei juga memasuki era persaingan apabila pemimpin PRB telah berpecah. Sebahagian pemimpin PRB telah keluar daripada partai ini dan menubuhkan partai politik yang baharu. Antaranya muncul Parti Kebangsaan Brunei atau Brunei National Organisation (BNO) pada bulan Ogos 1960. Nama partai ini juga mengambil sempena nama Parti Kebangsaan Melayu di Tanah Melayu atau United Malay National Organisation (UMNO). Dari segi pengaruh, BNO lebih bertapak kuat di daerah Tutong. Pada bulan Disember 1961, sebuah partai lagi ditubuhkan yang dikenali sebagai Parti Bersatu Brunei (Brunei United Party-BUP). Kedua-dua partai ini menyokong kemasukan Brunei ke dalam Malaysia Raya yang ditentang oleh PRB (Yusop Damit, 2012, 150-151; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 82-83; Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2020, 211).


Ketika rundingan-rundingan mengenai pembentukan Malaysia sedang berjalan, Brunei telah menempah sejarah baharu dengan mengadakan pilihanraya pertama pada tahun 1962. Hasil pilihanraya menunjukkan bahawa para pengundi telah memilih untuk menolak rancangan Malaysia Raya. Hal ini jelas apabila semua kerusi bagi Majlis Mesyuarat Daerah (kecuali kawasan Pilihanraya Labu, Daerah Temburong) telah dimenangi oleh PRB manakala BNO dan BUP mengalami kekalahan teruk. Kemenangan yang besar ini telah menguatkan kepercayaan di kalangan pemimpin PRB bahawa visi mereka untuk membina sebuah negara Persekutuan Borneo utara sebagai alternatif kepada Malaysia Raya akan menjadi kenyataan (Yusop Damit, 2012, 152-153; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 82; Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 90).


Malangnya PRB yang memenangi pilihanraya itu didalangi oleh pemimpin-pemimpinnya yang menubuhkan pasukan ‘Tentera Nasional Kalimantan Utara’ (TNKU) telah melancarkan revolusi berdarah pada 8 Disember 1962 untuk menggulingkan kerajaan sah yang diketuai oleh Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Pasukan TNKU pada awalnya adalah gerakan bawah tanah yang diwujudkan pada bulan Ogos 1961. Tujuan pasukan ini dibentuk adalah bagi merampas kuasa. Kemudian pada bulan Jun 1962 iaitu sebelum A.M. Azahari meninggalkan Brunei ke Johor Bahru, pasukan ini mula dikenali sebagai TNKU (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 89-90).

Tindakan agresif yang dilakukan oleh TNKU ini yang hanya mementingkan nafsu politik masing-masing untuk mencapai kemerdekaan Brunei melalui pembentukkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) telah mencemarkan gerakan nasionalisme. Gerakan ini sepatutnya dilaksanakan dalam suasana damai bukan dalam bentuk pertumpahan darah. Cadangan pembentukkan NKKU ini memang bertentangan dengan pemikiran Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Sebelum ini pihak British pernah mencadangkan idea bagi menyatukan tiga jajahan Borneo British. Baginda menolak kerana menganggap Persekutuan Borneo itu lebih banyak merugikan daripada menguntungkan Brunei kerana penyatuan itu akan meringankan beban kewangan British di jajahan Sarawak dan Borneo Utara yang dianggap kurang membangun berbanding Brunei (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 125, 156-157; Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2020, 204; Sabihah Osman, 1999, 93).


Revolusi yang dilancarkan oleh TNKU ini telah dapat dikawal dan ditewaskan dengan bantuan tentera Brtish dan Malaya. Namun ia terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila mengorbankan banyak jiwa dan harta benda di samping menimbulkan kekacauan dan huruhara dalam negara. Dalam pada itu Brunei pula telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai cadangan Malaysia Raya. Ini menyebabkan hubungan Brunei Malaysia menjadi dingin (Yura Halim, 2002, 101; Muhammad Hadi Abdullah, 2002, 156; Nani Suryani Haji Abu Bakar, 2016, 103). Sejak itu gerakan nasionalisme di Brunei semakin tidak mendapat sambutan di kalangan rakyat kerana mereka sudah merasa tertipu dengan kegiatan partai-partai politik. Partai-partai politik yang ditubuhkan selepas ini dan selepas kemerdekaan pada tahun 1984 bagaikan hidup segan mati tak mahu. Rakyat sudah merasa hidup selesa dan nikmat di bawah pemerintahan beraja berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja. Kehidupan apa lagi yang kita mahu apabila kerajaan memberikan berbagai kemudahan secara percuma yang meliputi pendidikan dan perubatan. Kerajaan juga menyediakan perumahan mampu milik, tiada cukai pendapatan dan diberikan subsidi kepada sebahagian barang-barang keperluan asas.

PERISTIWA PEMBERONTAKAN 1962

Kekecawaan-kekecewaan yang dirasai oleh PRB sejak beberapa siri tindakan dan cadangan mengalami kegagalan dan kemenangan pilihanraya 1962 mereka dibatalkan oleh kerajaan, maka telah membawa PRB untuk mencetus revolusi 1962.  Dengan sokongan daripada PRM, Parti Rakyat Singapura, Indonesia dan Filipina telah menjadi pendorong kuat bagi PRB melakukan revolusi sebagai satu gerakan nasionalisme Brunei terhadap penjajahan British.  Sokongan pihak luar ini mempunyai sebab-sebab yang berbeza tetapi bertindak di atas satu dasar yang sama iaitu menentang pembentukkan Malaysia di samping ingin menamatkan penjajahan (Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 94-96; Yura Halim, 2002, 99; Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 105).


Rancangan utama serangan TNKU semasa pemberontakan ialah untuk menawan Istana sultan, rumah kediaman Menteri Besar dan Ibu Pejabat Polis Brunei di Bandar Brunei. Dengan penawanan baginda itu, TNKU akan memaksa baginda membuat pengisytiharan kewujudan NKKU yang merdeka dan baginda akan menjadi Ketua Negara yang berperlembagaan. Gerakan revolusi telah berhasil menawan balai-balai polis dan mereka telah merampas senjata api daripada anggota-anggota polis. Bunyi tembakan senapang kedengaran di sana sini. Ramai pasukan keselamatan yang bertugas serta orang awam telah dibunuh. Seluruh kawasan padang minyak Seria juga berada di dalam tangan TNKU (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 112-113; Muhammad Hadi Abdullah, 2002, 118-119; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 96, 98).


Pasukan Gurkha Riffles dengan bantuan Tentera British dengan mudah dapat mengalahkan TNKU kerana mereka mempunyai senjata dan peralatan yang lebih canggih dan ketenteraan yang berdisiplin. Sedangkan tentera pemberontak  hanya menggunakan senjata tradisional seperti parang dan senapang patah. Mereka juga tidak ada latihan tentera kerana mereka ini kebanyakkan terdiri dari orang-orang kampung yang terpengaruh dengan kempen-kempen PRB. Akhirnya pemberontakkan menjadi reda dan ahli-ahli TNKU menyerah diri dan PRB terus diharamkan dalam persada politik Brunei. Manakala penggunaan, pertunjukan dan penyimpanan bendera, lambang serta pakaian seragam PRB juga diharamkan. Ia dilakukan bagi memulihkan keselamatan dan kharmonian Brunei. (Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, 1992, 116-118, 123; Sabihah Osman, 1999, 94; Haji Zaini Haji Ahmad, 2004, 102). Sekali lagi gerakan nasionalisme yang diketuai oleh sultan mencapai kejayaan. Pemerintahan demokrasi yang didambakan telah sirna, manakala itu pemerintahan beraja terus bersiar dan berjaya.

KESIMPULAN

Oleh itu boleh dikatakan perkembangan nasionalisme Brunei mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan pendidikan formal dengan kemunculan Sekolah Melayu pada tahun 1914. Golongan terpelajar dari sekolah ini kemudiannya memainkan peranan dalam mencetuskan semangat nasionalisme di Brunei. Ia timbul apabila mereka terpengaruh dengan gerakan nasionalisme di Semenanjung Tanah Melayu semasa belajar di sini. Bermula dengan kemunculan persatuan sosial seperti PSPM sebelum Perang Dunia Kedua, yang membincangkan tentang nasib masyarakat Melayu dari segi pendidikan, ekonomi dan pentadbiran menerusi persuratan. Setelah itu wujud pula persatuan-persatuan bukan kerajaan yang bukan berunsurkan politik tetapi mempunyai matlamat membela nasib orang-orang Melayu. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, maka semangat nasionalisme Brunei semakin berkembang kerana kesan pengaruh pendudukan Jepun di Brunei. Kemunculan kembali pentadbiran British di Brunei semakin meminggirkan masyarakat Melayu di samping memberikan keutamaan pada orang-orang China. Dengan yang demikian wujudlah BARIP yang mahu memperjuangkan nasib masyarakat Melayu di samping ingin mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun ia tidak bertahan lama hingga wujud PRB pada tahun 1956. Dasar partai ini ingin mencapai kemerdekaan melalui demokrasi dengan mempertahankan institusi beraja Brunei. Namun kerana kurang sabar dalam perjuang hingga mencetuskan revolusi pada tahun 1962, maka ia telah lumpuh. Semangat nasionalisme yang diperjuangkan oleh rakyat telah tewas sebaliknya ia telah memberikan kemenangan kepada nasionalisme yang diperjuangkan oleh Sultan Omar Ali Saifuddein Saadul Khairi Waddien yang mahu mencapai kemerdekaan secara berperingkat-peringkat menerusi pengembalian kuasa politik dalam negeri berlandasan Perlembagaan Negeri Brunei pada tahun 1959. Baginda tidak mahu mencapai kemerdekaan lebih awal kerana pada masa itu orang-orang terpelajar di kalangan anak-anak Brunei belum ramai dan memang tidak mencukupi untuk mentadbir sebuah negara merdeka. Sejak kehilangan PRB dalam dunia politik Brunei, perkembangan nasionalisme di negara ini semakin lemah dan tidak menunjukkan kekuatan. Partai-partai politik yang muncul selepas PRB tidak lagi mendapat sambutan rakyat Brunei kerana mereka sudah hilang kepercayaan kepada partai politik kerana melakukan cakap tidak serupa bikin. Rakyat lebih hidup selesa di bawah pemerintahan beraja Brunei dengan berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja.


BIBLIOGRAFI

BUKU

Andaya, B.W., & Andaya, L.Y. (1982). A History of Malaysia. Houndmills, Basingstoke, Hampshire amd London: Macmillan Education Ltd.


Haji Awang Asbol Haji Mail. (2010). Sejarah Perkembangan Pendidikan di Brunei 1950-1985. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei.


Haji Zaini Haji Ahmad. (2004). Pertumbuhan Nasionalisme di Brunei (1939-1962). Bandar Seri Begawan: Asia Printers.


Hussainmiya, B.A. (2000). The Brunei Constitution of 1959: An Inside History. Bandar Seri Begawan: Brunei Press Sdn Bhd.


Pehin Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri. (1992). Liku-Liku Perjuangan Pencapaian Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam. Bandar Seri Begawan: Jabatan Pusat Sejarah. 


Pengiran Haji Mohammad Pengiran Haji Abd. Rahman. (2007). Islam di Brunei Darussalam Zaman British (1774-1984). Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Roff, W.R. (1980). The Origins of Malay Nationalism. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.


Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hj Hakip. (2001). Sejarah Brunei Menjelang Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Singh, D.S.R. (1984). Brunei 1839-1983: The Problems of Political Survival. Singapore: Oxford University Press.


Yura Halim. (2002). Ririsej Brunei Darussalam. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

ARTIKEL

Muhammad Hadi Abdullah. (1992). Semangat Kebangsaan: Kesedaran Awal. Jurnal Darussalam, Bil. 1, 140-154.


Nani Suryani Haji Abu Bakar. (2016). Brunei Relations with Malaysia: 1963-1983. Dlm Haji Awang Asbol Haji Mail, Haji Awang Mohd. Yusop Haji Awang Damit & Awang Haji Rosli Haji Ampal (Eds.), Brunei Merdeka: Kumpulan Artikel Sempena Memperingati Sambutan 30 Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (103-129). Bandar Seri Begawan: Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


__________, (2020). Overview of Brunei Road to Independence: Issues and Challenges. Dlm Haji Awang Asbol Haji Mail, Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah, Haji Tassim Haji Abu Bakar & Haji Rosli Haji Ampal (Eds.), Kesultanan Brunei Darussalam: Koleksi Artikel Khas Disumbangkan kepada Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat Dr. Haji Awang Mohammad Jamil Al-Sufri (203-227). Bandar Seri Begawan: Persatuan Sejarah Brunei.


Sabihah Osman. (1999). Nasionalisme di Brunei, Sabah dan Sarawak. Jurnal Darussalam, Bil. 3, 66-97.


Yusop Damit. (2012). Pilihan Raya Umum di Negara Brunei Darussalam Pada Dekad 1960an: Proses dan Isu. Dlm Haji Awang Asbol Haji Mail & Awang Haji Rosli Haji Ampal (Eds.), Kemerdekaan 25 Tahun: Kumpulan Artikel Sejarah Memperingati 25 Tahun Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam (147-170). Bandar Seri Begawan: Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah & Persatuan Sejarah Brunei.


TESIS

Muhammad Hadi Abdullah. (2002). Brunei’s Political Development and The Formation of Malaysia: 1961-1967 (Tesis PhD). The University of Hull, Kingston upon Hull, East Riding of Yorkshire, England.

Tiada ulasan: