Ekonomi/Bisnis

Rabu, 18 September 2024

Iktibar dalam membangunkan umat Islam – Dr. Azhar Ibrahim Alawee

Oleh Nik Abdul RakibBin Nik Hassan

Sekarang berada dalam musim yang mengadakan acara Mulidul Rasul. Dengan itu Kali ini saya kemukakan sebuah artikel tulisan Dr. Azhar Ibrahim Alawee, seorang pensyarah Penajian Melayu di Universiti Nasional Sngapura (NUS). Tajuknya “Iktibar dalam membangunkan umat Islam” yang tersiar di Berita Mediacorp.  Tulisan beliau adalah seperti berikut:-


Di Nusantara, meraikan Maulud Nabi sudah menjadi salah satu kegiatan keagamaan yang disambuti dan dihargai.


Dalam pelbagai teks Melayu lama, disebut bagaimana para pembesar menjalankan Maulud Nabi demi mengambil keberkatan dari majlis menjunjung nabi besar kita.


Dalam proses penyebatian Islam di rantau ini, maulud nabi menjadi hari kemuliaan di mana ramai berkumpul mengangkat doa, mengaji dan bermarhaban sempena hari keputeraan Nabi Muhammad.


Di Jawa, sejarah meraikan Maulud seiiring dengan proses pengIslaman. Keraton-keraton menjalankan upacara “Sekaten” sebagai tanda penghormatan kepada hari mulia ini. Sekaten berasal dari kekata Shahadatayin, atau mengucapkan syahadat. Dipercayai pada zaman wali-wali besar di Jawa, acara sekaten ini disambut dengan dimainkan gamelan mengajak penduduk berkumpul dan ramai-ramai masuk ke gerbang masjid yang dinamakan Gapura. Gerbang ini saja berasal dari kekata Ghafur, yang ertinya Tuhan Yang Pengampun. Begitulah sosialisasi memperkenalkan Islam di Tanah Jawa, dan perayaan Maulud menjadi salah satu acara yang penting dalam kalender Islam Jawa.


Proses Islamisasi di rantau ini yang bergerak secara bertahap-tahap sememangnya memerlukan kaedah kebudayaan untuk mendekati penduduk yang belum lagi beragama Islam. Perayaan Maulud seperti ini adalah salah satu cara memperkenal dan memperkuatkan pegangan kepada ajaran Islam.


Selain adanya Sirah Nabi yang dibaca di kalangan ulama dan santri, beredar juga karya yang memperagung nabi besar kita ini. Antaranya Hikayat Miʻraj Nabi Muhammad, serta Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat Adanya. Menarik diperhatikan bahawa Qasidah Burdah yang menyanjung sosok Nabi Muhammad sudah beredar di rantau ini dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu pada abad ke-16 M. Perhatikan antara bait dalam Burdah yang diberikan terjemahan Bahasa Melayu, dari teks asal yang disunting oleh G.W.F. Drewes, dalam bukunya berjudul Een 16de eeuwse Maleise vertaling van de Burda van al-Busiri (1955):


Itulah Muhammad penghulu isi kedua negeri dan jin dan manusia sesungguhnya dan penghulu kedua kaum daripada Arab dan Ajam sekalian.


Nabi kami yang menitahkan maaruf menitahkan (menafikan) munkar; tiada seorangpun lain daripadanya lebih sadik pada mengatakan tiada dan ada daripada segala katanya.


Ialah yang beroléh sempurna karunia, yang diharap umatnya syafa'atnya bagi kesakitannya daripada segala kesakitannya yang tiada dapat diketahui adanya.


Telah dibawainya takallubnya kepada agama Allah; maka segala yang berlakukan dia sesungguhnya telah berpegang pada tali yang tiadakan putus adanya.


Diatasinya segala nabi Allah pada rupanya dan pada lakunya, dan tiada dapat sekaliannya menghampiri dia pada ilmunya dan pada kemuliaannya.


Sekalian meréka itu mengambil daripada Rasulullah jua sesungguhnya secalung dari laut atau dari hujan yang mahalebat adanya.”


Hari ini di merata Nusantara, Burdah ini telah diterjemah ke beberapa bahasa daerah yang lain serta masih dibaca di pelbagai pesantren di Jawa dan Madura. Ia juga masih dibaca pada acara Maulud dan lain-lain majlis keagamaan.


Bagi masyarakat kecil di merata Alam Melayu, sambutan maulid bukan saja bererti dapat berkumpul dalam majlis yang diadakan di masjid atau rumah perorangan, tetapi adanya nanti habuan makanan kuih-muih yang dibagi-bagikan.


Bagi yang membesar dalam lingkungan sebegini, pasti ini suatu ingatan yang sukar dilupakan. Yang penting majlis seperti ini dijalankan atas niat keluarga untuk mendapatkan keberkatan selain dapat berkumpul sanak saudara dan taulan. Dengan terlantun marhaban dan berzanji, maka satu lagi sosialisasi keberagamaan dapat dilangsungkan dan diperturunkan.


Tahun ini, Maulid Nabi yang jatuh pada 12 Rabi' al-Awwal tahun Hijrah, bersamaan 28 Sep 2023. Di Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam hari keputeraan Nabi Muhammad ini dijadikan cuti awam atau tanggal merah.


Pada abad ke-20, perarakan Maulud Nabi di dalam kota, dijalankan dengan umat Islam dari pelbagai pertubuhan mengambil bahagian. Dengan pakaian yang bagus, hari istimewa ini juga dilambangkan sebagai upaya penyatuan umat Islam yang datang dari pelbagai pertubuhan dan aliran.


Namun di Singapura, perarakan Maulud Nabi di jalan raya di sekitar kota sudah tidak dijalankan lagi, namun kegiatan sambutan digerakkan di beberapa stadium pilihan, malah juga di dewan serbaguna Singapore Expo. Dalam perayaan di kota-kota, Maulud Nabi menjadi suatu acara kebudayaan yang menampilkan ceramah agama, pameran, dendangan nasyid dan banyak lagi.

Sesungguhnya setiap generasi melahirkan bentuk kebudayaan yang terangkum di dalamnya ekspresi keagamaan. Begitulah yang dapat kita tangkap dalam tumbuhnya lagu-lagu nasyid semenjak 1970-an.


Pastinya ada banyak lagu nasyid yang menyanjungi baginda Rasulullah. Antaranya nasyid berjudul “Junjungan Mulia” oleh kumpulan nasyid Al-Mizan, yang pernah popular di Singapura. Lirik nasyid yang dilagukan ini juga adalah contoh ungkapan kecintaan umat kepada Nabi besar kita:


Tercipta satu lembaran sejarah

Di tanah suci Kota Mekah

Hari yang mulia penuh saadah

Bermulalah sebuah kisah


Malam Isnin subuh yang indah

Dua belas Rabiul’awal yang cerah

Dua puluh April Ttahun Gajah

Lahirlah zuriat dan syahadah


Abdullah nama bapanya

Siti Aminah ibunya

Riang gembira menyambutnya

Lahirnya putra yang utama


Muhammad nama diberi

Gelaran yang terpuji

Nikmat Illahi sama disyukuri

Terima putra yang berbakti


Keadaan yatim anak mulia

Lahirnya bawa cahaya

Alam derita jadi gembira

Terima junjungan mulia.”


Justeru lagu-lagu nasyid seperti ini akan berkumandang sewaktu Maulud Nabi diadakan, selain lantunan berzanji dan marhaban. Setidaknya dalam bentuk lagu nasyid pun, tersisip dakwah untuk memperagungkan junjungan Nabi.


Bermaulud dengan Berbesar Maksud


Meraikan Maulud Nabi sudah berakar zaman berzaman di rantau ini. Di Malaysia dan Brunei khasnya, raja-raja Melayu sering mengepalai sambutan ini dengan meriah. Walaupun sambutan ini dijalankan dalam bentuk baharu, namun tradisi ini sudah berjalan berabad-abab, mungkin semenjak Islam masuk bertapak ke Alam Melayu.


Sebenarnya kewajaran meraikan Maulud atau tidak pernah mendapat perhatian di kalangan beberapa agamawan kita. Dalam majalah Qalam, keluaran Singapura, terkandung beberapa lembaran berkenaan kewajaran menyambut Maulud, sama ada ia bersalahan atau tidak mengikut ajaran agama. Dalam edisi Bil 99-100, Oktober & November, 1958 termuat huraian panjang lebar oleh seorang ulama Acheh, Teungku Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy. Huraian beliau sangat berguna di saat ada yang mempersoal sama ada menyambut Maulud ini sesuatu yang bidaah atau dibenarkan oleh hukum syarak. Dengan cermat, setelah menjelaskan sejarah menyambut Maulud, serta mengutip pandangan yang pro dan kontra, beliau mengambil kesimpulan sebegini:


Bahawa merayakan hari Maulid membuat haflah, tiada terlarang; tak dapat dibid’ahkan, selama tiada dicampur baurkan dengan ibadat-ibadat, upacara-upacara keagamaan… Walhasil hendaklah kita menyelenggarakan perayaan ini dengan mengadakan ceramah-ceramah yang berguna bagi umum dan kita lakukan yang demikian dengan tidak menyangkut pautkan kepada agama…Yakni jangan didakwa agama yang menyuruh, saya berbuat begini pada hari ini…jika ada ulama yang tidak membenarkan bacaan kitab-kita Mawlid, maka adalah kerana terdapat dalam kitab-kitab Maulid itu riwayat-riwayat yang dusta atau yang sangat lemahnya. Dan kerana mengeluarkan belanja dengan cara yang dapat dipandang oleh agama masuk ke dalam bahagian “israf”dan “tabdhir”, seperti mewarna-warnikan masjid-masjid dan tempat-tempat perjumpaan ramai dengan lampu-lampu yang bergemerlapan yang sesunguuhnya tidak dihajati menurut kaca mata agama.”


Begitulah huraian ilmuan Islam ini, betapa beliau juga telah mengutip pendapat ulama terdahulu yang membolehkan perayaan Maulud, selagi ia tidak bersalahan dari hukum agama, seperti yang dihujah oleh Al-Sakhawi, Al-Suyuti, termasuk oleh Ibn Hajar Al-Haytami yang menyebut sedemikian:


Pekerjaan merayakan Mawlid memang bidáh, kerana tak ada dikerjakan oleh salaf. Tetapi dapat kita menjadikan dia elok dengan berpegang kepada dalil-dalil umum menentukan kita membaca al-Quran dan zikir. Dapat kita berpegang kepada dalil-dalil yang mengelokkan pekerjaan memuliakan Nabi, memujinya, menyatakan keutamaannya, kelebihannya dan mu’jizatnya.”


Rata-rata dalam perkembangan masyarakat, kesedaran yang terbangun adalah bagaimana kehidupan beragama itu dapat dijalankan tanpa kita berpaling dari asas-asas agama yang menganjurkan kebaikan bersama, keadilan dan kesejahteraan selain menolak segala bentuk ketaksuban, pembaziran, dan lain-lain usaha yang boleh melemahkan keimanan.


Maka tidak hairan apabila ada suara-suara pembaharuan yang menganjur agar sambutan Maulud difikir ulang jangan sampai berlaku pembaziran, malah bertelagah antara jiran sesama sendiri yang mahu meraikan Maulud. Itulah yang pernah diperhatikan oleh seorang penulis Aziz Siddiqui, dalam makalahnya berjudul: “Maulid Nabi dan Hubungannya Dengan Ekonomi Orang-Orang Melayu,”terbitan Qalam, Bil 206, September 1967.


Bagi beliau ada baiknya masyarakat Islam menggembeling sumber mengarah sambutan Maulud ini dalam suatu usaha yang kemudian dapat dimanfaatkan oleh masyarakat yang lebih besar. Ditulis beliau:


Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud yang berjalan dengan baiknya di Republik Singapura sekarang. Lembaga ini mencapai beberapa kemajuan di dalam usahanya mengeluarkan bantuan-bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar sekalian bangsa bersempena dengan hari lahir Junjungan Agung Muhammad s.a.w.”


Pastinya LBKM di Singapura adalah contoh terbaik bagaimana Islam sebagai Rahmatan lil alamin benar-benar dapat dihidupkan sebagaimana yang dianjurkan sendiri oleh Nabi besar kita.


Apapun, Maulud Nabi yang disambut dalam masyarakat kita adalah suatu ungkapan kehormatan besar dan kerinduan mendalam kepada Junjungan Baginda. Dengan memperingati dan memperbesarkan sosok Al-Amin ini, kita dapat beroleh teladan dalam membangun insan unggul berbudi yang diamanah membangunkan masyarakat dan umat yang madani.


Izinkan dikutip sebait dari madah untaian Harun DL di Singapura, yang terbit pada keluaran Qalam Bil 6, Januari 1951, yang berbunyi:


Muhammad Rasul telah tera’lam

Membawa wahyu terang tersulam

Menerangkan kebenaran yang telah kelam

Memperbaiki akhlaq manusia di alam.”


Di hari yang penuh berkat ini, sayugia kita terus berselawat ke atas Junjungan Nabi Besar kita, sehingga maulud yang kita sambut itu membawa kita menyempurnakan sebesar maksud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan