Sabtu, 26 Jun 2010

Cerita Mo-lo-yu di Phnom Penh, Kampuchea.


Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
       Artikel di bawah adalah artikel yang diambil dari seorang kawan. Dan artikel sangat menarik dengan itu saya muatkan ke dalam blog saya ini. isi kandungan artikel adalah seperti berikut :- 

Bumi Melayu tergadai angkara tersilap percaturan politik
SIAPA itu Melayu? Itu adalah persoalan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kertas kerjanya pada Seminar Antarabangsa Warisan Melayu di Kemboja selama dua hari bermula Khamis lalu. Persoalan beliau ini menarik perhatian dalam konteks perdebatan semasa mengenai orang Melayu. 

Ada orang Melayu yang terlalu bimbang terhadap masa depan bangsa mereka dan tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli kerana tidak faham mengenai asal usul bangsa mereka. Pada mereka asal usul adalah sejarah. Mereka lebih memikirkan soal bergerak ke depan. Realitinya majoriti orang Melayu perlu tahu susur galur bangsa mereka, manakala orang bukan Melayu juga perlu faham setiap yang tersirat dan tersurat dalam jiwa orang Melayu.

Rakyat Malaysia sepatutnya bercakap soal Melayu atas faktor sejarah, bukan faktor yang ditetapkan oleh peraturan berdasarkan etika Barat. Diturunkan di sini inti kandungan kertas kerja Nik Hassan berkaitan Melayu.

Dari perspektif sejarah, perkataan Melayu hanya muncul buat pertama kali pada 644 Masihi. Nama Melayu dalam sumber China merujuk kepada sebuah kerajaan di pantai timur Sumatera (Walters, 1967). Ejaan yang dituliskan daripada tulisan Cina ke tulisan Melayu ialah Mo-lo-yu.


Pada tahun 671 Masihi pula, negeri Melayu muncul dalam sumber China, iaitu catatan rahib China, I-Ching dalam perjalanan dari Guangzhou (Canton) ke India untuk mendalami ilmu agama Buddha. I-Ching singgah di Srivijaya (Palembang) mempelajari bahasa Sanskrit dan Buddha selama enam bulan. Dalam pelayaran ke India selepas itu, beliau singgah di kerajaan Mo-lo-yu sebelum ke Chieh-cha (Kedah).

Lokasi kerajaan Mo-lo-yu dipercayai terletak di Jambi hari ini dan kerajaan Chieh-cha adalah di Lembah Bujang, Kedah. Berdasarkan catatan I-Ching, kerajaan Mo-lo-yu terletak di bawah Srivijaya.

Pada awal abad ke-11 Masihi, Kerajaan Mo-lo-yu dan kerajaan lain di Semenanjung Tanah Melayu mendapat kembali kuasa mereka apabila Srivijaya menjadi lemah selepas diserang tentera kerajaan Cola pada 1025 Masihi. Mulai abad 11, kerajaan Mo-lo-yu disebut sebagai Kerajaan Jambi oleh pencatat China dan hilanglah sebutan Mo-lo-yu.

Berdasarkan fakta sejarah, pusat kekuasaan politik Melayu pada kurun Masihi awal terletak di utara Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu dan Timur Laut sebelum berpindah ke Selat Melaka. Tradisi itu berterusan apabila muncul Kerajaan Melaka.

Perpindahan pusat politik Melayu ke Johor-Riau-Lingga berlaku pada abad ke-16 Masihi berikutan kekalahan Kerajaan Melaka kepada Portugis. Apa yang disebut oleh Nik Hassan ini adalah etnik Melayu dalam lingkungan peradaban Melayu yang berpusat di Langkasuka, Funan, Champa dan Srivijaya (Palembang) 7 – 11 Masihi, Melayu (Jambi) 11 – 13 Masihi, Melaka 14 – 15 Masihi dan Johor-Riau-Lingga 16 – 19 Masihi. Ada juga Melayu di luar pusat berkenaan yang digelar alam Melayu.

Alam Melayu terbentang luas dari Madagascar ke Kepulauan di Lautan Pasifik, iaitu ke pulau Asia Tenggara dan Ocenia. Dari segi makna, rumpun Melayu berbeza daripada etnik Melayu dan orang Melayu. Orang Melayu dari rumpun Melayu ialah pribumi.


Zaman sebelum Islam, orang Melayu disebut etnik Melayu. Di Malaysia hari ini, orang Melayu didefinisikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai seorang Muslim dan bercakap serta mengamalkan adat istiadat Melayu. Perkara yang membezakan orang Melayu Malaysia dengan rumpun Melayu lain ialah agama Islam dan adat istiadat Melayu Islam.

Begitu juga Brunei yang sebahagian besarnya orang Melayu dan rumpun Melayu. Diaspora Melayu adalah pendatang daripada alam Melayu. Di Malaysia, rumpun Melayu dibahagikan kepada kelompok orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Di negara lain di alam Melayu, rumpun Melayu dibahagikan kepada beberapa kelompok iaitu Jawa, Bugis, Banten dan lain-lain antaranya pribumi.

 Keturunan orang Melayu dalam pusat peradaban Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera masih kekal di kawasan berkenaan hingga ke hari ini. Namun ada sesetengah tempat menjadi kelompok minoriti seperti di Kemboja, Laos dan Vietnam walaupun pernah menjadi pusat orang Melayu dan pemerintahan Melayu.

Orang Melayu di Sumatera dibahagi-bahagikan kepada beberapa kelompok etnik seperti Melayu Deli, Melayu Langkat, Melayu Jambi dan Melayu Pesisir. Di Semenanjung, orang Melayu dikelompokkan kepada Melayu Kelantan, Melayu Terengganu, Melayu Johor dan sebagainya. Hal sama juga di Brunei, Sabah, Sarawak dan di Kalimantan wujud Melayu Brunei dan Melayu Pontianak.

Berasaskan kajian Heine-Gelden (1932) yang menghasilkan teori migrasi membabitkan kebudayaan Austronesia, orang Melayu mengamalkan kebudayaan Neolitik ke alam Melayu lebih kurang 5,000 tahun dulu. Begitulah serba sedikit kandungan kertas kerjanya.

Jelas, sejarah alam Melayu dan orang Melayu adalah panjang dan penuh dengan pancarobanya. Alam Melayu yang dulunya luas kini kian mengecil. Ia bukan lagi diduduki oleh orang Melayu semata-mata, tetapi dikongsi dengan setiap kaum di dunia ini. Jika dulu kaum lain sekadar membuat catatan mengenai bumi Melayu yang disinggahi mereka, hari ini mereka memiliki atau menguasai sebahagian daripadanya.

Sesiapa saja yang mempunyai wang boleh memiliki bumi ini, tidak perlu lagi menggunakan senjata. Untuk lebih mudah, bumi Melayu akan tergadai apabila ada orang Melayu sendiri mahu memajak-gadaikan bumi ini dengan menggunakan percaturan politik untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Tiada ulasan: