Dunia Melayu agak luas berbagai tafsiran tentang Dunia Melayu. Di sini kita carilah tahu pandangan Dunia Melayu menurut Shiekh Ahmad Al-Fatani. Artikel ini diambil dari tulisan Wan Mohd Saghir di blog "http://ulama-nusantara.blogspot.com/". Inilah isi artikel tersebut:-
HINGGA
penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu
dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya
dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat
yang secara terpisah.
Sebelum
membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali
kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah
diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori
Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1. Petikan itu ialah:
"Iaitu
kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan
baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan
(dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia.
Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.
"Negeri
Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu
terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/
ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian
daripada negeri-negeri India-Cina.
"Orang-orang
Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di
wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan
manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang
Jawa.
"Bahasa
Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa
penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai
menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang
berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.
"Bangsa
Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan.
Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan,
menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan
serta kecemerlangan kefahaman padanya.
"Bangsa
Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan
kafir telah menipu daya mereka."
Tulisan
Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa
Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail
al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di
tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.
Dengan
kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di
atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan
Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau
selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.
Perlu
penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai
dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan
baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan
(dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab
dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma"
(Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).
Tidak
terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah
perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan
"mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh
Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.
Dunia
Melayu
dari
aspek geografi dan kesuburannya
Sheikh
Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri
Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran
bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar
dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.
Ia
diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi
mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri
India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan
bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."
Menurut
Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang
besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah"
kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah
serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu
tidak sama dengan Jawa.
Inilah
yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada
orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu
dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah.
Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan
kepulauan Melayu.
Selanjutnya,
kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari
kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat
al-Azhar. Ia adalah petikan Jaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.
Sheikh
Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan
Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka,
Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo /
Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".
Kalimat
selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah
sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa
keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan,
hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.
Dalam
karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang
kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu
seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula
dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita.
Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita.
Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada
kita".
Aspek
bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu
Setelah
memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani
melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu
bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah
itu."
Pada
konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad
al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa,
Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".
Walaupun
di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa
Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa
Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.
Sheikh
Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang
Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan
bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa
Melayu".
Persyaratan
sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga
tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian
ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri
mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka
sendiri sangat miskin sekali pun".
Pandangan
ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada
nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya,
"Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu
kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian
itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala
perangainya dan elok segala adatnya.
Dan
terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu,
betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah
daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.
Yang
membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia
sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.
Maka
iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu
itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu
mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang
membawa kepada kepujian dirinya".
Dengan
dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka,
istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur
sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.
Dan
tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan
setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain
daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna
"wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".
Dan
iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah
dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan
"muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa]
"kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.
Ada
pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan",
ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".
Maka,
iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia
dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu
a'lam."
Masih
dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani
dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang
sopan ..."
Aspek
perkembangan ilmu pengetahuan
Pada
sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu
dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu
pengetahuan.
Inilah
yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan
pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan
ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".
Mengenai
perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani
dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal
Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur,
1422 H/2002 M, halaman 31-32).
Aspek
kedaulatan pemerintahan
Dalam
konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat
pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai
kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu
daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka
(kafir). Amin".
Sheikh
Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang
lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah
yang dipegang oleh orang-orang Islam.
Namun
selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang
menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.
Dalam
Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh
dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad
al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.
Tahun
yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan
terakhir Teuku Umar.
Pada
1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan
hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan
perang sabilillah.
Selanjutnya
pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan
Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin
adat dan ulama-ulama Islam.
Sheikh
Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku
Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku
Umar.
Memerhatikan
tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama
beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta
bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh
Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu
termasuk Aceh.
Mengenai
yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war
Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.
Penutup
Pengenalan
peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang
terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus
hari ini.
Kesinambungan
dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan
memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek
kepentingan dunia Melayu.
x
Tiada ulasan:
Catat Ulasan