Sabtu, 20 Disember 2025

ALAM MELAYU: Celik Sejarah lawan Cetek Sejarah

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini Dr. Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah Pengajian Melayu di National University of Singapore kemukakan sebuah artikel tajuknya “ALAM MELAYU: Celik Sejarah lawan Cetek Sejarah” yang tersiar di Berita Harian Singapura. Isinya seperti berikut:-


Tanpa penguasaan dan kedalaman ilmu, kesedaran sejarah serta warisan budaya, tidak akan terbangun. Ranah sejarah dan perakuan kepada warisan budaya berpotensi besar untuk membangunkan masyarakat dan peradaban.


Masyarakat yang berkemajuan adalah masyarakat yang peduli tentang pembangunan estetikanya. Membangunkan warisan budaya adalah sebahagian daripada kepedulian terhadap hal-hal estetika.


Dalam ranah warisanlah estetika dapat dimajukan dan diperhalusi.

Masyarakat yang bertamadun tinggi pasti mengurus dan membina estetikanya dengan tekun. Begitu juga dalam merakam dan meriwayatkan sejarah bangsa.


Sebaliknya, bangsa yang tidak beradab boleh sahaja dilihat dari sisi ia tidak mempedulikan ranah ilmu, sejarah dan budayanya.

Sering kali bukan sahaja ia tidak mempunyai selera budaya untuk membangunkan ranah-ranah tersebut, malah ia juga memusuhi sejarah, budaya dan seni warisan.


Apabila ini terjadi, pembangunan sebuah masyarakat dan bangsa tidak akan bermakna, betapa pun kehidupan ekonomi masyarakat itu mapan dan mewah. Penghayatan kepada sejarah dan warisan budaya itu bermaksud memiliki segi nilai dan praktikal yang membolehkan pengembangan yang lebih pesat pada masa mendatang.

Pertama, adanya kemampuan dan kepedulian untuk memahami dan mendalami sejarah dan warisan budaya bangsa, bukan sahaja sebagai identiti tetapi juga sebagai salah satu asas pembangunan dan kemajuan.


Kedua, bersedia mengiktiraf peri penting sejarah dan warisan budaya sehingga perancangan dibuat untuk memastikan ranah itu terus berkembang dan dipelihara.


Ketiga, menghargai segala usaha yang dibuat agar sejarah dan budaya warisan terus mendapat tempat dalam masyarakat, termasuk memberi galakan terus dalam bentuk ruang, peluang dan sumber untuk ranah-ranah ini.


Keempat, menyebarkan maklumat dan perspektif sejarah, khasnya di sfera awam, termasuk praktik warisan budaya serta wacananya, sehingga masyarakat dapat memanfaatkan proses literasi budaya dan sejarah. Lawanan daripada penghayatan sejarah dan warisan budaya ini adalah sambutan yang hanya bersifat musiman, lebih cenderung bermajlis-majlisan tanpa ada kesungguhan untuk membangunkan wacana sejarah dan warisan budaya.

Ini bertambah buruk apabila ada sesetengah kepimpinan yang menganggap usaha berwacana sejarah dan warisan adalah “pilihan” tambahan, yang wajar disokong selagi ia 'menguntungkan' portfolio jawatan mereka dan kepentingan mendapatkan dana.

Lain perkataan, ia tidak terbit daripada kesedaran yang hakiki, jauh lagi kerana rasa terpanggil untuk berdepan dengan hal sebegini.


Ranah Yang Direbutkan

Sebenarnya ranah sejarah dan warisan budaya adalah arena pertarungan idea, sepertimana juga dalam ranah keagamaan dan kesusasteraan. Dari sudut sosiologi, setiap kelompok mengajukan idea dan gagasan mereka. Dalam proses ini, segelintir akan memastikan agar idea dan gagasan mereka sahaja yang paling sah, diterima dan terpakai dalam masyarakat.


Dalam suasana etos demokrasi dan kepelbagaian pendapat sukar untuk mendapat tempat, ada pula kecenderungan untuk menafikan apa jua tempat dan sambutan kepada idea-idea yang dianggap sebagai berlawanan daripada pemikiran dan kepentingan kelompok yang dominan.


Maka tidak menghairankan jika suara dan gagasan pihak lawan yang dianggap sebagai “perosak” yang wajib ditertibkan dalam bentuk pengharaman, digam ataupun dinafikan tempat. Inilah yang boleh disebut sebagai “ketakutan” terhadap versi sejarah dan warisan budaya yang tertentu.


Ini timbul kerana kononnya ada versi sejarah yang boleh menggugat bangsa dan agama dalam masyarakat. Ada pula praktik budaya yang dianggap dapat menjejaskan keimanan, keyakinan dan amalan tertentu, sehingga boleh mengganggu ketenteraman masyarakat.


Ketakutan dari kelompok yang “berkuasa” ini adalah cerminan daripada konservatisme dan kecenderungan autoritarian sewaktu berdepan dengan kerencaman idea dan praktik.


Bagi mereka, apa jua bentuk sejarah dan seni budaya yang bukan terbit daripada linkungan mereka, berpotensi menyinggung status quo yang dominan. Sikap takut dan bimbang inilah yang pastinya akan menghambat terbangunnya wacana sejarah dan warisan budaya yang progresif, demokratik dan humanistik.


Kesan daripada ketakutan sebegini malah boleh kita simpulkan sebagai suatu bentuk kejahatan terhadap kebudayaan, kerana ia akan membawa kesan negatif yang berlanjutan sifatnya.

Kerana ketakutan yang tidak berasas inilah, ia hanya akan menggunakan kuasa dan pengaruh politik atau birokrasi untuk menyekat suara-suara lain yang mahu menyumbang dan merancakkan wacana.


Jelasnya ia tidak akan memberi ruang kepada kebebasan untuk berekspresi atau mencipta.


Apa Yang Ditakuti


Gejala seperti ini memperlihatkan suatu kegagalan atau ketidakmampuan untuk memberikan respons dengan wacana tandingan. Maka jalan pintasnya ialah sekatan, penafian dan pengharaman yang dibuat atas nama menjaga kepentingan itu dan ini.


Inilah yang dapat kita saksikan dalam beberapa peristiwa yang menggelabah untuk mengharamkan, menyekat atau menafikan sesuatu karya, forum dan ruang untuk berbicara yang dibuat oleh golongan yang disangsikan.


Respons sebegini adalah contoh tindakan yang berselindung di balik kekuasaan atau kelembagaan tertentu. Pada intinya ia takut bahawa kepedulian sejarah dan warisan budaya akan mengganggu gugat kedudukan mereka.


Sering kali mereka yang bersungguh-sungguh mengharamkan itu dan ini, terlihat tidak mempunyai korpus ilmu dan budaya yang mampu dan konsisten hadir dalam ranah awam. Lantas kehadiran gagasan sejarah dan budaya dari pihak lain dianggap sebagai cabaran dan gugatan kepada mereka.


Celik Sejarah lawan Cetek Sejarah

Bacaan sejarah yang kritis pastinya akan membawa perspektif yang bukan dominan, mengajak difikir ulang beberapa andaian dan tanggapan yang sudah terpakai lama.


Begitu juga apabila warisan budaya sekiranya dibangunkan dengan wacana yang berilmu, akan menjadikan ia ranah yang memberdayakan sesuatu kelompok, mencetus pandangan sejarah yang lebih serius, dan bijak pula mengolah tema-tema kritis dan kreatif dalam persembahan dan amalan budaya.


Hari ini, dengan politik populisme yang semakin berhaluan kanan, ranah sejarah semakin dihimpit oleh kelompok yang berfikiran sempit. Terkandung dalam naratif sejarah mereka, terlihat ketarikan kepada kemulukan dan kegemilangan bangsa sehingga segala yang tersempurna dan termulia menjadi milik mereka belaka.


Narsistik budaya sebegini timbul dek kerana mahu mengangkat kedaulatan bangsa yang kononnya telah dirapuhkan oleh lawanan ideologi mereka.


Terlafaz sama dalam naratif mereka, sisi yang berbaur perkauman dan keangkuhan keagamaan yang hanya memperlihatkan kepicikan cara mereka berfikir.


Cara pemikiran ini menampilkan keghairahan berkuasa, dan bukan pula mempilihatkan wajah budaya dan agama yang luhur dan universal. Dalam naratif yang sempit ini, mudah sahaja untuk kelompok lain dianggap sebagai “pendatang”, “penyembah berhala” atau “pembelot” dalam peristiwa sejarah.


Cara pemikiran ini, pada satu sisi mahu memperbetulkan naratif sejarah yang digubal kolonial, namun ia juga sama terperangkap dengan cara berfikir yang tidak kurang rasis dari yang diperlihatkan dalam skima pemikiran kolonial yang cenderung 'essentialist' dan 'reductionist'.


Kelompok kanan sepertinya cenderung untuk dilipur-larakan oleh sejarah yang muluk dan megah. Paling ironi, mereka yang mendabik mahu mempertahankan umat dan bangsa, sering kali senyap terhadap kuasa pasaran yang sedia menjarah ekonomi dan kesejahteraan masyarakat terbanyak, selain gerombolan yang korup dan licik politiknya.


Ketakutan Melulu, Budaya Tak Maju

Ketakutan melulu pada persoalan sejarah dan warisan adalah hambatan paling besar yang menggagalkan kemajuan ilmu, budaya dan masyarakat. Sekatan idea dengan cara bukan berwacana akan menyempitkan ranah berfikir dan berdialog. Malah sikap anti-wacana tidak lain melainkan anti-intelektualisme yang berdenyut dalam masyarakat.


Akhirnya semua terbantut dek melulunya sikap takut pada wacana budaya dan ilmu yang tertentu. Selain boleh menjadi kejahatan terhadap kebudayaan, ia boleh diibaratkan juga sebagai kecacatan kebudayaan bukan datang semata-mata daripada gempuran luar (yang disebut budaya asing dan kuning) tapi dari ketakutan dan cemburu dalaman yang takut bahawa kesedaran sejarah dan ilmu akan kononnya merosakkan masyarakat dan negara.


Sewajarnya kalau ada idea dan gagasan yang tidak dipersetujui, ia patut ditandingkan dengan wacana sanggahan. Barulah idea dan pemikiran dalam masyarakat dapat berkembang, selain nilai berdialog dan berdemokrasi dapat terlaksana.


Namun apabila idea dan gagasan perspektif disekat, idea dan pemikiran akan terhambat dan pengembangan idea akan bergerak lebih terlambat.


Di sinilah letaknya kecekalan dan ketekalan bagi mereka yang bergiat untuk mengkedepankan wacana yang ingin memberdayakan pemikiran sejarah dan budaya warisan.


Kalau kita hanya mengikut telunjuk dari kelompok penguasa yang berkepentingan, pasti ranah ilmu, kepedulian sejarah dan warisan akan terus malap dan gelap. Pelbagai gerakan dan ikhtiar budaya yang boleh dimanfaatkan untuk mengangkat wacana sejarah dan warisan budaya.


Di saat kekuasaan berkepentingan terus bersedia memadamkan wacana yang kritis, selagi itu penggiat wacana budaya (yang boleh disebut sebagai pekerja budaya) harus lebih peka dan mempunyai strategi ampuh untuk mengkedepankan wacana alternatif masing-masing.


Wacana sejarah dan warisan budaya seharusnya menjadi obor yang mencerahi, malah berani menggugah status quo, sekiranya ia semakin cenderung mendukung populisme berhaluan kanan yang menolak kepelbagaian dan kesamarataan. Dalam suasana ilmu diperenteng, dijual beli untuk kepentingan tertentu kecetekan ilmu semaki berleluasa.


Wacana sejarah yang sepatutnya mencerahkan minda bertukar menjadi sejarah yang ditakuti dan menggugah. Dari sejarah yang berguna untuk masyarakat dan individu perseorangan, ia menjadi sejarah yang dianggap berbahaya dan mengganggu keamanan.


Hujungnya sejarah dan warisan budaya seharusnya mengangkat martabat bangsa, menjadi punca kesedaran yang tersendat dan tersumbat. Inilah olah daripada ketakutan tadi yang tidak bertempat.


Wajarlah apabila Kassim Ahmad berkesimpulan bahawa:

“Keperluan yang pertama dan yang terpenting bagi masyarakat kita ialah menyingkir fahaman kepuakan dan kesukuan dan menganut fahaman kesatuan dan perpaduan. Tidak mengapa adanya pelbagai kaum, bahasa, kebudayaan dan agama dalam masyarakat kita, tetapi kita tidak harus dan tidak boleh membangga-banggakan kaum, bahasa dan kebudayaan dan agama kita, apalagi menjalankan dasar diskriminasi dan tekanan terhadap kaum, bahasa dan kebudayaan dan agama lain.”

Keberanian Mengkritik

Kepedulian moral dan intelektual menjadikan kita terpanggil untuk mengkritik penyempitan wacana sejarah dan warisan budaya.


Dunia akademik mesti tampil membicarakannya, malah membuat kritikan bersifat rekonstruktif. Begitu juga dengan para pemikir dalam ranah awam yang bergiat dalam kegiatan sastera, seni, bahasa dan agama. Penyempitan ilmu yang dipaksakan oleh kepentingan kuasa dan pengaruh tertentu harus dicabar agar jalan yang lebih baik dan berguna dapat diusulkan.


Dalam banyak masyarakat membangun, gerakan kebudayaan (cultural movement) menjadi penawar untuk membaik pulih pemikiran dalam masyarakat, sehinggakan berani mengkritik kepimpinan yang bersekongkol dengan kelompok yang anti-intelektualisme dan anti-budaya. Sebaliknya cara pemikiran kelompok yang eksklusif, terjerat dengan pandangan komunalisme yang mudah menghujat “musuh” mereka. Inilah yang menjadi tantangan kepada pembangunan ilmu, sejarah dan warisan budaya. Inilah contohnya sumber pemikiran yang akan merosakkan dan menjahamkan bangsa dan negara.


Antara idea dan nilai yang disemai dan dibangunkan dalam masyarakat lewat gerakan kultural ini ialah etos demokrasi, masyarakat sivil, solidariti atau kebersamaan, empati dan akal sihat dalam ruang publik, hak asasi dan kekebasan berfikir dan bersuara, sikap sivik dan disiplin nasional, serta cita estetika yang universal dan membumi.


Pencerahan sosial seperti ini tentu tidak mustahil sekiranya golongan elit dan masyarakat awam dapat bergandingan atau saling membahu satu sama lain kerana memiliki visi dan cita yang membangunkan dan merawat masyarakat. Namun mesti ada yang tampil dahulu untuk mewacana. Itulah inteligensia masyarakat yang berkecimpung dalam dunia kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, keagamaan dan keilmuan.


Penghayatan yang mendalam kepada sejarah dan warisan budaya mesti ditegakkan sekuat-kuatnya agar masyarakat yang adil dan sejahtera dapat terjamin. Jangan pula kita digertakkan oleh ketakutan berdepan dengan kepelbagaian dan kemajmukan.

Tiada ulasan: