Ekonomi/Bisnis

Jumaat, 28 April 2023

Negeri Patani di Zaman Raja-raja Perempuan

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang sejarah Patani. Dengan tajuk “Negeri  Patani di Zaman Raja-raja Perempuan” Dan kita bicara sejarah Patani dengan tajuk “Negeri  Patani di Zaman Raja-raja Perempuan” melalui tesis sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani adalah seperti berikut :


Selepas peristiwa pertumpahan darah dalam istana, Patani berturut-turut diperintah oleh empat orang raja perempuan. Raja-raja perempuan yang memerintah Patani bermula dengan Raja Hijau (1584-1616), Raja Biru (1616-1624), Raja Unggu (1624-1635) dan berakhir dengan Raja Kuning (1635-1686). Zaman pemerintahan ratu-ratu inilah merupakan zaman keemasan Patani.


Pada zaman pemerintahan Raja Hijau, orang barat sudah meluaskan perdagangannya ke dunia timur. Waktu ini Portugis sudah mengalahkan Melaka dan Sepanyol mulai bertapak di Filipina. Pada zaman ini, Patani banyak membuat perhubungan perdagangan dengan bangsa asing. Pada tahun 1592 baginda berkenan menerima mengadap wakil kerajaan Jepun yang memohon untuk melakukan hubungan perdagangan secara rasmi. Pada tahun 1602 pula, baginda membenarkan orang Belanda mendirikan loji perdagangan di Patani. Bangsa Sepanyol pula datang berniaga pada tahun 1605 dan pada tahun 1612, Patani melakukan perjanjian perdagangan dengan Inggeris (Ahmad Fathy al-Fatani 2001: 19-20).

Setelah beberapa lama Patani menikmati kemakmuran, percubaan penyerangan pertama kali oleh Siam ke atas Patani berlaku pada tahun 1603. Angkatan dari Ayuthia ini diketuai oleh Upya Deca yang menerima perintahan daripada Raja Phra Naresuan untuk menakluk Patani. Walau bagaimanapun serangan pertama ini telah dipatahkan dengan bantuan peniaga-peniaga di Patani termasuk orang-orang Eropah (Ibrahim Syukri 2002 : 44-45)


Apabila Raja Hijau mangkat pada tahun 1616, Raja Biru yang masa itu berusia 50 tahun menggantikannya. Pada masa pemerintahan baginda terdapat khabaran bahawa Raja Siam sedang mengadakan angkatan perang yang besar untuk menyerang Patani. Dalam keadaan yang amat membimbangkan ini, baginda telah mencadangkan untuk membuat seberapa banyak meriam besar. Tukang yang membuat meriam ialah “Tok Khiam” seorang bangsa Cina yang memeluk Islam. Beliau juga dilantik menjadi penjaga cukai di Kuala Patani. Setelah beberapa banyak tembaga yang dihimpun mencukupi, pekerjaan membuat bedil meriam dijalankan. Beberapa bulan kemudian, tiga pucuk meriam dapat disiapkan. Dua pucuk meriam yang besar, baginda menamakan meriam Seri Negara dan Meriam Seri Patani. Sementara sepucuk lagi dinamakan meriam Maha Lela . Ketiga-tiga pucuk meriam ini dijadikan alat senjata peperangan utama dalam angkatan peperangan pada masa itu.


Beberapa peristiwa mengenai tempat bersejarah yang masih wujud pada masa ini juga berlaku pada zaman pemerintahan Raja Biru. Saudagar Minangkabau bernama Saudagar Gombak bersama khadamnya, Abdul Mukmin dibunuh dan dibuang ke laut di Kuala Ra kerana melanggar perintah baginda dengan menjual tembaga kepada saudagar dari Melaka. Pada masa itu baginda mengharamkan jualan atau kiriman tembaga keluar negeri. Mayat kedua itu kemudian dikebumikan di kampung Tanjung Datok. Sekarang kubur mereka dikenali dengan kubur Tok Panjang. Tempat menuang meriam kini terletak di tepi lebuh raya tidak jauh dari telaga Hang Tuah dan masjid Gerisik. Sementara bedil Meriam Seri Patani, kini ditempatkan di hadapan Kementerian Pertahanan di Bangkok.

Apabila Raja Biru mangkat, adindanya Raja Unggu yang menjadi isteri Sultan Pahang menaiki takhta memerintah Patani. Beberapa tahun kemudian utusan daripada seorang putera raja Johor (Yang Dipertuan Muda Johor) yang memerintah negeri Terengganu datang untuk minta meminang Rajanya dengan Raja Kuning, putri Raja Patani. Apabila pinangan itu diterima, Yang Dipertuan Muda Johor bersama seorang menterinya, Encik Idris dan disertai tiga ribu rakyat datang ke Patani.

Dalam persiapan untuk majlis perkahwinan tiga bulan, rakyat yang dibawa oleh Yang Dipertuan Muda Johor sempat membantu Patani menahan serangan Siam dua kali iaitu pada tahun 1632 dan 1633-1634. Kedua-dua serangan yang diketuai oleh Upya Deca dapat dipatah oleh Patani kerana pada masa itu senjata-senjata yang disediakan oleh Raja Biru dahulu termasuk tiga pucuk meriam besar menyebabkan Patani lebih kuat. Sementara angkatan Belanda yang sanggup membantu Siam menyerang Patani juga tidak datang pada peperangan kali pertama dan datang lewat pada peperangan kali kedua.


Dalam tahun 1635 Raja Unggu mangkat dan anakanda baginda, Raja Kuning dilantik memerintah Patani. Raja Kuning adalah Raja Patani pertama yang menjalankan perniagaan sendiri di luar negeri. Baginda telah mengadakan sebuah kapal perniagaan dan melantik seorang kapten untuk menguruskan perniagaan. Kapten itu telah dinamakan Saudagar Raja (Ibrahim Syukri 2002 : 56-59).


Pada tahun 1641, baginda berkunjung ke Ayuthia untuk memperbaharui hubungan Patani-Siam. Selepas kujungan baginda, Patani aman beberapa waktu sambil menikmati zaman emasnya. Pada masa itu Patani menjadi sebuah negara yang sangat berpengaruh antara kerajaan negeri-negeri Melayu (Ahmad Fathy al-Fatani 2001: 24). Raja kuning adalah Raja perempuan terakhir memerintah negeri Patani. Kemangkatan baginda telah berakhirlah Raja Patani keturunan Raja Seri Wangsa.


Ada sedikit perbezaan mengenai salasilah Raja-raja atau dinasti awal yang membuka negeri Patani. Perbezaan itu dapat dilihat berdasarkan dua sumber utama iaitu sumber Hikayat Patani oleh Teuuw & Wyatt dan sumber Sejarah Kerajaan Melayu Patani oleh Ibrahim Syukri. Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui rajah-rajah seperti berikut:

         Rajah 1 :  Salasilah Raja-raja Patani Menurut Sejarah Kerajaan Melayu Patani.


Sumber: Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

           Rajah 2.:  Salasilah Raja-raja Patani Menurut Hikayat Patani.


Sumber: Diubahsuaikan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2001). Pengantar Sejarah Patani. Kota Baharu : Pustaka Aman Press.


Ruukan :


Ahmad Fathy al-Fatani (2001). Pengantar Sejarah Patani. Kota Bharu : Pustaka Aman Press Senderian Berhad.


Ibrahim Syukri (1985). History of The Malay Kingdom of Patani. Athens : Ohio University.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan