Oleh Nik Abdul Raib Bin Nik Hassan
Kali
ini penulis akan kemukakan sebuah artikel tajuknya “Digendong Adat, Kehidupan
Bermanfaat” yang ditulis oleh Dr Azhar Ibrahim Alwee. Beliau adalah seorang
pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Dan juga
Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan anggota Majlis Bahasa Melayu
Singapura dan Sahabat Sastera. Artikel tulisan beliau di siarkan di
BERITA
Mediacorp Singapura. Artikel beiau adalah berikut:-
Dalam
kehidupan masyarakat Melayu, berpegang kepada adat sudah berdarah daging atau
sebati, yang diakui dan diamalkan, secara sedar mahupun tidak.
Kesempurnaan
hidup berkeluarga dan bermasyarakat digandingkan maknanya dengan sejauh mana
adat itu dijunjung dan dilaksanakan.
Peribadi
yang tidak memperlihat tindakan yang sepatutnya, akan disebut sebagai “tidak
beradat.” Dalam kalangan keluarga, apabila sudah terujar oleh emak dan ayah,
anak mereka yang “tidak beradat” itu adalah teguran paling serius, dan ia
sangat memalukan bagi anak tersebut. Itulah yang kita takut apabila kita
disebut orang sebagai “tidak beradat”.
Manifestasi
adat dalam kehidupan masyarakat Melayu menjelma dalam pelbagai segi. Sering
kali, banyak kegiatan dan amalan seharian yang diatur dengan adat. Contohnya,
apabila ada tetamu yang datang, adatnya mestilah mereka dihidangkan
setidak-tidaknya secawan kopi atau teh.
Tetapi
dalam menghidangkan minuman itu, ia mestilah dituangkan ke dalam cawan yang ada
alasnya, termasuk diletakkan di atas dulang sebelum kita meletakkannya di meja
tamu. Itulah adatnya, termasuk menjamu dengan sedikit kuih dan juadah yang ada
di dapur. Itulah adat menerima tetamu.
Adat
juga sering kali dikaitkan dengan bagaimana kita menjadi tertib di depan orang
tua, atau orang yang lebih berpangkat dan berwewenang daripada kita. Pastinya
itu betul, tetapi cakupan adat lebih dari itu sebenarnya.
Adat bukan sahaja merangkumi bagaimana kita menampilkan diri di depan masyarakat tetapi juga bagaimana kita berhubungan dengan orang lain, dengan sapaan dan “pangkat menyapa”; bagaimana kita melakukan atau menjalankan pelbagai kegiatan seharian.
Dalam
kegiatan seharian yang dianggap tidak molek atau tidak manis, boleh terangkum
dalam contoh berikut. Bila ke rumah orang yang lebih tua, atau rumah orang yang
sedang sakit, harus kita membawa buah tangan, seperti buah-buahan atau
kuih-muih. Sekiranya tidak dilakukan, maka lawatan kita menjadi “tidak manis”,
betapa kita ikhlas menjenguknya. Hal yang tidak manis ini juga boleh disebut
sebagai “tidak beradat.”
Tiga Jenis Adat
Sesungguhnya
takrif adat itu sangat luas. Ada makna spesifik dan ada pula yang umum. Adat
terbahagi kepada tiga jenis utama.
Pertama,
adat yang sebenar adat. Inilah adat yang azali dan abadi, sudah ditentukan
Tuhan dan ia kekal sepanjang masa.
Kedua,
adat yang diadatkan, yakni adat yang digubal dan diperkasakan dengan
kesepakatan antara raja dan rakyat. Adat jenis ini boleh berubah dengan
terlerainya kesepakatan.
Ketiga,
adat yang teradat, yang lebih bersifat musiman dan sementara kerana ia boleh berubah
dengan peredaran masa dan keperluan.
Adat
sebagai peraturan yang dianjur pastinya sarat dengan dimensi moral etika. Adat
asasnya mesti bersendi pada adil, akal dan keseimbangan. Adat meletakkan setiap
satu anak Melayu dengan peranan dan tugas masing-masing. Seperti disebut:
“Laut
seperintah raja
Rantau
seperintah datuk
Luhak
seperintah penghulu
Ulayat
seperintah batin.”
Ungkapan
adat itu bukanlah suatu kod hukuman tetapi ketertiban dan keberpatutan yang
diidamkan. Ia juga bukan untuk menggugah seseorang. Apa lagi menggertak atau
menggugat dengan hukuman yang keras, tetapi ia berbentuk nasihat berhemah untuk
menyedarkan pendengarnya.
Beradat
adalah hikmah yang diturunkan oleh nenek moyang bangsa Melayu. Ia terungkap
dalam perbilangan yang bermadah, kerana ia diturunkan secara lisan dari satu
generasi ke generasi seterusnya.
Hari
ini bidalan dan ungkapan adat sudah terkumpul dan dibukukan. Usaha yang
dilakukan oleh Pak Tenas Effendy dari Siak, Riau sangat berguna sebagai rujukan
utama tentang pelbagai khazahah adat Melayu, berserta dengan huraian dan
pembahagian yang bernas.
Di mana ada masyarakat Melayu, di situlah adanya adat yang terpakai dan dianjurkan. Penerimaan adat ini juga berdasarkan perbezaan tempat tinggal, kelas sosial dan pendedahan kepada tradisi nilai, sama ada dari budaya tempatan mahupun dari tradisi Islam. Ditegaskan sedemikian:
“Adat
yang diikat oleh syarak
Adat
bertalikan Kitabullah.”
Malah
Adat dan Islam itu tidak pernah dipisahkan dalam pemahaman nenek moyang kita.
Dalam wacana kolonial, adat sebaliknya dipaparkan sebagai lawanan kepada Islam.
Walhal,
nilai-nilai yang dianjurkan dalam adat sangat selaras dengan pesan-pesan agama
Islam yang universal. Sifat berbudi, bersikap adil, berilmu, berbahagi sesama,
bersopan santun, mengamalkan rukun tetangga, berbahasa, berpekerti mulia,
bersemangat gotong-royong, dan rendah hati adalah antara anjuran yang sering
dilantun.
Adat
rata-rata tidak boleh “diajar” semata-mata dalam bentuk mata kuliah melainkan
diperlukan sosialisasi, atau pemasyarakatan. Dari orang tua kita, dapat kita
belajar bagaimana mengendali kenduri atau majlis yang istimewa. Dari pergaulan
dalam rumah, kita diajar dengan cara sapaan dan bagaimana berurusan dengan
orang tua atau yang muda.
Pertimbangan
besar yang harus diambil kira ialah yang beradat itu mestinya “manis”, “molek”,
“berpatut-patut”, “berimbang”dan sepertinya. Orang yang tahu menempatkan adat,
maka itulah orang yang berbudi, tanpa kira dia miskin atau kaya, berderajat
atau tidak berpangkat.
Adat dari nenek moyang kita ini yang sarat dengan anjuran, teladan, tegasan, malah juga peringatan. Apabila ungkapan adat itu dilantun, ia akan bergema seiring dalam lirikan, sehingga yang mendengar akan mudah faham, tersentuh dan tertarik. Ini kerana ia bukan berbentuk paksaan, gertakan dan cemuhan.
Itulah
Adat yang intinya menasihati dan meneladani. Contohnya bila kita berkumpul dan
beramah-tamah dengan kawan dan taulan, harus diperhatikan sebegini:
“Berseloroh
sama sebaya
Berunding
sama setara
Bergelut
di halaman
Berunding
di rumah
Berbuat
baik berpada-pada
Berbuat
jahat jangan sekali
Yang
patut dipatutkan
Yang
tua dituakan
Yang
berbangsa dibangsakan
Yang
berbahasa dibahasakan.”
Menjaga
adat dalam pergaulan dan perhubungan ertinya juga menjaga adab, maruah diri dan
nama baik seseorang. Tercela pula bagi yang tidak beradat kerana gagal
melaksanakan dan meneladani adat yang terpakai dalam masyarakat.
Menjaga
“malu” adalah penting agar tidak disebut “tidak beradat”. Membawa malu kepada
diri sendiri, kepada keluarga, sehingga memberi malu kepada bangsa, sering
diingatkan:
“Adat
hidup orang Melayu
Sama
merasa aib dan malu”
Menjadi
manusia beradat, itulah yang dicitrakan dalam cakerawala kebudayaan Melayu.
Pastinya adat ini bukan bermaksud amalan-amalan yang sarat dengan kekolotan dan
tahyul yang sering pula diseiraskan dengan “adat.”
Sebaliknya,
daripada bidalan dan ungkapan adat, kita akan menemui gagasan, panduan, teladan
dan penilaian yang kalau diakrabkan dalam kehidupan kita, akan menjadikan kita
benar-benar apa yang disebut oleh orang Melayu sebagai “orang berbudi.”
Pendidikan
untuk menyalurkan bidalan adat ini harus mendapat tempat dalam pedagogi budaya
dan bahasa kita. Susunan kurikulum juga harus peka dan dapat memanfaatkan
bidalan adat ini agar ia akan melekat dalam hati, meresap dalam fikiran,
mewangi dalam sebutan, melengkap dalam tindakan, serta berakar dalam
keperibadian.
Atas
kesedaran menyumbang kepada usaha menggalak pengenalan dan pemahaman mendalam
kepada bidalan dan ungkapan adat Melayu, maka sebuah bengkel “Bidalan Adat,
Budaya Dimartabat: Menelusuri Ungkapan Tradisional dan Cakerawala Adat” akan
diadakan di Perpustakaan Negara pada Sabtu ini, tanggal 14 September 2024.
Bengkel
ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Pengajian Melayu, NUS, Lembaga
Perpustakaan Negara (NLB) dan Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) di bawah
kelolaan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Pembicara
utama dalam bengkel ini ialah Dr Azhar Ibrahim dari NUS dan Cikgu Wan Noor Wan
Khuzairey, seorang pendidik dari Malaysia.
Pak
Tenah Effendy pernah melantun sedemikian: “Tegak Menjaga Tuah, Duduk Memelihara
Maruah.” Itulah semangat yang dapat kita tukil daripada bidalan dan ungkapan
adat kita.
Menjejaki khazanah adat kita harus mendapat tempat dalam telaah budaya kita, khususnya kepada para pendidik dan pemimpin. Bidalan adat sebegini “tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” adalah sebahagian daripada 'perennial wisdom' leluhur kita, yang pastinya ada yang wajar diturunkan dan dikembangkan.
Membawa
gagasan dan tindakan yang bermanfaat dalam masyarakat memerlukan tekad,
keyakinan dan usaha. Begitulah disebut “Tegak tak berganjak, duduk tak
beralih,” yakni mampu meneruskan usaha betapa arusnya kuat menentang. Ini wajar
pula disambut dengan “mahu dengan selamat, tahu dengan berilmu.” Menjayakan
perubahan dalam masyarakat mestilah dengan kandil ilmu berserta dengan semangat
yang terus menyala. Izinkan saya mengubah madah:
Digendong
Adat, kehidupan bermanfaat
Kalau
budi bertempat, ikhtiar jalan akan selamat
Kalau
ada yang tercicir, harus kita bantu sekuat kudrat
Kalau
banyak tersungkup alpa, kita bergendang jadi peringat
Kalau
segelintir ragu dan kaku, kita lantunkan kekata hikmat
Adat
digendong membawa manfaat, jadikanlah itu nadi semangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan