Sabtu, 19 Jun 2010

Sultan Brunei dan Azrinaz Mazhar Hakim Bercerai


June 17th, 2010

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah menceraikan isteri baginda, Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar dengan talak satu malam semalam. Pengumuman khas mengenai perceraian itu diumumkan oleh Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Abu Bakar melalui web TV Radio Televisyen Brunei (RTB). Pengiran Alaudin turut mengumumkan kesemua pingat dan darjah kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada bekas wartawan penyiaran TV3 itu ditarik balik serta-merta.

Dalam kenyataan satu muka surat yang dibacakan dan turut diedarkan kepada media Brunei menyebut baginda menceraikan bekas personaliti TV3 itu atas sebab-sebab khas. Ia dipandu dan ditentukan oleh hukum syarak dalam perkahwinan dan perceraian dan juga menepati maksud ayat suci al Quran surah Al-Baqarah daripada sebahagian ayat 229, iaitu menikahi dengan baik (maaruf) dan melepaskan juga dengan baik (ihsan).

Sultan Brunei menikahi Azrinaz pada 20 Ogos 2005 pada satu majlis tertutup di lokasi yang dirahsiakan. Beliau ketika itu berusia 26 tahun sementara baginda berusia 58 tahun. Hasil perkahwinan tersebut pasangan diraja itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abdul Wakeel pada 1 Jun 2006 dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah pada 28 Januari 2008.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan: