Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini saya kemukakan sebuah artikel Dr. Azhar Ibrahim, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura, tajuknya “Pena Sastera Mochtar Lubis Mencerah dan Menyanggah Norma Masyarakat”. Yang tersiar di berita.mediacorp.sg Isi kandungannya adalah seperti berikut:-
Mochtar Lubis ialah seorang penulis prolifik
yang jasanya terakam dalam sejarah sastera Indonesia moden. Karya beliau juga
tajuknya dikenali di Malaysia dan
Singapura, sama ada yang berbahasa Melayu mahupun yang diterjemahkan ke Bahasa
Inggeris. Mochtar memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan sewaktu zaman
kolonial Belanda, pernah bekerja di bawah pemerintahan Jepun sehinggalah ke era
Indonesia merdeka yang dipimpin oleh Presiden Sukarno dan Presiden Suharto.
Daripada sejumlah karya penulisan beliau,
mudah kita mendengar suara lantang beliau yang mengkritik pihak penguasa.
Secara terbuka atau tertuang dalam bentuk fiksen, Mochtar menyinggung
pembungkaman hak bersuara, korupsi dalam kalangan elit dan salah guna kuasa. Sebagai
wartawan, pembacaan politik beliau menjadi tajam kerana sering di lapangan dan
mendapat khabar daripada mereka yang berada dalam pusaran kuasa, mahupun rakyat
biasa yang harus berdepan dengan liku-liku kehidupan.
Malah akhbar yang beliau dirikan pernah
disekat penerbitannya atas alasan bercanggah dengan kepentingan negara. Beliau
pernah dipenjara tanpa pengadilan sewaktu Orde Lama. Akhbar yang beliau
asaskan, Indonesia Raya pernah ditutup atas alasan subversif. Beliau sezaman
dengan beberapa wartawan terkenal seperti Adam Malik (kemudian menjadi Wakil
(Naib) Presiden Indonesia) dan Rosihan Anwar.
Mochtar yang lahir pada tahun 1922 di
Kerinchi, Sumatra, berasal dari keluarga penguasa pribumi di zaman kolonial
Belanda. Sejak dari kecil beliau berminat tentang bahasa dan penulisan. Beliau
menceburi bidang kewartawanan yang sangat membuka mata hati beliau melihat
keadaan masyarakat. Namun beliau tidak puas dengan kerja kewartawanan. Dalam
dunia sasteralah beliau menemui dorongan untuk “mencari makna hidup manusia dan
isi kehidupan masyarakat.”
Mochtar sehingga hari ini masih memberi
inspirasi dan membekalkan gagasan kemanusiaan dan pembebasan untuk dunia
penerbitan, kewartawanan dan kesusasteraan. Pada Sabtu, 18 Jan 2025, bertempat
di Bangunan Perpustakaan Negara Singapura diadakan forum berjudul "Mochtar
Lubis’ Thought on Indonesia Development and Liberation". Ia disampaikan
oleh Cik Miranti Silasudjana, yang telahpun menyempurnakan tesis peringkat
sarjana berkenaan Mochtar Lubis sebagai tokoh intelektual di Jabatan Pengajian
Melayu NUS.
Pena Sastera Untuk Mencerah dan Menyanggah
Mochtar Lubis menggunakan pena untuk
menggerakkan pencerahan. Sastera dan seni harus mencerahkan dan membebaskan
bangsa.
Tegas beliau: "Kita harus membuat budaya
dan seni jadi alat pembebas bangsa kita dari cengkeraman dan belenggu tata
nilai yang selama ini menjadi penghambat dan membuat manusia Indonesia jadi
mengkerut kecil dan kerdil dalam daya ispirasi dan ciptanya."
Budaya yang dibangunkannya bersifat
kemandirian, yang mampu berdiri sebagai bangsa yang bermartabat: "Kita
perlu membelah diri kita dan melihat ke dalam - melihat kelemahan kita selama
ini. Dalam konteks ini kebudayaan sangat penting, sehingga kita tak jadi orang
Jepang (Jepun), Jerman atau Amerika. Kita harus bangga jadi orang
Indonesia".
Bagi Mochtar, sasterawan harus dapat
membangunkan kepekaan yang mendalam tentang zaman dan masyarakatnya, memiliki
nurani dalam mempertimbangkan tantangan kehidupan manusia. Sasterawan juga
baginya harus dapat menghidangkan peluang kepada pembaca untuk merenung dan
memikirkan akan keperihalan masyarakat dan peribadi masing-masing. Sastera
harus berhujung dengan membangunkan jiwa besar kepada manusia, dengan
membebaskan diri daripada segala bentuk pembelengguan.
Sasterawan adalah pengibar kemanusiaan dalam
karya mereka sehingga diseru Mochtar, “mengangkat harkat manusia dengan citra
yang berbudaya”. Namun menghasilkan sastera bukanlah sekadar menerapkan teknik
itu dan ini, melainkan ia suatu “pergulatan terus-menerus antara diri pencipta
dengan dunia luar dan dunia dalamnya.” Lantaran itu, sastera harus bermatlamat
dan saling melibatkan masyarakat. Sebagai penulis, Mochtar memberikan penekanan
kepada isi agar pesanan dan mesej dapat disampaikan kepada para pembaca. Ini
sekalipun beliau enggan “menyembah estetika,”namun beliau akur bahawa perlu ada
“keutuhan antara estetik, bentuk dan isi.”
Sebagai pemikir, filsafat (falsafah)
kehidupannya ialah manusialah yang menentukan nasib dan hala tuju hidupnya.
Martabat mencapai kemanusiaan terletak di tangan manusia sendiri. Setiap
manusia itu punya hak dan jangan sampai mereka boleh “ditindas mahupun
diperbudak-budakkan.” Tambahnya:
“Kita harus senantiasa memperjuangkan
kemanusiaan kita serta hak-hak asasinya untuk tetap konsisten dengan prinsip
dan sikap manusia secara hakiki. ..Tugas kita sebagai sasterawan adalah
mengembalikan fitrah kemanusiaan, agar tidak terperangkap ke dalam kerangkeng
nafsu kebinatangan.”
Lantaran itu, kuasa yang menzalimi dan
membelenggu manusia harus dipersoal dan disanggah. Bukan sahaja manusia
memerlukan keutuhan moral, ia juga harus diperkuatkan dengan kesedaran sejarah
dan kesedaran sosial yang saling mendukung satu sama lain. Dengan pandangan
sejarah yang kritis, manusia besar kemungkinan tidak “mengulangi kembali segala
rupa kesalahan dan kelemahan yang dahulu terjadi dalam sejarah kita.”
Pandangan sejarah tidak boleh
terpotong-potong, yakni tidak mampu melihat perjalanan sejarah dalam arus
kesinambungan dan penyimpangan. Dari sejarah, wajar kita menanyakan berikut:
“Dari mana kita, siapa kita, di mana kita
kini, akan ke mana kita di masa depan, mengapa kita berada dalam keadaan kita
hari ini, dan dengan mengetahuinya mungkin kita akan mendapat inspirasi,
bagaimana kita dapat memperbaiki diri kita masing-masing dan masyarakat kita
untuk dapat melangkah ke masa depan.”
Mochtar sangat peka dengan penggunaan bahasa.
Apabila bahasa yang “lembut” digunakan untuk menutup makna dan keadaan sebenar, beliau menangkisnya. Bila istilah dan ungkapan bahasa rancu digunakan terselindung di sebalik itu yang mahu menjaga kepentingan tertentu. Contohnya, dalam akhbar harian, kelaparan disebut sebagai “kurang pangan.” Penjara menjadi “lembaga pemasyarakatan.” Berbahasa sebegini bagi beliau menafikan keadaan sebenar yang seharusnya mendapat perhatian dan tindakan daripada orang awam dan pemimpin.
Ranah Sastera, Ranah Pemikiran
Dunia sastera adalah dunia pemikiran.
Sekiranya pemikiran tumpul dan kaku, sastera juga tidak akan pernah menjadi
unggul, malah hambar dan lesu. Sehingga gelanggang sastera menjadi himpunan
cerita, dengan olahan estetis yang maknanya menipis, dan wawasannya kontang.
Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan dunia sastera sebenarnya tidak
memerlukan penulis tetapi pemikir yang gagasannya jelas dan membekas.
Inilah tantangan masa kini. Dunia sastera
kita harus terpenuh dengan pemikir. Mereka ini harus menjadi pengadun imaginasi
yang membumi, pemahat lambang yang berbakat, penyulam nilai yang mendalam,
penyusun cerita yang melantun, penggubal pesan yang kental dan peramu yang
sarat dengan ilmu.
Dunia sastera yang tidak dipimpin oleh
sasterawan-pemikir akan menjadi taman idea yang mungkin tersergam, namun
pohon-pohonnya tidak akan membunga dan membuah dengan warna-warni nikmat dan
hikmat.
Riwayat ilham dari tokoh seperti Mochtar
Lubis memperlihatkan kemampuan membingkis dan menangkis. Beliau membingkis
wawasan, nilai dan harapan agar sesuatu yang lebih baik boleh dibangunkan.
Beliau juga seorang yang optimis. Beliau yakin kepada rasionalisme yang dapat
memandu masyarakat kepada pemodenan.
Sebaliknya, tradisi lapuk, seperti unsur
feudalisme, ditangkis beliau kerana ia dianggap sebagai salah satu penghambat
kemajuan dan perangkap psikologi rakyat kecil. Kepimpinan yang korup dikritik
habis.
Paling mendasar dalam pemikiran beliau adalah
manusia harus diberikan pembebasan. Tanpa pembebasan, kemanusiaan akan
tersungkup. Dengan yakin beliau berpendirian sebegini: “Setiap kali seorang
seniman mencipta, dia seharusnya mencipta dalam kebebasan kemanusiaannya.
Perbuatan mencipta itu sendiri harus menjadi eskpresi kebebasannya sebagai
manusia.”
Himpunan karya Mochtar yang tertuang dalam
pelbagai genre adalah kesaksian sastera, seni dan budaya untuk bangsa Indonesia
yang semasa dekad-dekad itu sedang mengharungi tantangan kemerdekaan,
kebangsaan dan kemodenan.
Membaca hayat ilham dan bakti oleh seorang
sasterawan-pemikir seperti Mochtar, harus menjadi santapan sejarah, estetika
dan pemikiran. Kibaran kemanusiaan yang tidak berpihak, kebangsaan yang adil
dan saksama, kemajuan yang seimbang dan keperibadian yang berjiwa besar –
adalah antara wawasan sastera dan seni yang sangat baik diujarkan oleh Mochtar.
Mochtar ialah sasterawan-pemikir yang dekat
dengan rakyat. Bakti khidmatnya bermatlamat. Tangkis kritiknya tajam tepat,
dengan bingkisan ideanya menyentuh hikmat.
Bait dari madah karangan A Hasjmy, yang pernah
dikutip oleh Rosihan Anwar, tokoh sezaman Mochtar, sangat cantik menyematkan
kesimpulan makalah ini. Ia berbunyi:
“Di mana kayu berbuah ranum
Serta kesuma semerbak harum
Di sanalah badanku lahir ke dunia,
Tetapi,
Di mana rakyat berwajah muram
Bercucur peluh siang dan malam
Di situlah pula daku berada.”
Begitulah juga berdiri Mochtar dalam sejarah kesusasteraan dan kewartawanan Indonesia. Kesaksian sejarah beliau wajar membekali cakerawala kita ke depan dalam membangunkan kesusasteraan dan kemanusiaan yang membumi dan mandiri.
Dr. Azhar Ibrahim Alaee, NUS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan