oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Patani, Selatan Thailand adalah sebuah kawasan yang melahirkan para ulama besar di Nusantara. Dan kali ini saya kemukakan seorang ulama besar keturunan Melayu Patani yang mengarang kitab kitabnya. Dengan mengambil artikel dari tulisan Almarhum Wan Mohd Saghir Abdullah (dari blog http://ulama-nusantara.blogspot.com/)
Sebelumnya penulis (Wan Mohd Saghir Abdullah) menyebut bahawa karya-karya beliau dibahagikan
kepada tiga.
Bentuk pertama iaitu tulisan-tulisan beliau dalam bahasa Arab telah
dibicarakan. Maka dilanjutkan pula tentang bentuk-bentuk lainnya, iaitu:
1. Tulisan dalam bahasa Melayu
2. Kitab-kitab yang ditashhihnya, terdiri pula kepada dua bahagian
iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.
Tulisan dalam Bahasa Melayu
1. Nazham Nuril Anam, diselesaikan penulisannya pada hari Rabu, 15
Syaaban 1287 H/10 November 1870 M. Hanya terdapat sebuah salinan yang lengkap,
disimpan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (MS 764).
Salinan yang lain, iaitu hanya petikan beberapa bait akhirnya, diusahakan oleh
Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani (Tok Kelaba). Salinan Tok
Kelaba ada dalam simpanan penulis. Puisi yang terdiri daripada lebih 500 bait
beliau selesaikan penulisannya dalam usia lebih kurang 15 tahun.
2. Puisi Pada Kitab Hidayatus Salikin, ditulis dalam tahun 1298 H/1880
M. Terdapat pada semua edisi cetakan Hidayatus Salikin (edisi Timur Tengah),
tetapi tidak terdapat pada edisi Bombay. Puisi ini terdiri daripada 21 bait,
terletak di halaman akhir kitab itu. Pada halaman muka terdapat lagi tujuh
bait, juga dalam bahasa Melayu.
3. Puisi Pada Kitab Furu’ ul Masail, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M,
terdiri daripada 13 bait. Terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab tersebut.
4. Puisi Pada Kitab Syarah Hikam Melayu, digubah dalam tahun 1300
H/1882 M. Terdapat pada semua cetakan kitab tersebut, tetapi yang menjelaskan
bahawa puisi tersebut dicipta oleh Sheikh Ahmad al-Fathani hanya terdapat pada
cetakan kedua oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, dalam tahun 1330
H/1912 M. Puisi tersebut terdiri daripada lapan bait.
5. Puisi Pada Kitab Kasyful Litsam, terdapat hanya sebuah manuskrip dan
dicetak di kitab tersebut. Tetapi pada cetakan yang ada tidak menyebut nama
penggubah puisinya. Malah ada yang keliru kerana ditulis nama Sheikh Muhammad
Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al- Fathani pada kitab tersebut. Puisi tersebut
terdiri daripada 19 bait. Puisi digubah tahun 1301 H/1884 di Mekah.
6. Luqthah al-‘Ajlan mimma Tamassa ilaihi Hajatul Insan, diselesaikan
penulisannya pada waktu Zuhur, hari Selasa, 22 Ramadan 1301 H/16 Julai1884 M di
Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab ini diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah
al-Kainah, hanya ditemui beberapa lembar sahaja. Cetakan ketiga diusahakan oleh
percetakan yang sama, dalam tahun 1330 H/1911 M. Selain itu terdapat edisi
cetakan Persama Press, Pulau Pinang dan edisi-edisi cetakan di Patani.
7. Puisi Pada Kitab Bidayatul Hidayah. Puisi yang terdiri dari 9 bait
ketika beliau mentashhih karya ulama Aceh itu hanya terdapat pada cetakan-cetakan
mutawal saja. Seiringan dengan puisi pada bahagian tepi kitab tersebut terdapat
taqrir Sheikh Ahmad al-Fathani yang boleh dianggap sebagai suatu karya dan
pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani juga, tahun 1303 H/1886 M di Mekah.
8. Tarikh Turki ‘Utsmani, diselesaikan penulisannya pada hari Isnin,18
Syawal 1303 H/20 Julai 1886 M di Mekah.
9. Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, diselesaikan penulisannya
pada malam Ahad, 14 Rabiulakhir 1304 H/10 Januari 1887 M. Hanya ditemui cetakan
The United Press,
10.‘Idul Juman fi ‘qaidil Iman, diselesaikan penulisannya pada 6
Muharam 1306 H/13 September 1888 M. Cetakan pertama kitab tersebut diusahakan
oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M dan terdapat beberapa
edisi lainnya. Pada masa sekarang kitab ini tidak beredar lagi.
11. Sa’adatul Mutanabbih fil Maut wa ma Yata’allaqubih, diselesaikan
penulisannya, pada 29 Rejab 1306 H/1 April 1889 M di Mekah. Ditemui sebuah
manuskrip asli tetapi tidak berjudul. Judul ini diberikan oleh Haji Wan Ismail
bin Hawan (menantu cucu kepada Sheikh Ahmad al-Fathani) sewaktu kitab tersebut
akan dicetak.
Cetakan pertama kitab tersebut atas usaha Haji Wan Ismail di Muslim
Press, Patani, tanpa catatan tarikh cetakan. Pada cetakan tersebut terdapat
kata pengantar daripada Haji Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili
al-Indunisiyi, guru yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.
12. Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan penulisannya pada
waktu Dhuha, hari Jumaat, 19 Rabiulakhir 1307 H/13 Disember 1889 M. Cetakan
mutawal yang telah ditemui oleh Math-ba’ah al-Miriyah, Mekah, dalam tahun 1309
H/ 1891 M.
Selain itu terdapat lagi kitab yang edisi cetakan Saudara Press,
Patani, dalam tahun 1377 H/1957 M atas usaha anak beliau Kadi Haji Wan Ismail
al-Fathani.
13. Hadiqatul Azhar war Rayahin, diselesaikan penulisannya pada hari
Sabtu, 15 Syaaban 1307 H/6 April 1890 M. Cetakan pertama dan kedua kitab
tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, tahun 1307
H/1890 M dan 1321 H/1903 M. Cetakan keempat diusahakan oleh Persama Press,
Pulau Pinang, tahun 1377 H/1958 M, dan terdapat beberapa edisi cetakan lainnya
termasuk cetakan di Istanbul.
14. Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin, diselesaikan penulisannya
pada hari Jumaat, 13 Rabiulakhir 1310 H/4 November 1892 M, di Mekah. Cetakan
pertama dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1310
H/1892 M.
Cetakan ketujuh kitab tersebut dilakukan oleh Patani Press dalam tahun
1385 H. Kitab ini masih digunakan sebagai bahan mengajar.
15. Tuhfatul Ummah ‘ala Nabiyiha Nabiyur ar-Rahmah, diselesaikan
penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 5 Syawal 1310 H/22 April 1893 M.
16. Kumpulan Doa, tahun 1311 H/1894 M.
17. Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, diselesaikan penulisannya pada
waktu Dhuha, hari Isnin, 3 Zulhijjah 1312 H/28 Mei 1895 M di Mekah. Cetakan
pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah,
Mekah, dalam tahun 1313 H/1895 M dan 1332 H/1913 M. Selain itu terdapat lagi
edisi yang dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang.
18. Faridatul Faraid fi ‘Ilmil Aqaid, diselesaikan penulisannya pada
waktu Dhuha, hari Isnin, 12 Rabiulawal 1313 H/2 September 1895 M di Mekah.
Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1313
H/1895 M dan cetakan ketiga tahun 1317 H/1899 M.
Pada Rabiulawal 1325 H/April/Mei 1907 M percetakan yang sama
mencetaknya lagi tetapi tidak menyebut cetakan yang keberapa. Semua cetakan itu
dilakukan ketika pengarangnya Sheikh Ahmad al- Fathani masih hidup.
19. ‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanul Falah, sesudah Asar, hari Jumaat, 7
Syawal 1319 H/16 Januari 1902 M di Mekah.
20. ‘Aqidatu Ushuliddin, tahun 1321 H/1904 M di Mekah.
21. Mir-atul A’ajib fi Jawabi Sualil Majazib, tahun 1324 H/ 1906 M di
Mekah.
22. Puisi Shufi, diselesaikan penulisannya sesudah kitab nombor 21 di
atas, iaitu dalam tahun 1324 H/1906 M. Puisi tersebut terdiri daripada 28 bait.
23. An-Nurul Mubin
24. Sejarah Lampung Pecah.
25. Al-Fatawal Fathaniyah, tanpa catatan tarikh. Hendaklah diperhatikan
bahawa Al-Fatawal Fathaniyah ini berbeza dengan Al-Fatawal Fathaniyah yang
beliau tulis dalam bahasa Arab.
Cetakan pertama kitab ini dilakukan oleh Printing Company pada tahun
1331 H/1913 M dan tidak berapa lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad
al-Fathani dalam bahasa Arab belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Cetakan pertama yang lebih lengkap yang diusahakan oleh anak
pengarangnya, Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani dicetak oleh Mathba’ah
al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, pada tahun 1354 H/1935 M. Cetakan yang
ketiga oleh Patani Press dalam tahun 1377 H/1957 M tersebut adalah yang paling
lengkap.
Berdasarkan ‘Pendahuluan’ Kadi Haji Ismail al-Fathani pada cetakan
kedua oleh Patani Press, menyebut bahawa cetakan di Kota Bharu, Kelantan juga
dari cetakan yang pertama hingga ketiga, hanya memuat separuh ‘jawapan’ Sheikh
Ahmad al-Fathani sahaja.
Sebenarnya cetakan terakhir kitab tersebut oleh Patani Press, juga
belum lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani yang saya temui
setelah Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia (1958) masih banyak dan
belum dimuat dalam kitab itu.
26. Fatwa Puasa Dengan Hisab Taqwim Dan Ru’yah, tanpa dinyatakan tahun
selesai penulisan.
27. Sejarah Patani Melawan Siam atau dengan judul yang lain Fadhilah
Ahmad Fathani, belum ditemui sehingga sekarang. Judul ini diketahui hanya
berdasarkan cerita yang mutawatir.
28. Puisi Pada Kitab Ad-Durrits Tsamin. Puisi pada kitab tersebut
terdiri daripada 10 bait, terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab itu.
29. Puisi Pada Kitab Zahrah al-Murid, terdiri daripada 13 bait.
30. Puisi Pada Kitab Sabil al-Muhtadin, iaitu selain puisi berbahasa
Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang
terdiri dari 28 bait.
31. Puisi Pada Kitab Al-Jauharil Mauhub, selain puisi dalam bahasa Arab
yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri
daripada 14 bait.
32. Puisi Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan, selain puisi dalam bahasa
Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang
terdiri daripada 10 bait.
33. Nazham Fikir Pelita Hati, ditemui manuskrip salinan Tok Kelaba.
Cetakannya ditemui dalam dua karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, iaitu
Nurul Abshar dan sebuah lagi karya tashihan, iaitu Miftahul Murid, cetakan
pertama Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1330 H. Puisi tersebut terdiri
daripada sembilan bait.
34. Daftar Cakap Melayu, iaitu daftar perkataan-perkataan Melayu yang
dimulai dari huruf Alif hingga huruf Ya. Hanya ditemui sebuah salinan Tok
Kelaba, tetapi tidak lengkap. Tok Kelaba al-Fathani selesai menyalinnya pada
tahun 1354 H/1935 M.
35. Dan lain-lain.
Kitab-kitab yang ditashhih
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah orang pertama menjadi
pentashhih sama ada kitab berbahasa Arab, mahupun kitab berbahasa Melayu.
Istilah tashhih untuk pemeriksaan kitab diperkenalkan oleh Sheikh Ahmad
bin Muhammad Zain al-Fathani dalam tahun 1288 H/1871 M. Hingga ke hari ini
istilah itu masih dipakai di seluruh dunia. Ini bererti kata tashhih adalah
ciptaan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani berasal dari kata Arab.
Di bawah ini penulis senaraikan kitab-kitab yang ditashhih Sheikh Ahmad
al-Fathani, iaitu beliau baca kitab tersebut secara keseluruhan dari halaman
awal hingga akhir, sama ada yang bahasa Arab mahupun yang bahasa Melayu.
Kitab-kitab yang terdapat kesilapan atau kurang tepat menurut jalan
bahasa, maka beliau tambah, menghilangkan kalimat yang kurang sempurna mahupun
mengubah dan memberi komentar.
Bagi yang berbahasa Melayu, apabila terdapat kata-kata yang tidak
popular pada zaman itu, maka kata-kata tersebut beliau hilangkan.
Seumpama karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang mencantumkan
bahasa Patani, karangan ulama Banjar yang mencantumkan bahasa Banjar dan lain-lain
daerah, maka beliau ganti dengan bahasa Melayu yang berlaku di tanah Jawi/Asia
Tenggara pada zaman itu.
Menurut istilah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah ‘Bahasa Tengah’.
Pekerjaan tashhih juga dikerjakan dalam dua perkara iaitu;
A. Kitab-Kitab bahasa Arab, dan
B. Kitab-Kitab bahasa Melayu.