Sabtu, 20 Mei 2023

Mak Yong, Persembahan berasal dari Patani, Selatan Thailand

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Mak Yong adalah salah satu jenis kesenian etnik Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, tari, nyanyi, dan musik dalam pementasannya. Persembahan Mak Yong berasal dari Patani, Selatan Thailand. Satu catatan terawal tentang persembahan Mak Yong ialah catatan dari Peter Flores, seorang penjelajah Eropa abad ke-17. Peter Flores menulis secara singkat tentang persembahan Mak Yong yang dia saksikan selama jamuan makan yang diberikan oleh Ratu Patani, Selatan Thailand untuk menghormati kunjungan Sultan Pahang (Malaysia) pada tahun 1612.

Pada abad ke-19, Mak Yong telah menjadi bentuk hiburan kelas atas Melayu yang dominan. Biasanya diadakan di aula penonton dengan tiga dinding dan sisi terbuka, pertunjukan akan dimulai pada jam sembilan malam dengan kedatangan para pemain dan anggota orkestra.

Pudentia MPSS, Ketua Assosiasi Tradisi Lisan dan pensyarah Universiti Indonesia menulis dalam artikalnya bertajuk “The revitalization of Mak Yong in the Malay World” dalam jurnal Wacana, Vol. 12 No. 1 (April 2010): 1-19. Beliau menulis berkenaan Mak Yong di tiga buah negara. Katanya sehingga kini, pakar tidak bersetuju dengan maksud sebenar ungkapan "Mak Yong". Walau bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa orang Eropah mula-mula mendengar kewujudannya di Patani, Selatan Thailand dalam abad ke 17 dan bahawa ia telah merebak ke Kelantan (Malaysia) sekitar 200 tahun dahulu. Bagaimanapun, di Malaysia tiada topeng digunakan seperti di tempat asal. Mak Yong dibawa ke Kelantan untuk kali pertama sebagai hadiah dari Patani untuk perkahwinan antara kedua-dua Kesultanan diantara Patani dengan Kelantan.

Patricia Matusky, dari Pusat Budaya Universiti Malaya, Kuala Lumpur menulis tentang Mak Yong dalam artikelnya bertajuk “Mak Yong Music of Malaysia: Negotiating Complex Musical Content Within Periodicity” dalam Malaysian Journal of Performing and Visual Arts, Volume 1, 2015. Katanya dalam drama tarian purba yang dikenali sebagai mak yong, berasal dari kalangan orang Melayu di wilayah timur laut Malaysia (Kelantan) dan Patani (selatan Thailand). Wujud sebuah teater rakyat yang kaya dengan cerita, tarian dan kandungan muzik. Teater ini menggunakan monolog dan dialog yang formal dan improvisasi, tarian yang digayakan, lakonan, dan muzik vokal dan instrumental.

Tambahnya, teater ini berkembang pesat pada akhir ke-19 dan sepanjang kebanyakan abad ke-20 di Kelantan, tetapi hari ini ia jarang dipersembahkan di negeri asalnya. Dahulu, taburan gaya kampung mak yong adalah meluas, terdapat di negeri-negeri Kelantan. dan Kedah (Malaysia utara), Patani (Selatan Thailand), di timur laut pantai Sumatera, dan ke selatan ke Kepulauan Riau di Indonesia di mana varian mak yong masih dipersembahkan.


Hari ini, persembahan kampung mak yong secara rasmi dilarang di negeri asalnya di Kelantan, namun ia diajar di kawasan bandar tanah air, terutamanya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Persembahan sekali-sekala juga berlaku di Teater Negara di Kuala Lumpur yang cenderung menampilkan produksi yang eklektik dalam reka bentuk pentas, kostum dan gaya tarian, dan yang juga mempamerkan persembahan yang dilatih dan glamor serta masa persembahan keseluruhan yang lebih pendek yang memenuhi keperluan penonton bandar. Terdapat beberapa tanda kemampanan yang boleh dipersoalkan hari ini, walaupun gaya muzik yang sangat kaya dan kompleks, penggunaan kostum yang tersendiri dan rumit, serta gaya tarian yang sangat bergaya dan canggih yang terhasil daripada tradisi rakyat kampung.

Ghulam Sarwar Yousof dalam Sirih Pinang Kumpulan Esei Budaya  mengatakan Mak Yong ditemui di Sumatera Utara Indonesia seperti di Serdang dan Deli. Mak Yong di Sumatra Utara ditularkan daripada rombongan Ma Yong Kedah dan Perlis yang mengembara untuk membuat persembahan di Sumatra Utara.


Mak Yog juga seperti Wayang Kulit sepatutnya masyarakat Melayu perlu mempertahankan seni budaya ini. Oleh kerana sesetengah upacara ritual dari Mak Yong dan Wayang Kulit bercanggah dengan ajaran agama Islam. Dengan itu kita perlu hapuskan upacara ritual Mak Yong dan Wayang Kulit yang bercanggah dengan agama Islam dan mengekalkan yang tidak bercanggah dengan agama Islam supaya seni budaya Melayu itu tidak lenyap dari masyarakat Melayu.


Rujukan :

 Ghulam Sarwar Yousof,Sirih Pinang: Kumpulan Esei Budaya

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka,1983.


Patricia Matusky, Mak Yong Music of Malaysia: Negotiating Complex Musical Content Within Periodicity, Malaysian Journal of Performing and Visual Arts, Volume 1, 2015.


Pudentia MPSS, The revitalization of Mak Yong in the Malay World, jurnal Wacana, Vol. 12 No. 1 (April 2010): 1-19.




Khamis, 11 Mei 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Institusi Pondok

 Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti institusi Pondok (Pesantren). Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti institusi Pondok” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti institusi Pondok. Oleh kerana kita akan bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti institusi Pondok. Sekali lagi kita lihat pandang Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani terhadap Identiti Melayu Patani : identiti institusi Pondok. Kita lihat pandangannya melalui tesisnya yang bertajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : identiti institusi Pondok adalah seperti berikut :


Pondok ialah institusi pendidikan yang mengendalikan pengajian agama Islam, di mana tuan guru diakui kepakarannya oleh penduduk Melayu tempatan (Awang Had Salleh 1977). Pondok di sini bermaksud institusi pondok yang mengendalikan pengajian agama Islam di selatan Thailand, khususnya di wilayah Pattani. Pengkaji melihatkannya sebagai salah satu identiti kerana institusi ini telah mewujudkan fenomena baru kepada masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan. Fenomena tersebut ialah mengubah Patani zaman lampau kepada pusat pendidikan agama Islam yang terkenal di Asia Tenggara. Pondok telah mengharumkan nama Patani ke dunia pendidikan agama Islam yang juga berfungsi sebagai simbol yang menunjukkan jati diri penduduk Melayu Patani.

Bentuk dan suasana dalam kawasan institusi pondok tradisional telah menjadi identiti pendidikan agama di Patani. Institusi pendidikan agama bentuk ini mempunyai pondok atau dangau kecil berdekat-dekat dan dibina dengan teratur sebagai tempat kediaman pelajar-pelajarnya. Pondok-pondok tersebut dibina di sekitar surau dan rumah tuan guru atau tok guru, dan dibahagikan kepada pondok pelajar lelaki (pondok luar) dan pondok pelajar wanita (pondok dalam). Sistem halakah yang pelajar akan melingkungi tok guru atau kepala talaah (pelajar yang dipercayai oleh tok guru) tidak dilakukan hanya di atas balai atau surau sahaja, tetapi sistem ini juga dilakukan sesama mereka di pondok-pondok untuk menambahkan lagi ilmu atau mengulang kaji pelajaran.


Selain dapat menimba ilmu, mereka juga mempraktikkannya melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan di pondok dan perkhidmatan terhadap masyarakat di sekitarnya apabila dijemput untuk menyertai majlis adat istiadat dan upacara agama. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan berbentuk seperti ini amat berkesan dan digemari oleh penduduk tempatan. Para ulama dan kitab Jawi yang berperanan di Nusantara telah menjadi bukti ketara yang dapat dilihat sehingga kini.

Pondok merupakan institusi yang berperanan dalam mendidik penduduk Melayu yang membentuk corak pemikiran dan kepercayaan terhadap agama Islam. Pondok juga membentuk dan menyebarkan adat dan kebudayaan Melayu di Patani. Selalunya tuan guru akan mengetuai upacara-upacara agama, seperti maulud, kenduri-kendara, majlis tahlil, solat jenazah, nasi baru, naik rumah baru dan lain-lain adat istiadat Melayu yang telah diubahsuaikan dengan identiti agama. Adat-istiadat tersebut dilakukan secara turun temurun dan diketuai oleh tuan guru, imam, khatib, bilal atau sesiapa sahaja yang berpendidikan agama dan dipercayai oleh masyarakat, terutamanya lulusan daripada institusi pondok.


Pondok lebih berpengaruh daripada sekolah pendidikan awam kerajaan kerana diminati ramai dan lebih sesuai dengan adat dan kebudayaan mereka. Orang yang berpendidikan agama akan diiktiraf oleh masyarakat tempatan, sebaliknya orang yang belajar di sekolah awam kerajaan dikenali dengan “mengaji Siam”. Sesetengah orang yang agak berumur sedikit akan menganggap bahawa belajar Siam adalah belajar ilmu yang bertentangan dengan Islam. Sehingga terdapat di kalangan mereka menganggap bahawa belajar Siam adalah belajar untuk menjadi orang Siam, yang membawa erti orang Buddha.

Institusi pondok masih berperanan walaupun kebanyakannya sudah berubah bentuk dan sistem pendidikan kepada Sekolah Agama Islam Swasta atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan sekolah pondok . Menurut Worawit Baru (1998), Sekolah pondok di selatan Thailand semakin hari semakin mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Islam di Thailand, terutamanya penduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan. Lulusan sekolah pondok kini memegang berbagai jawatan sama ada di sektor awam atau swasta. Namun begitu, di sebalik keuntungan yang dapat menambah dan menyebarkan pendidikan agama Islam dan kebudayaan Melayu, mereka juga menerima ancaman terhadap identiti Melayu Patani.

Institusi pondok banyak memainkan peranan terhadap masyarakat Melayu dan masih berkhidmat dengan giat, walaupun sesetengah bentuk tradisional bagi sesetengah intitusi sudah berubah. Peranan institusi pondok dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk, sama ada hasil daripada perubahannya yang dikenali dengan sekolah pondok atau madrasah, atau lain-lain bentuk sumbangannya terhadap masyarakat Patani, seperti sekolah tadika, ulama, kitab Jawi, imam, ustaz, guru tadika dan sebagainya adalah memadai untuk menganggapkannya sebagai salah satu lagi identiti yang membezakan penduduk Melayu Patani dengan masyarakat lain.


Rujukan :

Awang Had Salleh (1977). Institusi Pondok di Malaysia. Dalam Zainal Kling (ed), Masyarakat Melayu: Antara Tradisi dan Perubahan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.


Hasan Madmarn (1990). Traditional Muslim Institutions in Sounthern Thailand: A Critical Study of Islamic Education  and Arabic Influence in the Pondok and Madrasah Systems of Pattani. Ph.D. Thesis., University of Utah.


Hasan Madmarn (2001). Pondok dan Madrasah di Patani. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.


Worawit Baru @ Ahmad Idris “Pendidikan Pondok di Negara Thailand : Satu Sistem Pendidikan ke Arah Keseimbangan Insan,” Kertas kerja perbentangan Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu. York Hotel, Nanyang, Singapura, 17-18 Julai 1998.


Worawit Baru @ Ahmad Idris(1999). Dasar Kerajaan dan Kesannya Terhadap Bahasa Melayu di Negara Thai. Tesis Ph.D. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Ahad, 7 Mei 2023

Kesan Sejarah Makam Raja Legeh, Long Deraman yang sengaja dihilangkan di Kota Bharu, Kelantan.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Geopolitik persempadanan Negeri Kelantan-Negeri Legeh (Thailand) dulu tidak seperti keadaan sekarang. Sebelum perjanjian 1909 kawasan Negeri Legeh (Thailand) merangkumi Kawasan Jajahan Jeli, Kelantan, Dabung dan sebahagian dari jajahan Tanah Merah. Sebaliknya Tanah Jajahan Kelantan merangkumi yang disebut “Northeast Corner of Kelantan” sekarang ialah Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwas, Thailand.

Perubahan Sempadan Legeh-Kelantan berpunca dari Perjanjian 1909

Hubungan Negeri Kelantan-Negeri Legeh (Thailand) sangat rapat. Kerana kedua dua negeri itu bersempadan. Bahkan saki baki keturunan Raja Legeh dinasti awal masih terdapat di Kampung Legeh, Air Lanas, Jajahan Jeli, Kelantan.


Sejarah Negeri Legeh agaknya terhad di Thailand. Jika adapun hanya semasa pusat pemerintahan Negeri Legeh di Tanjung Mas (Narathiwas) saja. Sebaliknya jika sejarah Negeri Legeh semasa pusat pentadbiran di sekitar Kawasan Kelantan hanya terdapat dalam catatan sejarah Negeri Kelantan. Baik dalam Hikayat Seri Kelantan, Ringkasan cetera Kelantan, Detik Detik Sejarah Kelantan, History of Terengganu and Kelantan, Kesultanan Melayu Kelantan dan Ikhtisar Sejarah Kelantan.


Anker Rentse  menulis dalam History of Kelantan I mengatakan

 “Kelantan was probably in existence before Malacca because

 important. The earliest trade routes from Europe, Arabia and India

 went, after rounding the island of the Malay Penisular to Kelantan

 and Legeh (Patani),”


Prof Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, tokoh sejarawan Malaysia pernah cerita kepda penulis seperti berikut :-


Long Deraman adalah raja Legeh, berkuasa di Pasir Mas, Bukit Jeram, Legeh (Nik Man Bin Nik Hassan,Universiti Malaya,1987-1988, muka 45).  Beliau adalah menantu kepada Long Sulaiman, raja Kelantan yang memerintah di Kota Kubang Labu (Wakaf Bharu sekarang). Dalam satu perebutan kuasa, Long Deraman telah membunuh Long Sulaiman Selepas itu beliau telah kembali ke Legeh dan menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada iparnya yang bergelar Long Pandak (putera Long Sulung Kelantan).


Pada tahun 1758, Long Deraman membunuh pula Long Pandak kerana Long Pandak membunuh isterinya Tengku Ngah (Putri Neng Mas), yang juga merupakan adik Long Deraman. Pembunuhan Tengku Ngah itu disebabkan salah faham Long Pandak kononnya isterinya itu berzina dengan Long Ghaffar, putera raja Reman, satu daerah di hulu Perak, yang datang melawatnya pada satu ketika. Kuasa pemerintahan Kota Kubang Labu diserahkan pula kepada adik Long Pandak yang bernama Long Muhammad.


Pada 1762, Long Yunus putera Long Sulaiman dengan bantuan Long Ghaffar, telah menyerang Long Muhammad bagi mengambil kembali pemerintahan Kota Kubang Labu dan berjaya membunuh Long Muhammad dan Long Deraman yang datang membantunya. Jenazah mereka berdua dimakamkan di Gong Chapal (kini dikenali sebagai Langgar Buruk) bersebelahan Sungai Kelantan. Pada 1976, makam Long Deraman dipindahkan oleh pihak Muzium Negeri Kelantan ke Lorong Gajah Mati, Langgar Buruk, Kota Bharu kerana ancaman hakisan. 




                 Ikhsan foto Makam Longg Deraman : Radzi Shafiee

Apakah kesilapan dalam pemindahan pada tahun 1976. Siapakah pemilik tapak tanah tempat pemindahan tersebut. Dan mengapa tidah menyerah hak milik tanah kepada pihak bertanggungjawap. Sehingga tanah tersebut dipindahmilik dan dirubuh makam itu untuk dibangun bangunan. 


Dan mengapa tiada pihak yang bertanggungjawap terhadap warisan seperti pihak Muzium Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kelantan dan beberapa pihak lagi. Berusaha pemindahan makam sejarah itu dengan ditempat yan selayak denan sejarah. Setidak tidaknya contoh bagaimana Pahlawan Negeri Perak, Ngah Ibrahim Long Jaafar dan Laksamana Mohd Amin Duakap dipindah dari Perkuburan Al-Junied Singapura dibawa semadikan di Negeri Perak. Jika tapak makam Long Deraman itu adalah hak milik peribadi. Sepatutnya pihak berkaitan baik kerajaan Negeri Kelantan dan badan swasta memindahkan makam Long Deraman ke Perkuburan Pancor, di perkuburan tersebut juga Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghafar Sultan Pahang, Raja Patani disemadikan di perkuburan Pancor, Kota Bharu, Kelantan.

Makam Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghafar Sultan Pahang, Raja Patani disemadikan di perkuburan Pancor, Kota Bharu, Kelantan. 


Berita Pemindahan Makam Ngah Ibrahim Long Jaafar dan Laksamana Mohd Amin Duakap dipindah dari Perkuburan Al-Junied Singapura dibawa semadikan di Negeri Perak


Rujukan :

Anker Rentse, History of Kelantan I, JMBRAS, Vol. 12, Pt. 2,1924, P. 44

 

Nik Man Bin Nik Hassan.Sejarah Awal Kelantan Dan Long Yunus (1776-1795) : Satu Kajian Tentang Pengasasan Kesultan Kelantan.Latihan Ilmiah.1987-1988.Universiti Malaya, Malaysia. P. 26-27, 45.

Mohd Taib Osman, Hikayat Seri Kelantan(Sebuah Naskah Tulisan Tangan dari Kelantan, Tesis MA, Universiti Malaya.  p. 83-85

Jumaat, 5 Mei 2023

Salasilah Raja-Raja Patani

Oleh Nik Abul Rakib Bin Nik Hassan


Tedapat sedikit pebezaan salasilah Raja-Raja Patani. Ini kemungkinan berpunca dari seorang Raja tetapi ada dua nama. Terdapat Tiga nama telah disebutkan oleh empat sumber berlainan iaitu Phya Tu Nakpa (mengikut sumber Hikayat Patani), Anthira Wangsa (Catera Negeri Pattani dan Tarikh Pattani) dan Cau Seri Bangsa (Sejarah Melayu). Seperti yang tersebut kemungkinan seorang Raja tetapi dua nama dua nama gelaran.


Begitu juga dengan nama Islamnya setelah memeluk agama Islam. Terdapt dua nama iaitu Sultan Ismail Syah dan Sultan Muhammad Syah. Dan perbezaan ini boleh diselesaikan dengan melihat beberapa persamaan. Pertama, kesemua mereka dilaporkan adalah asalnya Raja di Kota Mahligai dan kemudian membuka Negeri Patani dan memeluk Islam. Sejarah Melayu melaporkan Raja tersebut ialah Cau Seri Bangsa, sedangkan Hikayat Patani melaporkan Raja tersebut ialah Raja Indera (Anthira) Wangsa, manakala Tarikh Patani menyebutnya sebagai Raja Anthiradha Wangsa.


Sedangkan kebanyakan pengkaji yang menerima Phya Tu Nakpa yang disebut oleh Hikayat Patani, dikatakan Raja Patani yang zahir beberapa ratus tahun kemudian, tetapi dari keturunan yang sama. Sehingga kini belum ditentukan dengan jelas siapakah nama sebenarnya Raja Kota Mahligai yang membuka Patani dan memeluk Islam itu.


Ada sedikit perbezaan mengenai salasilah Raja-raja atau dinasti awal yang membuka negeri Patani. Perbezaan itu dapat dilihat berdasarkan dua sumber utama iaitu sumber Hikayat Patani oleh Teuuw & Wyatt dan sumber Sejarah Kerajaan Melayu Patani oleh Ibrahim Syukri. Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui rajah-rajah tesis sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. seperti berikut:

  

Rujukan :

Ibrahim Syukri (1985). History of The Malay Kingdom of Patani. Athens : Ohio University.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Siti Hawa Haji Salleh (1992). Hikayat Patani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


Nik Anuar Nik Mahmud (1999). Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954,Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rabu, 3 Mei 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Sejarah. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti Sejarah Pataninya. Oleh kerana kita akan bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti Sejarah. Sekali lagi kita lihat pandang Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani terhadap Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah. Kita lihat pandangannya melalui tesisnya yang bertajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa adalah seperti berikut :

Sejarah adalah zaman lampau bagi setiap masyarakat. Sejarah tidak akan bererti sekiranya sesuatu masyarakat dapat melupai zaman lampaunya sendiri, dan tidak ada mana-mana kelompok etnik pun yang dapat mengubahkan realiti sejarah sendiri, malahan lagi sejarah masyarakat lain. Masyarakat-masyarakat di dunia ini sama ada masyarakat Cina, Melayu, Negro, Yahudi, Perancis, masyarakat Amerika yang berketurunan Inggeris dan lain-lain masyarakat lagi, kesemuanya mempunyai kesedaran terhadap sejarah kelompok etnik masing-masing. Walaupun mereka mempunyai hubungan dengan sejarah negeri yang didiami, namun begitu mereka tidak akan melupakan sejarah kelompok etniknya sendiri (Suthasat, A. 1976: 105-106).


Begitu juga masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, sejarah kerajaan Melayu dicerita secara lisan, lebih-lebih lagi sejarah zaman kerajaan Melayu Patani. Kerana pada zaman itu terdapat banyak kesan-kesan lama yang masih dapat dilihat sehingga sekarang, contohnya masjid Gerisik yang menegak di tepi lebuh raya Pattani-Naratiwat, Masjid Teluk Manok, Masjid Raja Cabang Tiga, Masjid Tanjung Datok, Tempat menuang Meriam Besar,  makam-makam raja pemerintah Patani, makam Tok Panjang, makam-makam para ulama dan sebagainya.

 Kadang kala sejarah dicerita dalam bentuk lagenda, seperti cerita lagenda Tok Panjang yang melanggar perintah Raja yang akhirnya dihukum bunuh dan dibuang ke dalam sungai Parit. Apabila ditarik untuk mengebumikannya, mayat tersebut menjadi panjang, lalu makamnya lebih panjang daripada makam-makam biasa. Terdapat banyak lagi cerita yang terbenam dalam kenangan masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan. Cerita-cerita tersebut akan dicerita pula kepada anak cucunya kerana mereka dapat menghibur di samping mengetahui dan menikmati sejarah kegemilangan nenek moyangnya.


Golongan yang berpendidikan dapat mengetahui sejarah kerajaan Melayu daripada beberapa buah buku, sama ada buku sejarah karya orang Melayu sendiri, kajian sarjana orang Buddha di Thailand dan kajian orang asing. Beberapa buku yang mencerita tentang sejarah kerajaan Melayu yang bertapak di Patani seperti, Hikayat Patani (1970) oleh Teeuw, A & Wyatt (bahasa Inggeris dan Melayu), History of The Malay Kingdom of Patani (1985) oleh Ibrahim Syukri (versi Inggeri dan Melayu), Patani dahulu dan Sekarang (1977) oleh A. Bangnara (versi asalnya bahasa Thai), Pattani: Trade and Politics in The Past (1998) oleh Khrongchai Hatta (bahasa Thai) dan sebagainya.

Buku-buku ini boleh didapati di kedai atau perpustakaan yang berada di Thailand atau luar negara. Maklumat daripada bahan-bahan tersebut boleh dibandingkan dengan kesan-kesan sejarah sama ada kesan sejarah zaman Langkasuka yang berada di daerah Yarang dan zaman kerajaan Melayu Patani yang boleh dijumpai di merata tempat. Mereka juga dapat menghubungkaitkannya dengan kesan-kesan di luar Patani, seperti prasasti yang berada di Segenting Kera, kubu pertahanan yang berada di wilayah Songkhla dan sebagainya. Buku-buku sejarah kerajaan Melayu dan kesan-kesan lama juga merangsangkan untuk mengetahui tentang kerajaan Melayu lain seperti kerajaan Ligor, Senggora, Phatalung dan kerajaan-kerajaan Melayu yang berpengaruh di Nusantara seperti Sriwijaya, Majapahit, Melaka, Pahang dan Kelantan yang pernah bergabung dengan Patani.


Buku-buku tersebut tersebut telah membuktikan bahawa di kawasan wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian daripada Songkhla sekarang pernah mempunyai kerajaan tersendiri. Kerajaan yang pernah menjadi pusat perdagangan, pendidikan agama dan kebudayaan. Dalam sejarah Patani telah menceritakan tentang perjuangan Raja-raja dan rakyatnya pada zaman lampau untuk mempertahankan tanah kelahirannya daripada musuh yang selalu mengancam Patani, dan berbagai cerita lagi yang membanggakan penduduk Melayu Patani terhadap sejarahnya.

Menurut Bunnaq, Piyanat (2003: 29-40), Patani dalam sejarah Thailand agak berbeza daripada sumber sejarah karya penulis Melayu. Sebagai contoh, sejarah Thailand menyebutkan bahawa Patani menjadi negeri di bawah naungan Thailand sejak zaman Sukhothai lagi. Beberapa kali pemimpin dan rakyat Patani menentang Siam, tetapi dianggap oleh pihak kerajaan sebagai pemberontakan, sementara pihak Melayu pula menganggap sebagai perjuangan untuk mendapatkan kebebasan dan kedaulatan. Mengikut beliau, anggapan seperti ini adalah suatu kebiasaan apabila dilihat dari aspek persepsi negeri jajahan dan negeri di bawah naungan. Walau bagaimanapun kebanggaan terhadap sejarah Patani dan kesedaran terhadap kebebasan Patani pada zaman lampau telah menunjukkan reaksi penduduk tempatan terhadap Bangkok.


Perasaan ini juga berterusan selepas Siam menukarkan sistem pemerintahan kepada demokrasi. Keadaan seperti ini telah menyebabkan penduduk Melayu merasai dirinya bukan puak kerajaan. Beliau telah memberi tanda tanya bahawa, dalam menentukan dasar-dasar terhadap peduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, adakah kerajaan telah meneliti atau memahami aspek kekuatan identiti sejarah dengan baik.

Sejarah adalah sauh kepada tradisi kebudayaan Melayu Patani. Kesan-kesan lama, tokoh-tokoh zaman dahulu yang terkenal dan buku-buku sejarah berperanan untuk mengenalkan diri mereka. Faktor-faktor ini telah menyebabkan sejarah masih hidup dalam fikiran mereka. Oleh itu agak sukar untuk memaksa supaya mereka melupakan sejarah kelompok etnik mereka sendiri kerana setiap kelompok etnik tidak akan melupakan sejarah masyarakat sendiri. Usaha untuk mengkaji dan memahami sejarah antara satu sama lain adalah salah satu pendekatan untuk mengelak daripada perpecahan dalam masyarakat majmuk.


Rujukan :

Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit – Patchuban (Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom  Saengthearn.


___________ (1977). Patani dahulu dan sekarang. Patani : Penal Penyelidikan Angkatan al-Patani.


Bunnaq, Piyanat (2003). Nayobai Karn Pokkhrong Khong Rattabarn Thai To Chao Thai Muslim Nai Changwad Chaidean Phak Tai (2475-2475). (Dasar Pemerintahan Kerajaan Thailand Terhadap Orang Islam di Wilayah Sempadan Selatan 1932-1976). Bangkok : Chulalongkorn University.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Suthasat, Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si Changwat Phaktai.  (Masalah Pertelingkahan di Empat Wilayah Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.


_____________ (1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn University.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


Isnin, 1 Mei 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Agama

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Agama. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Agama” ini kita boleh lihat bagamana identity Melayu Patani khususnya identity agama melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. An sekarang Sdr Zawawee Pakda Ameen bertugas di di Prince of Songkla University Kampus Pattani. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Agama adalah seperti berikut :

Agama adalah identiti terpenting bagi setiap kelompok etnik. Agama boleh membezakan antara satu sama lain dan agama dapat menyatupadukan masyarakat, walaupun anggota dalam masyarakat tersebut berlatar belakang daripada etnik yang berlainan. Agama akan mempengaruhi atau menentukan identiti-identiti dalam kelompok etnik dan agama juga merupakan unsur yang penting dalam hubungan antara etnik.


Agama Islam berbeza dengan agama-agama lain. Peranan agama Islam bukan hanya mempengaruhi identiti-identiti lain dalam kelompok etnik, tetapi agama Islam telah menentukan setiap tingkah laku dan kepercayaan manusia. Ajaran agama Islam merangkumi setiap bidang ilmu di dunia ini, sama ada ilmu sains, sains sosial, kemanusiaan, ekonomi, peradaban dan lain-lain. Setiap kelakuan dan pemikiran manusia dikawal oleh agama Islam. Penganut agama Islam mesti mematuhi setiap perintah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu orang Islam tidak boleh mengamalkan apa saja yang bertentangan dengan agama Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus... .”


  (Surah al-Bayyinah 98 : 5)


Agama telah memberi identiti keagamaan kepada etnik tertentu. Identiti agama adalah kemuncak yang penganut Islam di seluruh dunia sanggup mempertahankan sehabis-habisnya, walaupun orang Islam di kawasan tersebut berstatus sebagai etnik majoriti seperti Malaysia atau etnik minoriti seperti di Thailand atau Cina. Penganut Islam akan menyesuaikan unsur-unsur asing dengan kebudayaan asal yang dianggap tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah rasulullah s.a.w.


Pengaruh Islam di Patani juga membezakan antara kelompok etnik dalam setiap segi dengan ketara. Panggilan sesuatu kelompok juga berbeza dan membawa erti tersendiri bagi setiap kelompok etnik. Contohnya istilah “Orang Melayu” yang digunakan di dalam masyarakat Melayu di Thailand adalah bermaksud orang Islam. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1991) menyatakan bahawa kesan perjalanan sejarah telah menjadikan nama Melayu sebagai identiti kelompok beragama Islam dan berbeza dengan orang yang masih lagi beragama tradisi atau animisme.

Oleh itu istilah “masuk Melayu” dalam masyarakat Melayu Patani adalah memeluk agama Islam. Perkataan “orang Melayu”, “orang Siam” dan “orang Thai” digunakan dalam situasi yang berbeza dan memberi makna atau perasaan yang berlainan. Apabila berinteraksi sesama Melayu, mereka akan memanggil dirinya “orang Nayu” atau “orang Melayu”. Mereka akan merasai tidak senang hati atau marah apabila dipanggil “Orang Siam” kerana dalam masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, orang Siam digunakan untuk kelompok majoriti negara iaitu orang yang beragama Buddha. Sementara “orang Thai” pula digunakan dalam situasi rasmi kerajaan yang merujuk kepada semua rakyat Thailand termasuk kelompok etnik Melayu, untuk menunjukkan bahawa secara rasminya mereka berbangsa Thai dan berwarganegara Thai.

Oleh yang demikian, setiap perlakuan etnik Melayu mesti diselaraskan dengan tuntutan agama Islam. Di Wilayah Sempadan Selatan, setiap identiti Melayu sama ada identiti bahasa, identiti kebudayaan, identiti sejarah atau identiti pondok berasaskan agama Islam. Jika terdapat diantaranya bercanggah dengan agama Islam, maka tidak akan diterima oleh masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan dan dipandang sebagai  suatu keganjilan oleh masyarakat.


Rujukan:

Ensiklopedia sejarah dan kebudayaan Melayu.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka , 1991.

Ahad, 30 April 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Bahasa. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti Bahasa Melayunya. Kali ini kita bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti Bahasa. dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Sdr Zawawee Pakda Ameen pernah menjabat sebagai Ketua Jurusan Pengajian Melayu di Prince of Songkla University Kampus Pattani. Sekarang Jurusan Pengajian Melayu bergabung dengan Jurusan Bahasa Melayu menjadi Jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa adalah seperti berikut :

Bahasa Melayu adalah satu lagi identiti yang dapat dilihat dengan jelas dan membezakan identiti penduduk minoriti dengan identiti penduduk majoriti. Orang yang bercakap bahasa Melayu dialek Patani dengan baik dihipotesis bahawa mereka adalah orang Islam. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Patani tidak dapat diasingkan dengan orang Melayu kerana merupakan harta warisan turun temurun daripada nenek moyang mereka. Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang mereka boleh bercakap dan mereka menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar untuk mempelajari ilmu agama yang merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam. Sementra ilmu agama boleh dipelajari dari institusi keluarga, sekolah tadika, masjid, pondok dan madrasah. Oleh itu bahasa Melayu di Patani tidak akan terhakis sekiranya anak cucunya masih berpendidikan Islam.


Bahasa adalah satu sistem bunyi yang arbitrari yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi (Nor Hisham Osman 2002: 1). Kebudayaan itu hidup atau boleh diamalkan kerana adanya bahasa sebagai alat komunikasi. Sebenarnya bahasa merupakan sebahagian daripada kebudayaan. Selalunya orang yang menggunakan bahasa yang berbeza akan memiliki kepercayaan dan cara hidup berlainan, atau boleh dikatakan bahawa bahasa itu boleh menentukan kelompok etnik. Bahasa lebih istimewa daripada kebudayaan lain kerana pengucapan budaya melalui bahasa. Melalui bahasa kita dapat memahami zaman lampau, zaman sekarang dan akan datang. Bahasa membolehkan kita memahami orang lain dan melalui bahasa juga kita berinteraksi dan menukar fikiran antara satu sama lain (Suthasat, A. 1976: 144-145).

Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan oleh majoriti penduduk di Wilayah Sempadan Selatan dan merupakan bahasa kebangsaan negara  Malaysia, Indonesia dan Brunei. Mengikut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (1996: 5-7),  Bahasa Melayu adalah satu daripada kira-kira 200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga bahasa Austronesia. Penutur asalnya ialah mereka yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau, dan di Sumatera.


Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) di Nusantara berzaman-zaman. Bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk pendatang asing, seperti pedagang-pedagang dan pengambara-pengembara dari Eropah, Asia Barat, India dan Cina. Dalam tulisan Cina pada antara tahun 644 dan 645 yang menyebutkan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negeri Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina, adalah bukti terawal yang menyatakan bahawa terdapat kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan. Sementara bukti konkrit pertama mengenai bentuk dan sifat bahasa Melayu terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang bentuk dan susunan tulisannya dapat dikatakan bahasa Melayu.

Mengikut Prachonpacchanuk, P. (1973: 34-35), pada sekitar tahun 1973, kebanyakan penduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan kecuali wilayah Setul dan Songkhla, tidak boleh bercakap bahasa Thai. Mereka yang boleh berbahasa Thai pula lebih suka menggunakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila berinteraksi sesama mereka. Suthasat, A.  (1982: 20-21) menghuraikan bahawa bahasa Melayu telah sebati dengan struktur masyarakat dan pemikiran penduduk Melayu di Patani. Bahasa Melayu dijumpai dalam bentuk peribahasa, sastera, simbol-simbol, filsafah kehidupan dan semua nama-nama, adalah berhubung kait dengan bahasa Melayu.


Oleh itu tidak boleh sama sekali memaksa mereka meninggalkan bahasa Melayu kerana perbuatan tersebut sama seperti meninggalkan semua identiti. Dengan sebab ini juga mereka memanggilkan dirinya orang Melayu. Pengakuan seperti ini adalah cara menunjukkan identiti etnik yang paling selesa. Agak sukar juga bagi penduduk Melayu yang tidak berpendidikan untuk memahami pengertian bangsa. Cara yang paling senang untuk menunjukkan bahawa siapa mereka itu adalah bahasa yang digunakan seharian.

Bahasa Melayu melalui tulisan Jawi telah menjadi perantara untuk penyebaran agama Islam di Wilayah Sempadan Selatan. Penduduk Melayu menggunakannya sebagai bahasa bertutur untuk pendidikan agama Islam sama ada di rumah, masjid, pondok dan lain-lain majlis pengajian agama. Kebanyakan buku-buku agama juga ditulis dengan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Fraser Thomas, M. (1960: 16) telah menghuraikan tentang penggunaan bahasa penduduk Melayu Patani bahawa “Everything that is written in Malay is in the Standard Malay using Jawi (modified Arabic) characters”.


Mereka menggariskan Tulisan Jawi sebagai tulisan kedua yang mesti dihormati, selain tulisan Arab. Menurut Suthasat, A. (1976: 148), terdapat sesetengah penduduk Melayu menganggap bahawa bahasa Melayu tulisan Jawi adalah bahasa agama yang mesti dihormati dan tidak boleh diletak di tempat rendah atau melangkahnya.


Bahasa Melayu Dialek Patani juga dituturkan oleh peniaga-peniaga Cina dan India yang berniaga di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat. Mereka dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik, di samping itu terdapat juga yang mengamalkan sesetengah adat dan kebudayaan Melayu. Pada 29 Disember 2003, pengkaji pergi membeli kain sarong di sebuah kedai orang Cina di bandar Yala. Di kedai tersebut ada dijual pakaian, termasuk pakaian Melayu. Pengkaji mendapati bahawa kedua-dua orang penjual Cina memakai kain sarong.


Mereka dapat bercakap bahasa Melayu Dialek Patani dengan baik, apa yang menarik ialah apabila membayar duit, penjual Cina itu memberi kain serta angkat lafaz jual beli dengan perkataan “jual” yang difahamkan tentang kebudayaan Melayu sebagai lafaz akad jual beli. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu amat penting bagi peniaga-peniaga di kawasan ini. Bahasa Melayu dapat menambahkan keuntungan dan membolehkan perniagaannya berlangsung.

Begitu juga dengan pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan yang bertugas di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat yang boleh bercakap bahasa Melayu dapat berkhidmat dengan baik dan lebih memahami kebudayaan penduduk tempatan. Sekarang tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat banyak lagi orang Melayu yang tidak boleh bertutur bahasa Thai, terutama golongan tua yang berumur sekitar 50 tahun ke atas.


Selalunya golongan yang tidak tahu bahasa Thai akan menghadapi berbagai masalah apabila mereka pergi membuat urusan di pejabat-pejabat kerajaan, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan pegawai yang tidak pandai bahasa Melayu. Kadang-kadang prosesnya menjadi lambat dan kadang-kadang menyebabkan urusannya gagal dan mesti mencari pembantu yang boleh berbahasa Thai. Keadaan seperti ini menyebabkan mereka terasa segan dan mengasingkan diri daripada kerajaan. Hasil daripadanya juga amat bercanggah dengan dasar kerajaan Thailand yang berusaha untuk menyatupadukan rakyatnya.  


Identiti amat penting untuk berinteraksi antara ahli dalam etnik dan juga antara kelompok etnik. Identiti-identiti lain tidak akan bergerak sekiranya tidak ada bahasa. Melalui bahasa dapat menyatupadukan etnik dan juga sebaliknya. Bahasa amat perlu bagi setiap kelompok etnik untuk membezakannya dengan kelompok etnik lain, dan bukan setiap kelainan akan membawa kepada perpecahan. Kelainan dalam sesuatu negara juga dapat menjadi alat untuk pembangunan dan kestabilan negara.


Rujukan :

Fraser Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand. New York : Cornell University Press.


Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (1996). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Nor Hisham Osman (2002). Sosiolinguistik dan Kepelbagaian Bahasa. Selangor : Al-Hikmah Sdn. Bhd.


Fraser Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand. New York : Cornell University Press.


_______________ (1966). Fisherman of South Thailand: The Malay Village in Southern Thailand. New York : Holt, Rinehart and Winston.


Suthasat, Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si Changwat Phaktai.  (Masalah Pertelingkahan di Empat Wilayah Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.


_____________ (1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn University.


_____________ (1982).“Itiphol Khong Sasna Lae Wattanatham To Panha Si Changwat Phaktai”. (Pengaruh Agama dan Kebudayaan Terhadap Masalah di Empat Wilayah Selatan). Warasarn Karn Suksa Haengchat. 16 (Mac) : 20-21.


_____________ (1986). Phanha Karn Muang Suan Phumipark Lae Chon Klumnoy. (Masalah Politik Tempatan dan Klompak Etnik Minoriti). Bangkok : Sukhothaithammathirach University.