Ahad, 24 November 2024

Suratman Markasan: Sang Pengayom dan Pengayam Kesusasteraan

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini saya kemukakan seorang penulis dari Kota Singa, yang saya pernah bertemu dengan beliau 2203 kali di Malaysia. Beliau ialah Cikgu Suratman Markasan, dan saya kemukakan penulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee yang berkaitan dengan Cikgu Suratman Markasan. Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia. Beliau juga Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF). Tajuknya “Suratman Markasan: Sang Pengayom dan Pengayam Kesusasteraan” di tersiar di berita.mediacorp.sg Inilah tulisan Dr Azhar Ibrahim Alawee:-


Suratman Markasan ialah Pengayom Kesusasteraan yang berhati dan berperi, memimpin dan berprihatin, tegak bertugas mendiri serta akur pentingnya bersikap mandiri.

Beliau pernah dan sering bersua dan duduk bersama kita di dewan yang mulia ini, tetapi kini beliau sudah berpergian meninggalkan kita semua.


Pak Suratman, terimakasih banyak kerana selama ini telah mendampingi dan berbahagi ilmu dan ilham sebagai sasterawan, sebagai guru, sebagai pemerhati mahupun sebagai peserta undangan.


Setiap kali Pak Suratman hadir dalam apa jua acara, itu adalah penghormatan besar, kerana beliau seorang tokoh yang hadirnya merahmat dan memberkat dan suara geraknya melekat dan memikat.


Kali ini kita meraikan beliau, betapa beliau tidak dapat bersama kita. Sempena di bulan Ramadan yang mulia ini, kita panjatkan doa dan Alfateha agar rohnya dicucuri Rahmat.


Kita yang telah dididiknya, sudah dibekali dengan ihsan mengenali dan menghargai, bahawa peduli berhati pada ehwal rakyat itu adalah keramat, dan kemanusiaan agama dan tradisi, adalah amanah yang semua kita harus pikul.


Kita menyapa beliau dengan sapaan Cikgu atau Pak Suratman, melekat sampai kini, kerana keserdehanaan peribadinya adalah ketokohan yang sukar ditandingi.


Di kesempatan yang berbahagia ini, izinkan saya menghurai dua sisi dari ketokohan yang bisa disimpulkan dari keperibadian guru kita ini:


Pertama, Suratman Markasan bisa dirakam baktinya sebagai Pengayam.


Kedua, Suratman Markasan bermakam sebagai sang Pengayom.


Dua sisi ini boleh kita sebutkan sebagai sebuah ketukangan. Malah dari ketukangan ini, nanti bisa saya usulkan gelar kalungan yang wajar beliau menyandangnya.

Pengayam Kesusasteraan

Mengayam itu adalah bertukang seni, yang kelihatan pada zahirnya, dan pada sisi batin mengetap, melurus dan membingkas ilmu dan pemikiran.


Pengayaman Pak Suratman terlihat dalam dua bidang utama.


Yang satu berona ilham kreatif yang membungakan fiksi prosa dan puisi.


Yang satu lagi berbentuk wacana yang mengupas idea, pemikiran, impian dan harapan.

 

Himpunan tulisannya menjadi kesaksian, yang merentasi puluhan dekad, melintasi zaman kolonial, zaman Jepun, zaman kemerdekaan Malaya, Malaysia dan Singapura sampai zaman Singapura baharu sebagai sebuah republik.

Dari genre yang beliau bertukang, ia merata dan membina. Dari novel, cerpen, puisi, esei, buku kajian dan rujukan, kritikan, ulasan, panduan, sorotan dan kata aluan-aluannya. Tercukup semuanya sehingga akan panjang berjela bila dicatat dalam senarai rujukan.


Beliau ialah pemikir dan ilmuan sekali gus, yang menulis dengan kajian, pemerhatian dan pengalaman kerana latihan pendidikan di perguruan tinggi menambah inti kecerdasan dan kedalaman ungkapan beliau.


Beliau sangat yakin pada hikmat yang digubahnya:


Sasterawan harus menjadi mata dan telinga untuk masyarakatnya.”


Itulah yang membuat beliau menjadi penulis yang cermat memerhati, bukan penulis yang berkhayal ilham sendiri-sendiri.


Beliau ialah ilmuan yang di dalam cakrawala pemikiran tiada tempat untuk berneutral atau konon berobjektif.

Beliau menilai dan menimbang berdasarkan ukuran penilaian yang bersandarkan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan yang universal.


Keberpihakan adalah antara dasar pena Pak Suratman. Perhatikan dalam bait-bait dari beliau:


apabila kita makan dan minum

teringatkah kita kepada anak-anak malang

di empat penjuru jagat raya lalu bertanya:


apakah laparnya sudah kenyang

apakah dinginnya sudah hangat

apakah sakitnya sudah sembuh

apakah bodohnya sudah pandai?”


Beliau adalah anak negeri yang bangga akan sejarah dan harga diri bangsanya. Beliau berfikir dengan kemajmukan tapi ia juga harus berdiri dengan keadilan.


Bacalah lembaran karya beliau, bahawa kita akan diketemukan dengan manusia dan masyarakat yang tersungkur dan tergusur, yang tergelincir dan tercicir, yang terkepil dan dikerdil, yang suram dan dibungkam, yang tertinggal dan dimarginal, yang terlupa dan dilupakan. Suara Suratman adalah suara kemanusiaan.


Beliau adalah penulis yang terus mengayam antara tradisi dan moderniti. Tradisi sebagai dasar nilai dan iman, kerohanian dan amalan. Moderniti sebagai pemacu kemajuan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat. Kedua-duanya harus dianyam dengan berimbang dan berpada.


Sang Pengayom


Suratman Markasan ialah sang Pengayom yakni berperanan sebagai pelindung, penjaga, pemelihara, pemayung bagi dunia kesusasteraan kita,


Sang Pengayom itu pasti memainkan peranan sebagai tukang saksi. Beliau penyaksi zaman dan perubahan. Beliau penyaksi penindasan kolonial dan kemerdekaan nasional, sampailah ke pembangunan pesat di era global.


Tercatat beliau banyak memimpin, baik sebagai guru, pensyarah, ahli persatuan dan jawatankuasa, di mana keahilan beliau dapat menggerakkan institusi dan pertubuhan. Sisi pengayoman ini sendiri adalah sumbangan yang penting untuk masyarakat dan negaranya.


Pak Suratman mula berkarya dengan kritikan sosial dalam novel Tak Ada Jalan Keluar (1962). Sebuah dilema keluarga miskin menyara anak-anaknya, sedang ibu terpaksa jatuh di lembah terhina. Anaknya sampai tidak mengaku ibu yang menderita itu. Cerita sebegini menggugat siapa yang ada mata dan hati.

Beliau ialah sasterawan terakhir dari zamannya. Kerana dianugerahkan umur yang panjang, beliau juga dianugerahkan Tuhan, kudrat untuk berkarya sampailah ke hari-hari akhir hayat beliau.


Sebagai sasterawan, sisi pencari dan mencari adalah suratan beliau. Tapi beliau bukan pencari yang berkelana untuk menyepi. Beliau ialah pencari yang sedia melaksana guna berbakti. Ini tersaksi dari deretan karya beliau, yang rata-rata berpesan dan menggambar dari pendirian yang berhati.


Sebagaimana penulis besar lainnya, beliau adalah anak atau insan zamannya, dengan pola pikir yang telah mewarnai cara beliau mengupas, mengungkap dan menyimpul.


Beliau tekun menulis dalam pelbagai bentuk. Cerpen beliau sering bercerita biasa namun diberi sentuhan intrik di kesudahannya. Puisi-puisi beliau sering panjang berprosaik, tapi inti teguran dan tepisannya sering menarik.


Esei dan kajian beliau bukan renungan semata, tapi banyak data ditarik diolah untuk membicarakan isu dengan lebih berkesan. Itulah kegigihan guru kita Pak Suratman Markasan.

Beliau adalah pembaca politik dunia. Kekacauan, kekerasan dan peperangan beliau kecam dan menolak. Puisi-puisi beliau tentang Iraq dan Palestin, teristimewa tentang Gaza, tajam menyinggung, masih berdentum dan menyambung.


Beliau adalah penyimpan memori yang tangkas, khasnya tentang ranah kesusasteraan kita, dan banyak karya penulis tanah air kita yang dicatat disinggung, tiada dari pemerhatiannya yang terlepas.


Izinkan saya menyaring 20 sifat atau pemerhatian yang saya lihat ada pada ketokohan Pak Suratman, yang kita sayangi ini:


(1) Beliau kadang berfikir gusar tetapi tidak pernah menyuara dengan kasar.


(2) Beliau manusia bertradisi tetapi tidak sampai taksub tegar atas pendirian sendiri.


(3) Beliau terkadang menulis menggetar sentap, tetapi tak sampai membuat kita jadi tak sedap.


(4) Beliau menyapa dengan sederhana, tetapi sentuhan menyentuh ke dada.


(5) Beliau sering menasihati menegur tetapi tak sampai membuat kita malu melebur.


(6) Beliau berhujah dengan fakta, walaupun terkadang negatif nadanya, tetapi tak sampai membuat kita gundah.


(7) Beliau menyentak banyak persoalan, sehingga kita insaf mengesan mana yang dah sopak dan yang dah melemak.


(8) Beliau guru yang bukan jenis berkobar-kobar, tetapi mendampingi kita dengan sabar.


(9) Beliau tampil sebagai pemimpin, tetapi bukan jenis yang sebarang bikin.


(10) Beliau bukan jenis bermadah seloka, namun apabila mendekati kita, cepat jadi mesra.


(11) Beliau manusia taat agamis, tetapi tidak pernah tampil bersangar bengis.


(12) Beliau tampil selalu sederhana dan bahagia, sehingga kita terasa ada berkat dan rahmat dari peribadinya.


(13) Beliau di hari-hari tuanya berhikmah tenang, sehingga kita yang muda-muda terasa ditatang.


(14) Beliau bercakap jarang barang yang berat-berat, tetapi kesederhanaannya itu meniup semangat .


(15) Beliau mengaju sering menggalak, tanpa perlu beretorika yang menggelegak-gelegak.


(16) Beliau peka akan tantangan masyarakat, tanpa perlu beliau mendabik menjadi jaguh rakyat.


(17) Beliau berbicara beralas ilmu, sehingga tak ada yang kosong atau gugat menganggu.


(18) Beliau guru budiman yang tekun, sehingga sampai hari tuanya, beliau bertambah anggun.


(19) Beliau murah berbahagi dan sanggup duduk bersama kita mendengar isi hati.


(20) Beliau sang penulis beramanah, sehingga kita dijadikan insaf bahawa ke depan yang maju dan selamat itu, kita harus berani untuk berubah.


Itulah sisi sang Pengayam dan Pengayom yang saya kenali pada sosok Pak Suratman dan saya pasti ramai teman bisa menambah lagi sisi-sisi yang lain.


Keahlian, kemahiran, kebagusan, kepandaian dalam masyarakat kita akan dipanggil si Tukang. Jadilah tukang rumah, tukang besi, tukang jahit, sampailah tukang masak dan tukang sapu.


Tukang itu adalah kepandaian kemahiran dan kewajipan yang dihormati. Dalam masyarakat lisan, ada tukang cerita. Di istana, ada tukang tulis. Sasterawan kita, dalam pelbagai segi adalah tukang cerita, dan yang jaguh di antara mereka, menjadi tukang surat.


Sesungguhnya dari pemerhatian semua ini, maka wajarlah kalau saya menyebut bahawa Pak Suratman Markasan itu sebagai Tukang Surat yang pernah wujud dan menyumbang dalam persada persuratan kita.


Pengayam dan pengayom yang kita sambuti dan ingati di hari yang berkat ini, adalah Tukang Surat yang waktu hayatnya berbakti tidak berhenti untuk dunia kesusasteraan dan persuratan kita, baik di sini mahupun serantau.


Cikgu Suratman, Cikgulah Tukang Surat dan kami tabik hormat.

Tiada ulasan: