Ekonomi/Bisnis

Isnin, 29 Mei 2023

Kesan Dari Dasar Siamisasi Masyarakat Melayu Patani Terhadap Identiti Agama.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Setelah Kerajaan Thailand menjalankan dasar Siamisasi atau Asimilasi erhadap masyarakat Melayu Patani. Dapatlah kita lihat bagaimana kesan dari dasar Siamisasi itu ke atas masyarakat Melayu Patani khasnya kesan terhadap agama.


kita lihat kesimpulan yang Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani yang telah menyelidik kesan dasar tersebut terhadap agama. Kesan terhadap agama kitab oleh lihat melalui tesis MA belau yang diajukan kepada Universiti Malaya dengan Tajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.”  Isi kandungannya adalah seperti berikut :


Penduduk Melayu menerima sesetengah perubahan terhadap identiti kebudayaan, bahasa, sejarah dan pondok, namun begitu mereka tidak akan menerima perubahan terhadap identiti agama. Mereka akan mempertahankan dengan sedaya upaya untuk kelangsungan identiti agama yang merupakan teras kepada identiti-identiti lain. Puncak kemahuan penduduk Melayu di Patani adalah untuk menyempurnakan identiti agama.

Mengikut Akta Kewarganegaraan, orang Islam di Thailand berwarganegara Thai. Akta Kewarganegaraan 2508/1965 menyatakan bahawa “Mereka ini berwarganegara Thai melalui kelahiran; (1). Bapa berwarganegara Thai, sama ada dilahirkan di luar atau di Thailand. (2). Bapa bukan warganegara Thai, tetapi ibu berwarganegara Thai. (3). Mereka yang dilahirkan di Thailand.” (Kementerian Luar Negeri 1978: 6). Rakyat Thai mempunyai kebebasan beragama. Dalam perlembagaan Fasal 38  menyatakan bahawa “Individu mempunyai kebebasan dengan sempurna dalam memegang agama atau mazhab agama, dan berhak menjalankan ibadat atau upacara agama mengikut kepercayaan masing-masing. Dalam menggunakan hak tersebut, individu akan dilindungi supaya kerajaan tidak melakukan apa-apa yang mengurangkan hak-hak tersebut, jika tidak bertentangan dengan tugas sebagai rakyat dan keamanan atau moral yang baik” 


Dengan demikian, secara rasminya orang Melayu di Thailand berwarganegara Thai, dan mempunyai kebebasan dari segi keagamaan sama ada untuk mengamalkan upacara agama, menuntut kebebasan dalam perkara yang masih bercanggah dengan Islam atau menyebarkan agama Islam. Sistem pemerintahan demokrasi membolehkan penduduk Melayu pakai tudung di institusi pendidikan awam, termasuk di sekolah rendah dan juga gambar dalam kad pengenalan. Selain itu, orang Islam dapat menjalankan aktiviti-aktiviti agama dengan bebas. Dengan itu ceramah agama, gerakan Jamaah Tabligh dan sebagainya dijalan dengan bebas. Kegiatan tersebut menambahkan kesedaran dan pengtahuan keagamaan kepada penduduk Islam dan juga menyebarkan agama Islam kepada orang yang bukan Islam, seperti penyebaran agama yang pernah dijalankan terhadap penduduk Buddha di kawasan timur laut dan penduduk bukit di kawasan utara Thailand.

Walau bagaimanapun usaha menstabilkan dan menyatupadukan negara berbagai etnik adalah tindakan penting kerajaan zaman moden. Begitu juga di Thailand, dasar tersebut digunakan oleh setiap kerajaan. Institusi Raja, agama Buddha dan sistem kepegawaian kerajaan adalah tiga institusi utama yang berfungsi sebagai alat pengantaran. Setiap rakyat Thai di bawah satu Raja dan agama Buddha adalah simbol dan identiti kebudayaan kebangsaan, dan juga sebagai asas penyatupaduan rakyat. Sementara sistem kepegawaian kerajaan merupakan alat penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat berbilang bangsa, agama dan kebudayaan (Pitsuwan, S. 1982).


Masalah yang dihadapi oleh penduduk keturunan Melayu adalah apabila mengambil bahagian dalam pemerintahan kerajaan yang berasaskan agama Buddha (Buddhist Cosmology). Pentadbiran kerajaan dipenuhi oleh pegawai kerajaan Buddha, dan upacara-upacara rasmi yang berbentuk dan mempunyai isi kandungan Buddha. Paling penting ialah sistem kepegawaian kerajaan berkuasa dan mampu mengubah nilai dan norma masyarakat, kebudayaan dan agama supaya selaras dengan kehendak kerajaan. Oleh itu tindakan “integrasi nasional” (National Integration) adalah “pemecahan kebudayaan” (Cultural Disintegration) di sisi penduduk keturunan Melayu. Kerajaan tidak akan mendapat sokongan daripada kelompok etnik ini (Pitsuwan, S. 1984).


Meskipun pihak kerajaan tidak berhenti melaksanakan identiti nasional dan menyebabkan kerajaan berjaya mengubahkan sesetengah aspek daripada identiti bahasa, kebudayaan, sejarah dan pondok. Namun begitu agak sukar sekali atau tidak mungkin terjadi kalau hendak menyuruh penduduk Melayu menukarkan agama mereka kepada agama Buddha. Walaupun begitu, dasar kerajaan dan situasi zaman globalisasi dapat melalaikan sekelompok penduduk Melayu sehingga mereka menjauhi agama Islam. Bagi mereka yang langsung tidak ada asas agama atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan “Melayu baka”, mereka ini mungkin menukar agamanya kepada agama lain. Istilah “Melayu baka” adalah merujuk kepada mereka yang hanya mewarisi agama Islam daripada ibu bapa tetapi tidak tahu atau tidak mengamalkan apa yang diperintahkan Islam.

Dalam melaksanakan identiti nasional terhadap penduduk Melayu, sikap majoriti negara dan pemerintah adalah penting. Dasar tersebut akan terjejas sekiranya sikap negatif majoriti negara terhadap penduduk Islam berterusan. Sebagai contoh, panggilan “Khaek” (pendatang) yang masih digunakan oleh majoriti negara terhadap penduduk Islam adalah hasil daripada pemerintah yang tidak menanamkan persepsi dan pemikiran yang wajar kepada majoriti negara. Panggilan khaek telah menambahkan lagi perbezaan antara orang Islam dan golongan majoriti. Sedangkan rakyat Thai yang beragama Kristian seratus peratus dianggap Thai. Apa lagi apabila khaek membawa maksud menghina orang Islam, terutama penduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan yang status sebenarnya bukan tetamu atau pendatang, sebaliknya mereka adalah pemilik kawasan tersebut.

Dalam sejarah, dasar pemerintahan P.Phibulsongkhram adalah dasar yang banyak menggugat identiti Islam. Menurut Phaitoon Che’Hae (1979: 282), Wiratham perkara ke-4 dalam peraturan “Wiratham 14 Perkara” yang menyebut bahawa “Bangsa Thai menilai agama Buddha lebih tinggi dalam hidup mereka” telah memberi tekanan terhadap penduduk Melayu sehingga terdapat sesetengah mereka sanggup menukar agama kepada Buddha. Omar Farouk (1988) menceritakan bahawa dasar P. Phibulsongkhram mendatangkan kegelisahan terhadap penduduk Melayu sehingga Tengku Abdul Jalal bin Tengku Abdul Muttalib, ahli parlimen Narathiwat menghantar surat bantahan bertarikh 14 Februari 1944 kepada Perdana Menteri. Sebahagian daripada isi kandungannya berbunyi, “Pada tarikh 12 Januari 1944 gabenor wilayah Pattani telah memanggil semua pemimpin agama di daerah tersebut. Gabenor meminta pemimpin-pemimpin agama Islam supaya menghormati atau menyembah patung Buddha.” Walau bagaimanapun pihak kerajaan tidak menjalankan apa-apa tindakan, sebaliknya memberi jawapan bahawa tindakan tersebut adalah sah dan wajar. Sikap kerajaan pada waktu itu amat mengecewakan penduduk Melayu yang seterusnya mendatangkan sikap ketidakpercayaan terhadap kerajaan.

Dasar kerajaan yang berasaskan identiti nasional telah banyak mendatangkan masalah kepada penduduk Islam di Thailand. Keteguhan penduduk Melayu kepada agama Islam telah menyebabkan dasar kerajaan tidak memberi banyak kesan terhadap identiti agama kalau dibandingkan dengan identiti-identiti lain. Sekiranya penduduk Melayu terpaksa meninggalkan identitinya, identiti agama adalah tindakan terakhir dan tidak mungkin terjadi bagi majoriti penduduk Melayu kerana perbuatan tersebut adalah murtad atau jatuh agama.


Rujukan :

Pitsuwan, Surin (1982). Islam and Malay Nationalism: A case Study of the Malay Muslim of Southern Thailand. Ph.D. Thesis, Havard University, Massachusttes.


Pitsuwan, Surin (1984). Nguankhai Thang Karn Muang Thi Nam Pai Su Karn Lamurt      Sitthitmanusyachon Nai Changwat Chaidaen Phaktai. (Syarat Politik Yang Menyebabkan Masalah Peri Kemanusiaan di Wilayah Sempadan Selatan). Bangkok: Thammasat University.


Pitsuwan, Surin dan Staanan, Chawat (1984). Si Changwat Phaktai Kab Punha Sitimanusayachon. (Empat Wilayah Selatan dan Masalah hak Asasi). Bangkok: Thammasat University.


Paitoon Che’Hae, (1979). Nayobai Chatniyom Khong Prathed Thai (Dasar Nasionalisme Thailand). Tesis M.A., Srinakharintrawiroj University,Prasarnmit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan