Ekonomi/Bisnis

Rabu, 3 Mei 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Sejarah. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti Sejarah Pataninya. Oleh kerana kita akan bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti Sejarah. Sekali lagi kita lihat pandang Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani terhadap Identiti Melayu Patani : Identiti Sejarah. Kita lihat pandangannya melalui tesisnya yang bertajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa adalah seperti berikut :

Sejarah adalah zaman lampau bagi setiap masyarakat. Sejarah tidak akan bererti sekiranya sesuatu masyarakat dapat melupai zaman lampaunya sendiri, dan tidak ada mana-mana kelompok etnik pun yang dapat mengubahkan realiti sejarah sendiri, malahan lagi sejarah masyarakat lain. Masyarakat-masyarakat di dunia ini sama ada masyarakat Cina, Melayu, Negro, Yahudi, Perancis, masyarakat Amerika yang berketurunan Inggeris dan lain-lain masyarakat lagi, kesemuanya mempunyai kesedaran terhadap sejarah kelompok etnik masing-masing. Walaupun mereka mempunyai hubungan dengan sejarah negeri yang didiami, namun begitu mereka tidak akan melupakan sejarah kelompok etniknya sendiri (Suthasat, A. 1976: 105-106).


Begitu juga masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, sejarah kerajaan Melayu dicerita secara lisan, lebih-lebih lagi sejarah zaman kerajaan Melayu Patani. Kerana pada zaman itu terdapat banyak kesan-kesan lama yang masih dapat dilihat sehingga sekarang, contohnya masjid Gerisik yang menegak di tepi lebuh raya Pattani-Naratiwat, Masjid Teluk Manok, Masjid Raja Cabang Tiga, Masjid Tanjung Datok, Tempat menuang Meriam Besar,  makam-makam raja pemerintah Patani, makam Tok Panjang, makam-makam para ulama dan sebagainya.

 Kadang kala sejarah dicerita dalam bentuk lagenda, seperti cerita lagenda Tok Panjang yang melanggar perintah Raja yang akhirnya dihukum bunuh dan dibuang ke dalam sungai Parit. Apabila ditarik untuk mengebumikannya, mayat tersebut menjadi panjang, lalu makamnya lebih panjang daripada makam-makam biasa. Terdapat banyak lagi cerita yang terbenam dalam kenangan masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan. Cerita-cerita tersebut akan dicerita pula kepada anak cucunya kerana mereka dapat menghibur di samping mengetahui dan menikmati sejarah kegemilangan nenek moyangnya.


Golongan yang berpendidikan dapat mengetahui sejarah kerajaan Melayu daripada beberapa buah buku, sama ada buku sejarah karya orang Melayu sendiri, kajian sarjana orang Buddha di Thailand dan kajian orang asing. Beberapa buku yang mencerita tentang sejarah kerajaan Melayu yang bertapak di Patani seperti, Hikayat Patani (1970) oleh Teeuw, A & Wyatt (bahasa Inggeris dan Melayu), History of The Malay Kingdom of Patani (1985) oleh Ibrahim Syukri (versi Inggeri dan Melayu), Patani dahulu dan Sekarang (1977) oleh A. Bangnara (versi asalnya bahasa Thai), Pattani: Trade and Politics in The Past (1998) oleh Khrongchai Hatta (bahasa Thai) dan sebagainya.

Buku-buku ini boleh didapati di kedai atau perpustakaan yang berada di Thailand atau luar negara. Maklumat daripada bahan-bahan tersebut boleh dibandingkan dengan kesan-kesan sejarah sama ada kesan sejarah zaman Langkasuka yang berada di daerah Yarang dan zaman kerajaan Melayu Patani yang boleh dijumpai di merata tempat. Mereka juga dapat menghubungkaitkannya dengan kesan-kesan di luar Patani, seperti prasasti yang berada di Segenting Kera, kubu pertahanan yang berada di wilayah Songkhla dan sebagainya. Buku-buku sejarah kerajaan Melayu dan kesan-kesan lama juga merangsangkan untuk mengetahui tentang kerajaan Melayu lain seperti kerajaan Ligor, Senggora, Phatalung dan kerajaan-kerajaan Melayu yang berpengaruh di Nusantara seperti Sriwijaya, Majapahit, Melaka, Pahang dan Kelantan yang pernah bergabung dengan Patani.


Buku-buku tersebut tersebut telah membuktikan bahawa di kawasan wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian daripada Songkhla sekarang pernah mempunyai kerajaan tersendiri. Kerajaan yang pernah menjadi pusat perdagangan, pendidikan agama dan kebudayaan. Dalam sejarah Patani telah menceritakan tentang perjuangan Raja-raja dan rakyatnya pada zaman lampau untuk mempertahankan tanah kelahirannya daripada musuh yang selalu mengancam Patani, dan berbagai cerita lagi yang membanggakan penduduk Melayu Patani terhadap sejarahnya.

Menurut Bunnaq, Piyanat (2003: 29-40), Patani dalam sejarah Thailand agak berbeza daripada sumber sejarah karya penulis Melayu. Sebagai contoh, sejarah Thailand menyebutkan bahawa Patani menjadi negeri di bawah naungan Thailand sejak zaman Sukhothai lagi. Beberapa kali pemimpin dan rakyat Patani menentang Siam, tetapi dianggap oleh pihak kerajaan sebagai pemberontakan, sementara pihak Melayu pula menganggap sebagai perjuangan untuk mendapatkan kebebasan dan kedaulatan. Mengikut beliau, anggapan seperti ini adalah suatu kebiasaan apabila dilihat dari aspek persepsi negeri jajahan dan negeri di bawah naungan. Walau bagaimanapun kebanggaan terhadap sejarah Patani dan kesedaran terhadap kebebasan Patani pada zaman lampau telah menunjukkan reaksi penduduk tempatan terhadap Bangkok.


Perasaan ini juga berterusan selepas Siam menukarkan sistem pemerintahan kepada demokrasi. Keadaan seperti ini telah menyebabkan penduduk Melayu merasai dirinya bukan puak kerajaan. Beliau telah memberi tanda tanya bahawa, dalam menentukan dasar-dasar terhadap peduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, adakah kerajaan telah meneliti atau memahami aspek kekuatan identiti sejarah dengan baik.

Sejarah adalah sauh kepada tradisi kebudayaan Melayu Patani. Kesan-kesan lama, tokoh-tokoh zaman dahulu yang terkenal dan buku-buku sejarah berperanan untuk mengenalkan diri mereka. Faktor-faktor ini telah menyebabkan sejarah masih hidup dalam fikiran mereka. Oleh itu agak sukar untuk memaksa supaya mereka melupakan sejarah kelompok etnik mereka sendiri kerana setiap kelompok etnik tidak akan melupakan sejarah masyarakat sendiri. Usaha untuk mengkaji dan memahami sejarah antara satu sama lain adalah salah satu pendekatan untuk mengelak daripada perpecahan dalam masyarakat majmuk.


Rujukan :

Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit – Patchuban (Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom  Saengthearn.


___________ (1977). Patani dahulu dan sekarang. Patani : Penal Penyelidikan Angkatan al-Patani.


Bunnaq, Piyanat (2003). Nayobai Karn Pokkhrong Khong Rattabarn Thai To Chao Thai Muslim Nai Changwad Chaidean Phak Tai (2475-2475). (Dasar Pemerintahan Kerajaan Thailand Terhadap Orang Islam di Wilayah Sempadan Selatan 1932-1976). Bangkok : Chulalongkorn University.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Suthasat, Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si Changwat Phaktai.  (Masalah Pertelingkahan di Empat Wilayah Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.


_____________ (1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn University.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan