Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ULAMA dan tokoh yang diperkenalkan dalam artikel
ini ialah orang yang paling banyak menyalin pelbagai karya yang dihasilkan oleh
ulama-ulama terdahulu daripadanya. Beliau ialah Muhammad Husein bin Abdul
Lathif al-Fathani atau lebih popular dengan gelaran Tok Kelaba Beris
al-Fathani. Beliau bukan hanya menyalin karya ulama yang berasal dari Patani
tetapi meliputi karya ulama-ulama Aceh, Banjar, Palembang dan lain-lain. Tidak
juga setakat menyalin, tetapi menambah komentar di bahagian tepi dan bawah
sesuatu kitab yang disalinnya dan selanjutnya disebut dhabith, atau boleh juga
disebut nota tepi dan nota kaki. Pada nota tepi dan nota kaki sentiasa disebut
nama kitab yang dirujuk dan nama pengarangnya serta banyak menyebut nama guru
yang diutamakannya iaitu: Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Bukan
hanya sebagai penyalin, tetapi beliau juga meninggalkan beberapa buah karangan
yang berharga, namun yang sempat dicetak hanya lima buah. Bukan hanya mengarang
dalam bahasa Melayu, tetapi juga meninggalkan karya yang dikarang dalam bahasa
Arab.
Ada dua macam perkhidmatan dalam bidang penulisan
dan keilmuan yang dicontohi oleh Tok Kelaba, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-
Fathani yang menulis terus menerus sehingga tertidur di hadapan sesuatu karya
yang sedang dikerjakan, tidak pernah tidur di atas tempat tidur yang khusus
seperti kita sekarang ini. Syeikh Ahmad al-Fathani yang membaca dan menulis
terus menerus sehingga mengantuk. Jika mengantuk beliau tidak langsung tidur
tetapi terus berdiri dan menghafal kalimat yang sedang dibaca atau kalimat
terakhir yang ditulisnya. Hal ini dilakukan hingga hilang mengantuk atau terus
terjatuh kerana mengantuk, pada waktu itulah beliau tertidur sebentar. Lain
halnya dengan Tok Kelaba, beliau mencuba meniru kedua-dua ulama asal Patani
yang beliau kagumi itu sehingga pada siku beliau berbekas hitam menebal
(membelulang) kerana bertekan sewaktu melakukan penulisan yang terlalu banyak.
Sumber ilham pertama sehingga Tok Kelaba terjun ke
bidang penyalinan manuskrip merupakan wasiat daripada gurunya, Syeikh Muhammad
Zain bin Mustafa al-Fathani (saudara kandung Syeikh Abdul Qadir) kerana Syeikh
Muhammad Zain al-Fathani tersebut yang pertama sekali mengambil inisiatif
supaya semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mesti diabadikan dengan
cara membuat sekurang-kurangnya dua salinan. Sumber kedua adalah suatu
penekanan daripada gurunya yang terakhir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani, dan Tok Kelaba sendiri mengikuti perkembangan hampir seluruh
aktiviti Syeikh Ahmad al-Fathani mulai proses penyalinan hingga penerbitan
pelbagai kitab Melayu/Jawi dan penyebarannya secara meluas.
Daripada hal-hal tersebut, Tok Kelaba mencurahkan
fikiran, menggandakan kekuatan tenaga dan menghabiskan masa semata-mata
berkhidmat kepada ilmu pengetahuan dengan jalan mengarang kitab, menyalin karya
orang lain, menyebarkannya kepada masyarakat, mengajar dan menambah ilmu yang
belum diketahuinya
ASAL USUL
Setelah saya mengetahui daripada maklumat yang
masih mentah berupa catatan-catatan, manuskrip-manu-skrip dan pelbagai bahan
bercetak, saya mulai mengadakan penelitian tentang ulama ini sejak tahun 1972
Masihi, dan terakhir sekali menemui seorang anak beliau dan beberapa cucunya,
maka dapat diambil data-datanya yang boleh dianggap lengkap. Datuk-neneknya
berasal dari negeri Khurasan. Yang pertama datang ke dunia Melayu bernama
Syarif Zainal Abidin. Beliau merantau ke Pulau Jawa lalu berkahwin dengan
seorang wanita berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi peperangan di Jawa,
Syarif Zainal Abidin bersama salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau Jawa
lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darus
Salam. Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sebab itu mudah baginya
mendapat pengaruh di Kelaba. Beliau meninggal dunia di Kelaba. Anak kepada
Syarif Zainal Abidin yang bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan dan menetap
di Kampung Laut. Di Kampung Laut, Kelantan beliau memperoleh anak bernama
Abdullah. Abdullah memperoleh anak bernama Abdus Shamad. Abdus Shamad berpindah
pula ke Kelaba. Beliau mendapat anak bernama Abdul Mu'min. Abdul Mu'min
mendapat anak bernama Abdul Lathif. Abdul Lathif mendapat anak bernama Muhammad
Husein (Tok Kelaba) yang diriwayatkan ini.
Berdasarkan tulisan Tok Kelaba sendiri yang
tercatat di bahagian tepi manuskrip Fat-hul Mannan karya Syeikh Daud bin
Abdullah, salinan beliau adalah Muhammad Husein, kuniyahnya Abu Bakar. Dan
namanya Abdullah. Kemudian digelar Muhammad Husein oleh isteri gurunya. Dengan
dialah makruf antara manusia yang kemudian-kemudian. Dan segala manusia yang
dahulu-dahulu dimakrufkan dengan Abdullah, hanyalah cicit bagi abid Abdul
Karim, iaitu bapa kepada Nik Mik, iaitu ibu bagi Abdul Latif yang tersebut
dahulu itu.''
Abdul Karim yang disebutkan itu bersabit keluarga
antara beliau dengan keluarga besar Sena Janjar dan Bendang Daya, iaitu
keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ismail bin Abdur Qadir
al-Fathani dan ulama-ulama Patani yang terkenal lainnya. Dalam salah sebuah
salinan manuskrip Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani,
pada bahagian tepi halaman terakhir Tok Kelaba mencatat, ``... Muhammad Husein
bin Abdul Lathif, dan adalah Abdul Lathif itu mati pada Khamis delapan hari
bulan Rejab (8 Rejab) pada sanah 1307 (Hijrah). Beliau dikuburkan di Kubur
Tanjung, Bukit Kecil bersama bapanya, ibunya dan lain-lainnya. Dan diperanakkan
Muhammad itu pada sanah 1280 (Hijrah). Maka umurnya hingga sampaikan sanah 1340
(Hijrah) ini 69 tahun. Telah putih segala bulunya dan tanggal giginya.''
Nampaknya catatan Tok Kelaba itu ada sedikit perbezaan dengan catatan Abdul
Lathif, anak beliau yang pernah saya tulis riwayatnya sebelum ini, iaitu,
``Pada sanah 1330 maka umur Haji Muhammad Husein 52 tahun pada waktu itu (iaitu
lahir pada sanah 1278) jumlah umurnya 89 tahun. Peringatan ! Tuan guru Muhammad
Husein Tok Kelaba ke rahmatullah pada hari Selasa 21 Syaaban, pukul 4 sanah
l367.'' Oleh sebab tahun kelahiran daripada catatan beliau sendiri ditemui,
maka yang lebih dapat dipegang ialah catatan beliau sendiri, iaitu tahun 1280
Hijrah/1863 Masihi itu, bukan tahun 1278 Hijrah/1861 Masihi seperti yang
diperkenalkan sebelum ditemui catatan ini. Oleh kerana Tuan Guru Haji Muhammad Husein
berasal dari Kelaba, Beris, maka terkenallah sebutan beliau dengan Tok Kelaba
saja. Kerana beliau banyak menghafal hadis dan pakar dalam ilmu tersebut,
digelar juga Tok Hadis. Setelah kerajaan Patani Darus Salam dijajah, kelaba
dimasukkan dalam pemerintahan Saiburi atau nama pada zaman dahulu disebut
Selindung Bayu. Pada zaman mutakhir nama Selindung Bayu dipakai untuk nama
negeri Teluban, iaitu Teluban yang namanya masih digunakan sampai sekarang.
Dalam catatan Tok Kelaba, beliau tidak menggunakan nama Teluban tetapi masih
menggunakan Selindung Bayu, seperti kata beliau, ``Mula saya Haji Muhammad
Husein duduk di Selindung Bayu pada hari Sabtu 15 bulan Zulkaedah pada sanah
1323 Hijrah.''
PENDIDIKAN
Keterangan anak beliau, Abdul Lathif, bahawa Tok
Kelaba pertama sekali belajar membaca al-Quran kepada abang sepupunya Abdur
Rahman Pancor, Kelaba. Sejak berumur tujuh tahun telah memondok di Semala
(Patani). Pengetahuan yang sangat mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya.
Beliau merupakan kader tertua dalam pondok itu. Di peringkat awal belajar
kepada Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I).
Tok Kelaba hanya sedikit memperoleh ilmu daripada hulubalang tersebut, kerana
umur beliau yang ketika itu sudah sangat tua dan tidak berapa lama setelah Tok
Kelaba datang ke Bendang Daya, hulubalang itu meninggal dunia dalam usia 120
tahun. Pimpinan Pondok Bendang Daya sesudah itu diserahkan kepada anak beliau
bernama Syeikh Wan Abdul Qadir yang selanjutnya digelar dengan Tok Bendang Daya
II. Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi, Tok Bendang Daya II mendapat tugas
daripada Sultan Patani Darus Salam untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa
orang keluarga diraja yang telah meninggal dunia, maka beberapa murid
kesayangannya dibawa serta, terutama sekali Tok Kelaba. Keberangkatan ke Mekah
itu merupakan panggilan ajal bagi gurunya Tok Bendang Daya II, beliau wafat di
Mekah. Dengan demikian Tok Kelaba tidak langsung pulang ke Kelaba, beliau
mendekati keluarga besar gurunya termasuk Syeikh Muhammad Zain al-Fathani yang
telah lama berpindah ke Mekah. Pada waktu itu sahabatnya Syeikh Daud bin
Mustafa al- Fathani (saudara bongsu Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan Tok
Bendang Daya II) telah menjadi seorang ulama di Mekah tetapi masih juga belajar
kepada anak saudaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka Tok
Kelaba pun ikut belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang lebih tua
daripadanya sekitar lapan tahun saja (Syeikh Ahmad al-Fathani lahir 1272
Hijrah, Tok Kelaba lahir 1280 Hijrah). Ketika belajar kepada Syeikh Ahmad
al-Fathani di Mekah, Tok Kelaba bersahabat dengan beberapa orang terkenal di
antaranya Tok Kenali Kelantan, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, dan
lain-lain. Tok Kelaba belajar juga kepada Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani.
Ketika belajar di Mekah itu Tok Kelaba juga menyempatkan diri menadah ilmu
kepada ulama-ulama Arab yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman
Hasbullah al-Makki. Walau bagaimanapun yang sangat berkesan bagi Tok Kelaba
ialah Tok Bendang Daya II, hampir semua kitab yang beliau tulis mahupun salinan
karya orang lain sentiasa menyelitkan fatwa atau pendapat yang berasal daripada
Tok Bendang Daya II. Demikian juga dalam setiap kali mengajar selalu menyebut
nama Tok Bendang Daya II tak ubahnya dengan Tok Kenali Kelantan yang sentiasa
menyebut nama gurunya Syeikh Ahmadal-Fathani.
KARYA
Karya-karya Tok Kelaba dibahagi kepada dua bentuk;
Karya Asli dan Karya Salinan. Disebabkan kekurangan ruangan yang dapat
diperkenalkan di sini hanyalah Muqaddimatul Athfal fi Shifatillahi zil Jalal
saja, diselesaikan di Patani pada 8 Rabiulawal 1305 Hijrah. Semua halaman kitab
ini penuh dengan nota atas, nota tepi kiri-kanan dan nota kaki. Dua muka
setengah di bahagian dalam pula terdapat judul baru yang disebut Faedah yang
membicarakan pelbagai wirid dan doa. Tentang ini diselesaikan pada tahun 1322
Hijrah. Di bahagian tepi juga beliau memperkenalkan beberapa pemikiran gurunya,
Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang beliau sebut dengan Syaikhuna saja. Juga
terdapat rujukan kitab-kitab Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani,
Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Umar Makkah dan lain-lainnya. Kitab ini
diterbitkan oleh Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Fathani dicetak oleh
Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1331 Hijrah/1912 Masihi.