Ekonomi/Bisnis

Rabu, 19 April 2023

Negeri Patani Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530-1564) dan Sultan Mansur Syah (1564-1572

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan


Kali ini kita bicara tentang sejarah Patani. Dengan tajuk “Negeri Patani Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530-1564) dan Sultan Mansur Syah (1564-1572)” Dan kita bicara sejarah Patani di Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530-1564) dan Sultan Mansur Syah (1564-1572) melalui tesis sdr Zawawee Pakda Ameen tajuknya “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.” Tesis MA dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan sejarah Negeri Patani Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530-1564) dan Sultan Mansur Syah (1564-1572) adalah seperti berikut :

 

Setelah Sultan Ismail Syah mangkat, Patani diperintah oleh putra sulong baginda iaitu Sultan Muzaffar Syah (1530-1564). Pada zaman ini perdagangan di Patani bertambah maju. Sultan Muzaffar Syah juga mengambil berat tentang agama Islam yang menyebabkan agama Islam juga berkembang. Kedatangan seorang lagi ulama dari Pasai iaitu Syeikh Safiuddin telah meningkatkan lagi syiar Islam. Patani mula berfungsi sebagai pusat kegiatan dan penyebaran Islam. Pada masa ini juga, masjid telah didirikan di merata tempat. Dalam hikayat Patani (Teeuw & Wyatt 1970 : 78-79) ada disebut:


“Maka negeri Patani pun bertambah sentosa dan makmurnya dan dagang senteri pun terlalu banyak pergi datang ... Syahdan agama Islam pun makin masyhurlah daripada segala dusun hingga datang kepada negeri Kota Mahligai itu pun selamalah mengikut syariat Nabi Muhammad mustafa, salla ̉ Llahu alaihi wasallama.”

      

Apabila negeri dalam keadaan makmur, hubungan diplomatik juga perlu dijalinkan dengan kuasa-kuasa jiran. Sultan Muzaffar Syah pertama kali membuat lawatan ke Ayuthia untuk mengeratkan persahabatan antara kerajaan Patani dengan Ayuthia. Dalam hikayat Patani (Teeuw & Wyatt 1970 : 79) tercatat:


“Apa bicara bendahara kerana kita hendak pergi ke Ayuthia dan Beracau itu pun tiada orang lain daripada kita dan daripada sebuah negeri baiklah dua.”

     

Setelah tiba di Ayuthia, baginda disambut dengan baik. Baginda diberi menginap di sebuah rumah berhampiran dengan Kota Wang. Setelah kira-kira dua bulan berada di Ayuthia, akhirnya baginda memohon keizinan untuk pulang. Raja Siam telah menghadiahkan seramai 60 orang tawanan Pegu, Burma dan 100 orang tawanan Lan Chang, Laos. Apabila sampai di Patani, kesemua tawanan Pegu ditempatkan di jambatan Kedi untuk memelihara gajah kenaikan baginda, sementara tawanan Laos ditempatkan di Bendang Parit, Gerisik (Teeuw & Wyatt 1970 : 81). Kini keturunan tawanan Pegu masih menetap di kampung Ban Di, daerah Muang pattani. Sekarang kita dapat melihat ciri-ciri kesenian Burma yang terdapat di kuil Buddha yang sudah lama dibina di kampung tersebut. Ini berdasarkan pemerhatian terhadap kuil tersebut dan perbincangan pengkaji dengan salah seorang  yang pernah bergaulan dengan sami di Wat Ban Dee.

Dalam buku “Sejarah Kerajaan Melayu Patani” oleh Ibrahim Syukri (2002 : 38) ada menceritakan bahawa kunjungan tersebut tidak diterima dengan selayaknya oleh raja Siam. Saat genting dalam peristiwa penyerangan Burma terhadap Siam pada tahun 1563, telah memberi peluang kepada Sultan Muzaffar Syah untuk menyerang Siam. Angkatan Patani terdiri dari 200 buah perahu perang bersama dengan adinda baginda, Sultan Mansur menuju ke Ayuthia. Penyerangan kali ini menyebabkan tentera Siam banyak terkorban, sementara raja Siam sempat melarikan diri dan bersembunyi di Kok Mahaphram. Semasa angkatan Melayu menuju ke muara Chao Praya untuk pulang ke Patani, Sultan Muzaffar Syah pun mangkat dengan terkejut dan terpaksa dikebumikan di kuala tersebut. Hal ini juga terdapat dalam catatan Siam. Dalam Pongsawadan Krung Kao (Hikayat Kota Lama) versi Luang Prasert Aksorn Nit (1972) dalam Nik Abdul Rakib Nik Hassan (2003), menceritakan bahawa:


“Dalam tahun 925B (1563M) Raja Patani datang membantu Ayuthia berperang dengan Burma, sebaliknya dia memberontak. Raja Patani serta tenteranya menyerang istana lalu manaiki gajah putih dan berdiri tegak di tengah padang. Kemudian menurun dari gajah itu dan terus ke tempat pembunuhan orang. Semasa itu berita diketahui luas. Orang Ayuthia telah mengikatkan tali besar dan bertempur dengan tentera Patani. Kemudian Raja Patani melarikan diri dengan perahunya.”

Dalam peristiwa ini, Sultan Muzaffar Syah sempat berkuasa selama 15 hari. Sultan Muzaffar Syah bersama lebih kurang 1,500 orang tentera sahaja yang mempertahankan serangan balas tentera Siam. Selebihannya berangkat pulang ke Patani bersama Raja Mansur (Nik Abdul Rakib Nik Hassan 2003 : 29-30).

 

Semasa Sultan Muzaffar Syah dan Raja Mansur pergi berperang di Ayuthia, suami Raja Aisyah, Bendahara Raja Jalaludin memangku pentadbiran kerajaan Patani. Apabila Raja Mansur pulang ke Patani, baginda ditabalkan dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Pada zaman pemerintahannya, baginda telah memulihkan hubungan dengan kerajaan Ayuthia. Baginda menghantar Wan Muhammad, anakanda Tok Raja Seri Faqih untuk menyampaikan surat rasmi Raja Patani kepada Raja Maha Thammaraja (1569-1590). Beliau berjaya menjalinkan semula hubungan diplomatik Patani-Siam (Mohd Zamberi A. Malek 1993 : 40-42).


Rujukan :


Ibrahim Syukri (1985). History of The Malay Kingdom of Patani. Athens : Ohio University.


Ibrahim Syukri (2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Mohd Zamberi A. Malek (1993). Umat Islam Patani : Sejarah dan Politik. Shah Alam: Hizbi.


Nik Abdul Rakib  Nik Hassan (2003). Siamisasi Penduduk Melayu: Kajain Kes di Kampung Duku, Daerah Bacok, Wilayah Narathiwas. Tesis M.A. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Teeuw, A & Wyatt (1970). Hikayat Patani. The Hague : Martinus Nijhoff.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan