Ekonomi/Bisnis

Sabtu, 27 Mei 2023

Prasasti Raja Ramkhamhaeng (Thailand) : Satu penilaian baru terhadap sejarah Semenanjung Tanah Melayu.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

                                 Prasasti Raja Ramkhamhaeng 

Pandang ahli akademi Thailand terhadap Tanah Melayu. Mereka lebih merujuk kepada prasasti yang dikatakan ditulis oleh Raja Ramkhamhaeng yang dikatakan memerintah Kota Sukhothai pada 1279-1298. Dengan merujuk kepada prasasti atau batu bersurat Raja Ramkhamhaeng ini pihak Thailand telah mendakwa bahawa kekuasaan Thailand atau Siam dizaman dulu telah menakluk Tanah Melayu hingga ke Temasik (Singapura). Walaupun begitu terdapat segolongan ahli akademi Thailand  tidak percaya dengan tafsiran bahasa di prasasti tersebut. Lebih lebih lagi kemudian ini terdapat beberapa seminar dan terbitan buku buku tentang keraguan teradap prasasti Raja Ramkhamhaeng ini.


Prasasti Raja Ramkhamhaeng adalah satu Prasasti penting dalam sejarah Thailand. Prasasti ini menjadi bahan rujukan  ahli sejarah Thailand. Disebabkan Prasasti ini ditulis dalam bahasa  Thai lama. Maka terdapat beberapa tafsiran isi kandungan Prasasti  ini kurang jelas seperti tafsiran yang dibuat oleh Goerge Coedes. Tafsiran  beliau  dapat  mempengaruhi  beberapa  ahli  sejarah  Malaysia.[1] Sebenarnya kini prasasti ini menjadi bahan kontroversi. Kerana ada berbagai pendapat berkenaan dengan keaslian prasasti  ini. Sesetengah ahli sejarah tempatan menolak tafsiran Goerge  Coedes. Mereka mengatakan prasasti ini dibuat pada zaman  Bangkok.[2] Begitu juga dengan Michael Vickery dari Australia yang  mengatakan prasasti ini bukan ciptaan Raja Ramkhamhaeng.  Sebaliknya ia adalah ciptaan Rama IV di zaman era Bangkok. Prasasti ini juga seperti “Piltdown” iaitu satu bahan sejarah di  Inggeris. Bahan tersebut menjadi bahan rujukan ahli sejarah  Inggeris, tetapi bahan itu telah menggemparkan dunia bidang  sejarah di Inggeris. Kerana bahan sejarah itu mempunyai   kepalsuan. 

                           Ahli sains dengan Piltdown Man

Begitulah Michael Vickery telah membuat  perbandingan Piltdown, bahan sejarah Inggeris dengan  prasasti Raja  Ramkhamhaeng, Dan didapati serpihan tenkorok dari “Piltdown Man” itu dari tengkorok berok.[3]


Bagi seorang kerabat Diraja Thailand yang progresif, Prince  Chanchirayuk Rachani mendakwa beliaulah orang pertama  yang  menyatakan prasasti Raja Ramkhamhaeng bukan ciptaan Raja  Ramkhamhaeng.[4]  Mr. Saeng Monvitoon membantah keaslian  prasasti ini dengan mengatakan Raja Ramkhamhaeng bukan  pencipta prasasti ini. Sebaliknya Rama IV (Bangkok) adalah  penciptanya yang sebenar.[5]

                                  Prasasti Wat Sri Chum

Seorang pensyarah Universiti Thammasart, Bangkok bernama  Dr. Piriya  Kraireuk, pengarah Pusat Kajian Thai di universiti tersebut   mengemaskan lagi pendapat keraguan terhadap Prasasti Raja Ramkhamhaeng. Beliau memberi beberapa bukti keraguannya  terhadap prasasti itu seperti berikut:[6]


1. prasasti Raja Ramkhamhaeng terlalu kecil saiznya jika  dibandingkan dengan prasasti- prasasti lain prasasti Raja  Jayavarman VII yang sezaman dengan Raja Ramkhamhaeng. Begitu  juga dengan  prasasti - prasasti di era Sukhothai yang lain.


2. Bahasa Thai dalam prasasti Raja Ramkhamhaeng  menggunakan huruf vokal sebaris dengan huruf abjad. Ia tidak  pernah berlaku dalam sejarah bahasa Thai kecuali bahasa Thai  dalam prasasti Raja Ramkhamhaeng dan huruf bahasa Thai rekaan  Raja Rama IV yang dikenali dengan nama "Huruf Ariyaka". Iaitu  huruf mirip dengan huruf Latin untuk penulisan dalam bahasa Pali  di kuil-kuil Buddha. Akhirnya huruf Ariyaka tidak digemari para sami  buddha dan  huruf tersebut hilang begitu saja.


3. Bahasa Thai dalam prasasti Raja Ramkhamhaeng adalah termuat  perkataan-perkataan yang digunakan di zaman Bangkok.


4. prasasti Raja Ramkhamhaeng  tercatat dalam tahun Era sebaliknya tahun-tahun tersebut jika diubah menjadi tahun masihi   seperti tahun B.E 1800 menjadi 1800 masihi, ia akan terbukti  semua yang berlaku mengikut prasasti itu sama seperti peristiwa yang telah berlaku di zaman Raja Rama IV (Bangkok).


Salah seorang sami Kerabat diraja, Krom Praya Pawareswariyalongkorn telah mengarang sebuah buku untuk   menerangkan perkara tersebut. Begitu juga dengan Mr. Michael  Wright yang mengatakan bahawa huruf yang tercatat dalam  prasasti Raja Ramkhamhaeng sebenarnya tidak sesuai diukir  jadi prasasti.


Miss Muk-Horm Wongtes[7] menyebut bahawa  prasasti ini adalah ciptaan  Raja Ramkhamhaeng yang disokong oleh dari 3-4 orang ahli sejarah Thai dan 7-8 orang ahli sejarah barat seperti  W. Woodward  Wyatt dan sebagainya. Bagi ahli sejarah yang mengatakan prasasti ini  adalah rekaan Raja Rama IV (Bangkok) pula terdiri dari 2 orang ahli  sejarah barat iaitu Dr. Michael Vickery  dan Michael Wright selain  itu adalah ahli sejarah tempatan. Miss Muk-Horm mesifatkan  bahawa para ahli sejarah yang mempertahankan pendapat  terhadap keaslian Prasasti Raja Ramkhamhaeng ialah mereka yang  mempertahankan kareer akademi (Defend Academic Career). Kerana kebanyakan karya-karya mereka telah menjadikan prasasti  ini sebagai bahan rujukan utama. Mereka tidak sempat menyelidik  karya-karya ahli sejarah tempatan yang berkarya dalam bahasa  Thai.


Bryce  G. Beemer dalam Tesis  M.A.nya yang diajukan di Universiti  Hawaii pada tahun 1999 berjudul "Constructing The Idea State : The Idea of Sukhothai in Thai History 1833-1957.[8]  Ada menyebut  bahawa sejarah di zaman Ayudhya dan awal era Bangkok  menganggap Sukhothai bukannya kerajaan yang penting dalam  sejarahnya.  Sejarah di akhir zaman Ayudhya dan awal era  Bangkok  tidak pernah memberi penghormatan dalam penulisan  sejarahnya  terhadap Sukhothai, kerana Sukhothai pernah bersepakat dengan  kerajaan Hongsawati (Pegu) iaitu Myanmar untuk menyerang  Ayudhya pada kali pertama dalam tahun 1568. Di zaman tersebut  menganggap Sukhothai sebagai penderhaka.


Orang yang berperanan menonjolkan Sukhothai sebagai kerajaan  yang pertama dalam sejarah Thailand ialah Prince Dhamrong  Rajanubhap, Raja Rama IV dan Luang Wichit Wattakarn (penggubal dasar Siamisasi terhadap semua etnik minoriiti di Thailand). Beemer  menyebut pendapat Luang Wichit Wattakarn sebagai Ultra  Nationalist Historography, kerana menggunakan Sukhothai sebagai  lambang kegemilangan bangsa Thai tidak seperti Ayudhya dan  Bangkok yang dianggapnya berada dalam zaman kegelapan. Beliau  membangkit semangat ras Thai supaya kembali semula kepada  zaman kegemilangan itu.


Keraguan atas keaslian Prasasti Raja Ramkhamhaeng masih  diketengahkan. Jika terbukti bahawa Prasasti ini bukan ciptaan Raja  Ramkhamhaeng, ia bereti sejarah beberapa kerajaan Melayu di  Semenanjung Tanah Melayu yang ada kaitan dengan sejarah  Thailand mesti dibuat penilaian baru. Jika  Prasasti ini memang  ciptaan Raja Ramkhamhaeng, kita juga mesti membuat pentafsiran  baru kerana Thailand telah lama mendakwa bahawa  Kerajaan Sukhothai menakluki seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan  merujuk kepada Prasasti  Raja Ramkhamhaeng ini. Pendapat ini  selaras dengan tafsiran George Codes seorang ahli sejarah  berbangsa Yahudi yang pernah khidmat dengan Prince Dhamrong  Rajanubhap.

                   Buku Chom na sakdina Thai(Wajah Feudalis Thai)
Chit Bhumisakdi seorang ahli sejarah  Thailand yang terkenal telah  menulis dalam bukunya seperti  berikut:[9]


        b    “ Ahli sejarah biasanya menganggap bahawa 

                Empayar Sukhothai keluasannya ke selatan

                sampai ke  Johor, ini mustahil !  sebenarnya

                cuma Negeri Nakorn Sri Thammarat (Negara 

                Dharma Raja atau Legor)  sahaja yang berada di bawah 

                kekuasaan Sukhothai seperti prasasti (Ramkhamhaeng )

                mencatatkan  keluasan  di  sebelah  selatan  ke

                Nakorn Sri Thammarat seterusnya ke “Laut”.

                Yang dimaksudkan Laut di sini ialah  danau Singgora”


Sebuah lagi  prasasti Sukhothai yang dikenali dengan nama  Prasasti  Wad Srichum mencatatkan bahawa keluasan kawasan awal  Sukhothai ke sebelah selatan sampai hanya ke Rajburi dan Petburi  sahaja seperti tercatatnya      

                   “Sebelah selatan keluasannya sampai dua  ratus  ribu 

                     depa”[10]


Bagi  Amarhum Phaitoon  Che’ Hae, seorang lulusan sarjana dalam  bidang sejarah dari Universiti Silpakorn, Bankok mengatakan, jika  dikira jarak jauh sepanjang dua  ratus  ribu  depa  dari  Sukhothai, ia  hanya  mempunyai  keluasan ke  selatan  sampai  ke  Kuala  Teluk Siam di Samut Prakarn iaitu di pinggir Kota Bangkok.



[1] Malaysia  Kita , Institut  Tadbiran  Negara , Kuala  Lumpur ,1991 Muka  89

[2] Lihat  tulisan Sujit Wongtes dalam  majalah Culture  and Art pada November 1991  Muka

  232 dan tulisan Srisakara Valliphodom  dalam  majalah  Culture  and  Art  pada Februari 

  1985  Muka 60

[3] Michael Vickery, "The Ramkhamhaeng Inscription : a  Piltdown Skull of  Southeast Asia  

  History ?" Proceedings of the International Conference on Thai Studies, The Australia  

  National University, Canberra, 3-6 July 1987 : Vol. 1 Compiled by Ann Buller, Canberra ,

  Autralia National University, 1987  pp. 191-211

[4] Prince Chanchirayuk Rachani, Khrai Plorm Silachareuk Po Khun Ramkhamhaeng (Siapa

  memalsukan Prasasti Raja Ramkhamhaeng), Matichon Publication, 1990 Muka 51.

[5] Prince Chanchirayuk Rachani, Muka 22

[6] Dr. Piriya  Kraireuk, Chareuk Po Khun Ramkhamhaeng : Kan Wikrok Cheung Prawatisart Silpa

  (Prasati Raja Ramkhamhaeng : Analisis ala Sejarah Seni), Amrin Printing Group , 1989  Muka

  22-23 ,122-223

[7] Muk-Horm Wongtes, The Sound of Society and the fury of the Ivory Tower: Reflection on 

  The Ramkhamhaeng Controversy, Thesis MA, University of Cornell, muka 92-93  dan 98-99.  

[8] Michael Wright, Silacharuk Phokhun Ramkhamhaeng Khrai Plom(Prasasti Raja

  Ramkhamhaeng siapa memalsukannya), Majalah Culture and  Art , Disember 1999 Muka

  109.

[9] Sobsmai Srisutphan (Chit Bhumisakdi), Chom na sakdina Thai(Wajah Feudalis Thai),

  Chomrom nangseu Saeng Tawan , Bangkok, 1976  muka 130.

[10] Tanorm  Anamwattana, Prawattisat Thai juk korn Prawatisat thung sin Ayudhya (Sejarah

   Thailand Sebelum Sejarah sehingga aman Ayudhya) Bangkok:Srinakharintrawiroj University,

   1975, muka 62.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan