Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini akan bicarakan
riwayat seorang ulama asal dari Patani, Selatan Thailand. Ulama Patani itu
ialah Syeikh Ali bin faqih Al-Fatani yang berjasa di Mempawah, Kalimantan
Barat, Indonesia. Di sini saya menerima sebuah artikel tentang Syeikh Ali bin
faqih Al-Fatani kiriman dari Dato’ Mohammad Natsir (Peneliti
Kawasan Borneo). Dato’ Mohammad Natsir pernah melawat Patani menyertai
Pertemuan Penyair Nusantara ke VII pada tahun 2015. Dan Dato’ Mohammad Natsir juga
sebagai wakil Nusantara Studies Center bagi Kalimatan Barat. Isi kandungan
artikelnya adalah seperti berikut:
Ulama yang berasal dari
Patani yang akan diriwayatkan ini bermula dari sebuah salasilah dalam simpanan
salah seorang keturunannya di Mempawah, Indonesia. Cerita yang terbanyak
diperoleh ialah daripada Haji Abdur Razaq, seorang guru agama bebas dan tokoh
masyarakat di Mempawah. Selain itu, daripada Haji Abdur Rahman bin Husein
al-Kalantani, Mufti Kerajaan Mempawah terakhir serta daripada beberapa
keturunannya yang telah berusia di Mempawah, Pontianak, Jakarta dan Patani. Mengenai
Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani ialah daripada yang dimuat dalam risalah kecil
berjudul, Upu Daeng Menambon Raja Mempawah.
Dalam lingkungan tahun
1160 H/1747 M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung
sekitarnya dikejutkan kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar
belaka. Setelah dua orang ulama bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani dan
Syeikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon
iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa
perahu-perahu besar itu datang dari Kerajaan Patani Darus Salam. Dipercayai
bahawa kedua-dua ulama tersebut berasal dari Kampung Sena, Patani yang datuk
neneknya berasal dari Kerisik, Patani.
Pendidikan dan penyebaran ilmu
Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fatani mendapat pendidikan pondok di Patani dan kemudian melanjutkan pengajiannya ke Mekah. Bagaimanapun, baik gurunya di Patani mahupun di Mekah, belum diperoleh catatan yang lengkap dan jelas namun tentang ilmu kedua-duanya dikagumi oleh masyarakat di mana saja mereka berada. Hanya Syeikh Ali al-Fatani dan anak-anak serta anggota/ahli dalam rombongannya yang tetap tinggal di Mempawah dengan mendirikan rumah yang besar di Kampung Tanjung, Mempawah. Sebahagian lagi mengikuti Syeikh Abdul Jalil al-Fatani menyebarkan Islam di Sambas.
Syeikh Abdul Jalil
al-Fatani lebih dikenali dengan sebutan Keramat Lumbang kerana beliau
dikeramatkan orang adalah sebagai lambang ketinggian ilmunya hingga kepada ilmu
hakikat dan makrifat. Demikian halnya dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani,
setelah beliau meninggal dunia disebut orang dengan Keramat Pokok Sena. Kehebatan
ilmu yang berupa karamah yang pernah disaksikan oleh penduduk, di antaranya
Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani adalah seorang ulama yang berpengetahuan
lengkap. Disebabkan alimnya beliau dapat mengetahui helaian daun kelapa dalam
satu pelepah yang jatuh dengan tepat tanpa perlu dihitung terlebih dulu. Bukan
itu sahaja, kalau hari akan hujan beliau dapat mengetahui bahawa akan hujan
dengan melihat tanda-tanda kelakuan binatang seperti semut, binatang melata dan
serangga lainnya.Memperhatikan ketepatan yang diperkatakan oleh Syeikh Ali bin
Faqih al-Fatani, sehingga orang-orang Mempawah pada zaman itu mengatakan bahawa
Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani mengetahui percakapan binatang, selain itu
beliau adalah seorang Wali Allah juga seperti Habib Husein al-Qadri.
Ketentuan-ketentuan
hukum keIslaman yang terutama sekali pada persekitaran tiga jurusan, iaitu fiqh
menurut Mazhab Syafie, akidah menurut faham Ahli Sunah wal Jamaah Mazhab Abul
Hasan al-Asy’ari dan tasawuf mengikut imam-imam sufi yang muktabar adalah
terletak pada Habib Husein al-Qadri dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani.Sejak
kedatangan kedua-dua ulama itu telah mulai berkembang Barzanji, Nazham, Burdah
dan yang sejenis dengannya setiap malam Jumaat dan di tempat-tempat yang
digunakan sebagai upacara rasmi sering mendengungkan lagu-lagu zikir tersebut
untuk memperoleh pahala, bukan dipandang sebagai kesenian atau
kebudayaan.Tarekat yang diamal oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani ialah
Tarekat Syathariyah, Tarekat Naqsyabandiyah dan beberapa tarekat yang muktabar
lainnya. Namun ia berbeza dengan Habib Husein al-Qadri lebih suka mengamalkan
Ratib al-Haddad dan Tarekat Qadiriyah.
Murid-Murid
Sebahagian besar tokoh
yang pernah belajar dengan Habib Husein al-Qadri juga pernah belajar atau
sebagai murid kepada Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani. Beberapa ilmu yang
bercorak khusus, yang diperoleh dalam bentuk sistem pondok lebih banyak
diajarkan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani jika dibandingkan dengan Habib
Husein al-Qadri yang lebih menekankan berupa amalan dan bercorak memberi
keterangan atau syarahan.Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani lebih menekankan
pelajaran yang bercorak hafalan matan-matan sesuatu ilmu menurut tradisi pondok
di Pattani, sedangkan Habib Husein al-Qadri perkara itu tidak begitu dikuatkan,
yang diutamakan oleh Habib Husein al-Qadri ialah penguasaan lughah Arabiah. Oleh
itu, Gusti Jamiril putera Upu Daeng Menambon menguasai ilmu nahu, saraf dan
ilmu-ilmu Arabiah yang lainnya adalah diperolehnya daripada Syeikh Ali bin
Faqih al-Fathani. Faktor yang membolehkannya bertutur dalam bahasa Arab adalah
kerana pergaulannya dengan Habib Husein al-Qadri.
Dilantik Sebagai Mufti Kerajaan Mempawah
Sebagaimana telah diceritakan dalam artikel sebelum ini bahawa Mufti Kerajaan Mempawah yang pertama ialah Habib Husein al-Qadri yang memperoleh gelar Tuan Besar Mempawah. Diceritakan pula, sewaktu Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah telah berwasiat, bahawa yang layak sebagai pengganti beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani yang tinggal di Kampung Tanjung Mempawah. Oleh itu, untuk melaksanakan wasiat itu pihak pemerintah Mempawah telah melantik Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelar Maharaja Imam Mempawah. Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani adalah orang yang pertama di Mempawah yang memperoleh gelaran sedemikian.
Ini bererti Syeikh Ali
bin Faqih al-Fatani itu adalah Mufti Mempawah yang kedua selepas Mufti yang
pertama iaitu Habib Husein al-Qadri. Setelah Syarif Abdur Rahman al-Qadri
mendirikan Kerajaan Pontianak, Sultan Pontianak itu mengajak beliau pindah ke
Pontianak, lalu beliau tinggal di Kampung Bugis/Kampung Pedalaman Pontianak
yang berdekatan dengan istana Sultan Pontianak itu. Ini bererti Syeikh Ali bin
Faqih al-Fatani berkhidmat di kedua-dua tempat itu dengan berulang-alik antara
Mempawah-Pontianak melalui pelayaran perahu.
Keturunan
Catatan Tuan Guru Haji
Abdur Razaq, bahawa keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani adalah empat
orang, iaitu:
Hajah Fathimah, Abdur
Rahman/Wak Tapak, Ismail dan Muhammad Dumyati.
Anak yang pertama, Hajah Fathimah berkahwin dengan Muhammad Thahir, memperoleh anak bernama Maidah dan Basuk. Abdur Rahman, yang lebih dikenal dengan sebutan Wak Tapak memperoleh beberapa orang anak, ialah; Mustafa, Patik, Hasan, Husein dan Muhammad Nur. Seterusnya Ismail, memperoleh anak bernama Saad. Muhammad Dumyati pula memperoleh anak iaitu; Muhammad Shalih, Musa dan Haji Daud. Di antara mereka yang paling terkenal ialah Abdur Rahman/Wak Tapak, adalah seorang pahlawan Mempawah.
Sewaktu terjadi
perbalahan antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan
tempat-tempat lainnya, Wak Tapak al-Fatani dan Tengku Simbob yang berasal dari
Riau berhasil mengalahkan orang-orang Cina tersebut. Salah satu tempat di Pulau
Temajoh, Kecamatan Sungai Kunyit, Mempawah nama beliau dikekalkan dengan nama
Tanjung Wak Tapak. Menurut riwayat tempat itu adalah sebagai perhentian beliau
untuk mengintip lanun-lanun yang melalui perairan Mempawah. Kesinambungan
kedatangan orang-orang dari Semenanjung ke Mempawah/Kalimantan Barat.
Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fatani dapat dianggap sebagai perintis kepada kedatangan orang-orang Patani dan tempat-tempat lain dari Semenanjung, seperti Kedah dan Kelantan ke Kalimantan Barat. Dari kedatangan yang pertama oleh Syeikh Ali al-Fatani hingga yang terakhir oleh Haji Abdur Rahman Kelantan, ternyata ada hubungan erat, baik dari segi kekeluargaan mahupun pertalian sanad/salasilah pengajian ilmu-ilmu keIslaman.Kedatangan ke Kalimantan Barat tersebut adalah secara berkesinambungan kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya. Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Patani yang masih bersangkutan dengan keluarga besar Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani yang datang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, ada tiga adik-beradik iaitu Haji Wan Abdul Latif, Wan Nik dan Hajah Wan Mah.
Ada pun Haji Wan Abdul
Latif itu alim dalam ilmu fiqh, manakala Haji Wan Nik adalah tokoh sufi. Haji
Wan Abdul Latif berkahwin di Kampung Tanjung Mempawah dengan salah seorang
keturunan yang juga berasal dari Patani. Beliau memperoleh tiga orang anak:
Haji Abdul Hamid, menyebarkan Islam di Kepulauan Tambelan dan meninggal dunia
di sana. Anak beliau yang kedua bernama Mahmud, meninggal dunia di Singapura
dan yang ketiga bernama Muhammad telah pulang ke Patani. Ada pun anak Haji Wan
Nik al-Fatani iaitu Haji Usman pulang ke Patani. Manakala menantu Haji Wan Nik
al-Fatani adalah seorang ulama, iaitu Haji Hasan al-Fatani. Beliau adalah
sebagai Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fatani
sahabat kepada Syeikh Basiyuni Imran yang lebih dikenali dengan gelaran Maharaja
Imam Sambas. Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Syeikh Muhammad
Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan pula ialah
Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak. Haji Abdur
Rahman bin Husein al-Kalantani pula adalah Mufti Mempawah yang terakhir.
Ketiga-tiga orang yang tersebut itu walaupun bukan berasal dari Patani tetapi
ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani.
Ini kerana sebelum
mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Syeikh
Ali bin Faqih al-Fatani. Keturunan yang terakhir ialah Wan Mohd Shagir Abdullah,
dari keturunan Patani-Johor yang dilahirkan di Kepulauan Riau datang ke
Kalimantan Barat, menjejakkan kaki pertama sekali di Singkawang (Daerah Sambas)
pada 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988. dicatat daripada
keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah. Percubaan-percubaan untuk
mendirikan pendidikan sistem pondok sejak zaman Upu Daeng Menambon bersambung
terus, namun selalu diakhiri dengan kegagalan. Setelah sekian lama sesudah Upu
Daeng Menambon, datang seorang ulama Kedah bernama Haji Muhamad Yasin yang
menampung murid-muridnya di Kuala Secapah, namun hanya dapat bertahan beberapa
tahun saja.
Setelah itu, disambung
pula dengan Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan dengan mendirikan pondok
Darul Ulum di Mempawah. Dengan terdirinya pondok tersebut, sempat melahirkan
beberapa orang tokoh di antaranya, dua orang anak beliau sendiri iaitu Haji
Muhaamad Aziq L.C. dan Drs. Abdul Malik. Seterusnya pondok yang terakhir adalah
diasaskan nama Pondok Pesantren Al-Fathaanah, yang pertama terdirinya di Sungai
Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit tahun 1974. Turut serta sebagai pengasas ialah
beberapa orang murid daripada Haji Abdur Rahman Kelantan tersebut. Di antara
mereka ialah seorang ustaz dan Ketua Kampung Munzir Kitang, Udin Sadul, Hamdan
Bochari . Sehingga kini Al-Fathaanah masih wujud dengan berkonsepkan seperti
sistem pengajian sekolah-sekolah umum, namun masih mengekalkan sistem pondok.
Sumber: ulama-nusantara.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan