Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini saya kemukakan seorang penulis dari Kota Singa, yang saya pernah bertemu dengan beliau 2203 kali di Malaysia. Beliau ialah Cikgu Suratman Markasan, dan saya kemukakan penulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee yang berkaitan dengan Cikgu Suratman Markasan. Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia. Beliau juga Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF). Tajuknya “Suratman Markasan: Sang Pengayom dan Pengayam Kesusasteraan” di tersiar di berita.mediacorp.sg Inilah tulisan Dr Azhar Ibrahim Alawee:-
Suratman
Markasan ialah Pengayom Kesusasteraan yang berhati dan berperi, memimpin dan
berprihatin, tegak bertugas mendiri serta akur pentingnya bersikap mandiri.
Beliau
pernah dan sering bersua dan duduk bersama kita di dewan yang mulia ini, tetapi
kini beliau sudah berpergian meninggalkan kita semua.
Pak
Suratman, terimakasih banyak kerana selama ini telah mendampingi dan berbahagi
ilmu dan ilham sebagai sasterawan, sebagai guru, sebagai pemerhati mahupun
sebagai peserta undangan.
Setiap
kali Pak Suratman hadir dalam apa jua acara, itu adalah penghormatan besar,
kerana beliau seorang tokoh yang hadirnya merahmat dan memberkat dan suara
geraknya melekat dan memikat.
Kali
ini kita meraikan beliau, betapa beliau tidak dapat bersama kita. Sempena di
bulan Ramadan yang mulia ini, kita panjatkan doa dan Alfateha agar rohnya
dicucuri Rahmat.
Kita
yang telah dididiknya, sudah dibekali dengan ihsan mengenali dan menghargai,
bahawa peduli berhati pada ehwal rakyat itu adalah keramat, dan kemanusiaan
agama dan tradisi, adalah amanah yang semua kita harus pikul.
Kita menyapa beliau dengan sapaan Cikgu atau Pak Suratman, melekat sampai kini, kerana keserdehanaan peribadinya adalah ketokohan yang sukar ditandingi.
Di
kesempatan yang berbahagia ini, izinkan saya menghurai dua sisi dari ketokohan
yang bisa disimpulkan dari keperibadian guru kita ini:
Pertama,
Suratman Markasan bisa dirakam baktinya sebagai Pengayam.
Kedua,
Suratman Markasan bermakam sebagai sang Pengayom.
Dua
sisi ini boleh kita sebutkan sebagai sebuah ketukangan. Malah dari ketukangan
ini, nanti bisa saya usulkan gelar kalungan yang wajar beliau menyandangnya.
Pengayam Kesusasteraan
Mengayam
itu adalah bertukang seni, yang kelihatan pada zahirnya, dan pada sisi batin
mengetap, melurus dan membingkas ilmu dan pemikiran.
Pengayaman
Pak Suratman terlihat dalam dua bidang utama.
Yang
satu berona ilham kreatif yang membungakan fiksi prosa dan puisi.
Yang satu lagi berbentuk wacana yang mengupas idea, pemikiran, impian dan harapan.
Himpunan
tulisannya menjadi kesaksian, yang merentasi puluhan dekad, melintasi zaman
kolonial, zaman Jepun, zaman kemerdekaan Malaya, Malaysia dan Singapura sampai
zaman Singapura baharu sebagai sebuah republik.
Dari
genre yang beliau bertukang, ia merata dan membina. Dari novel, cerpen, puisi,
esei, buku kajian dan rujukan, kritikan, ulasan, panduan, sorotan dan kata
aluan-aluannya. Tercukup semuanya sehingga akan panjang berjela bila dicatat
dalam senarai rujukan.
Beliau
ialah pemikir dan ilmuan sekali gus, yang menulis dengan kajian, pemerhatian
dan pengalaman kerana latihan pendidikan di perguruan tinggi menambah inti
kecerdasan dan kedalaman ungkapan beliau.
Beliau
sangat yakin pada hikmat yang digubahnya:
“Sasterawan
harus menjadi mata dan telinga untuk masyarakatnya.”
Itulah
yang membuat beliau menjadi penulis yang cermat memerhati, bukan penulis yang
berkhayal ilham sendiri-sendiri.
Beliau
ialah ilmuan yang di dalam cakrawala pemikiran tiada tempat untuk berneutral
atau konon berobjektif.
Beliau
menilai dan menimbang berdasarkan ukuran penilaian yang bersandarkan
nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan yang universal.
Keberpihakan
adalah antara dasar pena Pak Suratman. Perhatikan dalam bait-bait dari beliau:
“apabila kita
makan dan minum
teringatkah
kita kepada anak-anak malang
di
empat penjuru jagat raya lalu bertanya:
apakah
laparnya sudah kenyang
apakah
dinginnya sudah hangat
apakah
sakitnya sudah sembuh
apakah
bodohnya sudah pandai?”
Beliau
adalah anak negeri yang bangga akan sejarah dan harga diri bangsanya. Beliau
berfikir dengan kemajmukan tapi ia juga harus berdiri dengan keadilan.
Bacalah
lembaran karya beliau, bahawa kita akan diketemukan dengan manusia dan
masyarakat yang tersungkur dan tergusur, yang tergelincir dan tercicir, yang
terkepil dan dikerdil, yang suram dan dibungkam, yang tertinggal dan
dimarginal, yang terlupa dan dilupakan. Suara Suratman adalah suara
kemanusiaan.
Beliau
adalah penulis yang terus mengayam antara tradisi dan moderniti. Tradisi
sebagai dasar nilai dan iman, kerohanian dan amalan. Moderniti sebagai pemacu
kemajuan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat. Kedua-duanya harus dianyam
dengan berimbang dan berpada.
Sang
Pengayom
Suratman
Markasan ialah sang Pengayom yakni berperanan sebagai pelindung, penjaga,
pemelihara, pemayung bagi dunia kesusasteraan kita,
Sang
Pengayom itu pasti memainkan peranan sebagai tukang saksi. Beliau penyaksi
zaman dan perubahan. Beliau penyaksi penindasan kolonial dan kemerdekaan
nasional, sampailah ke pembangunan pesat di era global.
Tercatat
beliau banyak memimpin, baik sebagai guru, pensyarah, ahli persatuan dan
jawatankuasa, di mana keahilan beliau dapat menggerakkan institusi dan
pertubuhan. Sisi pengayoman ini sendiri adalah sumbangan yang penting untuk
masyarakat dan negaranya.
Pak
Suratman mula berkarya dengan kritikan sosial dalam novel Tak Ada Jalan Keluar
(1962). Sebuah dilema keluarga miskin menyara
anak-anaknya, sedang ibu terpaksa jatuh di lembah terhina. Anaknya sampai tidak
mengaku ibu yang menderita itu. Cerita sebegini menggugat siapa yang ada mata
dan hati.
Beliau
ialah sasterawan terakhir dari zamannya. Kerana dianugerahkan umur yang
panjang, beliau juga dianugerahkan Tuhan, kudrat untuk berkarya sampailah ke
hari-hari akhir hayat beliau.
Sebagai
sasterawan, sisi pencari dan mencari adalah suratan beliau. Tapi beliau bukan
pencari yang berkelana untuk menyepi. Beliau ialah pencari yang sedia melaksana
guna berbakti. Ini tersaksi dari deretan karya beliau, yang rata-rata berpesan
dan menggambar dari pendirian yang berhati.
Sebagaimana
penulis besar lainnya, beliau adalah anak atau insan zamannya, dengan pola
pikir yang telah mewarnai cara beliau mengupas, mengungkap dan menyimpul.
Beliau
tekun menulis dalam pelbagai bentuk. Cerpen beliau sering bercerita biasa namun
diberi sentuhan intrik di kesudahannya. Puisi-puisi beliau sering panjang
berprosaik, tapi inti teguran dan tepisannya sering menarik.
Esei
dan kajian beliau bukan renungan semata, tapi banyak data ditarik diolah untuk
membicarakan isu dengan lebih berkesan. Itulah kegigihan guru kita Pak Suratman
Markasan.
Beliau
adalah pembaca politik dunia. Kekacauan, kekerasan dan peperangan beliau kecam
dan menolak. Puisi-puisi beliau tentang Iraq dan Palestin, teristimewa tentang
Gaza, tajam menyinggung, masih berdentum dan menyambung.
Beliau
adalah penyimpan memori yang tangkas, khasnya tentang ranah kesusasteraan kita,
dan banyak karya penulis tanah air kita yang dicatat disinggung, tiada dari
pemerhatiannya yang terlepas.
Izinkan
saya menyaring 20 sifat atau pemerhatian yang saya lihat
ada pada ketokohan Pak Suratman, yang kita sayangi ini:
(1)
Beliau
kadang berfikir gusar tetapi tidak pernah menyuara dengan kasar.
(2)
Beliau
manusia bertradisi tetapi tidak sampai taksub tegar atas pendirian sendiri.
(3)
Beliau
terkadang menulis menggetar sentap, tetapi tak sampai membuat kita jadi tak
sedap.
(4)
Beliau
menyapa dengan sederhana, tetapi sentuhan menyentuh ke dada.
(5)
Beliau
sering menasihati menegur tetapi tak sampai membuat kita malu melebur.
(6)
Beliau
berhujah dengan fakta, walaupun terkadang negatif nadanya, tetapi tak sampai
membuat kita gundah.
(7)
Beliau
menyentak banyak persoalan, sehingga kita insaf mengesan mana yang dah sopak
dan yang dah melemak.
(8)
Beliau
guru yang bukan jenis berkobar-kobar, tetapi mendampingi kita dengan sabar.
(9)
Beliau
tampil sebagai pemimpin, tetapi bukan jenis yang sebarang bikin.
(10)
Beliau
bukan jenis bermadah seloka, namun apabila mendekati kita, cepat jadi mesra.
(11)
Beliau
manusia taat agamis, tetapi tidak pernah tampil bersangar bengis.
(12)
Beliau
tampil selalu sederhana dan bahagia, sehingga kita terasa ada berkat dan rahmat
dari peribadinya.
(13)
Beliau
di hari-hari tuanya berhikmah tenang, sehingga kita yang muda-muda terasa
ditatang.
(14)
Beliau
bercakap jarang barang yang berat-berat, tetapi kesederhanaannya itu meniup
semangat .
(15)
Beliau
mengaju sering menggalak, tanpa perlu beretorika yang menggelegak-gelegak.
(16)
Beliau
peka akan tantangan masyarakat, tanpa perlu beliau mendabik menjadi jaguh
rakyat.
(17)
Beliau
berbicara beralas ilmu, sehingga tak ada yang kosong atau gugat menganggu.
(18)
Beliau
guru budiman yang tekun, sehingga sampai hari tuanya, beliau bertambah anggun.
(19)
Beliau
murah berbahagi dan sanggup duduk bersama kita mendengar isi hati.
(20)
Beliau
sang penulis beramanah, sehingga kita dijadikan insaf bahawa ke depan yang maju
dan selamat itu, kita harus berani untuk berubah.
Itulah
sisi sang Pengayam dan Pengayom yang saya kenali pada sosok Pak Suratman dan
saya pasti ramai teman bisa menambah lagi sisi-sisi yang lain.
Keahlian,
kemahiran, kebagusan, kepandaian dalam masyarakat kita akan dipanggil si
Tukang. Jadilah tukang rumah, tukang besi, tukang jahit, sampailah tukang masak
dan tukang sapu.
Tukang
itu adalah kepandaian kemahiran dan kewajipan yang dihormati. Dalam masyarakat
lisan, ada tukang cerita. Di istana, ada tukang tulis. Sasterawan kita, dalam
pelbagai segi adalah tukang cerita, dan yang jaguh di antara mereka, menjadi
tukang surat.
Sesungguhnya
dari pemerhatian semua ini, maka wajarlah kalau saya menyebut bahawa Pak
Suratman Markasan itu sebagai Tukang Surat yang pernah wujud dan menyumbang
dalam persada persuratan kita.
Pengayam
dan pengayom yang kita sambuti dan ingati di hari yang berkat ini, adalah
Tukang Surat yang waktu hayatnya berbakti tidak berhenti untuk dunia
kesusasteraan dan persuratan kita, baik di sini mahupun serantau.
Cikgu Suratman, Cikgulah Tukang Surat dan kami tabik hormat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan