Ekonomi/Bisnis

Jumaat, 15 September 2023

Percetakan Kitab Jawi di Patani, Selatan Thailand.

Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Kali ini akan bicara tentang Percetakan Kitab Jawi. Dalam pembelajaran agama Islam mesti ada kitab Jawi sebagai bahan pengajaran. Disini akan ketengahkan tentang percetakan kitab yang dimuatkan dalam tesis Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani. Tesis MA ini dituju kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Isi kandungan tentan Sekolah Tadika adalah seperti berikut :


Percetakan Kitab Jawi

Sebelum sebutan “percetakan” digunakan, istilah-istilah lain pernah digunakan seperti “matbaah”, “press” dan “drukery” (Wan Muhammad Shaghir Abdullah 1992: 95). Kitab Jawi yang dibaca di institusi pondok sekarang tidak akan disebar dengan pesat dan berterusan sekiranya tidak dicetak. Percetakan mempunyai hubungan rapat dengan kitab Jawi dan institusi pondok. Kitab Jawi tidak akan diulang cetak jika tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, dan institusi pondok memainkan peranan penting dalam memberi kepercayaan dan sambutan terhadap kitab Jawi.

Ulama Patani pada zaman dahulu amat berwawasan, mereka sangat mengambil berat terhadap percetakan. Justeru itu mereka menciptakan hubungan baik dengan sesiapa yang terlibat dalam bidang percetakan sehingga berjaya mencetak kitab Jawi di beberapa tempat. Pada ketika itu Mekah dan Kahirah berperanan sebagai pusat percetakan kitab Jawi yang ditulis oleh ulama Patani semasa mereka tinggal di Mekah. Kebanyakan karangan ulama Patani disemak semula oleh sarjana-sarjana lepasan al-Azhar seperti, al-Haji Ilyas Ya’kub al-Azhari dan Usman Saleh al-Azhari. Mereka ini memainkan peranan penting sebagai penyemak dan penyunting kitab Jawi. (Hasan Madmarn 2001: 60-61).


Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani adalah antara ulama yang berwawasan tinggi dalam bidang percetakan. Beliau menyebut dalam kitab Hadiqat al-Azhar (1936) seperti berikut:


“Hingga bersungguh-sungguh mereka itu mengecap segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum lagi sudah satu naskhah jua.”

Pemikiran ke arah ini wujud setelah beliau mengunjungi beberapa negeri, sama ada di Asia Tenggara mahupun negeri-negeri lain. Sambil mengembara, beliau memerhatikan dalam berbagai-bagai bidang seperti ekonomi, sosial, psikologi, pendidikan, sains teknologi yang termasuk juga dalam aspek percetakan.


Kitab Jawi dicetak dengan meluas sama ada di Timur Tengah mahupun di Nusantara. Ia dicetak berulang-ulang kali untuk menampung keperluan penuntut Melayu yang dahagakan ilmu agama. Dengan itu tidak menjadi keanehan lagi apabila didapati bahawa kitab Jawi yang memiliki tajuk yang sama dicetak di tempat berlainan atau kitab-kitab tersebut dicetak di luar tanah Melayu seperti di Mekah, Mesir, India dan sebagainya. Wan Muhammad Shaghir Abdullah (1992: 97-99) telah menyenaraikan lebih daripada 30 percetakan yang berfungsi mencetak kitab Jawi pada waktu itu. Percetakan-percetakan tersebut adalah seperti berikut:

“Percetakan yang berada di Timur Tengah adalah seperti, Al-Kasymiri (berdekatan masjid al-Azhar, Mesir), Daruth Thiba’ah al-Mishriyah al-Kubraa (Mesir), Daru Ihyail Kutubil Arabiyah (Mesir), Mustafa al-Babaaby al-Halaby (Mesir), At-Taqaddumul Ilmiyah (Mesir), Al-Khairiyah (Mesir dan Istanbul, Turki), Al-Anwar (Mesir), Darul Mashir (Mesir), Al-Miriyah (Mekah), At-Taraqqil Majidiyah al-Usmaniah (Mekah), Al-Makkiyah (Mekah), Al-Amiratul Islamiah (Mekah), Al-Muhammadi (Bombay, India), Al-‘Alawiyah (Bombay, India), dan lain-lain.”


Sementara percetakan di Nusantara yang mencetak kitab Jawi adalah seperti, Al-Ahmadiyah (Singapura), Al-Imam (Singapura), Haji Muhammad Amin (Singapura), Melayu Tanjung Pagar (Singapura), Sulaiman Mar’i (Singapura dan Surabaya, Indonesia), Al-Kamaliyah (Kota Bahru, Kelantan), Majlis Ugama Islam (Kota bahru, Kelantan), Islamiyah (Kota Bahru, Kelantan), Al-Ahliyah (Kota Bahru, Kelantan), Zainiyah (Pulau Pinang), Persama (Pulau Pinang), Al-Mu’arif (Pulau Pinang), Patani (Pattani), Sahabat (Jala), An-Nabhani (Surabaya), Staqafah (Surabaya), Petamburan (Betawi, Jakarta), Sayid Ali Alaydus (Betawi, Jakarta), Al-Ma’arif (Bandung), De Volharding (Padang), dan lain-lain.

                                      Kitab-kitab Jawi di Mesir.

Wawasan para ulama dalam bidang percetakan sehingga kitab Jawi dapat dicetak telah mempermudahkan penyebaran ilmu pengetahuan ke alam Melayu. Percetakan kitab Jawi dilakukan di Timur Tengah dan Asia Tenggara. Kegiatan-kegiatan tersebut telah membantu menyuburkan peranan institusi pondok. Ini adalah model yang mendorong penduduk Melayu generasi seterusnya yang menerima pendidikan daripada institusi pondok mengamalkan kegiatan percetakan.

 

Kini terdapat 3 buah percetakan di wilayah Pattani (salah satu dari tiga dominan masyarat Melayu di Patani, Selatan Thailad.) yang dimiliki oleh orang Melayu dan masih berfungsi iaitu Saudara Press di jalan Charenpradit, daerah Muang, Muslim Press di jalan Phiphit, daerah Muang dan Pattani Press di jalan Ruedi, daerah Muang. Percetakan tersebut masih mencetak karya-karya agama oleh ulama tempatan, terutamanya buku-buku teks untuk sekolah agama. Selain itu, kalendar Islam, iklan-iklan, kad perkahwinan dan sebagainya juga dicetak. Karya-karya agama dicetak dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi atau Rumi, sementara percetakan lain seperti kalendar Islam, iklan, kad perkahwinan dan lain-lain pesanan pelanggan juga dicetak dalam tulisan Jawi atau tulisan Rumi, tetapi akan diiringi dengan bahasa Thai. 


Percetakan adalah satu perniagaan yang mesti mengikut kemahuan pelanggan, dengan itu segala bentuk, corak, bahasa dan tulisan adalah dilakukan mengikut tuntutan pelanggan. Bagaimanapun percetakan yang dimiliki oleh orang Melayu adalah salah satu faktor penting yang membantu mempertahankan identiti Melayu Patani.

Sebahagian daripada hasil percetakan akan diedar ke toko-toko kitab untuk dijual. Antaranya seperti kitab Jawi, buku-buku teks sekolah agama dan khutbah Jumaat. Ini dapat membuktikan hubungan antara percetakan dan toko kitab, di mana kedua-duanya berfungsi menyumbang peranan pondok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan