Ekonomi/Bisnis

Isnin, 1 Mei 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Agama

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Agama. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Agama” ini kita boleh lihat bagamana identity Melayu Patani khususnya identity agama melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. An sekarang Sdr Zawawee Pakda Ameen bertugas di di Prince of Songkla University Kampus Pattani. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Agama adalah seperti berikut :

Agama adalah identiti terpenting bagi setiap kelompok etnik. Agama boleh membezakan antara satu sama lain dan agama dapat menyatupadukan masyarakat, walaupun anggota dalam masyarakat tersebut berlatar belakang daripada etnik yang berlainan. Agama akan mempengaruhi atau menentukan identiti-identiti dalam kelompok etnik dan agama juga merupakan unsur yang penting dalam hubungan antara etnik.


Agama Islam berbeza dengan agama-agama lain. Peranan agama Islam bukan hanya mempengaruhi identiti-identiti lain dalam kelompok etnik, tetapi agama Islam telah menentukan setiap tingkah laku dan kepercayaan manusia. Ajaran agama Islam merangkumi setiap bidang ilmu di dunia ini, sama ada ilmu sains, sains sosial, kemanusiaan, ekonomi, peradaban dan lain-lain. Setiap kelakuan dan pemikiran manusia dikawal oleh agama Islam. Penganut agama Islam mesti mematuhi setiap perintah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu orang Islam tidak boleh mengamalkan apa saja yang bertentangan dengan agama Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus... .”


  (Surah al-Bayyinah 98 : 5)


Agama telah memberi identiti keagamaan kepada etnik tertentu. Identiti agama adalah kemuncak yang penganut Islam di seluruh dunia sanggup mempertahankan sehabis-habisnya, walaupun orang Islam di kawasan tersebut berstatus sebagai etnik majoriti seperti Malaysia atau etnik minoriti seperti di Thailand atau Cina. Penganut Islam akan menyesuaikan unsur-unsur asing dengan kebudayaan asal yang dianggap tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah rasulullah s.a.w.


Pengaruh Islam di Patani juga membezakan antara kelompok etnik dalam setiap segi dengan ketara. Panggilan sesuatu kelompok juga berbeza dan membawa erti tersendiri bagi setiap kelompok etnik. Contohnya istilah “Orang Melayu” yang digunakan di dalam masyarakat Melayu di Thailand adalah bermaksud orang Islam. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1991) menyatakan bahawa kesan perjalanan sejarah telah menjadikan nama Melayu sebagai identiti kelompok beragama Islam dan berbeza dengan orang yang masih lagi beragama tradisi atau animisme.

Oleh itu istilah “masuk Melayu” dalam masyarakat Melayu Patani adalah memeluk agama Islam. Perkataan “orang Melayu”, “orang Siam” dan “orang Thai” digunakan dalam situasi yang berbeza dan memberi makna atau perasaan yang berlainan. Apabila berinteraksi sesama Melayu, mereka akan memanggil dirinya “orang Nayu” atau “orang Melayu”. Mereka akan merasai tidak senang hati atau marah apabila dipanggil “Orang Siam” kerana dalam masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan, orang Siam digunakan untuk kelompok majoriti negara iaitu orang yang beragama Buddha. Sementara “orang Thai” pula digunakan dalam situasi rasmi kerajaan yang merujuk kepada semua rakyat Thailand termasuk kelompok etnik Melayu, untuk menunjukkan bahawa secara rasminya mereka berbangsa Thai dan berwarganegara Thai.

Oleh yang demikian, setiap perlakuan etnik Melayu mesti diselaraskan dengan tuntutan agama Islam. Di Wilayah Sempadan Selatan, setiap identiti Melayu sama ada identiti bahasa, identiti kebudayaan, identiti sejarah atau identiti pondok berasaskan agama Islam. Jika terdapat diantaranya bercanggah dengan agama Islam, maka tidak akan diterima oleh masyarakat Melayu di Wilayah Sempadan Selatan dan dipandang sebagai  suatu keganjilan oleh masyarakat.


Rujukan:

Ensiklopedia sejarah dan kebudayaan Melayu.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka , 1991.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan