Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Kali ini saya sedutkan bahagian dari Tesis MA Sdr Zawawee Pakda Ameen, pensyarah Pengajian Melayu di Prince of Songkla University, Kampus Pattani. Tesis yang disedut ini berkenaan dengan kerajaan Langkasuka. Isi bahagian Langkasuka tersebut adalah seperti berikut:-
Kebanyakan sarjana berpendapat bahawa kawasan Pattani sekarang pernah
menjadi sebahagian daripada Langkasuka. Langkasuka adalah kerajaan Melayu purba
zaman awal masihi yang terdapat dalam sumber Cina, India, Arab, Jawa, Melayu
dan sumber Barat (Chiwasat, Wasan 1990: 29). Menurut catatan Cina semasa
pemerintahan Dinasti Liang (502-556) menyatakan bahawa Langkasuka ditubuhkan
pada sekitar hujung abad pertama atau di sekitar tahun 80-100.
Dalam Hikayat Merong Maha Wangsa menyatakan bahawa Langkasuka terbahagi
kepada dua bahagian iaitu di negeri Kedah dan di sebelah timur Kedah.
Bagaimanapun tiada bukti yang kuat dapat menyokong bahawa Langkasuka terletak
di negeri Kedah (Seni Madakakul 1974: 23). Penyebutan tentang Langkasuka yang
terdapat dalam Hikayat Merong Maha Wangsa adalah seperti berikut:
“...lalu bertemulah dengan tanah bumi yang baik terlalu indah tempatnya
dengan tanahnya menjadi tiadalah turun ke bahteranya kita membuat kota istana
dengan balainya yang terlalu amat besarnya lagi dengan indahnya. Setelah sudah
balai itu dinamakan akan dia Langkasuka.”
Sumber yang berjudul Liang Shu pada zaman Dinasti Liang menyebut bahawa
kerajaan Lang-ya-hsiu terletak di laut Cina. Keluasan Lankasuka adalah 30 hari
berjalan kaki dari timur ke barat dan 20 hari berjalan kaki dari utara ke
selatan. Kedudukan Langkasuka berada di jarak
sejauh 24,000 li dari pelabuhan Canton. (Wheatley 1961: 253-254). Dengan ini
dianggarkan jajahan empayarnya meliputi negeri Singgora, Patani, Kelantan,
Terengganu, sebahagian dari utara Kedah dan hulu Perak.
Mengenai agama yang dianuti oleh penduduk Langkasuka,
dipercayai mereka menganuti kepercayaan animisme. Selepas itu menerima pengaruh
daripada agama Hindu-Buddha yang mengubah kepercayaan, kebudayaan, tamadun dan
sosio-politik penduduknya (Mohd Zamberi A. Malek 1993 : 6-7). Berkenaan dengan
agama dan pusat pemerintahan kerajaan Langkasuka dapat dibukti lebih jelas
setelah menjumpai kesan kota Langkasuka yang mempunyai berpuluhan candi di
daerah Yarang, wilayah Pattani (Quaritch Wales, H.G. 1974).
Nama Langkasuka dikenali dengan berluasa setelah
kerajaannya mengutuskan duta dan wakil perdagangan ke Cina untuk membuat
perhubungan diplomatik. Kedudukan yang strategik juga menyebabkannya menjadi
pelabuhan terpenting yang dikunjungi ramai pedagang asing (Teeuw and Wyatt 1970
: 1-2). Langkasuka berperanan sebagai maritime dan enterport barang-barang
dagangan India-Cina. Perhubungannya dengan Cina begitu meningkat sekali pada
zaman Dinasti T’ang. Pada zaman ini kapal-kapal dagang sering belayar
berulang-alik. Kawasan ini menjadi tumpuan utama
ekonomi dan geo-politik jika dibanding dengan kawasan lain di Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun kerajaan Langkasuka tidak putus-putus
dijajahi oleh kuasa luar. Pada awalnya dilanggar oleh kekuatan kerajaan Funan
di bawah raja Fan Shih Man (220-420M). Langkasuka dapat memulihkan kedudukannya
apabila Funan mengalami keruntuhan pada abad ke-6. Pada tahun 775 kerajaan
Langkasuka serta negara-negara kota di semenanjung terletak di bawah naungan
kerajaan Melayu Sriwijaya. Pada waktu ini bahasa Melayu Sanskrit yang ditulis
dengan huruf India dan agama Buddha-Singhalese mempengaruhi rakyat Langkasuka.
Dalam tahun 1025, Langkasuka diserang oleh raja Rajendra Chola I dari India
dalam ekspedisinya menyerang Palembang ibu kota kerajaan Sriwijaya. Menjelang
tahun 1275, Majapahit berjaya menguasai negeri-negeri Melayu Semenanjung dan
sekitar tahun 1345, seluruh Semenanjung hingga ke Temasik dikuasai oleh Siam.
Ada nama yang berlainan mengikut sumber masing-masiang mengenai
Langkasuka. Selain Lang-ya-hsiu, disebut juga dengan Lang-ya-hsu, Lang chia
shu, Lang-hsi-chia, Lang-hsi-ka dan Lang-sai-ka dari sumber Cina. Dalam sumber
India memanggil Ilangasoka, sementara sumber Arab yang terdapat dalam kitab
Al-Minhaj al-fakhir fi’ilm al-bahr al-zakhir memanggil Langkashuka (Mohd
Zamberi A. Malek 1993 : 1-13). Bagaimanapun pada awal abad ke-15, nama kerajaan
Langkasuka hilang dari catatan asing dan muncullah kerajaan Patani.
Chiwasat, Wasan (1990). “Langkasuka Kota Mahligai Patani”,
Rusamilae. (Januari-April) hal.28-36.
Quaritch Wales, H.G. (1974). Langkasuka and Tambralinga : Some
Archaeological Notes. JMBRAS, Vol. 47.
Madakakul, Seni (1974). “Rach Anachak Langkasuka Yu Thi Nai”. (Di manakah Langkasuka). dalam
Rusembilan. 3 (Mac-April), Prince of Songkhla University, Pattani.
Mohd Zamberi A. Malek (1993). Umat Islam Patani : Sejarah
dan Politik. Shah Alam: Hizbi.
Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.
Wheatley, Paul (1961). The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: University Malaya Press.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan