Ekonomi/Bisnis

Isnin, 24 April 2023

Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan


Kali ini kita bicara tentang sejarah Patani. Dengan tajuk “Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani” Dan kita bicara sejarah Patani dengan tajuk “Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani” melalui tesis sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan Kerajaan Melayu Sebelum Kerajaan Islam Patani adalah seperti berikut :

Sumber-sumber awal tentang bumi semenanjung Melayu banyak ditemui, terutamanya dari sumber tradisi Cina. Usaha perdagangan antara benua India dan Cina selepas abad pertama masihi menyebabkan muncul bandar-bandar perdagangan kecil dan berkembang menjadi negara kota. Penegasan Paul Wheatley telah meningkatkan lagi keyakinan kewujudan negeri-negeri Melayu purba di sekitar utara Semenanjung Melayu yang disebut dengan Tun-Sun, Kolo, P’an-P’an, Chih-t’u, Tambralingga, Kataha dan Langkasuka (Mohd Zamberi A. Malik, 1993). Berikut akan disentuh sedikit tentang kerajaan Melayu sebelum kerajaan Islam yang bertapak di Patani iaitu Langkasuka.

1. Langkasuka

Kebanyakan sarjana berpendapat bahawa kawasan Pattani sekarang pernah menjadi sebahagian daripada Langkasuka. Langkasuka adalah kerajaan Melayu purba zaman awal masihi yang terdapat dalam sumber Cina, India, Arab, Jawa, Melayu dan sumber Barat (Chiwasat, Wasan 1990: 29). Menurut catatan Cina semasa pemerintahan Dinasti Liang (502-556) menyatakan bahawa Langkasuka ditubuhkan pada sekitar hujung abad pertama atau di sekitar tahun 80-100.


Dalam Hikayat Merong Maha Wangsa menyatakan bahawa Langkasuka terbahagi kepada dua bahagian iaitu di negeri Kedah dan di sebelah timur Kedah. Bagaimanapun tiada bukti yang kuat dapat menyokong bahawa Langkasuka terletak di negeri Kedah (Seni Madakakul 1974: 23). Penyebutan tentang Langkasuka yang terdapat dalam Hikayat Merong Maha Wangsa adalah seperti berikut:


“...lalu bertemulah dengan tanah bumi yang baik terlalu indah tempatnya dengan tanahnya menjadi tiadalah turun ke bahteranya kita membuat kota istana dengan balainya yang terlalu amat besarnya lagi dengan indahnya. Setelah sudah balai itu dinamakan akan dia Langkasuka.”


Sumber yang berjudul Liang Shu pada zaman Dinasti Liang menyebut bahawa kerajaan Lang-ya-hsiu terletak di laut Cina. Keluasan Lankasuka adalah 30 hari berjalan kaki dari timur ke barat dan 20 hari berjalan kaki dari utara ke selatan. Kedudukan Langkasuka berada di jarak sejauh 24,000 li dari pelabuhan Canton. (Wheatley 1961: 253-254). Dengan ini dianggarkan jajahan empayarnya meliputi negeri Singgora, Patani, Kelantan, Terengganu, sebahagian dari utara Kedah dan hulu Perak.

Mengenai agama yang dianuti oleh penduduk Langkasuka, dipercayai mereka menganuti kepercayaan animisme. Selepas itu menerima pengaruh daripada agama Hindu-Buddha yang mengubah kepercayaan, kebudayaan, tamadun dan sosio-politik penduduknya (Mohd Zamberi A. Malek 1993 : 6-7). Berkenaan dengan agama dan pusat pemerintahan kerajaan Langkasuka dapat dibukti lebih jelas setelah menjumpai kesan kota Langkasuka yang mempunyai berpuluhan candi di daerah Yarang, wilayah Pattani (Quaritch Wales, H.G. 1974).


Nama Langkasuka dikenali dengan berluasa setelah kerajaannya mengutuskan duta dan wakil perdagangan ke Cina untuk membuat perhubungan diplomatik. Kedudukan yang strategik juga menyebabkannya menjadi pelabuhan terpenting yang dikunjungi ramai pedagang asing (Teeuw and Wyatt 1970 : 1-2). Langkasuka berperanan sebagai maritime dan enterport barang-barang dagangan India-Cina.


Perhubungannya dengan Cina begitu meningkat sekali pada zaman Dinasti T’ang. Pada zaman ini kapal-kapal dagang sering belayar berulang-alik. Kawasan ini menjadi tumpuan utama ekonomi dan geo-politik jika dibanding dengan kawasan lain di Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun kerajaan Langkasuka tidak putus-putus dijajahi oleh kuasa luar. Pada awalnya dilanggar oleh kekuatan kerajaan Funan di bawah raja Fan Shih Man (220-420M). Langkasuka dapat memulihkan kedudukannya apabila Funan mengalami keruntuhan pada abad ke-6. Pada tahun 775 kerajaan Langkasuka serta negara-negara kota di semenanjung terletak di bawah naungan kerajaan Melayu Sriwijaya. Pada waktu ini bahasa Melayu Sanskrit yang ditulis dengan huruf India dan agama Buddha-Singhalese mempengaruhi rakyat Langkasuka.


Dalam tahun 1025, Langkasuka diserang oleh raja Rajendra Chola I dari India dalam ekspedisinya menyerang Palembang ibu kota kerajaan Sriwijaya. Menjelang tahun 1275, Majapahit berjaya menguasai negeri-negeri Melayu Semenanjung dan sekitar tahun 1345, seluruh Semenanjung hingga ke Temasik dikuasai oleh Siam.


Ada nama yang berlainan mengikut sumber masing-masiang mengenai Langkasuka. Selain Lang-ya-hsiu, disebut juga dengan Lang-ya-hsu, Lang chia shu, Lang-hsi-chia, Lang-hsi-ka dan Lang-sai-ka dari sumber Cina. Dalam sumber India memanggil Ilangasoka, sementara sumber Arab yang terdapat dalam kitab Al-Minhaj al-fakhir fi’ilm al-bahr al-zakhir memanggil Langkashuka (Mohd Zamberi A. Malek 1993 : 1-13). Bagaimanapun pada awal abad ke-15, nama kerajaan Langkasuka hilang dari catatan asing dan muncullah kerajaan Patani.


Rujukan : 

Chiwasat, Wasan (1990). “Langkasuka Kota Mahligai Patani”, Rusamilae. (Januari-April) hal.28-36.


Quaritch Wales, H.G. (1974). Langkasuka and Tambralinga : Some Archaeological  Notes. JMBRAS, Vol. 47.


Madakakul, Seni (1974). “Rach Anachak Langkasuka Yu Thi Nai”. (Di manakah  Langkasuka). dalam Rusembilan. 3 (Mac-April), Prince of Songkhla University, Pattani.


Mohd Zamberi A. Malek (1993). Umat Islam Patani : Sejarah dan Politik. Shah Alam: Hizbi.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


Wheatley, Paul (1961). The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: University Malaya Press.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan