Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Satu kali saya serta keluarga iaitu isteri, anak kecil dan seorang kawan sepejabat iaitu Sdr. Zawawee Pakda Amin, pensyarah di Jurusan Pengajian Melayu, Prince of Songkhla University, Kampus Pattani, Thailand. Setelah kami selesai seminar di Bandar Seri Begawan. Kami mengambil bas dari Bandar Seri Begawan ke Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia. Perjalanan panjang itu dengan melintasi Negeri Sarawak dari sembadan Brunei-Sarawak di Pos Kawalan Imigresen Kuala Baram (Sungai Tujuh, Bunei- Kuala Baram, Sarawak) sehingga sampai ke Pos Kawalan Imigresen Tebedu - Entikong (Tebedu, Saarawak – Entikong, Kalimantan Barat). Dan menginap di Pontianak, setelah itu mengambil bas dari Pontianak ke Kuching, Sarawak. Inilah satu pengalaman yang melasakkan diri sendiri. Dan seorang kawan dari Sarawak ialah seorang sejarawan Sarawak, Datu Dr. Sanib Said. Beliau juga seorang yang mengemukakan sejarah-sejarah Sarawak yang hilang. An disii saya kemukakan sebuah tulisan tajuknya “Kerajaan Kuno Sarawak Yang Hilang”. Tulisan ini tersiar di https://borneohistory57.blogspot.com/ penulis tulisan ini menggunakan nama samaran dengan nama Kumis Kumis. Tulisannya adalah seperti berikut:-
Inilah artikel yang akan menjadi ruang informasi sejarah untuk kita sebagai Bangsa Sarawak mengetahuinya. Untuk pengetahuan, kami di Borneo Oracle pernah membuat posting untuk artikel ini secara bersiri sekitar tahun 2012 dan bagi menunaikan permintaan pembaca yang rata-ratanya tidak mengetahuinya maka kali ini kami akan rangkum segalanya di dalam satu posting.
Kerajaan
Lembah Bujang di Kedah, Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Langkasuka dan banyak
lagi sudah tentu nama-nama kerajaan kuno ini diketahui asal-usulnya namun untuk
bab Kerajaan Kuno Sarawak sudah tentu ramai yang terpinga-pinga. Pernah adakah
kerajaan ini wujud di bumi Sarawak? Jawapannya YA cuma sayangnya ianya tidak
pernah diwar-warkan kepada umum dan yang lebih mendukacitakan apa yang kita ketahui
sekarang seperti Sarawak hanya bermula ketika zaman pemerintahan Keluarga
Brooke yang memerintah 100 tahun di bumi Sarawak yang
dikenali sebagai Sarawak Kingdom.
Namun
hakikatnya ada 5 Kerajaan Kuno Sarawak yang pernah menjadi
satu peradaban dan ketamadunan Bangsa Sarawak suatu waktu dahulu.
Kerajaan-kerajaan kuno ini adalah Kerajaan Negeri Santubong, Kerajaan Negeri
Samarahan-Sadong, Kerajaan Negeri Kalaka, Kerajaan Negeri Saribas dan Kerajaan
Negeri Malano
i.
KERAJAAN NEGERI SANTUBONG
Kerajaan
Negeri Santubong sebenarnya wujud pada kurun ke 10
hinggalah kurun ke 13. Di ketika itu ianya dibawah
kekuasaan kerajaan Srivijaya dan setelah kemerosotannya ianya jatuh dibawah
kekuasaan kerajaan Majapahit. Lokasi kerajaan kuno ini adalah di muara Sungai
Sarawak yang mana lokasi strategic ini yang menghadap Laut China Selatan telah
menjadikan ianya sebuah bandar pelabuhan entreport terpenting di nusantara pada
waktu itu. Penghijrahan masyarakat Melayu dari Sumatera ke kawasan Santubong
telah membenarkan seorang putera raja yang telah diusir oleh nendanya iaitu
Raden Merpati Dipati Jipang mengasaskan kerajaan kuno ini. Diriwayatkan bahawa
Raden Merpati Dipati Jipang telah terdampar di sebuah tanjung di persisiran
muara Sungai Sarawak kerana isterinya hendak bersalin. Dengan pertolongan
daripada daripada Datuk Kuli atau Datuk Kuali, rombongan Raden Merpati Dipati
Jipang telah mendapat perlindungan di kawasan yang dikenali sebagai Pasir
Kuning. Kerana baiknya tingkah laku Raden Merpati Dipati Jipang maka kehadirannya
amat disenangi oleh penduduk tempatan dan akhirnya beliau diangkat menjadi
ketua di Pasir Kuning iaitu nama lama kepada Santubong suatu waktu dahulu.
Dengan berkembangnya pengaruh Datu Merpati ini maka berkembanglah juga Kerajaan
Santubong menjadi antara pelabuhan terpenting dan gah namanya sehingga
saudagar-saudagar dari Negara Tembok China juga singgah ke Santubong untuk
berniaga.
Jika
di lihat kepada konteks peradaban, sememangnya Santubong merupakan sebuah
kerajaan lama suatu waktu dahulu. Rajah James Brooke selepas sahaja bergelar
Rajah Sarawak telah membuat eksplorasi artifak di sini. Tanda-tanda tentang
peri pentingnya kawasan Santubong sebenar dicetuskan oleh penemuan Nandi dan
Yoni oleh James Brooke tidak lama setelah menjadi “raja” Sarawak, sebelum
berlakunya pemberontakan pelombong Cina pada tahun 1857. Selain
daripada jumpaan batu besar ini James Brooke juga mengumpulkan artifak-artifak
emas. Penemuan artifak yang diperbuat dari emas ini menunjukkan bahawa kawasan
ini menarik perhatian orang asing, khususnya orang dari India pada peringkat
awal. Mungkin oleh kerana adanya emas, bukan saja di lembah Sungai Sarawak
tetapi juga di bahagian barat-daya Borneo, kawasan yang terbanyak mengandungi
emas daripada tempat-tempat lain di kepulauan Melayu, telah dikaitkan dengan
nama-tempat Survanabhumi (Bumi Emas) oleh orang India dan juga sebagai Iabadiou
oleh Ptolemy pada c.150ES.
Penemuan
awal ini telah memberi perangsang kepada Muzium Sarawak untuk melakukan kajian
arkeologi. Pada tahun 1949, di bawah pimpinan Tom
Harrisson, telah berhasil mengumpulkan ribuan pecahan tembikar China di
Santubong. Hasil dari kajian yang dilakukan ke atas tembikar ini serta
artifak-artifak keagamaan Hindu mereka berpendapat bahawa Santubong sebagai
penempatan sudah wujud sejak abad ke 7 lagi dan terus
kekal hingga abad ke-10 atau abad ke-14. Di
samping itu adanya tahi besi (iron-slag yang dianggarkan sebanyak 40,000 tan menguatkan pendapat bahawa kawasan Santubong ini
merupakan kota-pelabuhan yang besar dan penting. Setelah dikaji oleh kedua
orang pakar ini mereka berpendapat bahawa industri ini wujud di antara tahun 900ES hingga 1350ES. Bagaimanapun mengikut
O.W. Wolters, seorang sejarawan Asia Tenggara tua, China mungkin telah
mengetahui tahi besi ini sejak abad ke 3 lagi dengan
mentafsirkan bahawa pulau Tan-lan yang disebut dalam laporan China itu terletak
di barat-daya Sarawak. Jika tafsiran sejarawan terkenal ini betul mungkin
Tan-lan yang menghasilkan besi ini ialah Pulau Talang-Talang tetapi ahli
arkeologi, mahupun Muzium Sarawak tidak pernah mengaitkan pulau ini dengan
penemuan tahi besi di kawasan Santubong walaupun pulau ini tidaklah begitu jauh
dari tempat tersebut.
Selepas
itu terdapat pula pusat petempatan lain di sekitar Santubong seperti
Bongkissam. Bagaimanapun dinyatakan bahawa kawasan ini juga dikuasai oleh
Santubong yang menjadi sebuah negeri pada waktu itu. Dari kajian yang dilakukan
ke atas ribuan serpihan tembikar China negeri Santubong ini terus wujud hingga
ke abad ke 14. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan tulisan
China Nan-hai-chih yang menyenaraikan kerajaan-kerajaan tua di Borneo pada
tahun 1304. Pada masa ini Brunei yang ditulis oleh China
sebagai Tung-yang Fo ini jelas sekali menguasai keseluruhan utara Borneo.
Melalui teks sejarah lama Jawa iaitu Negarakartagama yang ditulis pada tahun 1365 menunjukkan bahawa Brunei (Bo-ni) telah dikuasai pula oleh
Majapahit. Permulaan perluasan Majapahit ini dipercayai berlaku pada tahun 1350 dan ini menyebabkan perdagangan dengan China di Santubong
terhenti seperti yang terbukti dengan tembikar-tembikar yang dijumpai tidak
menunjukkan tembikar Ming. Santubong sebagai nama kerajaan juga turut hilang
dan digantikan oleh nama baru, iaitu Sawaku (Sarawak) di dalam Negarakartagama.
Kehadiran Majapahit mungkin telah menyebabkan perpindahan penduduk Kerajaan
Santubong ini ke kawasan-kawasan lain seperti Sadong dan Gedong.
ii.
KERAJAAN NEGERI SAMARAHAN-SADONG
Ketiadaan
peninggalan sejarah Kerajaan Santubong selepas kurun ke-14
membuktikan bahawa kerajaan negeri Santubong telah hilang pada waktu itu.
Pelbagai pendapat telah diutarakan mengenai kehilangan Kerajaan Negeri
Santubong ini. Mungkin pendapat yang mengatakan bahawa telah berlaku peperangan
tempatan diantara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang telah memainkan peranan
utama sehingga mendesak Datu Merpati Jepang untuk melarikan diri ke kawasan
pedalaman Sarawak. Sejarah ini dapat dipastikan dengan wujudnya sebuah tugu di
Kampung Mawang Taup, Samarahan yang dinamakan dengan Batu Datu Merpati. Datu
Merpati diceritakan telah membina kesinambungan peradapan Kerajaan negeri
Santubong di Samarahan pada waktu itu. Disinilah bermulanya perpindahan
masyarakat dari kerajaan negeri Santubong ke daerah-daerah seperti Gedong dan
Sadong selain daripada daerah Lidah Tanah.
Adanya
penemuan tembikar China abad ke 14 dan 15
di dua buah tempat di lembah Sungai Sadong menunjukkan terdapatnya
kesinambungan dengan sejarah Kerajaan Negeri Santubong yang wujud di kawasan
pendalaman. Di Gedong yang terletak 40 batu dari Santubong
telah dijumpai 79,754 pecahan tembikar dan beratus-ratus
artifak lain seperti manik, duit siling dan emas. Berdasarkan terdapatnya
pecahan tembikar dan benda-benda lain dengan begitu besar berkemungkinan Gedong
ini merupakan antara daerah yang memainkan peranan yang agak besar di dalam
urusan perniagaan di daerah pedalaman Sarawak. Penemuan beberapa artifak
sejarah di Bukit Sandong iaitu 15 batu ke pendalaman
Gedong telah menguatkan lagi andaian bahawa telah wujud satu peradaban besar di
bahagian Samarahan. Di Bukit Sandong telah dijumpai 30,000
serpihan tembikar yang mempunyai asal dan ketuaan seperti yang terdapat di
Santubong dan Gedong. Ketulan emas yang dijumpai oleh orang awam di kawasan
Gumpey pada tahun 2008 juga adalah satu lagi bukti
Samarahan merupakan satu kawasan yang penting di zaman dahulu kala.
Jika
dilihat dari konteks Samarahan sebagai sebuah negeri di bawah jajahan kekuasaan
Kesultanan Brunei yang memerintah lebih kurang 500 tahun
keatas Sarawak, ianya bermula sejak daripada sultan pertama Kesultanan Brunei
lagi iaitu Awang Alak Betatar. Awang Alak Betatar yang memeluk Islam dengan
nama Sultan Muhamad dikatakan telah menerima ufti saban tahun daripada kerajaan
negeri Samarahan. Di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, Samarahan menjadi
sebuah jajahan yang penting. Lembah Sungai Sadong merupakan sebuah kawasan
tanah subur yang sesuai untuk pertanian khususnya penanaman padi. Gedong yang
terletak hampir di pertengahan sungai telah menjadi sebuah pusat pentadbiran
dengan menjadikan Gedung sebagai satu pusat pengumpulkan hasil dan barangan
yang melalui Sungai Sadong. Mungkin disini timbulnya nama Gedung pada waktu
itu.
Bertitik
tolak betapa pentingnya Samarahan kepada kesultanan Brunei pada masa itu, maka
ramai masyarakat Melayu Brunei yang telah berpindah ke kerajaan negeri
Saramarahan termasuklah golongan bangsawan Brunei yang antaranya Pengiran
Kasuma Yuda Pengiran Sharifuddin yang mangkat pada tahun 1832. Pengiran
Kasuma Yuda adalah ayahanda kepada Pengiran Indera Mahkota Muhamad Salleh iaitu
wakil Sultan Brunei yang telah membuka Kuching suatu waktu dahulu. Jejak
warisan keturunan golongan bangsawan ini dapat dibuktikan apabila terdapatnya
sebuah Makam Pengiran Anak Sabtu di Muara Tuang, Samarahan yang masih kekal
hingga ke hari ini. Antara bukti lain yang mengaitkan kekuasaan dan kewujudan
sebuah kerajaan negeri bergelar Kerajaan Negeri Samarahan dinyatakan di dalam
sebuah manuskrip kuno Brunei yang dituliskan di dalam huruf Jawi di dalam
bahasa melayu Brunei yang berjudul Alamat Zaman Ketakhtaan Negeri Baruni:
“
…… Dan
pada masa itu Melaka di atas Kerajaan Negeri Juhur, Awang Alah Betatar
beristeri ke Juhur lalu digalar Awang Alak Betatar. Adapun Seri Sultan Muhamad
dan saudaranya patih berbai jadi Bendahara Seri Maharaja permaisuri digalar dan
pengiringnya yang lain itu digalar Damang/Temenggung Da Patih Damong.
Bermacam-macam nama pengawa dianugerahi oleh baginda di Johor. Empat menteri
dan askar dengan beberapa dayang-dayangnya dianugerahi nobat nagaragenta alamat
serta sakalian alat-alat kerajaan yang berbagai-berbagai dan dianugerahi…buah
nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sadong dan Samarahan dan Sarawak
karana di pulau…Johor pun memarintah juga ialah….”
Daripada
laporan seorang pengkaji sejarah yang membuat pengkajian tentang artifak-artifak
sejarah di Bahagian Samarahan khususnya di Lembah Sungai Sadong iaitu Lucas
Chin pula membuat satu kesimpulan iaitu apa yang ditemui di Gedung dan Bukit
Sandung telah menyatakan bahawa terdapat satu peradaban yang bertindak sebagai
pelabuhan di kawasan pedalaman suatu masa dahulu.
iii.
KERAJAAN NEGERI KALAKA
Jika
Kerajaan Negeri Santubong dan Kerajaan Samarahan-Sadong mempunyai pertalian
yang kuat diantara satu sama lain namun ianya tidak kepada satu lagi kerajaan
kuno yang hilang iaitu Kerajaan Negeri Kalaka. Tetapi Kalaka mempunyai
hubungkait secara langsung dengan sejarah Datuk Godam dan Pengiran Temenggung
Abdul Kadir. Kedua-duanya bukanlah pemerintah untuk Kalaka pada waktu itu
tetapi Kerajaan Negeri Saribas yang berpusat di Tandang Sari adalah jiran
kepada Kalaka. Ini dapat dibuktikan di dalam Syair Tarsilah Cetera Dato’ Godam
dan Temenggung Kadir Negeri Saribas yang dikatakan sebagai sebuah naskah agung
yang mempunyai episod di dalam pensyairannya.
Syair
Tarsilah Negeri Saribas; “Terhenti dulu kisah itu ..Tersebutlah pula habar
suatu..Di Negeri Kalaka habarnya tentu .Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku…..”. Inilah
bait-bait syair yang mengaitkan bahawa suatu waktu dulu Kerajaan Negeri Kalaka
diperintah oleh 2 orang puteri bersaudara yang bernama
Dayang Hubu dan Dayang Ruku.
Di
dalam konteks sejarah lama Sarawak yang kebanyakan kerajaan lamanya adalah
dibawah pengaruh Kerajaan Srivijaya dan Kerajaan Majapahit, nama Kalaka juga
dinyatakan di dalam sebuah manuskrip lama berjudul Negarakartagama yang
dikarang pada tahun 1365 ada mencatatkan bahawa “Kalka”
adalah salah satu daripada kerajaan yang menjadi jajahan empayar besar
Majapahit. Selepas kemerosotan empayar Majapahit, Kalaka dikatakan di bawah
kekuasaan Kesultanan Melayu Johor dan diserahkan kepada Brunei sebagai satu
hadiah kepada rajanya yang pertama iaitu Awang Alak Bertatar yang mengahwini
kerabat diraja Johor. Ini dapa dibuktikan melalui sebuah manuskrip bertulisan
Jawi Melayu Brunei berjudul Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni.
”
Maka
Awang Alak Batatar dangan Patih Barbai asal raja datang ghaib .... Pengawa jadi
Pangiran ialah yang sangat gagah barani pada zamannya itu. Dan pada masa Ratu
Malaka di atas karajaan Nagari Juhur, Awang Alak Batatar baristeri ka Juhur
ialah digalarkan Awang Alak Batatar ada Seri Sultan Muhamad dan saudaranya
Patih Barbai jadi Bendahara Seri Maharaja Permaisuara digalar dan pengiringnya
yang lain itu digalar jadi Panggawa dan dianugerahi oleh Baginda di Juhur empat
menteri yang basar2 dan babarapa pagawai dan ngaskar
dangan babarapa dayang2nya dianugerahi nobat nagara ganta
alamat sarta sakalian alat-alat karajaan yang barbagai-bagai. Dan dianugerahi
nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sabangan dan Samarahan dan
Sarawak karana di pulau, Juhur pun mamarintah juga. Dianugerahkan sakali kapada
anak baginda manjadi milik sapanjang-panjang rantau itu di bawah parintah
Sultan Barunai damikianlah riwayatnya pada zaman dahulukala.”
Untuk
konteks bukti peradaban moden seperti penyelidikan atas artifak-artifak sejarah
pula, banyak penyelidikan ke atas artifak sejarah yang ditemui menuju ke arah
Kalaka sebagai sebuah negeri. Lembah Sungai Kalaka yang tidak jauh dari Lembah
Sungai Sadong iaitu sekitar 10 batu ke sebelah timur
Santubong telah ditemui 9,469 serpihan tembikar China
termasuk jenis Sawankhalok dan “blue and white ware”. Dari pengkajian yang
dijalankan oleh Lucas Chin menunjukkan bahawa tembikar ini adalah tembikar abad
ke 16 dan ke 17. Terdapat juga
penemuan artifak bersejarah di Tebing Tinggi yang mana di kawasan ini telah
ditemui 41,762 serpihan tembikar yang seusia dan setua
artifak yang ditemui di Nanga Kalaka. Dengan penemuan ini sudah cukup membukti
bahawa Kalaka juga adalah antara kawasan yang penting di suatu waktu dahulu
sehingga saudagar dari Tanah Besar China turut datang berniaga.
iv.
KERAJAAN NEGERI SARIBAS
Kerajaan
Negeri Saribas sebenarnya berkongsi muara Batang Saribas dengan ibu kota
Kerajaan Negeri Kalaka yang diperintah oleh 2 orang ratu
bersaudara iaitu Dayang Hubu dan Dayang Ruku. Kerajaan Negeri Saribas jajahan
takluknya adalah lebih besar daripada Kerajaan Negeri Kalaka iaitu ianya
mencakupi pertemuan Batang Saribas dengan Sungai Rimbas di sebelahnya. Pusat
ibukota Kerajaan Negeri Saribas adalah Tandang Sari atau pada masa sekarang
digelar Pusa. Di dalam manuskrip lama dinyatakan bahawa Kerajaan Negeri Saribas
ini wujud sekitar abad ke-17 lagi. Kerajaan Negeri Saribas
ini dinyatakan bahawa ianya diperintah oleh seorang pembesar Kesultanan Brunei
iaitu Pengiran Temenggong Datu Abdul Kadir. Dikatakan Pengiran Temenggung ini
telah membawa diri daripada Brunei memandangkan anak tunggalnya Dang Chi’ atau
Dayang Esah telah diambil oleh Sultan Brunei untuk menjadi isteri yang ke-3. Sewaktu beliau menjadi pemerintah Saribas beliau telah
bertemu dengan seorang putera dari Pagaruyung, Minangkabau iaitu Dato Gudam
atau Raja Umar yang menyamar sebagai saudagar penjual kain.
Dato
Gudam merupakan putera kepada Bendahara Harun, pembesar di Pagaruyung.
Ketibaannya ke Saribas adalah kerana membawa hati yang kecewa setelah
ditidakkan hak untuk menggantikan ayahandanya kerana dikatakan bukan bangsa
Minang sejati kerana ibunya adalah berketurunan Belanda. Setelah mengenali
Pengiran Temenggong, beliau telah bersetuju untuk membantu Pengiran Temenggong
mengambil anaknya semula daripada menjadi isteri ketiga kepada Sultan Brunei
pada masa itu. Sopan santun dan kepintaran Dato Godam telah memikat hati Sultan
Brunei sehingga beliau menjadi orang penting di Brunei dan dikahwinkah oleh
Sultan Brunei dengan Dayang Esah atas permintaan Dato Godam sendiri. Sebelum
beliau berangkat pulang ke Pagaruyung atas permintaan ayahandanya, Sultan
Brunei telah meminta beliau meninggalkan salah seorang anaknya di Brunei maka
ditinggalkannya Datu Mantri anak keduanya dan disinilah permulaannya
asal-keturunan. “Awang Damit-damit” iaitu asal keturunan Awang dan Dayang di
dalam masyarakat Melayu Sarawak.
Kepulangan
Dato Godam yang singgah sebentar di Saribas telah memberi perkhabaran gembira
kepada Pengiran Dato Temenggung Abdul Kadir yang akhirnya mangkat dan Dato
Godam menjadi pengganti pemerintah kepada Kerajaan Negeri Saribas.
Anak
sulungnya Dato Uban pula telah menggantikan beliau dengan mewarisi nama Abang
dan Dayang di dalam salsilah keturunannya. Dan disinilah bermulanya
asal-keturunan Melayu Sarawak yang menggunapakai nama Abang dan Dayang. Di
dalam Kerajaan Negeri Saribas inilah gelaran jawatan seperti Datu Patinggi,
Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim bermula iaitu mengikut acuan
jawatan dan gelaran bagi Kesultanan Brunei pada zaman itu. Dan kerana itulah
banyak jawatan gelaran di dalam pemimpin masyarakat Melayu Sarawak masih lagi
menggunakan Datu Patinggi, Datu Bandar sehinggalah sekarang. Kewujudan Dato
Gudam ini dapat disahihkan dalam beberapa segi seperti wujudnya sebuah makam
lama di Pusa yang masih menjadi tanda sejarah untuk Kerajaan Negeri Saribas.
Makam Dato Gudam adalah hanya selang beberapa meter daripada Makam Pengiran
Temenggung Abdul Kadir dan juga Dayang Esah.
Keberadaan
Kerajaan Negeri Saribas ini juga dicatatkan di dalam jurnal pengembaraan James
Brooke yang mana di dalam jurnalnya ada mengatakan beliau telah singgah di
sebuah negeri di dalam kawasan Sungai Saribas yang mempunyai banyak persamaan
dengan jawatan pembesar di Brunei dan beliau berkesempatan berkenalan dengan
seorang Aulaksamana Saribas yang berusia 90 tahun.
v.
KERAJAAN NEGERI MALANO
Untuk
Kerajaan Negeri Malano ianya tiada kaitan langsung dengan mana-mana kerajaan
negeri yang dimaksudkan. Politi kerajaan yang hilang ini terletak di Kuala
Sungai Rejang, iaitu sungai selepas Sungai Kalaka. Jika dilihat kepada
kewujudan nama Melanau itu sendiri mengikut sejarahnya adalah diberikan oleh
Sultan Brunei keatas satu masyarakat yang menggelar diri mereka Likao iaitu
masyarakat yang tinggal di persisiran Sungai Rejang. Kewujudan politi kerajaan
ini dikatakan telah wujud sejak kurun Ke-13 lagi.
Berkemungkinan besar Tugau iaitu seorang raja yang penuh dengan kesaktian itu
adalah raja pemerintah kepada kerajaan negeri melano ini yang pertama.
Ini
dapat disahihkan di dalam manuskrip sejarah kerajaan Brunei yang menyatakan
bahawa di awal pemerintahan raja pertama Kerajaan Bo-ni iaitu sewaktu
kemerosotan pengaruh kerajaan Majapahit ke atas wilayah di Borneo sewaktu
pemerintahan Sultan Muhammad Shah iaitu sultan yang pertama Kerajaan Kesultanan
Melayu Brunei, wilayah Tutong yang ketika itu dibawah pentadbiran pembesar
kerajaan Melanau iaitu Mawanga telah diserang oleh orang-orang kanan Sultan
iaitu Awang Semaun, Awang Jeramabak dan Pateh Damang Sari. Pertempuran untuk
perluasan kuasa Kerajaan Brunei ini telah juga sampai sehingga ke Igan iaitu
satu lagi jajahan Kerajaan Melano dibawah Basiung iaitu ipar kepada Raja Tugau.
Walau bagaimanapun, Basiung dan Raja Tugau yang mendapat bantuan daripada
Kerajaan Sambas dan juga jajahannya yang lain tidak dapat menandingi jumlah
tentera pimpinan Awang Semaun ini ditambahlagi kerajaan Brunei telah mendapat
sokongan daripada masyarakat Iban Sarawak yang mengambil peluang untuk
menjalankan tradisi ngayau kepada masyarakat Melanau pada waktu itu. Setelah
kekalahan di dalam pentempuran itu maka banyak wilayah Kerajaan Melano telah
jatuh kepada kerajaan Kesultanan Brunei selepas itu.
Satu
lagi manuskrip kuno yang membenarkan bahawa ada satu kerajaan wujud satu ketika
dahulu adalah ianya tertulis di manuskrip sejarah kuno Nagarakertagama yang
ditulis pada tahun 1365. Di dalam manuskrip ini menyatakan
ketika zaman kerajaan Majapahit mencapai puncak kegemilangannya iaitu sewaktu
Hayam Wuruk memerintah ada menyebut Malano dan Brunei sebagai sebahagian
daripada pembayar ufti kepada kerajaan Majapahit tersebut. Jika Malano membayar
ufti bermakna Malano bukanlah satu jajahan kecil sebaliknya sebagai sebuah
kerajaan besar yang mencakupi beberapa jajahan kecil yang lain.
Jika
dilihat daripada konteks jurnal-jurnal pengembaraan kuno sememangnya banyak
tercatat bahawa Malano adalah sebuah peradapan suatu ketika dahulu. Catalan
Atlas yang diwartakan pada tahun 1375 ada menunjukkan peta
Kerajaan Malano di dalamnya malah ianya disahihkan di dalam peta orang Portugis
yang menyatakan bahawa wujud sebuah politi bernama Malao di dalam peta
pengembaraan mereka. Manakala di Florence, Italy sebuah peta lama bertarikh 1595 ada mencatatkan bahawa kawasan persisiran barat Sarawak
yang kini dikenali sebagai daerah Oya, Balingian dan Daerah Mukah juga
ditandakan sebagai Malano. Malah ada rekod di dalam jurnal pengembaraan Negara
Tembok Besar China iaitu Nan-hai-chih ada menyebut Achen atau Igan sebagai
sebuah peradapan suatu ketika dahulu dan membuktikan bahawa saudagar-saudagar
China juga pernah berkunjung ke Kerajaan Negeri Malano untuk berurusniaga.
Inilah
sekelumit ruang informasi menerusi artikel Kerajaan Kuno Sarawak yang hilang
yang mana ianya mempunyai bukti-bukti kukuh samada daripada penemuan tembikar
atau barangan purba di kawasan sekitarnya serta beberapa dokumen sejarah lama
yang membenarkan bahawa SARAWAK MEMPUNYAI 5 KERAJAAN KUNO
YANG TIDAK DIDENDANGKAN untuk pengetahuan sejarah anak bangsa Sarawak sekalian.
Sesungguhnya inilah sejarah asal kita yang seharusnya TIDAK DILENYAPKAN kerana
disinilah bermula peradaban untuk bangsa Sarawak sekalian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan