Rabu, 17 Disember 2025

ALAM MELAYU: Penulis Harus Berani Bersuara Demi Maslahat Manusiawi

 Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik hassan

Kali ini dari tulisan dari D. Azhr Ibrahim Alawee, pensyarah di Jurusan Pengajian Melayu, National University of Singapapore.


Sejak mencapai kemerdekaan, wacana dan kajian kesusasteraan Melayu sudah berkembang dan terus membangun, baik dari segi jumlah dan juga mutunya.


Ini adalah satu perkembangan yang baik, sekali gus memantapkan Pengajian Melayu, di mana kajian dan kritikan sastera menjadi antara teras utamanya. Dari semasa ke semasa, kita akan menemui pelbagai buku pengantar tentang kritikan sastera, sama ada dari aspek teori kritikan, sejarah kritikan dan kompilasi pelbagai kritikan yang telah diusahakan.


Namun di saat bercambahnya pendekatan kritikan, wajar kita diingatkan tentang asal-muasal sesebuah karya itu dihasilkan. Pastinya seorang penulis yang berwibawa akan mementingkan pesan dan kritikan dan bukan sekadar bercerita untuk mendapatkan kepuasan estetika.


Inilah kadangkala sisi yang telah membebani dunia kajian sastera. Di saat seorang penulis berjuang untuk mengasaskan idea, atau mengasak sesuatu singgungan, ia akan justeru tenggelam kalau karya itu mahu dibaca secara estetik sahaja. Ini berlaku pada banyak karya. Salah satu daripadanya ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) ilham karya Shahnon Ahmad. Ia diterbitkan pada 1963, di saat suasana politik pembentukan Persekutan Malaysia masih bergelora.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia adalah salah satu novel yang telah mencapai taraf klasik dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.


Sekiranya novel Salina ilham karya A. Samad Said dianggap sebagai karya terbaik yang memaparkan kemiskinan dan pergelutan kehidupan orang Melayu di kawasan setinggan, maka novel RSJ adalah padanan terbaik bagi pemaparan keperitan kemiskinan Melayu di kawasan luar bandar.

RSJ mendapat sambutan, baik pengagum dan pengkritik dari dalam dan luar negara. H B Jassin contohnya menyinggung novel ini dalam Horizon pada September 1968, sedang Achdiat Mihardja membicarakan dengan ringkas pada Jun 1972 yang tersiar dalam Dewan Sastera.

Malah novel ini sudah difilemkan, arahan Jamil Sulong, dengan Biduanita Sarimah sebagai pelakon utamanya. Namun adaptasi ke filem ternyata lebih menarik apabila ia dibuat dalam Bahasa Perancis tetapi difilemkan di Kemboja, arahan Rithy Panh, dengan judul "The Rice People".

Novel ini telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan tajuk "No Harvest But A Thorn" pada 1972, justeru mendapat perhatian dalam kalangan pembaca dan pengamat sastera berbahasa Inggeris seperti Lyold Fernando dan Edwin Thumboo, serta dari A H Johns, sarjana pengajian Melayu-Indonesia asal Australia.


Yang menariknya juga, sewaktu Shahnon menulis RSJ, dan sejurus kemudian mendapat perhatian besar dalam lapangan kesusasteraan Melayu, persoalan kemiskinan mula mendapat perhatian dalam dunia akademik, khasnya yang dipelopori oleh kelompok sains kemasyarakatan di beberapa universiti di Malaysia. Novel ini telah diangkat menjadi salah satu teks dalam pelajaran kesusasteraan di sekolah-sekolah di Malaysia.


Yang Termiskin dan Yang Terkesamping

Umumnya kemiskinan sudah melarat dan menjerat banyak masyarakat. Para sasterawan sebagai manusia yang peka menulis tema ini sebagai suatu suara nurani yang cenderung berpihak-pihak. Namun agak menghairankan mengapakah tema kemiskinan tidak banyak mendapat perhatian dalam kalangan pengkaji dan pendidik sastera?


Adakah mereka tidak terkesan dengan persoalan dan permasalahan yang jelas terpampang pada kita? Atau adakah persoalan kemiskinan berada di luar cakupan kajian dan intelek mereka.


Lantaran itu, sejumlah makalah yang ditulis untuk menghargai Shahnon, khususnya dengan tema kemiskinan, jarang sekali mendapat perhatian utama daripada para pengkaji, sedangkan Shahnon memberikan singgungan yang sangat tajam dan berkesan.


Ini tentu sekali berbeza daripada tanggapan dan kejelasan Shahnon sendiri dalam pemaparan tentang keperitan kemiskinan yang menghimpit masyarakat desa Kampung Banggul Derdap yang dipaparkan dalam RSJ. Menurut beliau:


Dengan penuh kesedaran dan keinsafan, saya melihat manusia Banggul Derdap ini…terlihat, terdengar dan terasa hanya satu sahaja kemiskinan. Dan kemiskinan ini menjadi punca ke arah cabang-cabang lain yang diberi pelbagai istilah; kepapaan, kemelaratan, kegelisahan, kehimpitan hidup; peluh mencurah untuk dapat sesuap nasi, anak banyak tanpa harapan masa depan, maut menjenguk setiap detik, kegilaan tanpa batas, tangisan, kepedihan… Atas dasar inilah … Ranjau Sepanjang Jalan cuba hendak saya sandarkan. Sandaran Banggul Derdap yang bukan pada taraf luarannya yang indah dan cantik tetapi pada taraf dalaman yang hodoh dan melarat. Penolakan daripada dasar ini bukan sekadar pembentangan begitu sahaja tetapi sedaya upaya meminta simpati dan konsentrasi pembaca agar sama-sama merasai dan mendarah daging bersama anak buah Banggul Derdap yang cukup kaya dengan kemiskinan itu.”


Shahnon yang Berpihak

Novel ini ditandai dengan pemihakan Shahnon kepada golongan petani miskin. Ia dilakukan tanpa berlebih-lebihan, dengan Shahnon sebagai pembela unggul. Tapi penceritaan yang berkesan membawa pembaca terharu akan keperitan keluarga Lahuma dan Jeha, yang harus berdepan dengan alam semesta yang keras dengan aturannya, sedangkan manusia tetangga yang tak kalah keras hati sampai sukar sekali membantu keluarga ini yang hampir kebulur tidak makan. Inilah kekuatan yang terletak dalam ilham karya Shahnon.


Kemiskinan yang membelenggu keluarga Lahuma amat menyayat hati. Lahuma mempunyai sikap untuk terus hidup dan memberi anak bininya makan. Tapi malang menimpanya setelah terkena duri sehingga membawa maut. Isterinya Jeha memikul tugas menyara hidup, tetapi kerana tekanan dan kehilangan suami, beliau hilang kewarasan selepas air yang naik memusnahkan padinya. Jeha jatuh gila.

Sanah anak perempuannya pula menanggung tugas. Lukisan kehidupan keluarga petani, yang terdedah kepada musibah alam, baik dari cuaca, air dan haiwan menjadi kesedaran bahawa sang petani bukan sahaja hidup seadanya, tetapi juga di ambang kelaparan jika padi tidak menjadi. Tapi keluarga itu tidak mahu atau pernah kalah dan berserah. Lahuma mahu terus mencuba tetapi kesakitannya itu membawa ajal. Jeha menggagahkan diri untuk terus bekerja kuat untuk anak-anaknya tetapi kewarasannya terganggu.


Sanahlah yang paling kuat, seperti anak gadis kampung khasnya anak yang pertama, yang lazim kita dengar, menjadi ibu dan kakak kepada adik-adiknya yang kecil. Ikhtibar mereka untuk terus hidup berdenyut dalam lafaz, ‘Mati hidup dan susah senang dipegang Tuhan. Dipegang Allah Azzawajalla'. Ini bukan penyataan berserah kepada takdir tetapi keyakinan mereka bahawa Tuhan bersama mereka selagi mereka terus berikhtiar.


Dalam novel ini tidak ada sikap menyerah kepada nasib, melainkan melawan sekuat-kuatnya tenaga agar nasib yang baik dapat diraih.


Agamalah yang menjadi obor harapan untuk terus hidup. Bukan agama sebagai penyebab fatalisme yang sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu untuk menjelaskan kemunduran mereka.


Ternyata Shahnon menepis andaian yang biadab seperti yang sering dijaja oleh para orientalis dan kuncu-kuncunya, termasuk sarjana tempatan yang dibelenggu minda terjajah. Sekali gus Shahnon menepis mitos peribumi malas setelah beliau dapat menggambarkan kepada kita betapa sukarnya para petani seperti keluarga Lahuma mengusahakan sawah padi, dan prosesnya panjang, sepanjangnya juga tidak menentu dan belum tentu dapat membuahkan hasil.


Kita diingatkan oleh Shahnon bahawa “menanam padi bukan semudah menyuap nasi masuk mulut.” Kampung petani yang didiami keluarga Lahuma bukanlah kampung yang sering kita membayangkan sebagai permai dan bergotong-royong. Semua hidup susah dan tiada siapa yang dapat menolong kerana semua mengharungi nasib yang sama. Bantuan kerajaan pun tiada. Yang ada tulang empat kerat melawan kemiskinan. Shahnon membuat kita prihatin terhadap golongan ini yang terus menjerit keperitaan tetapi tiada kedengaran sesiapa seperti jeritan Jeha di akhir cerita.


Sesungguhnya keluarga Lahuma mewakili manusia miskin yang bergelut dengan kehampaan, ketidakpastian dan keberharapan. Inilah sisi manusia yang dipaparkan oleh Shahnon dengan begitu jelas sekali.


Betapa dalam getir keperitan pun manusia miskin dari Banggul Derdap tidak mengaku kalah atau menyerah nasib. Lahuma terus mahu menguatkan diri turun ke sawah meskipun kakinya sudah membusuk; Jeha terus menggagahkan diri sehingga jatuh gila, sedangkan ketabahan anak gadis mereka, yakni Sanah menyedarkan kita bahawa rasa tidak putus asa atau dirundung duka dihadapi dengan tabah, sehingga empati kita diberikan kepada watak ini.


Jelasnya, pemihakan Shahnon bukan dibuat dengan gendangan dan slogan. Ia hidup dan berdenyut dalam penceritaan novel itu sendiri, sehinggakan kita tidak dapat tidak, merasakan simpati pada watak-watak dalam novel itu. Lahuma, bapa yang cekal tetapi derita sakit terpijak duri nibung sehingga maut; Jeha yang hilang akal setelah kematian suaminya dan rasa takutnya padi tidak akan menjadi di saat dugaan yang diterimanya dan nasib Sanah, anak gadis mereka yang terpaksa menanggung penderitaan demi memastikan keluarganya bersambung nyawa dari hasil padi yang tidak seberapa.


Karya Shahnon Disahut

Wajarlah apabila Ismail Hussein menyebut bahawa novel RSJ, memperlihatkan keprihatinan Shahnon terhadap petani miskin, sehinggakan ia “lebih berkesan dan mendalam dari gambaran dan kecintaan pengarang ASAS’50 terhadap kaum petani.”

Sesungguhnya pemihakan adalah kepedulian moral dan intelektual. Ia berlawanan daripada pengecualian.


Sikap berkecuali jelas tiada tempatnya dalam wasasan penulisan yang progresif. Shahnon, yang jelas memperlihatkan pendiriannya yang konsisten berjaya menyentuh permasalahan masyarakat yang pelbagai, lewat karya sastera, dengan kepedulian dan keberanian moral untuk melafazkannya. Bagi beliau:


”Mengarang tidak lagi sekadar main-main dengan kata-kata... Mengarang harus mempersoalkan keadilan dan ketidakadilan dalam masyarakat. Mengarang juga perlu mempersoalkan keganasan dan keamanan, rasuah dan penipuan dalam masyarakat, pembohongan dan korupsinya para pemimpin, nilai-nilai yang merosakkan jalinan masyarakat, segala gejala sosial yang membusukkan masyarakat dan kalau perlu mengarang perlu berani mendedahkan segala kepalsuan supaya masyarakat terbanyak tahu segala pembohongon yang sedang berlaku.”


Yahaya Ismail, seorang pengkritik mapan dalam kesusasteraan Melayu moden memuji Shahnon atas keprihatinannya terhadap para petani Melayu yang miskin, yang sebenarnya berpanjangan membicarakan masalah pembangunan dalam masyarakat Melayu.

”Kemiskinan kaum tani inilah yang dihayati novelis Shahnon untuk menimbulkan simpati dari pembaca. Shahnon mengangkat darjah simpati pada jiwa pembaca bukan pada kulitnya sahaja tetapi meneroka masuk jauh ke dalam meraba setiap liang roma pembaca untuk ’merasakan’ perjuangan hidup kaum tani miskin itu... Dedikasi Shahnon terhadap petani miskin bukan kerana ia cuma ingin mengungkapkan kehidupan petani miskin di Banggul Derdap, kampung kelahirannya, tetapi adalah pernyataan seluruh kaum tani miskin yang tumbuh subur di tanah air kita. Dan lebih dari itu, Shahnon menimbulkan hubungan kemiskinan Lahuma dan Jeha dengan bangsa Melayu sendiri hingga secara tak langsung kita dihadapkan dengan masalah bangsa Melayu sendiri.”


Begitulah juga pengakuan Shahnon mengapa tema kemiskinan mendapat perhatian beliau:


“...ada satu isu yang aku tak bisa singkirkan dari fikiranku. Isu itu ialah kemiskinan... Kemiskinan bangsaku. Bangsa Melayu. Terutama sekali orang-orang yang jauh menghuni pedalaman-pedalaman yang jauh. Mereka menghadapi kesusahan; penekanan, penderitaan, penyakit dan konservatisme. Mereka berhadapan dengan keinginan-keinginan untuk hidup di hadapan. Hidup di samping feudalisme, kapitalisme, hipokrasi dan oportunisme yang berkembang biak dalam masyarakat kami.”


Akhirul kalam, novel RSJ berakhir dengan Jeha yang gila terus menjerit dari kurungannya. Jeritan itu tentu meraung dalam hati dan fikiran anak-anaknya yang harus menyambung nyawa dengan sawah padi buat sesuap nasi agar tidak kebuluran.


Jeritan Jeha menjadi lambang jeritan petani Melayu miskin. Semoga jeritan seperti ini, sekiranya masih ada, terdengar juga kepada yang lain.





Tiada ulasan: