Ekonomi/Bisnis

Rabu, 18 Oktober 2023

Buku Cinta Agung Ibu karangan Sdr Ferri Anugerah Makmur

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Saya ikut sama dalam acara Pertemuan Penyair Nusantara ke XII di Kuala Lumpur. Setelah mendaftar diri sebagai peserta acara di Hotel Grand Campell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur. Di ruang seminar ternampaklah poster penjualan buku “Cinta Agong Buku”. Itu biasa saja bagi saya akan nampaklah penjualan buku buku di sesebuah acara seminar baik sastra, puisi, kebudayaa. Tetapi setelah saya berbual dengan Sdr. Ferri Anugerah Makmur, pengarang buku “Cinta Agong Ibu”. Saya diberitahu isi kandung sebenar di dalam buku “Cinta Agong Ibu” itu. Buku ini sangat terkesan bagi diri saya. Dan InsyaAllah akan mengambil buku ini menjadi bahan contoh penulisan untuk kursus Bahasa dan sastra di Patani, Selatan Thailand.

Dari arecabooks.com


Pujian untuk Buku Cinta Agung Ibu


YBhg. Tan Sri Abu Taib Osman, Mantan Peguam Negara Malaysia

“You are a man of determination, know what you want and work very hard to achieve your ambition.”

Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia

“Memberi pendapat, berkongsi pengalaman, mengimbas masa lampau dan merenung kemungkinan apa yang berlaku pada masa depan adalah antara kandungan buku yang dapat menambah kepada pengetahuan kita.”

Tun Dr. Abdul Daim Zainuddin

“Biografi ini adalah contoh teladan bagi setiap kita untuk menjadi pedoman hidup. Sarat dengan nasihat dan pengalaman hidup yang berharga. Satu warisan yang perlu diwasiatkan untuk generasi akan datang.”


Ramli Ibrahim, Sutra Foundation

“Yang jelas, Nusantara tampil sebagai sumber asas kepada beberapa budaya dan tradisi sehingga ia menikmati kekayaan beraneka rupa identiti. Ferri adalah salah satu daripada hasil ini.”

Tentang penulis (secara ringkas) 

Ferri Anugerah Makmur merupakan personaliti pelbagai bakat: penulis, kolektor seni, pembawa acara, motivator, penghibur, restorasi otomobil klasik dan usahawan. Beliau lahir pada 14 Februari, 1962 di Bandung, Indonesia. Berhijrah ke Malaysia pada tahun 1968. Seorang pelajar berbakat di sekolah rendah dan menengah, beliau dianugerahkan Fellow Diploma of the Oxford Centre of Leadership UK. Pernah menganjurkan pameran-pameran seni seperti  LIMA’97 Langkawi International Maritime Aerospace Art Exhibition, ‘The Journey Of Malaysian Art’ (anjuran Bersama APEC Business Summit), ‘Mystical Bali Art Exhibition’, Star Hill Art Gallery, ‘Adeputra, Chekri & Fatimah Chik International Art Exhibition di Tokyo (kolaborasi dengan Matrade) dan ‘Mat Dollah Art Exhibition, Mallorca & Madrid (kolaborasi dengan Kedutaan Malaysia di Sepanyol & Balai Senilukis Negara). 


Pada tahun 2018, beliau dilantik sebagai Vice President, Professional Leadership Certification, The Oxford Centre for Leadership, United Kingdom. Buku Cinta Agung Ibu merupakan karya sulung Ferri. Buku tersebut dilancar di Malaysia pada 8hb Mac, 2021 sempena Hari Wanita Sedunia oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi BERNAMA ( Hotel Istana Kuala Lumpur).

Dari Berita Harian

Ferri abadikan Cinta Agung Ibu

Atas nama cinta terhadap ibunda, penyanyi dan bekas pengacara popular era 1980-an, Ferri Anugerah Makmur, 60, menghasilkan biografi berjudul Cinta Agung Ibu yang menceritakan jerih perih dilalui insan tersayang itu dalam menempuh kehidupan.


Tambah menarik, kisah ibunya yang berdarah kacukan Tionghua dan Jawa, Allahyarham Siti Hadjirah Rusli, bakal dijadikan drama siri di Malaysia dan filem di Indonesia.

 

Bertemakan kisah cinta sejati yang diperjuangkan biarpun terhalang akibat pelbagai perbezaan, Ferri berkata, Cinta Agung Ibu adalah kisah kehidupan ibu yang berlatar belakangkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam, sejak era 1930-an.


"Cinta Agung Ibu adalah kisah ibu saya yang lahir sebagai seorang gadis yang miskin, dipaksa untuk memilih di antara Islam atau ibu yang melahirkannya.

"Maka bergeloralah hidup ibu dan ayah sepanjang hayat. Tiada keselamatan hidup, apa yang ada hanyalah kebahagiaan rohani," katanya pada sidang media mengumumkan projek besar menerbitkan drama dan filem yang diadaptasikan daripada buku Cinta Agung Ibu nukilannya di sini, baru-baru ini.


Ferri terkenang ibu dan bapanya berdepan kesukaran memulakan hidup berumah tangga akibat sukar mencari rezeki.


"Saya juga melalui kesusahan itu selepas dilahirkan pada 1962.


"Ayah meninggal pada 1979 dan ibu pergi pada 2000. Bayangkan, mereka terpisah selama 21 tahun dan kembali disatukan apabila ibu dikebumikan di bawah kaki ayah.


"Sedangkan, ketika itu, tanah perkuburan itu sudah penuh... Di situlah hikmahnya. Walaupun wanita ini sudah diseksa hidupnya tetapi Allah berikan syurga di dunia. Ini membuktikan simbolik bahawa syurga isteri itu di bawah kaki suaminya," katanya.


Disebabkan kisah ibu yang menyayat hati mendapat sambutan cukup memberangsangkan, timbul idea untuk menterjemahkan naskhah itu dalam versi drama dan filem.


Ferri sangat berterima kasih kerana didatangi ramai individu yang berbakat dari Malaysia dan Indonesia untuk merealisasikan projek itu.


"Idea ini datang daripada keinginan saya menulis. Ini janji saya kepada kedua-dua orang tua kerana saya dilahirkan daripada keluarga susah.


"Ibu beritahu lahir dalam kesusahan itu adalah suatu berkat, tetapi jangan sampai meninggal dunia dalam keadaan susah.


"Modal orang susah itu adalah keyakinan, ketaqwaan dan kerja kerasnya. Di sinilah saya letakkan janji kepada arwah ibu dan ayah untuk menulis kisah kehidupan mereka agar menjadi teladan.


Ferri bersyukur pasaran memberi reaksi positif terhadap buku dihasilkannya.


"Apabila saya terbitkan dalam bahasa Indonesia, pasaran di republik itu juga memberi maklum balas yang baik. Dari situ timbullah idea kenapa tidak dijadikan filem. Saya dilamar penulis skrip yang pernah memenangi anugerah, Jujur Prananto.


"Bukan mudah hendak mendapatkan perhatian seorang penulis skrip dari Indonesia yang pernah banyak anugerah. Jadi, saya rasa amat dihargai," katanya.


Ferri berkata, dia juga didatangi penerbit muda berbakat besar, Adink Liwutang untuk merealisasikan filem berkisar kisah ibu di Indonesia.


Tambahnya, filem itu akan dihasilkan sebuah syarikat produksi Indonesia melalui penerbit, Adink dengan skrip nukilan Jujur.


"Cadangan judul filemnya adalah Dari Surau Cinta Itu Datang," katanya.


Ferri berkata, Allah kemudian membuka pintu rezeki lagi apabila dipertemukan dengan penulis lirik lagu yang pernah dirakamnya, Lutfi Ismail.


"Saya diperkenalkan kepada penerbit Malaysia, Mohd Azrai Abd Rahman dan akhirnya, terhasillah kesinambungan untuk menerbitkan drama.


"Drama bersiri akan dihasilkan penerbit dari Syarikat Teccal Sdn Bhd, Mohd Azrai Abd Rahman dan pengarah, Fairuz Loy," katanya.


Ferri bangga buat kali pertama biografi diangkat dalam dua naskhah berbeza iaitu drama dan filem.


"Bagi saya, ini adalah suatu perkembangan positif apabila tayangan di Malaysia akan menarik minat penonton di Indonesia untuk menyaksikan filemnya.

"Situasi sebaliknya juga berlaku di mana jika 'meletup' di Indonesia, rakyat Malaysia akan berminat untuk menontonnya.


"Saya tidak menyangkal kemungkinan ada tiga bahagian untuk filem seperti filem Hollywood, The Godfather. Namun, semua itu bergantung kepada bajet. Jika ada bajet, kita akan buat sesuatu yang besar," katanya.


Antara lain, Cinta Agung Ibu berkisar seorang gadis beragama Buddha keturunan Jawa-Tionghua yang nekad menukar agama demi menikahi perantau Muslim berasal dari tanah Minang.


Namun, hubungan mereka terhalang dek perbezaan suku dan agama serta nasib buruk akibat kutukan orang tua sendiri.


Perjalanan cinta mereka yang tidak mendapat restu orang tua akibat perbezaan agama, budaya dan bahasa ini memulakan suatu fenomena hidup yang amat bergelora.


Atas dasar cinta yang agung, ibu Ferri sanggup lari dari rumah meninggalkan keluarga, agama, bahasa dan budayanya.


Namun, sumpahan ibu kandung yang melahirkan membawa klimaks perjalanan hidup yang sangat bergelora bagi dirinya dan suami.


Bagi Ferri, kisah dipaparkan dianggap suatu penceritaan yang mampu membawa air mata dan teladan kepada penonton.


Berkongsi mengenai perkembangan seni, Ferri mengakui beliau masih aktif.


Ketika ini, beliau memberi tumpuan kepada projek drama dan filem arwah ibunya dan perniagaan diusahakan termasuk kegiatan pertanian.


"Saya dilatih untuk membuat pelbagai kerja dalam hidup saya. Ini bermakna saya bukan fokus kepada suatu pekerjaan untuk mencari makan. Sebaliknya, saya mencari idea untuk melakukan pelbagai perkara demi kelangsungan hidup.


"Apabila saya tidak dapat melakukan perkara A, contohnya, saya boleh buat perkara B.

 

"Malah, kalau perkara B gagal, saya masih ada perkara C... Begitulah berikutnya. Saya dilatih oleh ibu dan ayah untuk sediakan payung sebelum hujan. Walaupun mereka miskin, ibu dan ayah tetap memberi saya semangat untuk terus berjaya dalam bidang," katanya.


Ferri yang juga anak tunggal pasangan, Allahyarham Makmur Rusli dan Allahyarham Siti Hadjirah dilahirkan pada 14 Februari 1962 di Bandung, Indonesia.


Ferri pernah bertugas sebagai pramugara Malaysia Airlines selama 15 tahun sambil aktif dalam bidang seni.


Ferri pernah menerbitkan album berjudul Ferri'88 dengan merakamkan lagu ciptaan S Atan serta Roystan Sta Maria.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan