Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini saya ketengahka sebuah artikel dengan tajuknya “Peka Sejarah
Itu Wajib” tulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee dari National University of
Singapore. Tulisan beliau adalah seperti berikut:-
Nurcholish
Madjid (1939-2005) ialah seorang cendekia dan pemikir Islam yang gagasan dan
hasil kerjanya menjadi teladan terbaik bagi Indonesia dan dunia Islam.
Bagi beliau,
dasar sejarah adalah sebahagian daripada konteks yang diperlukan untuk memahami
pesan-pesan agama. Sisi sejarah-sosiologi sering disebut sebagai perspektif
yang diperlukan, selain peranan manusia dalam proses sejarah.
Sebagai
seorang intelektual, kepedulian terhadap sejarah adalah sebahagian daripada
tanggungjawab dan tuntutan. Sejarah menjadi salah satu dasar untuk memahami
sesuatu perjalanan masa dan pertalian antara masa lalu dan kini. Sejarah juga
menjadi jendela untuk menilai pengalaman dan peristiwa yang mempunyai kesan
kepada masyarakat dan dunia.
Nurcholish
atau sapaan mesra Cak Nur ialah seorang intelektual yang berpegang teguh kepada
visi pembaharuan, dengan pemahaman sejarah sangat penting bagi beliau. Seperti
gurunya, Fazlur Rahman, pemahaman sejarah yang rapuh, selain ketidakmampuan
memahami dinamika masyarakat dari sudut sosiologi, akan membuat tafsiran dan
bacaan kita tentang Islam menjadi tempang.
Al-Quran
menuntut agar ilmu yang memandu manusia berupaya mengarahnya kepada kefahaman
akan peredaran manusia sepanjang zaman, yakni sejarah, selain dituntut ilmu
yang menggalakkan manusia untuk memperbaiki keadaan hidup serta ilmu yang
memperdalamkan kefahaman manusia tentang mindanya (al-nufus) demi menjamin
kesejahteraan psikologi, motivasi dan moral (akhlak) manusia.
Kefahaman
keagamaan harus bersandar kepada kesedaran dan kemampuan untuk membaca sejarah
dengan baik, mencerah dan berunsur kritis. Begitulah betapa pentingnya
kesedaran sejarah agar bacaan dan kefahaman kita tidak bersifat ahistorical
(tidak peka).
Cak Nur tidak
menulis esei atau buku tentang sejarah secara spesifik. Namun bukunya,
'Indonesia Kita', adalah sebuah karya ilmiah dengan naratif dan perspektif
sejarah yang tepat dan padat. Buku setebal 215 halaman, yang diterbitkan pada
2004, nampaknya ditujukan kepada pembaca umum, dengan pemaparan yang tidak
terlalu berat, malah jelas dan bernas.
Cak Nur berupaya menulis dengan kaca mata yang memperlihatkan pemahaman mendalam dan meluas tentang sejarah bangsa Indonesia. Tiga ciri utama dapat kita pelajari daripada penulisan beliau dalam buku ini.
Pertama beliau menulis dengan matlamat untuk membentuk tanda aras utama
dalam sejarah Indonesia dengan nada yang apresiatif. Kedua, dengan latar
belakang beliau sebagai seorang pemikir Muslim, perspektif beliau tentang
peranan Islam, diberikan keutamaan dalam menyusun sesuatu perjalanan sejarah.
Ketiga, memberikan penekanan kepada sudut rekonstruktif yang wajar
dipertimbangkan dalam pemahaman sejarah dan keadaan semasa Indonesia.
Dalam kata pengantar untuk buku ini, Cak Nur menyebut objektif risalah ini
sebagai usaha mengetengahkan persoalan “bangsa dan negara Republik Indonesia,
sejak dari masa-masa lampau yang jauh dan masa sekarang yang menantang".
Ini penting kerana pemahaman seperti itu “diperlukan untuk dapat
berpartisipasi (mengambil bahagian) dengan baik dalam kehidupan sosiopolitik
negara dan bangsa yang sedang membangunkan demokrasi dan berjuang untuk
mengembalikan harkat dan martabat nasionalnya". Malah di bahagian penutup
Cak Nur berkesimpulan begini:
“Dorongan menulis risalah ini ialah keinginan berbagi pandangan dengan para
warga bangsa, khususnya generasi muda. Ketika pelajaran sejarah di sekolah
tidak menarik lagi, dan tinjauan masalah dari pandangan-pandangan asasi bisa
menjemukan, maka yang dikuatirkan ialah terjadinya pendangkalan dan penyempitan
wawasan.”
Cak Nur membincangkan topik sejarah dengan hujah akademik yang cenderung
berpendirian “objektif” atas nama kemurnian ilmiah. Sebaliknya bagi Cak Nur,
perbincangan yang telus dan menyeluruh diperlukan dalam konteks ini. Juga perlu
ada pengetahuan secukupnya tentang proses sejarah bangsa Indonesia, sambil
menjenguk kepada kekuatan dan kelemahan yang ada. Memandang ke belakang sebagai
romantisme sejarah bukanlah jalannya.
Dalam buku ini Cak Nur melukis garis besar sejarah Nusantara yang sudah
terwujud peradaban sebelum kedatangan Islam. Kedatangan Islam menambahkan lagi
peranan ini, dan jaringan peradaban kosmopolitan di kota Pelabuhan pesisir yang
sekaligus menjadi pusat penyebaran Islam.
Dalam proses Islamisasi, antara yang terbangun dalam institusi pondok
pesantren yang menghasilkan santri dan ulama yang menjadi penjana utama
pengIslaman di Nusantara. Penghasilan rempah-ratus dan kemudian komoditi yang
lain, menarik penjajah dengan keserakahan memonopoli perdagangan hasil bumi
dari rantau ini.
Zaman penjajahan mewujudkan pula peribumi dengan kuasa kolonial yang
merubah strategi penguasaan dari masa ke semasa. Semangat cinta watan mula
muncul dan kemudian berganti sebagai gerakan nasionalisme yang menuntut hak dan
martabat bangsa yang dijajah.
Segelintir cerdik pandai terlahir daripada sistem pendidikan kolonial, yang
nanti akan turun padang memimpin gerakan nasionalisme. Malah antara yang
terawal tampil ialah pedagang peribumi Muslim yang bersatu dalam Sarekat Dagang
Islam. Bahasa Melayu semakin menjadi lingua franca, membolehkan bangsa dan suku
di Nusantara merasakan saling kebersamaan, selain beragama Islam.
Cak Nur memberikan fokus kepada makna “negara-bangsa” dan bagi beliau umat
Islam khususnya harus memahaminya secara tuntas. Model negara-kota Madinah yang
didirikan oleh Nabi Muhammad saw, dengan piagamnya adalah contoh kepimpinan
yang memiliki sisi moral, selain “peneguhan fahaman masyarakat majmuk.”
Hak asasi manusia terjamin di Madinah, sebagaimana terungkap dalam Khutbah
Perpisahan Nabi Besar kita. Yang penting disimpulkan ialah kita melihat
prinsip-prisip kemanusiaan yang terkandung dalam cara Nabi menyusun dan
memimpin.
Inilah pelajaran dari sejarah yang umat Islam harus fahami, tanpa mudah
terpesona dengan model pemerintahan gaya khilafat yang tidak bebas dari
dibelenggu cauvinisme sempit dan dinasti despotisme (dinasti pemerintahan kuku
besi). Dimensi Islam yang egalitarian dan berdiri atas keadilan, sayangnya
ditinggalkan. Kekuasaan dinasti khalifah, menurut Cak Nur “suatu penyimpangan
daripada prinsip Madinah". Inilah sisi sejarah yang umat Islam
harus akur dan sedari.
Setelah
menguraikan perjalanan politik Islam imperium, Cak Nur mengaitkan ini pula
dengan pengalaman Indonesia, yang juga dibelenggy cengkaman feudalisme. Beliau
menjelaskan:
“Masyarakat
kita masih marak unsur-unsur feudalistik yang amat menghambat terwujudnya
negara-bangsa atau nation-state moden menurut cita-cita para
pendiri...penampilan kita masih sangat pekat oleh nilai-nilai feudalistik,
seperti tekanan berlebihan kepada unsur prestise (prestij) dan gengsi…para
pemegang tugas kenegaraan yang tidak lagi bertindak sebagai “pelayan public”
(public servants), tetapi justru sebaliknya, bertingkah laku seperti “juragan
publik” yang serba minta dilayani dan dihormati.”
Indonesia moden selepas kemerdekaan, melalui eksperimen politik daripada
sistem parlimen ke sistem berpresiden. Dalam keadaan tidak menentu, Presiden
Sukarno tampil menyatukan negara yang diambang perpecahan, sehingga dilaungkan
Demokrasi Terpimpin. Akhirnya Sukarno dilucutkan daripada kuasa dan Indonesia
memasuki era Orde Baru pimpinan Presiden Suharto.
Ternyata era ini ditandai oleh cara pemerintahan Suharto yang “kurang
menghayati berbagai keharusan sebuah 'modern nation-state' sebagaimana
didambakan oleh para pengasas". Dengan melemahnya wawasan tentang
'nation-state', pendemokrasian menjadi tersembab. Permasalahan korupsi
membengkak, konflik etnik dan agama meruncing, sedang kesenjangan ekonomi
semakin melebar.
Cak Nur menegaskan: “Usaha menegakkan standar (piawai) moral merupakan
salah satu urgensi bagi bangsa kita. Sekali lagi, lemahnya standar moral inilah
yang menyebabkan kita sekarang mengalami krisis multidimensional.”
Faham Sejarah, Masa Depan Mencerah
Jelas dari buku ini, Cak Nur yang bertolak daripada rentetan sejarah,
mengaitkan pula dengan keadaan semasa yang tantangannya semakin kompleks dan
rumit. Sejarah harus menjadi pengajaran agar yang merosak dan khilaf jangan
dibiarkan berulang lagi, dan mana yang pernah unggul dan bermutu dalam sejarah
harus dapat kita jenguk kembali, dengan menilai prinsip atau unsur yang
berupaya membantu kita berdepan dengan konteks hari ini.
Pastinya
sejarah bukan tempat bergundah. Dari kepekaan sejarah harus terbit tekad untuk
membangunkan masa depan yang lebih cerah. Cak Nur mengusulkan beberapa agenda
utama yang baginya dapat membangunkan kembali Indonesia.
Cak Nur akur
bahawa yang digagas ini sangat umum kerana “persoalan kebangsaan dan kenegaraan
kita yang memerlukan kejelasan lebih lanjut, memerlukan kegiatan tukar fikiran
yang bebas dan cerdas".
Cak Nur juga
menyentuh tentang soal beban sejarah. Pertama beban dalam bentuk nativisme dan
atavisme yakni fahaman kebangsaan yang sempit. Ini adalah “sikap-sikap yang
memandang budaya sendiri sebagai paling benar dan unggul, tanpa melihat
kemungkinan adanya ciri-ciri negatif seperti feudalisme".
Kedua,
feudalisme sebagai legasi sejarah, masih berdenyut dan bertahan dalam
masyarakat. Bagi Cak Nur, hambatan feudalisme memberi kesan kepada pertumbuhan
bangsa Indonesia. Malah korupsi yang membengkak dalam masyarakat ada tali
temalinya dengan feudalisme yang bertahan. Ditegaskan beliau: “Pemberantasan
Korupsi Kolusi Nepotisme (KKN) akan sangat banyak tergantung kepada seberapa
jauh kita mampu memberantas feodalisme dan busaya suap-menyuap".
Faham Sejarah, Faham Ilmu
Cak Nur yang
berafiliasi (mempunyai hubungan) dengan gerakan pembaharuan Islam meletakkan
dimensi sejarah dan sains kemasyarakatan sebagai bingkai teoretis (berdasarkan
teori) untuk memahami perkembangan dalam masyarakat serta agama. Pesan-pesan
agama yang dibaca secara harfiah adalah pemerosakan pada nilai-nilai itu
sendiri kerana ia salah ditempatkan pada maksud, niat dan sasarannya.
Memahami
sejarah, dibantu dengan ilmu kemasyarakatan dapat menyumbang kepada pemahaman
yang kritis terhadap perjalanan dan keperluan kita secara individu dan
kolektif.
Belajar dari sejarah menuntut kita agar sedia menjadi pelaku utama dalam
sejarah. Sikap yang membelakangkan sejarah ataupun naif terhadapnya bererti
ketidakmampuan untuk memahami keadaan masa kini dan kemungkinannya pada masa
hadapan.
Sejarah: Kita Berdialog Dengannya
Cara pandang yang peka menimbangkan dinamika sejarah besar kemungkinan akan
dapat memahami mengapa sesuatu fenomena atau peristiwa itu berlaku sedemikian
rupa. Sebaliknya, yang buta sejarah akan sukar menerima hakikat bahawa terdapat
perubahan, yang kesannnya boleh membaik atau memburuk.
Sebenarnya percubaan menulis gambaran sejarah seperti ini telah dilakukan
oleh beberapa tokoh pemikir Indonesia, dengan cara yang memperlihatkan keunikan
masing-masing. Pasti kita ingat penulisan Mas Marco Kartodikromo, Muhammad
Yamin, Haji Agus Salim, Hamka, Pramoedya Ananta Toer, Rosihan Anwar, Sutan
Takdir Alisjahbana, Mochtar Lubis, Abdurrahman Wahid dan Kuntowijoyo yang
setiap satu pernah menulis karya dengan tema sejarah yang tersendiri.
Keyakinan dan keilmuan yang dimiliki oleh Cak Nur inilah yang membolehkan
beliau melukis gambar besar sesuatu perjalanan sejarah. Dari sejarah Nusantara,
dapat kita tinjau beberapa kekuatan dan kelemahan.
Visi sejarah yang luas, disulam dengan komitmen moral dan intelektual untuk
memperbaiki mana yang kurang dan terlanjur, serta nada penuh harapan,
menjadikan karya Cak Nur sebagai sesuatu wadah yang berguna untuk direnungkan
dan memberi panduan untuk Nusantara atau Indonesia menjadi terus maju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan