Ekonomi/Bisnis

Sabtu, 29 April 2023

Negeri Patani dibahagi-bahagikan Menjadi 7 Negeri Kecil.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang sejarah Patani. Dengan tajuk “Negeri Patani dibahagi-bahagikan”. Itu adalah scenario perubahan status Negeri Patani dari sebuah negeri merdeka kepada sebuah negeri vassal. Dan kemudian kuasa Siam telah membahagikan 1 negeri Patani kepada 7 negeri kecil Patani. Kali ini kita bicara sejarah Patani dengan tajuk “Negeri Patani dibahagi-bahagikan” melalui tesis Sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Sdr Zawawee Pakda Ameen pernah menjabat sebagai Ketua Jurusan Pengajian Melayu di Prince of Songkla University Kampus Pattani. Sekarang Jurusan Pengajian Melayu bergabung dengan Jurusan Bahasa Melayu menjadi Jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu. Isi kandungan Negeri Patani dibahagi-bahagikan adalah seperti berikut :


Setelah Siam dapat mengalahkan Patani, pihak kerajaan Siam telah melantik Tengku Lamiddin menjadi Raja Patani. Pemerintahan Patani pada masa ini tertakluk di bawah pesuruhjaya Siam di Ligor. Sebagai tanda taat setia, Patani juga mesti menghantar ufti bunga emas ke Bangkok.


Apabila keadaan di Patani kembali pulih, Tengku Lamiddin mula mengatur strategi untuk melawan dengan Siam. Baginda menghantar utusan kepada Raja Ong Ching Su, seorang Raja Anam untuk meminta supaya menyerang Siam disebelah utara, manakala baginda sendiri akan menyerang dari pihak selatan. Walau bagaimanapun permintaan itu tidak dipenuhi dan surat itu kemudian dihantarkan kepada Raja Siam. Sekali lagi peperangan tradisi telah berulang. Pertempuran kali ini berlanjutan sehingga tiga tahun dan akhirnya Patani yang ibu kota barunya di Prawang jatuh pada 1791. Tengku Lamiddin ditangkap dan dihukum bunuh.


Selepas itu pihak Siam melantik Datok Pengkalan sebagai pemerintah Patani dan melantik seorang pembesar Siam, Laksamana Dajang menjadi pengawal keselamatan negeri. Dalam pentadbiran selalu berlaku pertelagahan antara Datok Pengkalan dengan orang-orang Siam. Akhirnya pada tahun 1808, pertelagahan mencapai puncaknya dan tercetus pula peperangan Patani-Siam. Sekali lagi Patani menyerah dan Datuk Pengkalan mati dalam pertempuran.


Berdasarkan pengalaman yang telah dilalui, kerajaan Siam kemudiannya melantik orang Siam memerintah Patani. Nai Khuan Sai menjadi Raja Patani dan diikuti dengan adiknya Nai Phai. Perbalahan dan pertumpahan darah antara orang Melayu dan Siam juga sering berlaku pada tempoh ini. Akhirnya Nai Phai melaporkan mengenai perkara ini ke Bangkok (Ahmad Fathy al-Fatani 2001: 52-58).

Laporan itu menyebabkan pihak Siam bertindak menjalankan dasar pecah dan perintah (Divide and Rule). Tindakan mengubah sistem pemerintahan pada tahun 1815 itu telah memecahkan Patani kepada tujuh negeri kecil iaitu: Patani, Nongcik, Yaring (Jambu), Saiburi (Teluban), Jala (Jalur), Raman dan Rangae (Legeh).


Kerajaan Siam telah melantik Raja-raja bagi setiap negeri kecil itu. Pemerintah-pemerintah tersebut ialah: Tuan Sulong (Raja Patani), Tuang Nik (Raja Nong Cik), Nai Phai (Raja Jambu), Nik Dah (Raja Teluban), Tuan Jalur (Raja Jalur), Tuan Mansor (Raja Raman) dan Nik Dih (Raja Legeh). Namun begitu, Raja daripada orang Siam yang memerintah negeri Jambu (Nai Phai) berkuasa penuh mengawal enam buah negeri lain (A. Bangnara 1977: 36).


Walau bagaimanapun pentadbiran Siam menerusi dasar pecah dan perintah ini tidak mengganggu persoalan bahasa, agama dan sosio-budaya Malayu Patani (Mohd Zamberi A. Malik 1993 : 108). Namun begitu, pemecahan ini telah melemahkan Patani dan menurunkan taraf daripada negeri naungan kepada negeri sempadan Siam. Pada tahun 1906 atau sepuluh tahun menggunakan dasar tersebut, tujuh negeri kecil itu disusun semula menjadi empat buah negeri, iaitu Pattani (termasuk Nong Cik dan Jambu), Yala (termasuk Raman), Teluban dan Bangnara (Legeh). Nama Legeh ditukar kepada Bangnara dan Akhirnya pada tahun 1915 ditukar pula kepada Narathiwat. Pada 19 Mei 1916 istilah negeri digantikan dengan Changwat (wilayah) dan pada 16 Februari 1931 pula Teluban (Saiburi) dijadikan satu Ampo (Daerah) dalam wilayah Patani. Setiap wilayah pula diketuai oleh gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat (Ahmad Fathy al-Fatani 2001 : 58-59).

Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786), perubahan besar berlaku terhadap Patani apabila Siam menyerang Patani kali kelima dan berjaya menakluki seluruhnya pada bulan November 1786. Sultan Muhammad juga mangkat dalam pertempuran ini. Pada masa ini Siam diperintah oleh Phra Putta Yotfa Chulalok (1782-1809), Raja pertama dinasti Cakri. Baginda juga yang memindahkan ibu kota Thonburi yang telah dibina oleh Phya Tak Sin (1768-1782) kepada pusat pemerintahan baru di kota Bangkok.


Sebelum kerajaan Siam membahagikan Patani kepada tujuh negeri, Patani telah diperintah oleh beberapa orang Raja, iaitu Raja Bakal (1688-1690), Raja Mas Kelantan (1690-1707), Raja Mas Jayam (1707-1710), Raja Dewi (1710-1719), Raja Bendang Badan (1719-1723), Raja Laksaman Dajang (1723-1724), Raja Mas Jayam (1724-1726), Along Yunus (1726-1729), Sultan Muhammad (1776-1786), Tengku Lamiddin (1787-1791) dan Datok Pengkalan (1791-1810). (Mohd Zamberi A. Malik 1993 : 87-100).

Rujukan :

Bangnara, A. ( 1976 ). Patani : Adit – Patchuban (Patani Dahulu - Sekarang). Bangkok : Chomrom  Saengthearn.


Ahmad Fathy al-Fatani (2001). Pengantar Sejarah Patani. Kota Bharu : Pustaka Aman Press Senderian Berhad.


Mohd Zamberi A. Malek (1993). Umat Islam Patani : Sejarah dan Politik. Shah Alam: Hizbi.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan