Ekonomi/Bisnis

Sabtu, 12 November 2016

Pulau Natuna : Akhirnya saya sampai juga

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
     Saya dapat melawat Pulau Natuna, sebuah pulau atau kepulauan di tengah laut. Ini kerana saya diundang oleh Sekolah Tinggi Agama Islam Natuna untuk menghadiri sebuah seminar antarabangsa. Dan Nusantara Studies Center dapat buat MOU dengan Sekolah Tinggi Agama Islam Natuna. Semasa di Pulau Nutuna saya sangat terperangjat kerana sesetengah penduduk pulau itu terdiri dari keturunan "Wan" yang berasal dari Patani, Selatan Thailand. 
Semasa di Pulau Natuna teringat saya kepada Wan Mohd Saghir Abdullah seorang pengkaji keturunan Melayu Patani berasal dari Pulau Midai, Kepulauaan Natuna. Dan di sini saya muatkan tulisan almarhum yang  dimuatkan di blog "http://ulama-nusantara.blogspot.com/"  dengan "tajuk Peranan ulama Patani di perantauan" saya hanya muatkan yang berkaitan dengan Kepulauan Natuna.

Pendahuluan
APABILA kita bercakap ataupun menulis apa saja mengenai Patani, rasanya tidak akan kekeringan bahan kerana cukup banyak perkara yang boleh ditonjolkan. Patani adalah suatu negeri yang telah bertamadun sejak lama, Langkasuka, Tamberalinga, Fathani Darus Salam dan lain-lain. Kerajaan yang pernah berpusat di negeri itu sudah cukup dikenal dalam sejarah serantau. Apabila kita terjemah dan tafsirkan sepotong tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, barangkali boleh dijadikan sebuah buku yang agak tebal juga.

Tulisan tersebut adalah, "... Patani adalah suatu negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang agung/besar".

Ramai yang menyangka bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab. Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.

Mengenai ulama-ulama Patani sudah cukup banyak ditulis dan telah banyak pula dipetik orang; baik dijadikan tesis, buku dan lain-lain mahupun kertas kerja.

Ulama-ulama yang sudah cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.

Di sini penulis menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.

Kadang-kadang dikenal nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari Fathani Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara mereka.

Mengenai mereka ini penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.

Peranan ulama Patani di Kepulauan Riau
Kepulauan Natuna, Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu. Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.

Pulau yang terbesar di Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang berkemungkinan dari Semela, Patani.

Keseluruhan Pulau Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama. Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.

Sebelum menceritakan asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.

Di tempat perahu itu terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah seorang keturunannya bernama Wan Taksim.

Wan Taksim inilah mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan keluarga dan tinggal serumah di Mekah.

Setelah menjadi ulama, Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut.

Perintis sebar agama
Boleh dianggap beliau adalah perintis menyebarkan agama Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut itu.

Di Kepulauan Siantan beliau menjadikan Air Bini sebagai pusatnya. Anak beliau bernama Haji Wan Abdur Rahman juga belajar di Mekah, setelah menjadi ulama selain mengembara di kepulauan-kepulauan tersebut beliau juga pernah menyebar Islam di Sarawak.

Beliau menjadikan Pulau Midai sebagai pusat penyebarannya untuk persekitaran Laut Cina Selatan. Beliau adalah imam yang pertama Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai yang dibina bersama murid-muridnya yang berasal dari Terengganu.

Adapun Datuk Kaya yang pertama Pulau Bunguran bernama Wan Muhammad Perdana Mahkota. Dari mana beliau berasal menjadi pertikaian pendapat, ada riwayat bahawa beliau berasal dari Johor, riwayat lain berasal dari Patani.

Namun penulis lebih cenderung menyetujui pendapat beliau berasal dari Patani. Mengenai ini sangat jelas bahawa ketika beliau meninggal dunia, anak beliau yang bernama Wan Qamaruddin (Wan Rama) selaku yang berhak menggantinya tidak berada di tempat tetapi sedang tinggal di Campa, maka diutus orang pergi mengambilnya.

Wan Qamaruddin/Wan Rama adalah Datuk Kaya Pulau Bunguran yang kedua. Beliau diganti oleh anaknya, Wan Teras. Wan Teras memperoleh tiga anak dan yang menggantikan beliau sebagai Datuk Kaya ialah Wan Husein. Beliau ini seorang alim meninggalkan sebuah karya tentang ilmu tasauf yang diselesaikan tahun 1289 H/1872 M.

Manuskrip asli karya tersebut pernah menjadi milik penulis, dan telah diserahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor kelas MS 1091.

Anak Datuk Kaya selanjutnya adalah Wan Muhammad Benteng (pemerintahannya tahun 1926-1941) yang dikenali dengan Datuk Kaya Bunguran Timur. Datuk Kaya yang terakhir ialah anak beliau bernama Wan Muhammad Rasyid.

Selain itu, salah satu kebudayaan sejenis Menora, di Pulau Bunguran/Natuna dan di Mempawah, Kalimantan Barat disebut Mendu dipercayai bermula dari kebudayaan Patani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan