Selasa, 18 Februari 2025

Ghazal Johor, Negeri Dimasyhur

Oleh Nik Abdul Rakib Nik Hassan

Kali ini akan kemukakan sebuah tulisan Dr Azhar Ibrahim Alwee, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Dan beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura. Tulisan beliau berkenan dengan alat muzik Melayu iaitu Ghazal. Isi kandungannya adalah seperti berikut:-


Ghazal Johor, Negeri Dimasyhur.

Lagu Melayu tradisional mendapat nafas penyusunan yang lebih seragam sejak dekad-dekad terakhir abad ke-19.


Pengaruh Barat yang masuk melalui kolonialisme memperkenalkan bukan sahaja alat muzik Barat kepada 'repertoire' (koleksi) muzik Melayu, ia juga memperkenalkan notasi muzik serta cara mengatur secara berkumpulan dalam bentuk orkes, kombo, dan kemudian kugiran.


Di negeri Johor, setelah muzik ghazal diperkenal dan dibangunkan, ia menjadi salah satu genre “terbaharu” dalam senarai muzik Melayu tradisional. Muzik ghazal ini adalah kombinasi dendangan kesultanan Istana Johor-Riau, dengan unsur muzik Parsi, Hindustan dari India.


Genre muzik ini mendapat sambutan di merata Johor kerana ia dinaungi para pembesar Johor. Datuk Bentara Luar Johor, Datuk Mohd Salleh bin Perang (1841-1915) disebut sebagai tokoh yang giat memperkenalkan muzik ini ke beberapa daerah dalam negeri Johor di peringkat awal.


Terbangunnya negeri Johor moden, sekali gus memerlukan identiti baharu serta ragam budaya yang seiring dengan kemodenan itu. Ghazal dan kemudian keroncong diperkenalkan dan mendapat sambutan di negeri tersebut, khasnya pada abad ke-20, dan bertahan sehingga ke hari ini.

                            Datuk Muhammad Salleh bin Perang

Asal Usul Ghazal Johor

Hari ini tarian dan muzik zapin semakin ligat mendapat tempat dalam kegiatan kebudayaan Melayu Johor. Kegiatan kebudayaan di Johor mendapat tempat kerana sejak dari awal ia dianugerahkan naungan dan dukungan oleh para pembesar negeri itu. Yayasan Warisan Johor, yang ditubuhkan sejak 1988 kini memiliki prasarana yang baik dalam melestarikan kegiatan kebudayaan di negeri itu.


Semangat dan kemampuan untuk berpersatuan dan berkumpul dalam pertubuhan budaya, dapat kita jejaki dalam penubuhan sebuah kumpulan seni muzik di Johor. Kumpulan “Jemaah Kampong Bharu Ghazal” yang berpusat di Johor Bahru adalah kumpulan ghazal terawal di negeri itu.


Asalnya kumpulan ghazal ini dipimpin oleh Ungku Abdul Aziz bin Ungku Madjid, Menteri Besar Johor yang ke-6, bersama dengan pembesar yang lain dengan nama asalnya “Seri Pelangi Ghazal”pada 1910.


Apabila Kapten Musa bin Yusof, atau lebih dikenali sebagai Pak Lomak, mengambil alih kumpulan ini, ia diberikan nama baharu, Kumpulan Jemaah Kampong Bahru. Wan Muhammad Ibrahim menjadi pengurusnya. Kumpulan ini banyak diundang merata Johor termasuk ke Singapura.


Ghazal Johor walaupun dikatakan mendapat inspirasi daripada ghazal yang dimainkan di benua kecil India, namun dari alun, bentuk dan rentak sudah sangat Melayu sifatnya. Muzik ghazal, yang memiliki rentak Parsi-India, sebenarnya sudah melalui proses lokalisasi. Yang paling menonjol ialah liriknya dari rangkap pantun, sebagaimana juga dengan muzik Melayu yang lain seperti lagu asli, dondang sayang dan zapin yang menggunakan pantun sebagai lirik.


Umumnya pantun-pantun ini berpesan kepada nilai hidup yang harus berbudi atau mengungkap perasaan manusia yang hidup berkasih, berbahagi dan berpisah. Ghazal “Pulau Pisang” yang pernah dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza, berpantun begini:


“Pulau pisang rumahnya api

Pedoman kapal belayar malam

Sebelum ajal berpantang mati

Walau tercampak ke lautan dalam


Pedoman kapal belayar malam

Sarat bermuat buah keranji

Walau tercampak ke lautan dalam

Tidak ku lupa segala janji.”


Sememangnya Pulau Pisang terletak di barat daya perairan Johor, menempatkan sebuah rumah api yang membantu pelayaran kapal di Selat Melaka. Lagu ghazal ini tercipta pada 1949 oleh Awang bin Mohamad dari Api Api Pontian, serta ahli kumpulan ghazal Sri Banang Batu Pahat. Lagu ini pernah dinyanyikan Kamariah Noor, Rosiah Chik dan beberapa yang lain, dengan langgam ghazal mahupun nada asli.


Dari Lagu Negeri Ditahu

Satu sisi yang menarik tentang ghazal Johor, bukan sahaja ia sebagai seni nyanyian dan hiburan, ia mengandung lirik yang sangat memberi pengetahun “geografik” tentang daerah, tempat dan peristiwa di negeri Johor.


Lagu-lagu ghazal yang dibawakan ini sering menyebut tentang daerah dan tempat di negeri Johor. Perhatikan sahaja beberapa judul lagu ghazal yang popular, seperti Kuala Sedeli, Seri Mersing, Gunung Banang, Sri Pontian, Kuala Endau Tanjung Pelepas, Gunung Panti, Bukit Melati, Pasir Pelangi. Ini semua adalah nama-nama tempat terkenal di negeri Johor.


Dengan ghazal dinyanyikan di merata negeri Johor, lagu-lagu ini sekali gus berfungsi sebagai pemberita nama tempat di sekitar negeri Johor. Bayangkan di era yang sebelum wujud alat komunikasi dan belum pula berkembang pesat, lagu-lagu ini memainkan peranan sebagai lantunan lagu yang memperkenalkan anak-anak negeri Johor kepada daerah satu sama lain.


Pak Lomak Pelemak Ghazal

Menarik diperhatikan bahawa dalam pemodenan Johor, ia juga merangkumi bidang seni budaya serta kemajuan bahasa. Ini satu perkembangan baik, memandangkan kemajuan kebudayaan masyarakat harus berjalan seiringan dengan kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri.


Dapat kita bayangkan juga adanya pembesar yang memiliki selera budaya yang tinggi, sekali gus mendatangkan faedah besar kepada kepedulian membangunkan seni budaya sebagai salah satu hidup berkemajuan.


Johor pastinya beruntung kerana memiliki pembesar negeri yang berminat terhadap seni kebudayaan. Kecenderungan Datuk Bentara Luar adalah satu contoh terbaik. Ini tertumpah pula kepada cucunda beliau, yakni Pak Lomak. Nama Pak Lomak diiktiraf sebagai pengembang Ghazal Johor. Beliau seorang kapten dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). Dari ilham beliau lahir judul-judul lagu yang mengambil nama sempena tempat-tempat yang terkenal di Johor, seperti Kuala Sedeli, Seri Mersing, Puteri Ledang, Gunung Banang, Seri Muar, Seri Pontian dan banyak lagi.


Bayangkan sewaktu kumpulan ghazal bergerak di merata negeri Johor, lagu- lagu ghazal ini sering menyebut nama-nama tempat. Ia secara tidak langsung menjadi sumber pengikat kepada rakyat Johor, yang sudahpun terkenal dengan sikap kenegeriannya yang padu.


Antara karangan Pak Lomak yang terkenal ialah Gunung Banang. Lagu Gunung Banang ini, termaklum dinyanyikan dalam rentak asli dan ghazal. Gunung Banang adalah sebuah gunung yang terletak di Batu Pahat. Dipercayai lagu ini dicipta oleh Pak Lomak pada 1932. Lirik lagu ini berpantun begini:


“Gunung Banang tinggilah menawan

Nampaklah dari Gununglah Soga

Bila kupandang wajahmu tuan

Bagai kupandang pintunya syurga


Selat Melaka airnya tenang

Banyak berlabuh perahu Bugis

Orang yang jauh jangan dikenang

Kalau dikenang tentu menangis”


Lagu ghazal yang popular ini sudah banyak versinya sehingga ke hari ini. Pantunnya cantik dan halus. Bagi Pak Lomak, antara yang mendasar dalam lagu Melayu itu adalah melantun pantun atau lirik dengan jelas dan menarik. Beliau pernah menyebutnya begini:


“Pantun itulah mustahak hendak didengar orang kerana “lidah (perkataan) itu lebih tajam daripada pedang” bukannya (lidah penyanyi). Bagaimana orang menyanyi lagu dondang sayang hingga sampai tiga hari tiga malam bukan sekali lagu itu, ialah kerana pantun-pantun yang sedap-sedap yang menyedihkan hati, menyukakan hati sehingga ada pula yang melekatkan hati.”


Dari Gunung Banang ini, terbit pula sebuah lagu berjudul Seri Banang, yang mungkin mengambil nama sempena gunung tersebut juga. Yang sering menggema dalam nada ghazal bawaan Rojer Kajol, yang berpantun begini:


“Layang-layang bertali benang

Putuslah benang tali belati

Siang dan malam duduk mengenang

Orang dikenang tak ambil peduli


Putuslah benang tali belati

Melayang sampai ke hujung sana

Orang dikenang tak ambil peduli

Alamat saya hiduplah merana.”


Versi lagu ini nyanyian Sharifah Aini dengan nada asli liriknya berpantun begini pula:


“Putus layang dibawah bayu

Jatuh tersangkut di pohon jati

Apa dikenang kisah yang layu

Patahlah tumbuh hilang berganti”


Putus sudah layang dilanggan

Dibawak angin jauh sekali

Kisah yang lama jadi kenangan

Janganlah sampai berulang lagi”


Malah ada juga filem Melayu 'Puteri Gunung Banang' terbitan pada tahun 1956 oleh Malay Film Production di Singapura.


Ghazal Masih Menggema

Hari ini perkumpulan ghazal bercambah di merata Johor. Usaha merakam lagu-lagu ghazal yang bertaburan di Johor telah diusahakan oleh Universiti Malaya pada 1960-an. Pasti ghazal terus berkembang sehingga hari ini, dan wajar juga menjejaki pantun-pantun yang dilantunkan sebagai lirik.


Hari ini terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan tentang muzik ghazal. Salah satu daripadanya ialah buku 'Ghazal Melayu Johor' oleh Rohaya Ahmad, diterbitkan pada 2007 oleh Yayasan Warisan Johor.


Kini festival ghazal diadakan dari semasa ke semasa, selain pertandingan menyanyi ghazal, menari zapin dan mendendangkan keroncong. Yang menariknya anak-anak muda dilibatkan secara aktif.


Malah menarik kalau diperhatikan nama-nama para penyanyi yang versatil menyanyikan lagu-lagu baharu dengan lagu-lagu tradisional. Negeri Johor sendiri adalah tanah kelahiran bagi beberapa penyanyi wanita yang terkenal dengan kemampuan mendendangkan lagu-lagu tradisional seperti Rosiah Chik, Sharifah Aini, Mas Idayu, Noraniza Idris, Rohana Jalil, Norma Kadir dan ramai lagi.

Selain ghazal, Johor juga terkenal dengan zapin, sama ada dalam bentuk muzik dan tarian. Lagu zapin pun berlirik pantun. Lagu “Yaladan” dendangan Ahmad Fadzil yang terkenal dengan gambusnya, bergandingan dengan Sharifah Aini, membawa lagu berlirik pantun ini:


“Jangan diturut resmi lalang

Baik diturut resmi padi

Meninggi diri dibenci orang

Budi bahasa kini dicari


Baik baik pegang kemudi

Janganlah sampai terlanggar karam

Baiklah baik kita berbudi

Janganlah sampai dikata orang”


Inilah yang boleh dikatakan sebagai kebudayaan berseni yang kaya dan akan tercantum pesan dan hiburan, dengan estetikanya membuka kepuasan dalaman dan kebanggaan identiti.


Negeri Johor, baik masyarakatnya dan kepimpinannya, meletakkan seni budaya sebagai penyeri identiti, sehingga ia menjadi penakrif kepada jati diri mereka. Dari pantun-pantun dalam lirik ghazal, ia menyebut dan menyanjungi negeri dan Sultannya menjadi sesuatu yang agak lazim.


Inilah juga yang dapat kita telusuri dari lagu terkenal yang berjudul “Tajuk Johor Tanjung Puteri.” Lagu ini dicipta oleh Encik Ali bin Othman, yang juga salah seorang cucu Datuk Bentara Luar Johor. Beliau pemuzik dan penggubah lagu yang tersohor di zamannya dan mempunyai orkesnya tersendiri.


Lagu Tanjung Puteri didendangkan dalam nada ghazal sering berkumandang dalam majlis-majlis negeri. Lagu ini pernah dirakam oleh Aziz Ahmad, penyanyi asal Singapura pada 1980-an.


“Tajuk Johor Tanjung Puteri

Selat Tebrau airnya biru

Di Pantai Lido tepian mandi

Sepanjang masa dihari minggu


Atas bukit Tanjung Puteri

Taman hiburan indah berseri

Pemandangan menawan hati

Jalan tambak hubungan negeri


Tanjung Sekijang nun dikuala

Tempat nelayan mengail gelama

Istana Hinggap di Kuala Danga

Pantai berkelah keluarga diRaja


Dari Tebrau orang berakit

Singgah Stulang membeli kopi

Pusara Si Bongkok dilereng bukit

Ditepi pantai Tanjung Puteri.”


Pendek kata, lagu-lagu Melayu Johor menceritakan negeri dan daerahnya. Dari lagu sebegini, selintas sejarah Johor, disebut dan dikenang.


Inilah muzik yang telah mengiringi pembangunan negeri dan rakyatnya, sekali gus memperkayakan khazanah kebudayaan dalam dunia Melayu.


Sebagaimana kata mutiara dari William Shakespeare dalam drama terkenalnya 'Tweflth Night' yang membawakan watak Duke Orsino, bangsawan halus yang menyebut begini:


“If music be the food of love, play on.”


Beginilah muzik yang hidup. Ia menjadi sebuah seni dan hayat dalam sejarah negeri dan masyarakat. Saling berpantun, nyanyikanlah!

Tiada ulasan: