Oleh
Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali
sini saya kemukakan sebuah artikel tulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee, pensyarah
NUS Universiti Nasional Singapura. Artikel beliau bertajuk “Kewartawanan dan
Kesusasteraan A Samad Ismail Menggerak Zaman”. Isi kandungannya seperti
berikut:-
Nama
beliau banyak disebut dalam kalangan sasterawan, wartawan dan juga sejarawan.
Dalam
kalangan pendiri dan penggiat awal ASAS’50, A Samad Ismail telah diakui sebagai
“ideolog” bagi perkumpulan ini. Beliau yang ketika itu sudahpun menjadi
wartawan mapan dalam Utusan Melayu di Singapura, menjadi tokoh yang disegani
oleh beberapa pemuka yang menjadi ahli dan penggiat ASAS’50.
A
Samad Ismail, tokoh kelahiran Singapura, sebenarnya adalah nama besar dalam
dunia kewartawanan dan kesusasteraan Melayu, khasnya di Singapura dan Malaysia.
Sejarawan seperti Cheah Boon Kheng dan Kwa Chong Guan, telah memberikan
perhatian kepada sejarah perjuangan beliau. Bachtiar Djamily juga pernah
menulis biografi tentang beliau.
Sebuah
kajian peringkat Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu NUS disempurnakan oleh M
IIiya Kamsani pada tahun ini, dengan tesis berjudul “From Dissent to Consent: A
Study of A Samad Ismail’s Intellectuality and Oeuvre". Pastinya
membicarakan tokoh sebesar ini wajar, sekali gus membolehkan kita menilai
secara kritis sumbangan pemikiran para inteligensia Melayu dalam sejarah.
Kebetulan
tahun ini juga adalah 100 Tahun kelahiran bakti karya A Samad Ismail, bersamaan
juga dengan sambutan kenangan 100 Tahun untuk Pendeta Muhammad Ariff, A A Navis
dan Sitor Sitormurang. Sebuah forum bagi mengenang jasa bakti dan ilham A Samad
Ismail akan diadakan pada Sabtu, 14 Disember 2024 di Gerakbudaya, Petaling
Jaya, Malaysia.
Sesungguhnya
kita memerlukan wacana budaya yang dapat memperkenalkan pemikir, penulis dan
tokoh dalam masyarakat kita, sekali gus menilai pemikiran dan jasa bakti
mereka, biar itu suatu kekuatan mahupun kelemahan yang ada. Menghargai tokoh,
sekali gus menilai gagasan pemikiran dan tindak-tanduk mereka adalah penting
dalam kita menghargai sejarah intelektual dalam masyarakat dan negara.
Ketokohan
yang dapat kita kesani dari seorang pemikir, penulis dan pemimpin, pasti boleh
dijejaki dari suara moral-etikanya yang berani membicarakan kesenjangan sosial,
ketidakadilan, kerancuan fikiran dan kesalahpimpinan, serta wawasan kehidupan
majmuk yang menganggap Malaya (termasuk Singapura) sebagai tanah air bagi
pelbagai bangsa, keturunan, bahasa dan agama.
Begitulah
yang dapat kita kesani dari pemikiran A Samad Ismail yang tertuang di dalam
pelbagai karya beliau, yang tersebar dalam bentuk novel, cerpen, esei, pojokan
akhbar, memoir dan wawancara. Novel-novel beliau rata-rata sarat dengan pesan
kemasyarakatan. Ternyata dunia kewartawanan yang beliau jaguhi mengilhamkan
berbagai isu, permasalahan dan tantangan yang dihadapi oleh rakyat kecil.
Keprihatinan beliau inilah yang menggerakkan dunia pena untuk mengajak pembaca
tercerah dengan idea kemodenan dan pembaharuan, sama sealiran dengan laungan
ASAS’50, “Sastera untuk Masyarakat.”
A.
Samad Ismail yang lahir pada tahun 1925, mendapat
pendidikan aliran Inggeris di Sekolah Victoria. Pada zaman Jepun, beliau pernah
bekerja di Berita Malai. Pada 1941, beliau menyertai
Utusan Melayu, sebuah akhbar pertama milik Melayu sepenuhnya yang dikepalai
oleh Encik Yusof Ishak.
Beliau
pernah terjun dalam dunia politik, namun tidak begitu menyerlah. Beliau menjadi
antara pendiri awal Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1954
selain pernah menganggotai UMNO cabang Singapura pada tahun 1957.
Dalam banyak hal, penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan dan
kewartawananlah yang benar-benar membuktikan sumbangan besar beliau, sehingga
wajar kita membariskan beliau antara pemikir besar dalam sejarah intelektual
Melayu moden.
Dari
segi politik, Samad Ismail cenderung dengan aliran kiri. Pernah diperakui
beliau sebegini: “Saya mengenali konsep seperti pertentangan kelas, sosialisme
sewaktu Perang dari kalangan pendatang Indonesia yang berkumpul di Arab Street,
Jalan Sultan…Itulah tempat nadinya politik Melayu, dan para nasionalis
Indonesia sangat dominan waktu itu.”
Kewartawanan
Membangun Keintelektualan
Ayah
A Samad Ismail, yakni Haji Ismail bin Shairazi, ialah pemimpin masyarakat
Melayu-Jawa, juga seorang guru yang sering menulis dalam akhbar, selain menjadi
antara pengasas awal Kesatuan Guru Melayu Singapura. Ayah beliau sudah dari
awal akrab dengan para cerdik pandai Melayu yang berpusat di Singapura.
Itulah
yang menggalakkan A Samad Ismail masuk dalam bidang kewartawanan, sehingga
nanti menjadi wartawan dan penyunting akhbar yang sangat disegani, baik dari
akhbar Melayu dan Inggeris.
A
Samad sendiri pernah dibimbing Abdul Rahim Kajai yang terkenal sebagai “Bapa
Kewartawanan Melayu". Kajai pastinya banyak mempengaruhi A Samad Ismail
dalam keprihatinan melaporkan dalam akhbar sama senada dengan penulisan cerpen
yang digerakkan dengan niat mengajar, menegur, mengkritik dan menggagaskan idea
yang dianggap perlu diyakinkan dalam masyarakat.
Bagi
jasa bakti Kajai, A Samad Ismail, mengimbas jasa tokoh ini:
“Kajai adalah
unik bagi pengarang zamannya dan penulis seangkatan dengannya dalam hal ini.
Dia tidak hanya mengarang artikel, berkhutbah, memberi nasihat dan membuat
ulasan. Sebaliknya dia menggabungkan peranan sebagai penasihat bangsa dengan
fungsi pemberita, berinteraksi dengan pembaca dan masyarakat secara langsung,
setiap hari mendedahkan jiwa keprihatinannya atau kesedarannya dan mindanya,
kepada setiap gerak dan laku dalam masyarakatnya.”
A
Samad sendiri menyifatkan kewartawanan Melayu sedikit berbeza daripada yang
terbangun di Barat, yang umumnya bersifat profesional sebagai sebuah kerjaya.
Namun itu bukan bererti wartawan Melayu kurang kemampuannya. Malahan kondisi
masyarakat itu sendiri mencorakkan jalan perkembangan kewartawanan. Beliau
beranggapan sedemikian:
“Surat khabar
adalah alat perantaraan dan alat perhubungan yang terpenting sekali dalam
masyarakat manusia moden. Wataknya sebaga alat perantaraan dan alat perhubungan
sesama manusia lahir dari bahasa tertulis yang dipergunakannya sebagai
perantaraannya. Sekiranya manusia tidak pandai menuliskan bahasanya sendiri di
atas kertas untuk membuat perhubungan antara satu dengan lain atau untuk
menyampaikan khabar atau berita atau untuk mengemukakan pendapat dan fikirannya
maka berkuranglah satu alat perhubungan yang maha penting untuk memudahkan dan
menambahkan teraturnya penghidupan manusia.”
A
Samad yang mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu, telah memberi warna
dan roh kepada akhbar ini. Malah ia dianggap sebagai wadah untuk menyuarakan
pendapat, keresahan dan cita-cita masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sendiri
memandang tinggi kepada institusi akhbar ini, termasuk para penulis yang
bersemarak di Singapura kerana akhbar memberikan ruang untuk karya cerpen dan
puisi mereka disertakan. Dilukiskan Samad sebegini:
“Peranan dan fungsi
pengarang seperti ini dimungkinkan oleh peranan dan imej Utusan sendiri sebagai
pembela rakyat, oleh kewibawaan dan gengsi Utusan. Dan tahap ekonomi Utusan
sendiri sebagai sebuah syarikat yang kecil menolong memperkukuh fungsi itu.
Bangunan Utusan sederhana sahaja, malah tidak berbeza daripada sebuah bangunan
kedai yang usang dan berusia lanjut. Keistimewaannya ialah bangunan itu menjadi
pusat sebuah akhbar kepunyaan bangsa Melayu. Inilah ciri yang dikagumi
masyarakatnya – suatu lambang dan satu institusi kebangsaan yang belum ada
saingannya pada zaman itu terletak di tengah-tengah kota raya Singapura yang
sibuk, maju dan dinamis.”
Selain
bidang kewartawanan, A Samad juga penulis cerpen yang berbakat. Cerpen “Ah Kaw
Masuk Syurga” mengisahkan cerita tentang Ah Kaw seorang lelaki Cina yang
berlindung di rumah Melayu sewaktu zaman Jepun. Ibu dari keluarga Melayu sangat
sayang pada Ah Kaw dan beria-ria untuk menjadikan Ah Kaw “masuk Melayu.”
Dirawatnya Ah Kaw sewaktu beliau sakit, tetapi akhirnya Ah Kaw tidak sempat
memeluk Islam dan meninggal dunia.
Jatuhnya
hari kematiannya pada Jumaat. Ibu itu reda, tapi yakin Ah Kaw masuk syurga
kerana Jumaat adalah hari yang 'barokah'. Tersirat dalam cerpen ini bahawa
menerima seseorang itu sebagai sebahagian daripada keluarga dan bangsa kita
bertolak dari sikap kemanusiaan yang tidak bisa dipilah-pilah atas dasar
bangsa, agama dan keturunan.
Dalam
sebuah keratan akhbar The Singapore Standard bertarikh 6
Mei 1953, beliau menulis tentang bahasa Melayu, “The
Future of Malay Language” – yang tercantum di dalamnya sikap “Malayan” yang
inklusif, terbuka namun tidak tercabut dari persekitaran kebudayaan aslinya.
Beliau
yakin Bahasa Melayu akan berkembang menjadi perantara utama dalam pelbagai
bidang kehidupan masyarakat. Pada negara Malaya yang akan dibangunkan, ramai
yang beranggapan perlu berdiri satu bahasa yang tunggal.
Ditegaskan
bahawa itu adalah andaian yang kurang tepat kerana banyak negara yang terbina
atas kerencaman bahasa yang dimiliki penduduknya. Contohnya India, Switzerland,
Kanada dan Rusia.
Lain
perkataan, dalam soal bahasa, A Samad Ismail berseberangan dari kelompok
pendidikan Inggeris yang hanya yakin Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama untuk
Malaysia. Sedangkan dalam kalangan pejuang nasionalis Melayu, hanya Bahasa
Melayu yang wajar didaulatkan sebagai bahasa utama. Inilah penegasan yang
berani kerana beliau sendiri yakin penguasaan lebih dari satu bahasa akan
menguntungkan individu, masyarakat dan negara.
A
Samad Ismail adalah pemerhati politik dan sosial yang tajam. Dari memoirnya
berjudul Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) terkandung
banyak singgungan peribadi yang jelas membuktikan kesaksian zaman yang beliau
tempuhi.
Sehingga
akhir hayat beliau, dunia kewartawanan dan kesusasteraan dekat di hati beliau.
Banyak buku panduan menulis sebagai wartawan dihasilkannya dan beliau menjadi
penasihat dan penyunting di The Star dan New Straits Times di Malaysia. Dalam
dunia sastera pula, beliau pernah aktif dalam PENA dan mendapat Anugerah
'Hadiah Pejuang Sastera' pada tahun 1976.
Baik
penulis atau wartawan, peranan sebagai pencerah kemanusiaan dan pembicara
nurani harus sedia tampil, kerana menurut A Samad Ismail; mereka “jelas memikul
tanggungjawab terhadap masyarakat, menolongnya menyesuaikan diri dengan
perubahan dan membimbingnya ke arah kebaikan.”
Beliau
dikagumi oleh deretan tokoh kesusasteraan Melayu seperti Usman Awang, Adibah
Amin, selain barisan wartawan Melayu baik di Singapura dan Malaysia. Semoga
kenangan 100 Tahun hayat bakti pada tahun 2024
ini dapat mengingatkan kita akan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam dunia
kesusasteraan kita, membawa kesegaran ilmu dalam kewartawanan Melayu, selain
memberi warna kepada kehidupan dan pengalaman politik kita dalam mengharungi
zaman pasca kolonial yang mencabar.
Ternyata
sosok kecendiakawanan yang terkandung dalam gerak kerja A Samad Ismail,
meletakkan suatu standard tinggi yang sayugia dibangunkan dan diperluaskan
terus. Masyarakat yang membangun pastinya memerlukan saluran akhbar atau media
massa yang bebas, progresif dan terbuka. Itulah harapan A Samad Ismail kerana
bagi beliau:
“Surat khabar
dapat menimbulkan kesedaran kebangsaan pada pembaca-pembaca dari golongannya
sendiri... dapat mendidik pembaca masing-masing untuk menanam sikap dan
pandangan yang melampaui batas kaum dan golongan masing-masing…”
Semoga
bakti, tekad dan hasrat A Samad Ismail terus tumbuh mekar, khasnya dalam dunia
di mana gempuran media massa semakin menggempur dan bersaing. Dunia
kewartawanan memerlukan “bangsawan berfikir” dalam istilah Tirto Adhi Soerjo,
ataupun “inteligensia berfungsi” yang dikonsepsikan oleh Syed Hussein Alatas.
Semoga
juga forum peringatan 100 Tahun A Samad Ismail anjuran
Mastera Singapura, Nusantara Bergerak, yang sama digerakkan oleh beberapa anak
muda dalam Sahabat Sastera (Majlis Bahasa Melayu Singapura) dan Jurnal Sang
Pemula (Malaysia) akan merintis dan menggilap minat anak-anak muda untuk terus
terilham oleh para tokoh pemikir terdahulu.
Itulah
juga teladan yang telah ditunjukkan oleh A Samad Ismail. Tabik kagum kepada
beliau. Kita sudahi dengan barisan kalimat dari puisi beliau berjudul “Bicara
Dengan Teman Lama".
“Cita-cita kau
dan kita semua
Wahai
sahabatku,
Tingginya
tujuh petala langit,
Dalamnya
tujuh petala bumi,
Dunia
terbentang begitu luas
Untuk
kita berkelana,
Inilah
cabaran kita
Wahai
sahabatku.
Tanpa
mengira generasi
Tanpa
mengira keturunan
Tanpa
mengira bangsa
Kau
dan aku harus bahu membahu
Tanpa
bosan dan lesu
Tanpa
was-was dan ragu,
Merangsang
dan mengilham bangsa
Menerima
perubahan
Dalam
peralihan menuju era gemilang.”