Oleh Nik Abdul Rakib Bin Mik Hassan
Kali ini saya kemukakan sebuah artikel bertajuk “Kedaulatan Manusia Berusaha” tulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Isi kandungannya berkaitan dengan Tenaga buruh. Isi kandungannya seperti berikut:-Ia adalah hari keramat dan semangat untuk
setiap pekerja. Ia wajar disambut bukan semata-mata untuk beristirahat sehari
cuti, tetapi ia adalah pengiktirafan sejagat bahawa manusia bekerja adalah
penggerak keluarga, masyarakat, negara, dan seluruh sejagat.
Manusia itu fitrahnya ialah insan bekerja dan
berusaha. Dalam negara yang sejahtera, kebajikan para pekerja akan terjaga.
Namun ia bukan datang semena-mena. Ia hasil daripada kebijakan kepimpinan
negara yang menggubal dasar untuk melindungi hak pekerja, dengan gaji dan
lain-lain jaminan seperti cuti dan biaya sakit dan keperluan kebajikan
keluarga.
Di pihak negara, penggubalan dasar dan perundangan terus dilakukan demi memastikan bahawa tiada siapa yang harus dirugikan dalam hubungan pekerja dan majikan. Keberuntungan syarikat harus diterjemah ke dalam bentuk bonus dan tambahan gaji dari semasa ke semasa. Di Singapura, pencaruman pekerja melalui CPF menjadi wajib dan ini adalah satu bentuk untuk melindungi simpanan pekerja untuk hari tua mereka.
Hari ini dengan struktur ekonomi bergeser ke
sektor yang lebih canggih dalam penggunaan teknologi dan pengurusannya, para
pekerja diberikan insenstif untuk meningkatkan kemahiran. Tanpa peningkatan
kemahiran, kualiti penghasilan atau perkhidmatan tidak bisa berkembang.
Pekerjaan Memberi Makna Hidup
Kehidupan tanpa pekerjaan pastinya akan
bererti keputusan mendapatkan sumber menyara hidup. Ia juga suatu pengangguran
yang menyebabkan masa tidak berisi dan manusia hilang rutin hidup.
Tentu saja kita bermimpi bila satu hari kita
tidak perlu bekerja. Namun bersediakah kita hidup tanpa aturan masa, sehingga
kebosanan menerpa?
Pekerjaan dan manusia bekerja dipandang
mulia. Dalam masyarakat kita, sering terungkap kerja yang halal dan kerja yang
membawa berkat. Ia satu kefahaman sederhana tetapi intinya mulia. Malah dalam
sapaan seharian, sering kita menyebut “Tak kerja ke hari ini?” Itulah yang
ditanya sebab kerja dipandang antara yang terpenting dalam aturan hidup, hampir
sama dengan sapaan bertanyakan “Dah makan ke belum?”
Malah umumnya semua pemikir besar dunia, meletakkan pekerjaan sebagai usaha mulia manusia. Begitu juga dengan agama-agama universal dunia. Dalam tradisi Islam, bekerja itu adalah amalan mulia, sampaikan usaha mencari rezeki itu adalah jalan mendapatkan keredaan Tuhan. Dalam Tajusalatin, teks etika keagamaan Melayu yang tersohor, mengandungi bab tentang kemuliaan kerja.
Disebut para nabi bekerja mencari saraan
hidup masing-masing. Ini untuk membezakan nabi dengan kerahiban yang hanya
beribadat meninggalkan dunia, jauh lagi seperti kaum feudal yang memerintah dan
bermewah hasil daripada menguras tenaga dan sumber rakyat jelata.
Betapa lagi dalam pepatah petitih kita juga
kaya menyeru dan memuliakan orang bekerja. Manusia yang bekerja dengan hati
yang suka, disebut umpama “Bahu memikul hati menyokong.” Mereka yang kuat
berusaha maka tiada putus rezekinya, laksana “Ringan tulang berat perut.”
Ikhtiar manusia bekerja mesti merancang, mempertimbangkan potensi dan risiko, sebagaimana diserukan: “Baik berjagung-jagung sementara padi masak.”
Cita Pekerja
Mendapatkan pekerjaan adalah sebahagian
daripada hak asasi manusia. Na
mun itu belum tentu menjamin kesejahteraan dan kebajikan pekerja.
Hasrat, angan-angan dan harapan para pekerja
bukanlah sesuatu yang asing, kerana kita adalah sebahagian daripadanya. Wajar
dan berpatutan sekiranya kita menurunkan sepuluh cita pekerja, yang wajar
dipenuhi, dilaksanakan dan diperakukan.
Sesungguhnya setiap satu pekerja itu:
1. Diiktiraf, diperkira dan dilayan sebagai
manusia, bukan mesin, bukan angka tak bernama, bukan hamba yang ditebus dan
dilupus
2. Dilayani dengan adil sama ada dalam bentuk gaji dan
lain-lain hak dan kemudahan, dengan tiada diskriminasi jantina, kelas, kaum,
bahasa, agama dan lain-lain
3. Suara mereka dirangkum sama, termasuk mempunyai hak untuk
bergerak dan terwakil dalam kesatuan sekerja yang menjadi perantara antara
pekerja dan majikan
4. Suasana dan masa bekerja yang fleksibel, mengambil kira
durasi jam bekerja, dan suasana kerja yang selesa, tidak tertekan, dan saling
akrab dan manusiawi sesama pekerja dan atasan
5. Adanya kemudahan untuk tingkatkan gaji, kesempatan latihan, cuti
khas berbentuk peribadi dan ihsan, serta kemudahan penjagaan keluarga
diperpanjangkan dalam bentuk subsidi atau insurans
6. Memberikan peluang latihan dan pendedahan terbuka kepada semua
peringkat pekerja, dan kemudian diterjemah dalam bentuk kenaikan gaji dan
elaun, sehingga ini memberi pekerja insentif untuk mempertingkatkan
produktiviti
7. Pengalaman dan kemampuan bekerja sama diperkirakan dengan
mereka yang memiliki kelayakan sijil, sehinggakan merit daya kerja hanya bukan
dipertimbangkan semata-mata oleh kelayakan sijil pendidikan
8. Suasana, jangka waktu, dan aturan kerja
menyebabkan pekerja menjadi
puas, merasakan pekerjaan itu bermakna, bukan paksaan, tidak melihat tempat
kerja sebagai penjara atau ruang merana
9. Majikan dan atasan menghargai sumbangan setiap peringkat
pekerja, tanpa ada pilih kasih, membangunkan saluran komunikasi yang berkesan
agar harapan dan jangkaan majikan dan pekerja dapat mengalir dan menyambung
10. Wujudnya keakraban semangat berkoperasi sesama pekerja, sehingga
semangat kekeluargaan wujud; pekerja terasa ia dipandang dan bukan pula
dikerdil mudah disepak terajang.
Buruh Mengeluh
Bayangkan mereka yang tidak mendapat kerja
atau lama menganggur. Ia pasti memberi kesan psikologikal yang berat, selain
kesempitan kewangan. Sama juga apabila dalam kalangan pekerja yang nasibnya
terhempit oleh dasar dan praktis ekonomi yang tidak menyebelahi pekerja.
Sedari awal, kesempitan pekerja terakam dalam
sastera kita. Bacalah saja dalam Syair Potong Gaji, di mana penulis Tuan Simi,
merakam keluhan kuli/pekerja:
“Gaji pun dipotong kerja-kerja ditambah
Tempat pekerjaan ditukar dipindah
Di manakah hati sekalian tak gundah
Kerja yang bertiga seorang sudah”
Sampai pula tergugah maruah mereka:
“Perasaan hati sangatlah rendah
Kebajikan dibuat tidak berfaedah
Beberapa lamanya bekerja sudah
Harganya dinilai setimbang ludah.”
Itulah rakaman suara pekerja (lebih tepat
kuli) pada awal abad ke-19 di Singapura. Dari semasa ke semasa, suara perit dan
jerit para pekerja terakam dan berkumandang. Pernah dikuntumkan baris puisi
oleh Usman Awang, bertajuk “Nasib Buruh.” Bunyinya begini:
Melarat di sepanjang jalan hidup
tidak kira, tubuh perit dipanggang suria
tidak hirau, dingin hujan menyiram muka
terus bekerja... terus pula menderita
Di rumah anak-anak dan isteri muram durja
apa untuk dimakan segala tiada
pakaian compang-camping
namun.... hidup diteruskan juga
Sumpah seranah majikan
segala diterima dengan senyum getir
patuh dalam kesabaran derita
untuk sesen wang yang diterima
Tapi semakin ditindas-tindas
jiwa buruh semakin bergelora
bersatu, bertenaga, bekerja dan berjuang
mencapai taraf hidup setara manusia
Sama terharu kalau kita membaca puisi pedas
dan membebas dari Widji Thukul penyair asal Indonesia. Dengan judulnya
“Buruh-buruh”, kita dibawa mengalami kehidupan sempit para pekerja yang
terperas tenaga, masa, raga, suara dan jiwa.
“Di batas desa
pagi-pagi
dijemput truk
dihitung seperti pesakitan
diangkut ke pabrik
begitu seterusnya
Mesin terus berputar
pabrik harus berproduksi
pulang malam
badan loyo
nasi dingin
Bagaimana kalau anak sakit
bagaimana obat
bagaimana dokter
bagaimana rumah sakit
bagaimana uang bagaimana gaji
bagaimana pabrik? mogok?
pecat! mesin tak boleh berhenti
maka mengalirlah tenaga murah
mbak ayu kakang dari desa.”
Hak dan kebajikan pekerja harus terus
mendapat perhatian dan keutamaan. Jangan sampai kita sibuk menyebut pembangunan
dan kemajuan, tetapi kita mengabaikan tenaga dan sumber yang menggerakkan semua
ini. Pengabaian dan perlekehan terhadap pekerja adalah kekejaman.
Betapa pekerjaan itu adalah sebahagian
transaksi ekonomi, ia mesti adil dan seimbang. Transaksi ini mesti manusiawi,
bukan untung rugi saja. Ini kerana pekerjaan itu bukan suatu perhambaan, bukan
juga perdagangan semata. Pekerjaan adalah kontrak sesama manusia untuk
menjadikan kehidupan sesama kita makmur, adil dan beradab. Pekerjaan harus
menuju ke arah pemuliaan manusia.
Hanya manusia yang tahu, pernah dan sedar
bekerja, menjadikan ia berprihatin, peka dan memberati hal ehwal para pekerja
dan dunia pekerjaan. Sangat cantik apabila Pramoedya Ananta Toer, dalam novel
Bumi Manusia, menyimpulkan dengan tegas tapi menyengat:
“Memerintah pekerja pun kau tidak bisa karena
kau tak bisa memerintah dirimu sendiri, Memerintah diri sendiri kau tak bisa
karena kau tak mau bekerja.”
Tabik kepada mereka yang berdiri untuk pekerja.
Tabik penuh bagi setiap pekerja yang terus membangunkan manusia dan
kemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan