Selasa, 29 Ogos 2023

Sekolah Tadika di Patani, Selatan Thailand.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini akan bicara tentang Sekolah Tadika ataupun Taman didikan kanak-kanak di Patani, Selatan Thailand. Pengertian Sekolah Tadika di Patani, Selatan Thailand sangat berbeza dengan Sekolah Tadika di Malaysia. Ataupun dengan Pendidikan Anak Usia Dini (PAUD) di Indonesia. Kerana Sekolah Tadika di Patani, Selatan Thailand adalah sekolah yang menjalankan pembelajaran di hari sabtu dan Ahad. Pelajar-pelajarnya terdiri dari pelajar-pelajar darjah 1-6 di sekolah rendah yang belajar di hari isnin-hari jumaat.


Disini akan ketengahkan tentang Sekolah Tadika yang dimuatkan dalam tesis Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani. Tesis MA ini dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan tentan Sekolah Tadika adalah seperti berikut :

Sekolah Tadika (Taman didikan kanak-kanak)

Pendidikan di sekolah tadika merupakan salah satu kegiatan agama yang kebiasaannya dilakukan di sekitar kawasan masjid. Tadika adalah kata singkatan daripada Taman Didikan Kanak-kanak. Sekolah tadika adalah institusi pendidikan awal yang mengajar pendidikan agama Islam, bahasa Melayu dan bahasa Arab. Setiap kampung di wilayah Pattani memiliki sebuah masjid dan di kawasan masjid terdapat sebuah binaan sekolah tadika. Ini adalah fenomena yang terjadi kerana kesedaran penduduk Patani terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai orang Islam. Walaupun pada tahap awalnya tidak terdapat bantuan daripada pihak berkuasa, namun kesedaran terhadap masa depan status keagamaan dan kemelayuan penduduk Melayu Patani adalah faktor terpenting.

Kebiasaannya pendidikan awal ini dijalankan pada waktu pagi sebelum ke sekolah rendah kebangsaan atau waktu petang selepasnya, dan pada hari Sabtu dan Ahad. Dengan masa belajar yang terhad, para cikgu berusaha mengajar sesempat mungkin supaya dapat mengisi ilmu pengetahuan bahasa dan agama yang dijadualkan. Mereka mengajar dengan niat kepentingan keagamaan dan modal kesedaran terhadap identiti Melayu Patani yang ada di dalam diri mereka. Oleh itu cikgu tidak menuntut wang gaji daripada mana-mana pihak. Bagaimanapun terdapat juga sedikit bantuan daripada pihak masjid dan penduduk kampung sebagai sagu hati dan juga untuk membeli alat-alat mengajar seperti kapur dan pemadamnya. Usaha wakil rakyat Melayu di Thailand pada kebelakangan ini telah menyebabkan pihak kerajaan membantu sedikit masalah kewangan sekolah tadika dengan memberi wang gaji kepada guru. Meskipun sekolah tadika mempunyai kelemahan dalam aspek fizikal seperti binaan, kewangan dan alat-alat mengajar, institusi ini juga dapat berlangsung kerana mendapat sokongan kuat daripada penduduk Melayu.

Sekolah tadika merupakan institusi pendidikan pra-sekolah yang memperkenalkan huruf-huruf Arab, Jawi dan Rumi. Bahasa Arab dan bahasa Melayu merupakan kunci untuk mempelajari dan memahami ilmu-ilmu agama Islam yang diajarkan di Patani, terutamanya di institusi pondok dan madrasah. Pelajar-pelajar di institusi ini terdiri daripada kanak-kanak yang masih belajar di sekolah rendah kerajaan. Sekolah tadika adalah hasilan daripada peranan institusi pondok, sekolah tadika memainkan peranannya sebagai institusi pengasas identiti Melayu Patani kepada penduduk Melayu di Patani.

Pendidikan di sekolah kerajaan dianggap oleh penduduk Melayu pada zaman dahulu atau golongan tua sekarang yang berumur 60-an sebagai sekolah Siam yang mengajar untuk menjadi orang Siam atau orang Buddha. Dengan itu dasar kerajaan terutamanya penguatkuasaan Akta Pendidikan Wajib pada tahun 1921 merupakan faktor yang menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan agama dan bahasa Melayu. Bagi kerajaan, dasar tersebut merupakan langkah permulaan yang penting untuk menggalakkan rakyatnya berbahasa Thai yang seterusnya dapat mendatangkan keamanan di kawasan ini. Sebaliknya penduduk Melayu pada waktu itu (tahun 1921) menganggapnya sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menghilangkan identiti Melayu Patani kerana pendidikan di sekolah rendah yang diwajibkan oleh kerajaan menggunakan pengantar bahasa Thai dan ilmu yang diajar adalah ilmu sekular. Dalam situasi tersebut sekolah tadika adalah benteng utama yang berfungsi melawan pengaruh identiti nasional yang dilaksanakan melalui dasar tersebut, walaupun menggunakan masa hanya sejam atau dua jam sehari kalau dibandingkan dengan sekolah rendah kerajaan yang dipelajari dari 8 pagi sehingga 4 petang.

Dalam temuramah dengan guru  di beberapa buah sekolah tadika di wilayah Pattani, didapati bahawa kebanyakan guru tadika sedang belajar di sekolah agama yang juga mempunyai sistem pendidikan pondok. Setelah selesai mengajar sekolah tadika pada waktu pagi, murid-muridnya akan pergi belajar di sekolah rendah kerajaan, sementara guru juga perlu pergi belajar di sekolah agama masing-masing. Pada waktu malam guru-guru tersebut mempelajari kitab Jawi dengan tuan gurunya. Sekolah tadika dibahagikan kepada 3-6 darjah iaitu kelas A, B, 1, 2, 3 dan 4. Pembahagian kelas tergantung kepada pelajar dan sekolah rendah kerajaan kerana pelajar yang belajar di sekolah tadika adalah mereka yang sedang belajar di sekolah rendah kerajaan.

Ilmu yang diajarkan di sekolah tadika adalah ilmu keagamaan seperti mata pelajaran Tauhid, Fiqh, Sejarah Nabi, al-Quran dan ilmu bahasa seperti mata pelajaran Nahu, Saraf, Mutalaah, Muhadathah, Imlak, Khat, Rumi dan Jawi. Kebanyakan pelajar yang tamat sekolah rendah kerajaan juga akan berhenti belajar sekolah tadika kerana mereka akan menyambung pendidikannya di sekolah pondok atau di pondok tradisional. Terdapat segolongan kecil yang menyambung pendidikannya di sekolah menengah kebangsaan Thai.

Institusi pondok berperanan mengeluarkan guru-guru untuk mengajar di sekolah tadika. Kadang-kadang tuan imam akan memohon bantuan guru tadika daripada sekolah pondok atau pondok tradisional. Pelajar yang lulus daripada sekolah tadika akan menyambung pendidikannya di sekolah pondok atau pondok tradisional. Mereka ini pula kemudiannya berkhidmat mengajar di sekolah-sekolah tadika.


Ini adalah hubungan erat antara institusi pondok dan sekolah tadika. Sekolah tadika berfungsi menanamkan asas identiti Melayu Patani kepada kanak-kanak. Sementara institusi pondok berperanan mewujudkan penyebar dan penanam asas identiti Melayu Patani yang bergiat di sekolah tadika. Fenomena tersebut dapat menunjukkan bahawa sekolah tadika adalah salah satu daripada peranan institusi pondok dan merupakan institusi yang banyak membantu menyemaikan identiti Melayu Patani.

Tiada ulasan: