Ekonomi/Bisnis

Ahad, 30 April 2023

Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Identiti Melayu Patani khusus kepada Identiti Bahasa. Dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” ini kita boleh lihat apakah dan bagaimana identit Melayu Patani khususnya identiti Bahasa Melayunya. Kali ini kita bicara Identiti Melayu Patani khususnya Identiti Bahasa. dengan tajuk “Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa” melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuk tesisnya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Sdr Zawawee Pakda Ameen pernah menjabat sebagai Ketua Jurusan Pengajian Melayu di Prince of Songkla University Kampus Pattani. Sekarang Jurusan Pengajian Melayu bergabung dengan Jurusan Bahasa Melayu menjadi Jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu. Isi kandungan Identiti Melayu Patani : Identiti Bahasa adalah seperti berikut :

Bahasa Melayu adalah satu lagi identiti yang dapat dilihat dengan jelas dan membezakan identiti penduduk minoriti dengan identiti penduduk majoriti. Orang yang bercakap bahasa Melayu dialek Patani dengan baik dihipotesis bahawa mereka adalah orang Islam. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Patani tidak dapat diasingkan dengan orang Melayu kerana merupakan harta warisan turun temurun daripada nenek moyang mereka. Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang mereka boleh bercakap dan mereka menggunakan bahasa ini sebagai bahasa pengantar untuk mempelajari ilmu agama yang merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam. Sementra ilmu agama boleh dipelajari dari institusi keluarga, sekolah tadika, masjid, pondok dan madrasah. Oleh itu bahasa Melayu di Patani tidak akan terhakis sekiranya anak cucunya masih berpendidikan Islam.


Bahasa adalah satu sistem bunyi yang arbitrari yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi (Nor Hisham Osman 2002: 1). Kebudayaan itu hidup atau boleh diamalkan kerana adanya bahasa sebagai alat komunikasi. Sebenarnya bahasa merupakan sebahagian daripada kebudayaan. Selalunya orang yang menggunakan bahasa yang berbeza akan memiliki kepercayaan dan cara hidup berlainan, atau boleh dikatakan bahawa bahasa itu boleh menentukan kelompok etnik. Bahasa lebih istimewa daripada kebudayaan lain kerana pengucapan budaya melalui bahasa. Melalui bahasa kita dapat memahami zaman lampau, zaman sekarang dan akan datang. Bahasa membolehkan kita memahami orang lain dan melalui bahasa juga kita berinteraksi dan menukar fikiran antara satu sama lain (Suthasat, A. 1976: 144-145).

Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan oleh majoriti penduduk di Wilayah Sempadan Selatan dan merupakan bahasa kebangsaan negara  Malaysia, Indonesia dan Brunei. Mengikut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (1996: 5-7),  Bahasa Melayu adalah satu daripada kira-kira 200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga bahasa Austronesia. Penutur asalnya ialah mereka yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau, dan di Sumatera.


Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) di Nusantara berzaman-zaman. Bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk pendatang asing, seperti pedagang-pedagang dan pengambara-pengembara dari Eropah, Asia Barat, India dan Cina. Dalam tulisan Cina pada antara tahun 644 dan 645 yang menyebutkan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negeri Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina, adalah bukti terawal yang menyatakan bahawa terdapat kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan. Sementara bukti konkrit pertama mengenai bentuk dan sifat bahasa Melayu terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang bentuk dan susunan tulisannya dapat dikatakan bahasa Melayu.

Mengikut Prachonpacchanuk, P. (1973: 34-35), pada sekitar tahun 1973, kebanyakan penduduk Melayu di Wilayah Sempadan Selatan kecuali wilayah Setul dan Songkhla, tidak boleh bercakap bahasa Thai. Mereka yang boleh berbahasa Thai pula lebih suka menggunakan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila berinteraksi sesama mereka. Suthasat, A.  (1982: 20-21) menghuraikan bahawa bahasa Melayu telah sebati dengan struktur masyarakat dan pemikiran penduduk Melayu di Patani. Bahasa Melayu dijumpai dalam bentuk peribahasa, sastera, simbol-simbol, filsafah kehidupan dan semua nama-nama, adalah berhubung kait dengan bahasa Melayu.


Oleh itu tidak boleh sama sekali memaksa mereka meninggalkan bahasa Melayu kerana perbuatan tersebut sama seperti meninggalkan semua identiti. Dengan sebab ini juga mereka memanggilkan dirinya orang Melayu. Pengakuan seperti ini adalah cara menunjukkan identiti etnik yang paling selesa. Agak sukar juga bagi penduduk Melayu yang tidak berpendidikan untuk memahami pengertian bangsa. Cara yang paling senang untuk menunjukkan bahawa siapa mereka itu adalah bahasa yang digunakan seharian.

Bahasa Melayu melalui tulisan Jawi telah menjadi perantara untuk penyebaran agama Islam di Wilayah Sempadan Selatan. Penduduk Melayu menggunakannya sebagai bahasa bertutur untuk pendidikan agama Islam sama ada di rumah, masjid, pondok dan lain-lain majlis pengajian agama. Kebanyakan buku-buku agama juga ditulis dengan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Fraser Thomas, M. (1960: 16) telah menghuraikan tentang penggunaan bahasa penduduk Melayu Patani bahawa “Everything that is written in Malay is in the Standard Malay using Jawi (modified Arabic) characters”.


Mereka menggariskan Tulisan Jawi sebagai tulisan kedua yang mesti dihormati, selain tulisan Arab. Menurut Suthasat, A. (1976: 148), terdapat sesetengah penduduk Melayu menganggap bahawa bahasa Melayu tulisan Jawi adalah bahasa agama yang mesti dihormati dan tidak boleh diletak di tempat rendah atau melangkahnya.


Bahasa Melayu Dialek Patani juga dituturkan oleh peniaga-peniaga Cina dan India yang berniaga di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat. Mereka dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik, di samping itu terdapat juga yang mengamalkan sesetengah adat dan kebudayaan Melayu. Pada 29 Disember 2003, pengkaji pergi membeli kain sarong di sebuah kedai orang Cina di bandar Yala. Di kedai tersebut ada dijual pakaian, termasuk pakaian Melayu. Pengkaji mendapati bahawa kedua-dua orang penjual Cina memakai kain sarong.


Mereka dapat bercakap bahasa Melayu Dialek Patani dengan baik, apa yang menarik ialah apabila membayar duit, penjual Cina itu memberi kain serta angkat lafaz jual beli dengan perkataan “jual” yang difahamkan tentang kebudayaan Melayu sebagai lafaz akad jual beli. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu amat penting bagi peniaga-peniaga di kawasan ini. Bahasa Melayu dapat menambahkan keuntungan dan membolehkan perniagaannya berlangsung.

Begitu juga dengan pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan yang bertugas di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat yang boleh bercakap bahasa Melayu dapat berkhidmat dengan baik dan lebih memahami kebudayaan penduduk tempatan. Sekarang tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat banyak lagi orang Melayu yang tidak boleh bertutur bahasa Thai, terutama golongan tua yang berumur sekitar 50 tahun ke atas.


Selalunya golongan yang tidak tahu bahasa Thai akan menghadapi berbagai masalah apabila mereka pergi membuat urusan di pejabat-pejabat kerajaan, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan pegawai yang tidak pandai bahasa Melayu. Kadang-kadang prosesnya menjadi lambat dan kadang-kadang menyebabkan urusannya gagal dan mesti mencari pembantu yang boleh berbahasa Thai. Keadaan seperti ini menyebabkan mereka terasa segan dan mengasingkan diri daripada kerajaan. Hasil daripadanya juga amat bercanggah dengan dasar kerajaan Thailand yang berusaha untuk menyatupadukan rakyatnya.  


Identiti amat penting untuk berinteraksi antara ahli dalam etnik dan juga antara kelompok etnik. Identiti-identiti lain tidak akan bergerak sekiranya tidak ada bahasa. Melalui bahasa dapat menyatupadukan etnik dan juga sebaliknya. Bahasa amat perlu bagi setiap kelompok etnik untuk membezakannya dengan kelompok etnik lain, dan bukan setiap kelainan akan membawa kepada perpecahan. Kelainan dalam sesuatu negara juga dapat menjadi alat untuk pembangunan dan kestabilan negara.


Rujukan :

Fraser Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand. New York : Cornell University Press.


Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (1996). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Nor Hisham Osman (2002). Sosiolinguistik dan Kepelbagaian Bahasa. Selangor : Al-Hikmah Sdn. Bhd.


Fraser Thomas, M. (1960). Rusembilan : A Malay Fishing Village in Southen Thailand. New York : Cornell University Press.


_______________ (1966). Fisherman of South Thailand: The Malay Village in Southern Thailand. New York : Holt, Rinehart and Winston.


Suthasat, Arong (1976). Panha kwam Khatyaeng Nai Si Changwat Phaktai.  (Masalah Pertelingkahan di Empat Wilayah Selatan). Bangkok : Phitak Pracha.


_____________ (1981). “Klumchatpun”. (Klompok Etnik). dlm. Dokumen kursus Sosial dan Kebudayaan, hlm. 68-91. Bangkok : Fakulti Sains Politik, Chulalongkorn University.


_____________ (1982).“Itiphol Khong Sasna Lae Wattanatham To Panha Si Changwat Phaktai”. (Pengaruh Agama dan Kebudayaan Terhadap Masalah di Empat Wilayah Selatan). Warasarn Karn Suksa Haengchat. 16 (Mac) : 20-21.


_____________ (1986). Phanha Karn Muang Suan Phumipark Lae Chon Klumnoy. (Masalah Politik Tempatan dan Klompak Etnik Minoriti). Bangkok : Sukhothaithammathirach University.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan