Jumaat, 30 Ogos 2024

Membangun Tanah Air Dengan Sastera Manusiawi – Dr. Azhar Ibrahim & Wan Khuzairey Wan Mohtar.

Oleh Nik Abdul Rakib Bn Nik Hassan

“Membangun Tanah Air Dengan Sastera Manusiawi” tulisan Dr. Azhar Ibrahim dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Wan Khuzairey Wan Mohtar ini disiarkan di BERITA Mediacorp/aq. Dan penulis telah minta izin dari Dr. Azhar Ibrahim untuk artikel ini dimasukkan ke dalam blog ini. Tulisan Dr. Azhar Ibrahim adalah seperti berikut:-


Singapura: Pada 17 Ogos yang lalu, Majlis Bahasa Melayu Singapura telah mengadakan Hari MASTERA bertemakan Tanah Air Sastera. Ia di adakan di The Arts House, Old Parliament, sebuah bangunan yang bersejarah.


Bagi saya tema Tanah Air Sastera amat signifikan kerana sastera memainkan peranan yang penting dalam pembangunan tanah air, dan sekali gus mengiktiraf para penulis sebagai tukang bina pada budaya sastera yang menjadi obor pencerahan dalam masyarakat.


Malah, sastera yang manusiawi akan melahirkan tanah air yang digelarkan “rumah” kerana mewujudkan rasa empati, simpati dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Tanah air bukanlah ungkapan kosong kerana untuk mewujudkannya memerlukan pelbagai usaha dan usaha itu digambarkan dengan baik oleh sasterawan kita.

Sasterawan Ungkap Sastera Manusiawi

Dalam lipatan sejarah, ASAS '50 yang ditubuhkan di Singapura melahirkan para sasterawan yang memegang utuh kepada idea sastera manusiawi. Sastera manusiawi ini menjadi elemen pembentukan tanah air kerana setelah tamat penjajahan, banyak luka-luka dalam diri mangsa kolonialisme yang belum pulih dan masih dalam keadaan trauma.


Tambahan lagi, waktu ini merupakan zaman kekosongan dan pergelutan mewujudkan tiang nilai-nilai universal yang harus dipegang baik elit mahupun warganya.


Di sinilah para sasterawan kita tampil mencorakkan dan menawarkan alternatif tanah air semacam apa yang perlu diwujudkan.

Antara sasterawan yang tekal mengemudi idea dan pandangan masyarakat ialah Usman Awang. Beliau merupakan antara sasterawan yang banyak mengemudi gagasan sebegini baik ketika di Singapura mahupun di Malaysia. Di dalam setiap esei, novel dan puisinya banyak mengarang hal-hal manusiawi terutama untuk tanah air.


Bagi Usman Awang sesebuah tanah air harus didirikan dengan memegang tiga nilai utama iaitu: (1) Kemanusiaan sejagat, (2) Keadilan yang dijamin buat semua, (3) Kewarganegaraan yang inklusif.


Gagasan Buat Tanah Air

Pertama, Usman amat menekankan rasa cinta kasih sesama warga dalam mendirikan tanah air yang tercinta. Segala keganasan sebelum ini perlulah dikuburkan lalu digantikan dengan rasa tenteram sesama warga kerana pada akhirmya semua merupakan mangsa penjajahan dan berhak hidup aman bersama. Jangan diulangi lagi penindasan yang telah dirasa.


Harapan ini memaparkan gagasan kemanusiaan sejagat yang mahu ditonjolkan oleh Usman. Tanpa rasa kemanusiaan, tanah air yang didirikan tidak akan bertahan dan akan sentiasa bergolak. Beliau menulis di dalam puisinya “Tanah Air”:


Bukankah dengan

kasih dan harapan

kau tenggelamkan mereka dalam dakapan

di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru

di atas rongga jantungmu

akan tertegak bertapak dalam kebebasan

cinta antara kita wahyu dari Tuhan”


Kedua, tanah air tidak mungkin dapat didirikan tanpa adanya nilai keadilan. Keadilan semestinya tidak bertindak dengan hanya memandang warna kulit dan kepercayaan agama. Keadilan merupakan hak semua warga tanpa ada pilih kasih. Maka, gagasan sastera Usman Awang amat menekankan perihal keadilan.


Mentelah lagi hal keadilan sering kali terpukul dek kerana bias status, pangkat dan warna kulit. Bagi Usman, tanah air yang sejati dan harmoni di dalamnya keadilan tidak pernah dikhianati. Dalam puisinya iaitu “Penjual Air Batu” beliau mengkritik dengan lantang tanah air yang mengkhianati keadilan.


Bilakah ruang keadilan memberi isi,

Para penjaja dalam hayatnya wajah berseri?

Bila nanti undang-undang jadi perlindungan,

Semua manusia tanpa kasta menerima keadilan”


Ketiga, selepas kemerdekaan, para sasterawan kita menyedari satu hal sebuah tanah air yang di dalamnya terkandung masyarakat yang multikultural (berbilang budaya) tidak akan harmoni sekiranya ada rasa keraguan sesama, bermusuhan lalu mengetengahkan sifat ketuanan. Semua ini akan melahirkan kegusaran di hati, bermasam muka malah perkelahian yang panjang tanpa ada kesudahan.


Beban kolonialisme ini harus dipecahkan, ditangkis malah dihapuskan. Maka itu, para sasterawan kita bergerak dengan menulis karya-karya yang anti kepada rasisme, tidak terkecuali Usman Awang. Dalam kelembutan penulisannya Usman Awanglah yang paling ke hadapan mengkritik segala pemikiran yang tidak beres ini.


Maka terjelmalah puisi “Sahabatku” yang ditulis khas buat sahabatnya M. Rajakumar. Kata Usman:


Sahabatku,

Suatu bangsa merdeka yang kita impikan

Terasa masih jauh dari kenyataan

Kemarahanku menjadi kepedihan

Bila kita dipisah-pisahkan

Jarak itu semakin berjauhan

Aku dapat gelaran ‘bumiputera’ dan kau bukan”


Bilakah kita dapat memadamkan

Perbezaan keturunan yang kian membakar kita

Dan membiarkan curahan minyak yang kian menyala

Bilakan kita dapat mempertaruhkan nasib

anak-anak kita yang tidak berdosa

dan generasi akan datang keturunan kita

menjadi mangsa keturunan yang berbeza

oleh mereka yang mementingkan laba dan kuasa?”


Pesanan Usman buat penulis

Dalam makalah yang ditulis, Usman pernah berpesan kepada para penulis supaya menulis dengan kejujuran dengan memperkirakan masalah masyarakat.

Kerana bagi beliau, penulis memikul tanggungjawab besar untuk menyemai nilai-nilai yang diperlukan dalam pembentukan tanah air. Sekiranya penulis atau penggiat sastera tidak memegang nilai universal dalam menulis sastera, nescaya tanah air yang diidamkan tidak akan terbangun dan bahan bacaan yang tersedia akan menjadi kontang nilainya.


Kita, penulis dan cerdik pandai tidak mungkin melepaskan diri

dari segala kenyataan di sekeliling dan kita mesti memilih dan memihak kerana dalam dunia kita ini tiada siapa pun yang boleh berkecuali. Maka itulah perlu para penulis memihak kepada golongan serta gerakan yang ingin mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan, menegakkan perdamaian sejati, dan memperjuangkan pembebasan serta keadilan bagi bangsa dan negara yang tertindas.”


Kesimpulan

Dalam membangunkan tanah air, sasterawan kita telah mencipta dan menggagas sastera manusiawi.


Maka tugas kita hari ini adalah untuk mengasah dan menajamkan lagi segala usaha mereka dalam sastera supaya tanah air tercinta kita menjadi tempat selamat buat semua tanpa mengira warna kulit, bahasa dan kepercayaan.

Tiada ulasan: