Ekonomi/Bisnis

Selasa, 6 Jun 2023

Sejarah Orang Melayu di Nusantara oleh Sdr. Mohd Arof Ishak

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini kita bicara tentang Sejarah Orang Melayu. Memang banyak pendapat tentang sejarah orang Melayu. Terdapat pendapat yang logik dan juga pendapat yang tidak logik. Sepertilah teori teori asal usul orang Melayu terdapat berbagai teori yang masuk akal dan tidak masuk akal. Kali ini saya ketengahkan satu kertas kerja yang ditulis oleh Sdr Mohd Arof Ishak dengan tajuk “Sejarah Orang Melayu di Nusantara”. Beliau berlatarbelakang sains politik. Pernah begkhidmat dalam perkhidmatan awam di Malaysia. Sekarang Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, juga Ahli Majlis Lembaga Peradaban Melayu (ADAB).


Beliau membentang kertas kerja ini di seminar Dialog Kebudayaan Melayu atau Malay cultural dialogue. Temanya, “Revitalization of Malay wisdom, present and past” atau “Menyemarakkan semula kebijaksanaan Melayu, sekarang dan dahulu”.  Seminar ini diadakan pada 3-5 Disember 2012 di Pekanbaru, Provinsi Riau, Indonesia.


Sdr. Mohd Arof Ishak, atas nama Persatuan Sejarah Malaysia membentang kertas kerjanya dengan tajuk “Sejarah Orang Melayu di Nusantara”. Isi kandungan kertas kerjanya adalah sepeti berikut :-


Subjek ini menekankan kepada 3 perkara besar :

Pertama, ia menunjukkan kepada satu rumpun bangsa yang besar.


Kedua, ia menunjukkan kepada satu tanah-air yang asal dan asli; bermaksud adanya satu habitat, dan penghunian yang sediakala (natives in a homeland).


Ketiga, ia menunjukkan kepada satu tamadun yang tersendiri.


Perhimpunan “Dialog Kebudayaan” dan tema khususnya “menyemarkan semula kebijaksanaan Melayu” akan menyuluh dengan terang sekali ke-tiga-tiga perkara besar yang disebut di atas.

Satu Rumpun Bangsa yang besar : Istilah “Melayu”

Istilah ini digunakan untuk perbincangan kita dan kefahaman kita bagi bermaksud rumpun bangsa besar yang dikenali sarjana sebagai Malayo-Polynesian dan juga Austronesian.


Memang istilah “Melayu” itu tidaklah begitu tepat kerana adanya juga suku bangsa yang namanya ‘Melayu’ di Nusantara. Istilah Malayo-Polynesian juga sebenarnya tidaklah 100 persen memuaskan kerana sebahagian istilah ini (iaitu Polynesian) cuma merujuk kepada satu wilayah geografi, bukan sebenarnya nama satu kelompok bangsa; manakala, Malayo itu memang merujuk kepada suatu bangsa. Istilah Austronesian juga mempunyai keukrangannya, kerana ia merujuk kepada penduduk ‘pulau-pulau di selatan’ ; ini tidak benar kerana bukan semua pulau-pulau yang dihuni oleh orang Austronesia itu berada di bahagian selatan dunia kita. Jadi, kesulitan untuk menyatakan dengan tepat istilah untuk rumpun besar bangsa yang menghuni Nusantara tidak sepatutnya menjadi satu problem. Kesulitan ini adalah akibat tuanya rumpun bangsa di Nusantara dan meluasnya taburan rumpun bangsa ini sehingga sampai ke pulau-pulau di Lautan Teduh, dan pulau Madagsacar di Afrika.

Satu Tanah-Air Yang Asal dan Asli : Nusantara

Rumpun Bangsa Melayu adalah satu masyarakat manusia dengan identiti yang lain daripada bangsa-bangsa yang asal dan asli (natives) yang wujud sebagai jirannya, seperti bangsa India, bangsa asli Australia dsb. Setiap sejarah bangsa adalah sejarah satu kelompok manusia di satu habitat yang asli (native homeland). Benua India umpamanya, adalah satu habitat manusia yang menjadi penghuni asli di benua kecil India. Benua Australia pula adalah satu habitat asli bangsa asli Australia (Australian aborigines). Maksudnya, ialah sejarah manusia itu tidak jitu jika hakikat habitatnya tidak difahami bersekali. Habitat bermaksud alam asal atau alam semulajadi sesuatu species atau kelompok masyarakat. Habitat itu bukan sahaja satu habitat manusia tetapi juga satu habitat budaya, kerana interaksi manusia dan habitatnya memunculkan budaya cara hidup, nilai dan buah fikiran,institusi masyarakat, dan juga bahasa. Ini membentuk homeland. Maka, sejarah bangsa rumpun Melayu adalah sejarah bangsa tersebut dengan dengan interaksi habitatnya sekali, iaitu tanahairnya, iaitu Nusantara.


Nusantara adalah satu habitat kepulauan yang menjadi satu habitat manusia dan tamadun manusia yang amat berbeza dengan habitat tamadun manusia yang lain dalam sejarah ketemadunan manusia. Ini ialah kerana habitat bagi bangsa dan tamadun lain seperti Cina, Arab, dsb. semuanya adalah habitat tanah besar (mainland). Perbezaan asas ini membentuk sejarah bangsa yang berlainan.


Satu Ketemadunan dan Peradaban : Tamadun dan Peradaban Nusantara

Ketemadunan tidak bermaksud adanya pembinaan seperti Tembok Besar seperti di China, atau piramid sahaja. Maksudnya, jika suatu kelompok bangsa tidak mempunyai pembinaan seperti ini, ini bukan bermakna ia tidak mempunyai tamadun. Saya mentafsirkan tamadun sebagai pemilikan oleh satu kelompok bangsa akan suatu body of culture, a body of values, and a body of wisdom (“satu kehidupan budaya, satu amalan nilai, dan satu kebijaksanaan”). Satu kehidupan berbudaya bermaksud satu cara hidup bermasyarakat, berseni dan beradat; satu amalan nilai bermaksud isi nilai yang halus dan tinggi yakni peradaban; kebijaksanaan bermaksud kaedah hubungan dan susunan masyarakat seperti pemerintahan, kedaulatan, keadilan yang bijak yang menunjukan nilai yang tinggi. Maka, tema dialog hari ini iaitu Revitalization of Malay wisdom” adalah tepat sekali dengan isi tafsiran tamadun yang saya ketengahkan


Manusia rumpun bangsa Melayu di habitatnya di Nusantara memiliki tafsiran tamadun saya iaitu a body of culture, a body of values, and a body of wisdom. The body of culture, body of values, dan body of wisdom di Nusantara ini bukan sahaja wujud dengan jelasnya tetapi ia juga menunjukkan kepelbagaian atau diversity yang begitu kaya, yang bermaksud satu ketemadunan yang tinggi. Diversity malah menjadi satu sifat utama tamadun dan peradaban bangsa rumpun Melayu. Kepelbagaian ini juga menunjuk kepada kewujudan tamadun dan peradaban Nusantara yang tua sekali.    Bukan sahaja tamadun dan peradaban di Nusantara ini pelbagai dan tua, ia juga tumbuh dan membentuk sifat secara asli dan semulajadi. Maksudnya, teras tamadun dan peradaban di Nusantara bukanlah hasil


daripada pengaruh tamadun asing, walau pun tidak dapat dinafikan pengaruh asing ada melekat kepada tamadun dan peradaban kita, khususnya dari sekitar 2,000 tahun dahulu. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah tamadun dan peradaban Nusantara telah tumbuh amat jauh lamanya, lebih daripada 2,000 tahun dahulu, dengan sendiri.


Sejarah Melayu di Nusantara

Zaman sejarah didefinisikan sebagai zaman adanya rekod bertulis (dokumen). Zaman yang sebelum adanya rekod bertulis adalah zaman pra-sejarah. Namun, tidak wujudnya rekod bertulis tidak bermakna suatu bangsa atau tamadun itu tidak wujud ketika itu. Maka itu ‘sejarah’ yang sebenarnya sejarah harus mengambilkira dalil-dalil yang pelbagai, yakni termasuk yang lain daripada dalil bertulis, untuk menceritakan keseluruhan kewujudan satu bangsa atau tamadun. Dalil-dalil yang lain termasuk dalam ilmu arkeologi, linguistics, DNA, dsb.


Maka, sejarah bangsa rumpun Melayu di Nusantara tidak sekadar dari zaman Srivijaya sahaja, iaiatu dari abad ke-7. Maka, saya menekankan di sini bahawa bangsa dan tamadun rumpun Melayu telah wujud jauh lebih lama daripada abad ke-7, jika kita bersandarkan kepada dalil-dalil dari pelbagai bidang ilmu seperti ilmu bahasa, ilmu DNA dsb. malah juga dalil arkeologi yang lebih terbaru ditemui di Asia Tenggara.


Satu perkara yang penting ialah masih ramai daripada kalangan masyarakat umum di Nusantara sendiri masih mempercayai bahawa bangsa Melayu berasal dari selatan China seperti dari Yunan. Ini sering kita temui dalam media termasuk media ‘baru’ sekali pun. Maka, kepercayaan ini memberikan satu imej Nusantara, malah seluruh Asia Tenggara, yang amat kerdil dan tidak penting dalam sejarah manusia dan tamadun di Asia. Kepercayaan sebegini ialah akibat pengaruh teori yang muncul berdasarkan pengetahuan, khususnya arkeologi setakat tahun-tahun 1930-an dahulu.


Namun, dalil-dalil terbaru dari pebagai bidang ilmu telah muncul yang memberikan satu realiti baru terhadap sejarah bangsa rumpun Melayu di Nusantara. Malah, dalil-dalil baru ini telah menimbulkan satu gambaran bahawa Asia Tenggara adalah habitat di mana telah munculnya bangsa-bangsa awal di Asia. Evolusi kepada bangsa-bangsa awal ini telah memunculkan bangsa Melayu di bahagian selatan Asia Tenggara, bersama bangsa-bangsa negrito yang masih ada wujud kini. Evolusi bangsa-bangsa awal di Asia Tenggara ini berlaku dalam kalangan manusia awal yang telah berhijrah keluar daripada benua Afrika, dan telah sampai ke Asia Tenggara anggaran 60,000 80,000 tahun dahulu. Ada pula daripada kalangan mereka yang sampai dari Afrika itu telah bergerak terus ke timur sehingga menjadi orang asli di Australia dan New Guinea sekarang ini, manakala ada juga mereka yang bergerak terus ke utara menuju negara China sekarang ini, dan setrusnya mengalami evolusi yang berterusan.

Ini bermakna dalil-dalil baru menunjukkan bahawa bangsa rumpun Melayu telah muncul di Asia Tenggara sendiri, bermaksud bahawa bangsa rumpun Melayu adalah penduduk asli Nusantara (natives of Nusantara). Ketika mereka dari benua Afrika telah sampai ke Asia Tenggara, seluruh Asia Tenggara adalah satu benua kecil yang disebut hari ini sebagai Sundaland. Tetapi, akibat naiknya paras air laut dari 14,000 hingga 8,000 tahun dahulu, bumi Sundaland ini telah terpecah menjadi pulau-pulau yang kini dikenali sebagai Nusantara atu Kepulauan Melayu. Maka, bangsa rumpun Melayu itu menjadi penghuni asli di pulau- pulau ini bersama mereka daripada kalangan negrito.


Dengan ini nyatanya bangsa rumpun Melayu itu pasti satu bangsa yang amat tua yang menghuni Nusantara. Kemungkinan ini ditunjukkan dengan teori dari bidang ilmu bahasa yang menyatakan sesuatu bangsa yang tua akan menunjukkan kepelbagaian dalam bahasa atau linguistic diversity. Hakikatnya sekarang ialah keluarga bahasa Melayu atau yang dikenali sebagai keluarga bahasa Malayo-Polynesian atau Austronesian adalah merupakan


keluarga bahasa yang menunjukkan linguistic diversity yang tertinggi di Asia. Ini satu dalil yang sungguh penting.


Dari ilmu genetik pula beberapa kajian DNA di Asia dalam sekitar sedekad yang lalu malah lebih telah menunjukkan bahawa manusia bergerak dari selatan ke utara di Asia Timur, setelah mereka sampai ke Asia Tenggara dari Afrika. Dalil-dalil ini telah menterbalikkan kepercayaan yang dipegang oleh ramai sarjana dan dlam kalangan masyarakat umum bahawa manusia berhijrah dari utara ke selatan, yakni dari China ke Asia Tenggara. Gambaran yang muncul dari dalil-dalil baru ini tegas menunjukkan orang Asia Tenggara, termasuk bangsa rumpun Melayu, adalah satu masyarakat yang lebih tua berbanding dengan masyarakat di utara benua Asia.


Dari sebuah habitat yang merupakan satu sub-continent (iaitu Sundaland) bangsa rumpun Melayu telah menghuni satu habitat tanah-dan-air iaitu satu gugusan pulau-pulau yang terbesar di dunia. Interaksi antara manusia Melayu dengan habitat tanah-dan-airnya yang begitu luas, telah membentuk satu bangsa kelautan (a maritime people) yang berjaya memiliki keupayaan pelaut dan pembikinan perahu dan layar yang amat tinggi. Laut dan selat turut menjadi sebahagian daripada tempat hidupnya bangsa rumpun Melayu. Selat bukannya pemisah tetapi satu kelangsungan tanah daratan pulau. Aktiviti hidup pelaut bangsa rumpun Melayu berterusan hingga ke hari ini di antara pulau-pulau di Nusantara. Iaitu mengekalkan dunia budaya, tamadun dan kebijaksanaan yang satu walau pun telah ada wujudnya titik garis sempadan politik moden.


Tamadun pelaut bangsa rumpun Melayu bukan sahaja satu tamadun pengembara tetapi juga satu tamadun pedagang. Hasil bumi semulajadi yang kaya khususnya rempah ratus di Nusantara di zaman silam telah membangunkan satu rangkaian pedagang laut di Nusantara, dan rangkaian pedagang laut ini terus keluar dari gugusan pulau-pulau Melayu ke utara ke China dsb. dan ke barat ke Afrika, ke tanah Arab dan ke Eropah. Perdagangan rempah ratus


oleh bangsa rumpun Melayu menjadikan Nusantara punca perdagangan antarabangsa yang terbesar di dunia di zaman silam.


Bangsa rumpun Melayu membangunkan pelabuhan-pelabuhan dagang yang maju dan disukai pedagang asing. Dari Ternate di timur Nusantara, ke utara Filipina dan ke barat Selat Melaka wujud rangkaian pelabuhan dagang rempah ratus yang banyak. Pelabuhan- pelabuhan ini bukan sahaja menjana perdagangan tetapi juga mempamirkan kebijaksanaan Melayu dari zaman silam, dengan pengendalian serta pengurusan labuhan dan dagangan yang baik. Pelabuhan-pelabuhan zaman silam untuk perdagangan rempah-ratus ini (spice trade route) eloknya dikenalpasti semula di seluruh Nusantara (dengan kerjasama kerajaan/pemerintah Indonesia, Malaysia, Filipina, Brunei dan Singapura sebagai satu projek Nusantara), dan tapak-tapaknya dibangunkan semula serta dihidupkan semula sebagai pusat dagang, pusat restoran makanan asli provinsi atau setempat di Nusantara, serta pusat wisata untuk menjadikan the spice route sebagai tarikan antarabangsa. Jika ini berjaya dilakukan ia akan membangunkan semula semangat asli, habitat asli serta kebijaksanaan asli Nusantara. Pelabuhan-pelabuhan dagang rempah-ratus ini merentasi sempadan politik di Nusantara. Jika tapak rangkaian pelabuhan spice route ini dibangunkan semula di seluruh Nusantara ia akan membina semula semangat dan habitat atau alam Nusantara yang satu. Lama kelamaan kita akan terus sahaja menyebut Padang, Surabaya, Kota Bharu, Cebu, Brunei dsb. sebegitu sahaja tanpa perlu lagi menyebut Indonesia, Malaysia, Filipina atau Negara Brunei. Ini akan berupaya revitalise, menghidupkan semula, tamadun dan peradaban Melayu yang satu dahulu, tanpa tersekat di sempadan politik.


*sebahagian isi makalah ini telah terbit dalam Letter to Editor, New Straits Times, Malaysia, tanggal 7 Julai 2012, bertajuk Malay Origins.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan