Jumaat, 22 September 2023

Brunei Permai, Syair pendek dari Brunei Darussalam.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Disini saya kemukakan sebuah syair pendek atay syapen dari seorang tokoh masyarakat Brunei. Dan kita mengenali beliau dari laman web rasmi kerajaan Brunei, Jabatan-Jabatan Majlis Mesyuarat, Jabatan Perdana Menteri seperti berikut:

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Hj Abdul Rahim telah dilahirkan pada 8 Oktober 1946 di Kampung Puni, Temburong, Negara Brunei Darussalam. Beliau pernah belajar di Madrasah Al-Junied, Singapura pada tahun 1959. Pada tahun 1965,


beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Klang, Selangor, Malaysia dan pada tahun 1968 di Kolej Islam Petaling Jaya, Selangor, Malaysia. Beliau juga pernah belajar di Universiti Lancaster, United Kingdom untuk latihan dalam perkhidmatan di Jabatan Bahasa Arab dan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dari tahun 1975 hingga 1978. Beliau memulakan kerjaya di jabatan kerajaan pada tahun 1973,


pernah memegang jawatan Daerah Temburong Pegawai pada 1996 hingga 1997 sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Tutong dari 1997 hingga 1999 dan Pegawai Daerah Belait dari 1999 hingga 2001. Pada 2002, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Anak-anak Yatim sehingga 2005.


Beliau pernah terlibat dalam bidang penulisan dan mula menulis puisi pada tahun 1966 di Kolej Islam Klang dan karya beliau telah diterbitkan di Restu, majalah tahunan Kolej Islam Klang dan terpilih. untuk menerima Hadiah Kreatif Bahana 2002 (Kategori Puisi). Beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan (Di Bawah Kategori Antara Orang Bergelar) semenjak pada 13 Januari 2017.                                                            

              

Brunei Permai


01-Dengan Bismillah

kumulakan madah,

Sambil berselawat

keatas Rasulullaah,

Disertai bertahmeed

Alhamdu lillaah,

Mensyukuri rahmat kebesaran Allah.


02-Hari Sabtu

hening dan indah,

Di Negara Brunei

bumi bertuah,

Bersyukur kita

kehadzrat Allah,

Rahmat-Nya luas

melimpah ruah.


03-Salam sayang

Temanku budiman,

Moga selalu

didalam aman,

Sihat ceria

dihiasi senyuman,

Mantap 'aqidah

taqwa beriman.


04-Pencen 'tuha'

baru saja diterima,

Dengan keluarga

kongsikan sama,

Yang paling elok

Ngopi bersama,

Saudara mara dan

teman lama.


05-Ayuhai paradianku

di Grup ani,

Amalkan cara

hidup yang murni,

Sesama keluarga

hidup harmoni,

Bersama canggihnya

Teknologi terkini.


06-Ingat selalu

pesanan indung,

Hidup kita

amat beruntung,

Ada kerajaan

tempat bergantung,

serba serbinya

kerajaan menanggung.


07-Kita syukuri

ne'mat Rabbani,

Keperluan rakyat

kerajaan santuni,

Kebajikan mereka

sentiasa dipantuni,

Dalam negara

makmur harmoni.

 

08-Selamat temanku

berhujung minggu,

Hari istirahat

yang ditunggu-

tunggu,

Usahlah temanku

bimbang dan ragu,

Ceriakan harimu

dengan berlagu.


09-Lihatlah mantari

bersinar cerah,

Sebagai bukti

kebesaran Allah,

Dialah Tuhan

Yang berhak disembah,

Mari ucapkan

la ilaaha

illallaah.


10-Sampai disini

syair karangan,

Kunukil buat

teman kesayangan,

Moga mahabbah

akan berpanjangan,

Terpahat erat

dalam kenangan.

 

Nukilan pena,

iar ðŸŒđ🐝

Ibnu 'abdir-raheem.   

Tiada ulasan: