Ekonomi/Bisnis

Jumaat, 2 Jun 2023

Kesan Dari Dasar Siamisasi Masyarakat Melayu Patani Terhadap Identiti budaya.

 Oleh Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan

Setelah Kerajaan Thailand menjalankan dasar Siamisasi atau Asimilasi erhadap masyarakat Melayu Patani. Dapatlah kita lihat bagaimana kesan dari dasar Siamisasi itu ke atas masyarakat Melayu Patani khasnya kesan terhadap identiti agama dan budaya. Kali ini kita bicara kepada kesan terhadap identiti budaya.


kita lihat kesimpulan yang Sdr. Zawawee Pakda Ameen, pensyarah di Prince of Songkla University, Kampus Pattani yang telah menyelidik kesan dasar tersebut terhadap budaya. Kesan terhadap budaya melalui tesis MA belau yang diajukan kepada Universiti Malaya dengan Tajuk “Identiti Melayu Patani: Kajian Tentang Peranan Instutusi Pondok di Wilayah Patani.”  Isi kandungannya adalah seperti berikut : -


Sebenarnya proses penerimaan budaya asing adalah fenomena biasa dalam masyarakat. Begitu juga masyarakat Melayu di selatan Thailand yang masih lagi terdapat pengaruh budaya Hindu-Buddha, terutamanya dari aspek kesenian dan adat istiadat. Setelah penduduk Melayu di kawasan ini beragama Islam, maka proses penyesuaian unsur-unsur budaya dilakukan secara beransur-ansur dengan merujuk kepada agama Islam sebagai asas utama. Dengan kebijaksanaan para ulama pada waktu itu, secara beransur-ansur budaya warisan yang bercanggah dengan Islam dielakkan dan menjadikan kebudayaan Melayu yang berfungsi sebagai identiti penting yang membezakannya dengan kelompok etnik lain.

Kebudayaan penduduk Melayu di selatan Thailand sangat jauh berbeza dengan kebudayaan kebangsaan dan langsung tidak boleh diintegrasikan kalau melihat dari aspek agama yang dianuti. Sebagai sebuah negara yang mempunyai kebudayaan kebangsaan, kerajaan Thai telah menjalankan dasar asimilasi untuk mengintegrasikan kelompok-kelompok etnik di Thailand. Dasar asimilasi berjaya mengubah sesetengah unsur kebudayaan kelompok minoriti lain di Thailand, namun begitu agak sukar bagi kerajaan untuk mengubah kebudayaan penduduk Melayu.


Oleh kerana kebudayaan adalah cara hidup yang meliputi anasir sistem sosial, susunan organisasi, ekonomi, politik, kepercayaan, adat resam, sikap, nilai, peralatan budaya, atau apa-apa yang diwarisi daripada masyarakat (A. Aziz Deraman 2003), maka masyarakat Melayu di selatan Thailand tidak dapat mengelak dasar kerajaan dan pengaruh identiti nasional yang secara langsung dan tidak langsung telah memberi kesan terhadap identiti kebudayaan. Bagaimanapun penduduk Melayu mempunyai cara tersendiri dalam penerimaan kebudayaan asing. Menurut Wan Abdul Kadir  (2002) :-


Dalam proses menerima unsur-unsur budaya asing, orang Melayu berusaha menyesuaikan dengan unsur-unsur budaya warisan. Mereka juga berkebolehan dalam memilih unsur-unsur yang bersesuaian dengan keperluan tempatan, baik bagi kepentingan ekologi mahupun bagi kepentingan tradisi atau agama. Dengan berbuat demikian mereka dapat mempertahankan tradisi yang dianggap amat penting dalam menyatakan identiti mereka. Dengan mengekalkan identiti budaya itu, orang-orang Melayu dapat dibezakan dengan kumpulan-kumpulan etnik lain.”

Dalam penerimaan kebudayaan asing, termasuk identiti kebudayaan nasional, penduduk Melayu di selatan Thailand bersikap berhati-hati supaya dapat mengelak daripada tersalah dengan nilai dan norma masyarakat dan dapat dipastikan bahawa ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Begitu juga dengan unsur-unsur kebudayaan seperti adat istiadat, kesenian, pakaian, moral, pengetahuan dan lain-lain. Sebagai contoh, adat istiadat yang merupakan unsur penting dalam kebudayaan. Mengikut Zainal Abidin Borhan (1996), adat istiadat bersifat dinamis dan dapat berubah mengikut keperluan anggota masyarakat. Berdasarkan sifat adat yang diterangkan, dapat menggambarkan bahawa unsur-unsur lain dalam kebudayaan juga boleh berubah tetapi mesti mengikut tuntutan masyarakat pemiliknya. Walaupun begitu, penduduk Melayu di Patani tidak akan menerima kebudayaan asing sekiranya tidak mendapati pengaruh atau apa-apa usaha oleh pihak tertentu untuk mengubahkannya.

Pada sekitar tahun 1938-1945, kerajaan P.Phibulsongkhram telah menjalankan dasar Thai Rattaniyom (Thai Custom Decree) yang menekankan di bidang kebudayaan. Dasar tersebut banyak menggugat kedudukan kebudayaan Melayu. Menurut Nik Abdul Rakib Nik Hassan (2003), Kerajaan P.Phibulsongkhram telah mengeluarkan undang-undang Penggalakan Kebudayaan Kebangsaan pada 1940 yang memaksa rakyatnya memakai pakaian sopan di khalayak ramai, berakhlak dalam kehidupan harian  dan membentuk suasana keThaian. Melalui dasar ini, rakyatnya mesti berbaju di khalayak ramai, pakai kasut di tempat bekerja dan makan nasi dengan sudu. Sesiapa yang melanggar dasar ini akan didenda tidak melebihi daripada 12 Baht.


Dasar ini bercanggah dengan kebiasaan rakyat Thai pada waktu itu dan menyebabkan mereka sering dikenakan denda. Untuk menguatkuasakan dasar ini kepada semua warganegaranya, Dasar Penggalakan Kebudayaan Kebangsaan (No.2) dikeluarkan pada tahun 1942. Salah satu lagi dasar yang memberi kesan terhadap kebudayaan Melayu ialah Thai Rattaniyom No.10 yang menyebut mengenai pakaian. Melalui dasar ini penduduk Melayu tidak dibenar bersarong, kupiah dan lain-lain pakaian di khalayak ramai yang bercanggah dengan kebudayaan negara.


Pemindahan dan penempatan penduduk keturunan Thai ke kawasan Wilayah Sempadan Selatan juga memberi kesan terhadap kebudayaan Melayu. Penerokaan kawasan di Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Setul dan menempatkan penduduk Thai Buddha di kawasan-kawasan tersebut dilakukan atas dasar pengimbangan penduduk Melayu dan Buddha. Selain itu pemindahan penduduk juga dilakukan dengan memindahkan pegawai-pegawai kerajaan untuk bertugas di Wilayah Sempadan Selatan. Dasar yang menyelit penduduk Buddha di kawasan Melayu menyebabkan peminjaman dan perkongsian kebudayaan. Perkara ini dapat dilihat apabila penduduk Melayu ikut serta adat istiadat Thai seperti songkran, loikrathong , penyambutan tahun baru, pesta-pesta pujaan yang di situ juga menjual barang-barang dan lain-lain.


Dalam perhubungan, sesetengah orang Melayu mengubahsuaikan budaya mereka supaya dapat bergaul dengan lebih selesa, seperti memakai pakaian sama seperti majoriti negara kerana pakaian Melayu seperti tudung, kain sarong, kupiah dan baju Melayu tidak sesuai dengan adat istiadat dan budaya Thai. Mereka tidak menzahirkan kemelayuannya apabila masuk bar dan minum minuman keras, dan mereka akan menerima teguran dan diboikot oleh masyarakat apabila mengetahui bahawa mereka adalah orang Melayu. Pakaian yang sama dan menggunakan bahasa Thai telah menghilangkan perbezaan antara etnik. Tingkah laku seperti ini dapat dilihat di kalangan mereka yang tidak berpendidikan agama, pegawai kerajaan, dan golongan remaja yang tinggal di kawasan bandar. Melalui Dasar Pemindahan dan Penempatan penduduk juga menyebabkan berlakunya perkahwinan campur. Kesannya telah menyebabkan sesetengah penduduk Melayu sanggup meninggalkan kebudayaan Melayu dan memilih untuk mengamalkan kebudayaan Thai sepenuhnya.


Mengikut Nik Abdul Rakib Nik Hassan (2003), dasar kerajaan memberi kesan terhadap seni persembahan Melayu seperti dikir barat, ronggeng, sandiwara, wayang kulit, makyong dan main puteri. Antara kesan-kesannya adalah kehilangan keaslian dan penghakisan. Sebagai contoh, kumpulan dikir hulu yang mendapat tajaan daripada pihak kerajaan untuk membuat persembahan melalui radio dan televisyen. Dalam persembahan akan menyelitkan beberapa penerangan rasmi kerajaan dan di sana sini menyelitkan bahasa Thai. Begitu juga beberapa kumpulan wayang kulit yang dijadikan alat propaganda dan penerangan dasar-dasar kerajaan kepada penduduk Melayu yang tinggal di kampung-kampung. Pelakon-pelakon utama wayang kulit seperti Samad dan Wakyah yang dahulu hanya bercakap bahasa Melayu, tetapi kini sudah pandai berbahasa Thai.

Selain kesan terhadap seni persembahan, dasar kerajaan juga memberi kesan terhadap seni mempertahankan diri, makanan dan permainan kanak-kanak. Muai Thai (Tinju Siam) lebih diminati daripada silat, masakan Thai seperti somtam, tomyam, padprik, kaengsom dan sebagainya telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu dan permainan kanak-kanak yang diajar di sekolah rendah kebangsaan juga mengambil tempat permainan Melayu.


Dasar kerajaan memberi kesan terhadap identiti kebudayaan, lebih-lebih lagi budaya Melayu yang tidak bersangkutan dengan adat istiadat keagamaan. Kerajaan juga berjaya mengubah sesetengah tingkah laku dan cara hidup penduduk Melayu. Walau bagaimanapun tidak dapat mengubah upacara-upacara agama kerana dilindungi oleh kebanyakan penduduk Melayu yang masih berpegang teguh dengan agama Islam.

Rujukan :

Pitsuwan, Surin (1982). Islam and Malay Nationalism: A case Study of the Malay Muslim of Southern Thailand. Ph.D. Thesis, Havard University, Massachusttes.


Pitsuwan, Surin (1984). Nguankhai Thang Karn Muang Thi Nam Pai Su Karn Lamurt      Sitthitmanusyachon Nai Changwat Chaidaen Phaktai. (Syarat Politik Yang Menyebabkan Masalah Peri Kemanusiaan di Wilayah Sempadan Selatan). Bangkok: Thammasat University.


Pitsuwan, Surin dan Staanan, Chawat (1984). Si Changwat Phaktai Kab Punha Sitimanusayachon. (Empat Wilayah Selatan dan Masalah hak Asasi). Bangkok: Thammasat University.


Paitoon Che’Hae, (1979). Nayobai Chatniyom Khong Prathed Thai (Dasar Nasionalisme Thailand). Tesis M.A., Srinakharintrawiroj University,Prasarnmit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan